19 December 2008

SIAPA DAN APA MOTIF PEWARIS?

Secara tiba-tiba nama Majlis Pemuafakatan Ummah ( PEWARIS) muncul. Kononnya menjadi pembela ketuanan Melayu. Sama ada kebetulan atau tidak, PEWARIS muncul ketika isu ketuanan dan perkauman cuba dicetuskan terutama di kalangan pemimpin Umno.

Datuk Ahmad Ismail, ketua Umno Bahagian Bukit Bendera dilihat di antara individu yang cuba menyalakan api perkauman agar wujud permusuhan di antara orang Melayu dan cina. Tetapi hingga hari ini tidak ada sebarang tindakan diambil malah dianggap sebagai wira Melayu khasnya orang Umno Pulau Pinang.

Berbalik pada isu di atas siapa dan apa motif Pewaris? Adakah Pewaris sebuah pertubuhan berdaftar atau pertubuhan haram? Jika sebelum ini polis bertindak begitu tegas dan pantas kepada NGO seperti Hindraf, Jerit dan GMI yang didakwa pertubuhan haram, kenapa tidak ada apa-apa tindakan kepada Pewaris?Malah polis dilihat bersikap lunak dengan aktiviti pewaris.

Malah dalam demontrasi 'aman' membela ketuanan Melayu bulan lepas, Polis memberi kerjasama dan laluan sehingga laporan polis dibuat.Tidak ada tangkapan, malah menu serta hidangan wajib setiap demontrasi anjuran pembangkang seperti gas pemedih mata dan semburan asid tidak berlaku.

Esok menurut jurucakap Pewaris, satu demontrasi akan diadakan membantah insiden ketiga 'babi sangkut' serta satu memorandum akan diserahkan kepada ahli parlimen Alor Gajah.

Melihat kepada banner yang dinaikkan Pewaris, meremang rasa tengkuk tentang semangat ketuanan dan membela Melayu yang cuba ditonjolkan. Kenapa Pewaris melatah sedemikian rupa? Adakah orang Melayu hendak menghunus keris dengan isu babi sangkut di Melaka?

Apa motif Pewaris sebenarnya? Tindakan seperti sengaja ingin mengapi-api dan melaga-laga isu perkauman di negara ini.

Kepada Pewaris, isu sebenar ialah isu alam sekitar. Masalah bau busuk dan pencemaran air sungai dan laut. Itu sahaja! Bukan isu orang Melayu nak bermusuh dengan orang cina!Jika mereka hendak berdemontrasi juga, sepatutnya mereka pergi berdemontrasi depan pejabat ketua menteri Melaka. Dialah punca segala-galanya. Gagal menangani dan menyelesaikan isu ini. Adakah Ali Rustam juga penyokong kuat di balik tabir Pewaris? Sebelum ini beliau menyarankan agar demontrasi isu babi ini dibuat setiap minggu!

Kepada Ali Rustam dan Pewaris, jangan cuba alih isu sebenar. Rakyat bukan bodoh dengan mainan wayang anda semua.Mereka ini ibarat ayam jantan yang bertaji tajam dan kuat berkokok tetapi hanya berkokok di dalam reban!

Kain rentang Pewaris yang sengaja membangkitkan isu perkauman



RAKYAT TERIMA BENCANA PEMIMPIN DAPAT NAMA


Bencana adalah satu musibah yang juga merupakan satu peringatan dari Allah SWT kepada hambaNya agar berfikir dan bermuhasabah dengan apa yang berlaku. Setiap bencana pasti akan ada yang menderita. Kematian yang tersayang atau hilang harta benda. Apa pun bagi mereka yang beriman musibah adalah satu ujian dari Allah kepada hambaNya.Setiap sesuatu yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.

Berbeza dengan pemimpin hari ini bencana kepada rakyat jelata seperti satu peluang dan kesempatan kepada mereka. Menonjolkan pengaruh dan kuasa. Ketika itu mereka menjadi pemimpin yang begitu prihatin dengan nasib rakyat yang menderita. Hakikatnya ramai yang mempunyai tujuan serampang dua mata.

Apa yang berlaku dalam tragedi di Bukit Antarabangsa mendedahkan segala-galanya. Golongan kaya yang menjadi mangsa mendapat perhatian dan layanan istimewa berbanding mangsa yang terdiri dari rakyat biasa dari pemimpin negara.

