ORANG YANG TIDAK ADA MARUAH,BOLEH DILELONG DAN DIJUAL BELIHari ini DYMM Sultan Perak akan membuat keputusan tentang kemelut politik di Perak. Apa juga keputusannya nanti semua pihak perlu akur dan rasional.
Pakatan Rakyat Perak tidak perlu merasa kecewa, mereka telah menjalankan tugas dengan cukup cemerlang sepanjang 11 bulan di Perak. Mereka bukan ditolak oleh rakyat tetapi mereka disingkirkan dengan gaya samseng oleh pemimpin yang tidak bermaruah.
Dalam hal ini saya berpendirian jika DUN tidak dibubarkan, senario politik di Perak akan kekal tidak stabil. Jika BN berkuasa, adakah BN mampu bertahan? Kes rasuah 2 adun lompat akan dibicarakan pada 10 Febuari. Tetapi saya cukup yakin akan berlaku silap mata dalam kes ini.
Kerajaan PR Perak pasti akan membawa kes ini ke mahkamah ekoran krisis perundangan dan juga tindakan pelik SPR yang melangkaui bidang kuasanya.Semua ini bakal membawa suasana tidak menentu di Perak.
Tetapi saya yakin, Najib tak fikir itu semua kerana dia cukup terdesak sekarang ini untuk membuktikan kuasa dan pengaruhnya. Jika Perak boleh diambil secara samseng dan tidak bermaruah bolehkah negeri-negeri PR yang lain mengalami senario yang sama?
Mereka sanggup buat apa sahaja tanpa mengira dosa pahala serta halal haram. Ini semua telah dibuktikan dengan macam-macam peristiwa pelik dan tak masuk akal yang berlaku dalam negara.
Lihatlah betapa biadab dan kurang ajarnya pemimpin Umno dan BN bukan sahaja pada rakyat tetapi DYM Sultan Perak dengan mengistiharkan BN menguasai kerajaan perak sebelum DYM Sultan Perak membuat keputusan pada hari ini.
Dalam hal ini PR perlu lebih bersedia dengan menyusun persiapan dan strategi yang lebih mantap dan tersusun. Saya cukup yakin dan optimis sokongan dan simpati rakyat kepada PR melonjak berkali ganda dengan isu yang berlaku hari ini.
Biarlah pihak Umno dan BN bertepuk tangan dan bersorak gembira pada hari ini. Apa yang penting PR perlu bijak dan matang dalam menangani apa yang berlaku agar momentum sokongan dan simpati rakyat pada PR terus berkekalan.