Terkini isu laporan Jabatan Kerjaraya (JKR) tentang punca tragedi juga turut dipolitikkan. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dinafikan hak untuk mendapat laporan dan hasil kajian dari JKR disebabkan ada tangan-tangan ghaib di sebaliknya. Apa yang berlaku seolah-olah masih tidak menginsafkan kepada semua pihak. Apa yang cuba disembunyikan sebenarnya? Rakyat lebih-lebih lagi mangsa tragedi berhak tahu apa cerita sebenar di sebalik tragedi ini?

Dari segi kelulusan pelan pembangunan dan projek, mereka yang terlibat perlu bertanggungjawab dengan apa yang berlaku. Tidak perlulah menunding jari kepada mana-mana pihak. Apakah hendak menunggu bencana seterusnya baru semua hendak sedar dari lena dan angan-angan politik mereka?

Apa yang berlaku menunjukkan mereka ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi nilai kemanusian dalam diri mereka semakin terhakis demi cita-cita politik untuk mengejar nama dan kuasa.

KESIAN KAT ARTIS MALAYSIA...


Saya bukan nak membela artis dan tidak juga nak memberi publisiti percuma untuk mereka. Lagipun mereka dah cukup glamour dan popular. Tapi kesian kat mereka.Apa tidaknya, David Aramugam yang saya mula kenali sejak zaman kanak-kanak terutama melalui lagu Sampaikanlah Salam dengan bait lirik...


andai aku pergi dulu sebelummu
janganlah kau bersedih hati

...ku nanti kau di pintu SYURGA....

Bayangkanlah menyanyi sejak tahun 1969 dengan kumpulan Allycats yang cukup popular ketika itu ( dulu peminat juge..he..he..) dan masih menyanyi dan bertahan pada hari ini hanya dapat pingat Johan Setia Mahkota (JSM). Tetapi Shah Rukh Khan yang baru berlakon satu filem ( itupun satu klip je di Al Farmosa Resort) di Melaka dapat pingat Datuk! Macam mana ni?

Apa-apa pun tahniah kepada David Aramugam atas anugerah yang bakal diterima hari ini dari DYMM Agong.

Kepada artis-artis Malaysia yang lain, masih nak sokong BN lagi? Contohilah artis seperti Yassin Brothers, Amy Search dan lain-lain...Jom bersama Pakatan Rakyat!

18 December 2008

BABI DISANGKUT ATAU BABI TERSANGKUT?

Tak habis lagi cerita babi sangkut di Melaka. Bulan lepas, rumah AJK Umno Bahagian Masjid Tanah mendapat 'menu' istimewa ini. Semalam, kain rentang PEWARIS di hadapan Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak pula menjadi mangsa.Cuma kali ini, yang disangkut atau tersangkut ialah kepala babi hutan dan bukan kepala babi dari ladang peliharaan yang berhampiran seperti sebelum ini.

Kenapa mereka memilih babi? Babi cukup sensitif pada orang Melayu. Walaupun ada di kalangan mereka tidak sembahyang dan puasa atau pun beramal menurut ajaran dituntut Islam, pasti mereka akan loya dan nak termuntah bila masuk bab babi.

Saya yakin, perkara ini akan terus berlarutan selagi isu asal masalah ini tidak ditangani dengan baik dan berkesan. Saya tidak terkejut jika dalang dan masalah pokok yang berlarutan menyebabkan akan ada selepas ini kepala babi akan diletakkan di surau dan masjid atau di rumah pak imam dan bilal.

Perkara pokok yang perlu diselesaikan ialah masalah pencemaran bau busuk dan pencemaran air sungai yang hitam pekat dari ladang babi yang mencemari dan mengalir ke perkampungan tradisional melayu berhampiran. Di antaranya seperti di Kampung sungai Tuang, Pengkalan Balak dan Kuala Sungai Baru.

Itu isunya, bukan isu perkauman atau permusuhan kaum. Tetapi ada pihak cuba melaga-laga dan menangguk di air keroh seolah-olah wujud ketegangan kaum khususnya di kalangan orang cina dan Melayu. Bapa saudara dan ramai kaum kerabat saya tinggal di sana khususnya di Kampung Sungai Tuang. Tanyalah mereka, masyarakat Melayu dan cina di sana sekian lama hidup dalam suasana yang cukup harmonis dan bekerjasama serta bersatu padu.

Kepada kerajaan negeri diterajui oleh Ali Rustam, selesaikanlah isu yang sebenar dan jangan mengalihkan isu pokok yang telah lama berlarutan yang gagal ditangani dan diselesaikan oleh kerajaan negeri.

DAKWAAN DR MAHATHIR DAN PEMBANGKANG BERASAS


Gerbang Selatan Bersepadu(GSB) yang menempatkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin(CIQ) Sultan Iskandar merupakan cadangan utama Tun Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri untuk mengatasi kesesakan di Tambak Johor yang telah beroperasi sejak 1967. Selain ia bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dan memodenkan sistem keluar masuk ke negara ini dari arah Selatan.

Tambak Johor serta kemudahan yang ada sebelum tidak mampu menampung keperluan dan bilangan kenderaan yang meningkat saban tahun. Selain itu, pembinaan Jambatan Bengkok yang merupakan satu komponen penting GSB akan membantu meningkatkan dan memajukan pelabuhan di Johor serta melancarkan sistem aliran air yang tersekat dengan adanya Tambak Johor.

Namun begitu, jambatan bengkok tidak menjadi kenyataan. Pak Lah dituduh lemah dan penakut. Perjanjian dan kerja-kerja awal telah dilakukan. Pampasan bernilai RM 236 juta terpaksa di bayar kerana kerajaan telah melanggar perjanjian. Senang-senang je syarikat kroni dapat buat duit banyak tu. Untung atas angin!

Walaupun jambatan bengkok tidak menjadi kenyaataan,pembinaan CIQ bernilai RM 1.3 bilion diteruskan.Apa yang berlaku, jalan yang lebih jauh terpaksa dibina untuk kenderaan dari Singapura dan Johor menghala ke CIQ.

Apa yang berlaku hari ini? walaupun CIQ serba moden dan canggih tetapi tidak mampu menampung kesesakan. Malah kesesakan bertambah kronik! Jalan ke CIQ yang jauh berbanding Tambak Johor, lorong yang sempit dan berbukit menceritakan bahawa CIQ tidak mampu menyelesaikan masalah kesesakan yang kerap berlaku di pintu masuk utama negara ini.Kebanyakan pengguna mengeluh dengan apa yang berlaku. Jarak perjalanan yang bertambah dan masa menunggu pemeriksaan kastam dan imigresen yang terlalu lama tidak membawa apa-apa makna kepada kompleks yang tersergam indah.

Semua ini menceritakan bahawa telahan Dr. Mahathir dan pembangkang selama ini yang dinafikan oleh kerajaan kini benar-benar menjadi kenyataan. Pembatalan pembinaan jambatan bengkok tidak memberi apa-apa makna kepada kompleks CIQ yang serba canggih ini.Projek CIQ projek yang membazir wang negara! Walaupun masih terlalu awal untuk menilai, tetapi apa yang berlaku sudah cukup menceritakan segala-galanya. Pembaziran wang negara dan wang rakyat kepada projek mega yang sia-sia. Apa lagi alasan kerajaan selepas ini? Adakah kerajaan akan menunding jari kepada Dr. Mahathir kerana projek berkenaan atau sekali lagi menyalahkan Singapura sebagai punca masalah yang berlaku?

17 December 2008

ISU RASUAH UMNO: Mari-mari Kita Lihat Siapa Yang Kenaaaaa...


Tiga calon Timbalan Presiden Umno iaitu Muhyiddin, Ali Rustam dan Muhamammad Md. Taib pasti pasti kepanasan dan gelisah sekarang dengan dakwaan Saifudin Nasution ahli Parlimen Machang yang juga Pengarah strategik PKR di Dewan Rakyat semalam.

Menurut Saifudin beliau mempunyai bukti terdapat calon timbalan presiden umno yang menyogok perwakilan RM 500 setiap minggu, tambang kapal terbang dan penginapan hotel percuma!

Orang ramai pastinya tertanya-tanya dan tak sabar menunggu siapa yang beliau maksudkan. Jika dakwaan ini benar dan berasas maka ada tiga kemungkinan bakal berlaku tidak lama lagi.

1.Penduduk Melaka bakal mendapat ketua menteri baru dalam tempoh terdekat.

2.Rakyat Malaysia bakal mendapat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri baru

3.Pengerusi Felda dan Ketua Penerangan Umno baru bakal dilantik.

Apa-apa pun samalah kita tunggu apa skrip dan kesudahan dakwaan ini nanti. Ada kemungkinan walaupun mempunyai bukti kukuh dakwaan ini akan hanya 'dibakul sampahkan' atau dipandang sebelah mata seperti bertimbun-timbun dakwaan rasuah dan skandal kepada polis dan BPR yang melibatkan pemimpin Umno seperti banyak yang dilaporkan sebelum ini.

HARGA MINYAK DI INDONESIA LEBIH MURAH BERBANDING MALAYSIA


Seringkali sebelum ini apabila kerajaan BN menaikkan harga minyak dan barang keperluan kerajaan akan bandingkan dengan negara jiran bertujuan untuk 'menghalalkan' tindakan mereka. Ini seolah-olah memberi gambaran harga di Malaysia masih murah berbanding dengan negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Singapura.

Maka akan lahirlah ungkapan pengampu dalam umno supaya rakyat di negara ini supaya berterima kasih dan bersyukur dengan apa yang berlaku dalam negara masih jauh lebih baik berbanding dengan nasib di negara jiran.

Kerajaan BN lupa, sewaktu mereka mendabik dada dengan kononnya menjaga kepentingan rakyat, harga minyak di negara mundur seperti Indonesia hari ini lebih murah berbanding Malaysia yang mengaku sebagai negara maju dari serba serbi.

Hari ini di Indonesia harga premium petrol Rp 5000 ( RM 1.60 ) dan harga diesel Rp 4800(RM1.53) seliter! Berbanding Malaysia RM 1.80 dan RM 1.70 untuk harga petrol dan diesel.

Rakyat Malaysia hari ini telah ditipu hidup-hidup oleh BN yang kononnya tradisi membela dan menjaga kebajikan rakyat. Harga minyak di pam sekarang mengikut pasaran dunia ialah RM 1.60! Bermakna hari ini rakyat telah beri subsidi kepada kerajaan BN sebanyak RM 0.20 sen.Harga minyak murah bukan sebab usaha BN, tetapi harga minyak dunia yang rendah sekarang. Orang Umno khususnya kena sedar perkara ini dan kena belajar sedikit bab ekonomi jangan asyik sibuk dengan rasuah dan politik wang je...

16 December 2008

BUDAK BAWAH UMUR TAK BOLEH NAIK BASIKAL!

Undang-undang jalan raya mungkin akan digubal tak lama lagi. Kali ini khas buat penunggang basikal. Mereka yang di bawah umur 18 tahun tak dibenarkan naik basikal! Jika ini dikuatkuasakan Malaysia akan jadi negara pertama di dunia membuat peraturan seperti itu.

Ini berikutan, tindakan Polis Selangor manahan dan menyiasat penunggang Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit), yang menganjurkan kempen "Rakyat Pengayuh Perpaduan".Semalam, Ketua Polis selangor Datuk Khalid Abu Bakar memberitahu media penahanan kira-kira 50 penunggang basikal di Rawang kerana 28 daripada mereka didapati berusia di bawah 18 tahun!

Tindakan ini mungkin ada kaitan sebagai langkah mengurangkan kemalangan jalan raya menjelang musim perayaan dalam OPS SIKAP TALAM DUA MUKA!

Apa yang lebih menghairankan, budak-budak yang bawa bendera Umno masa piliharaya lalu tak ada pulak polis kacau. Malah budak-budak tu boleh menungggang sambil angkat tayar depan sambil lalu depan balai polis lagi!

Selepas ini kita akan dapat menyaksikan pula kelas menunggang basikal akan tumbuh bagai cendawan kerana masing-masing berebut-rebut nak dapat lesen P untuk melayakkan mereka menunggang basikal di jalan raya. Kepada penunggang JERIT, berhati-hati di jalan raya...Lain kali bawa le sekali bendera Umno atau BN besar-besar, saya yakin tak ada siapa akan kacau..

PETUA UNTUK PENGUNDI DI KUALA TERANGGANU DAN SELURUH MALAYSIA

17 Januari ini menjadi medan penentu persaingan di antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Pelbagai teori dan analisis dibuat tentang siapa calon bakal bertanding serta siapa yang bakal menang dan tumbang di Kuala Terangganu.

Di sini ada sedikit petua untuk semua pengundi di Kuala Terangganu dan juga pengundi di tempat lain di negara ini.Petua ini mungkin sesuai lebih-lebih lagi dalam kegawatan ekonomi sekarang.

Pilihlah pemimpin atau calon yang umurnya lanjut. Lagi baik kalau selalu sakit-sakit atau ada penyakit kritikal. Sacara logik dan kebiasaannya mereka yang berusia dan ada penyakit kronik, umurnya tak panjang. Namun, urusan ajal maut hanya kepada Allah SWT.

Bila wakil rakyat umur tak panjang, maka merasalah akan diadakan pilihanraya kecil. Bila ada pilihanraya kecil banyaklah habuan, bantuan atau apa sahaja sumbangan yang anda perlukan. Projek semakin banyak, pembangunan semakin pesat.Masa inilah kita akan melihat betapa prihatinnya pemimpin kerajaan yang ada sekarang. Bercakap lembut gigi dari lidah. Lihat hari ini betapa beruntungnya rakyat Terangganu, nak apa semua dapat....

Moralnya, doa-doalah wakil rakyat yang ada sekarang agar umurnya pendek. Terutama pemimpin yang sentiasa menzalimi rakyat, terlibat dengan rasuah dan skandal serta tidak melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan sebaiknya...Kepingin benar rasanya untuk menyaksikan agar ada pilihanraya kecil kat kawasan saya ni...

15 December 2008

SEJAK BILA ALI RUSTAM PANDAI BERJIMAT CERMAT?


Seperti yang saya jangkakan tindakan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak membuat keputusan membeli 16 buah kereta Toyota Camry untuk Exco dan pegawai kanan negeri mengundang pelbagai kritikan.

Dalam banyak-banyak komen dan kritikan, saya cukup tertarik dengan komen ketua menteriku sendiri, Ali Rustam. Ali Rustam menyifatkan langkah kerajaan Perak itu sebagai membazirkan duit rakyat.

Teruja sungguh hati ini bila mengetahui bahawa Ali Rustam bercakap tentang jimat cermat. Sejak bila Ali Rustam insaf daripada membazirkan duit rakyat? sebelum bercakap tentang jimat cermat, Ali Rustam perlu menjawab dahulu 'langkah jimat cermat' beliau mentadbir dan menggunakan duit rakyat di Melaka seperti berikut:

1. Berapa kos majlis anugerah datuk untuk Shah Rukh Khan pada 6 Disember lalu?
2. Berapa jumlah kos lawatan kerajaan negeri ke Peranchis dan lawatan ke luar negara baru-baru ini?
3.Berapa banyak duit yang 'dilaburkan' oleh Ali Rustam dalam kempen untuk mendapatkan pencalonan bahagian untuk pemilihan timbalan presiden umno baru-baru ini?
4.Berapa kos 'membakar duit rakyat' pada petunjukan bunga api pada malam menyambut Ambang Kemerdekaan lalu?
5.Berapa kos sebenar membawa, membaiki dan menyelenggara bas dua tingkat dari London?
6.Berapa kos membawa kapal selam terpakai ke Melaka untuk dijadikan muzium?
7.Berapa banyak kos pembangunan di Pulau Melaka yang menjadi projek gajah putih?
8.Berapa kos projek 'Taman seribu bunga' yang sepi tidak mendapat sambutan pengunjung?
9.Berapa kos pencetakan dan pengeluaran 'Melaka Hari Ini" yang menanggung kerugian yang lebih banyak memaparkan berita tentang Umno? Dari mana sumber kewangan tersebut?
10.Berapa banyak kos untuk mengadakan konsert malam kemerdekaan yang mengundang artis negara untuk merosakkan golongan anak muda di Melaka?
11. Berapa kos membaiki dan penyelenggaraan kediaman rasmi beliau di 'Sri Bendahara' setiap tahun?
12.Berapa kos mengadakan majlis rumah terbuka hari raya di kediaman rasmi setiap tahun?
13. Berapa banyak duit rakyat Melaka digunakan untuk projek pelancongan yang kini terbiar? Sebagai contoh, Mini Malaysia dan Mini Asean, Eye On Melaka, Pirate Ship dan lain-lain.

Ini cuma sebahagian daripada projek 'jimat cermat' Ali Rustam. Banyak lagi langkah 'jimat cermat' Ali Rustam sepanjang merajui Melaka.

Jadi kepada Ali Rustam sila cermin-cerminkan diri anda dahulu. Asyik cakap ikut sedap mulut sahaja. Renungilah firman Allah dalam surah As Shoff ayat 2-3:

'wahai orang yang beriman kenapa kamu bercakap sesuatu yang kamu tidak kerjakan? Amat besar kebencian Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.