16 February 2009

SAMY VELLU AKAN DILANTIK JADI SPEAKER DUN PERAK?


Spekulasi yang mungkin agak lawak dan tak masuk akal. Tapi dalam Umno semua yang tak logik dan tak terima akal boleh jadi sesuatu yang munasabah.

Apa yang berlaku dalam rampasan kuasa di Perak membuktikan segala-galanya. Umno bertindak beraja di mata bersultan di hati. Membujur lalu melintang patah, tak kira halal haram habis semua diredah!

Orang Umno tak puas hati dan nak marah-marah dengan kenyataan saya? Marahlah...Tapi hakikatnya itulah pemimpin mereka lakukan.

Dalam satu kenyataan semalam, Pak Lah berkata BN Perak akan melantik speaker Dun yang baru menggantikan speaker Dun yang dilantik sebelumnya, V. Sivakumar.

Undang-undang mana yang Umno akan pakai kali ini? Adakah dalam Umno sudah tak ada cerdik pandai yang faham undang-undang? atau pun dah jadi tabiat Umno yang suka langgar dan memperalatkan undang-undang? Apa mereka fikir nak lantik Menteri Besar dan speaker Dun macam melantik pengerusi JKKK?

Jadi tak mustahil kalau Samy Vellu boleh dilantik jadi speaker Dun Perak dalam sistem undang-undang ala Umno. Kita tunggu apa tindakan Umno untuk menggantikan speaker Dun Perak yang sah sekarang.

15 February 2009

SEJAK BILA MUHYIDDIN JADI JURUCAKAP SPR?

Kebelakangan ini Muhyiddin Yassin dilihat banyak bercakap bagi pihak SPR. Dalam isu di Perak misalnya Muhyiddin meminta pembangkang menghormati SPR sebagai badan yang dipilih untuk menguruskan pilihanraya di Malaysia. Malah acap kali beliau mengulas dan mempertahankan kewibawaan SPR apabila dikritik oleh Pakatan Rakyat.

Hari ini sekali lagi beliau mempertahankan SPR apabila Pemimpin Pakatan Rakyat menyatakan bahawa wujud konspirasi di antara UMNO dan SPR dalam menentukan tarikh pilihanraya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Apa yang peliknya SPR tidak pula menjawab atau membalas hujah Pakatan Rakyat tentang senario yang berlaku.

Adakah ini sebagai satu strategi kempen jawatan Timbalan Presiden Umno ataupun Muhyyiddin dalam proses mempersiapkan diri untuk mengambil alih tugas pengerusi SPR? Ini kerana jika Muhyiddin tewas dalam pemilihan Umno Mac depan maka kerjaya politik Muhyiddin sudah dikira telah berakhir. Maka apabila tewas nanti kepada Ali Rustam yang kini jadi calon popular untuk menang jawatan Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin boleh memohon atau menawarkan diri untuk jadi pengerusi SPR pula!

14 February 2009

TERKINI:'KERAJAAN BN' PERAK AKAN TUMBANG DALAM MASA TERDEKAT!!!

Ternyata tindakan Umno merampas kuasa kerajaan Pakatan Rakyat akan berhadapan laluan berliku yang akan merangkap mereka sendiri. Jika ini berlaku benarlah kata Tun Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah , tindakan Umno di Perak yang diketuai oleh Najib akan mempercepatkan lagi kejatuhan Umno di seluruh negara.

Selain bakal berhadapan tindakan saman dan injuksi mahkamah yang telah difailkan oleh Menteri Besar yang sah Dato Seri Ir Nizar Jamaludin di mahkamah tinggi Kuala Lumpur kelmarin yang diketuai oleh peguam tersohor Raja Aziz Idruse bersama panel 12 peguam, kerajaan haram BN Perak perlu melepasi halangan dari speaker Dun.

Masalah pertama di hari persidangan dewan undangan negeri yang bakal menyaksikan Menteri Besar dan exco kerajaan Perak yang baru dinobatkan akan berdepan dengan satu masalah besar: Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah masih lagi ADUN DAP dari Tronoh, V. Sivakumar.

Sekalipun jumlah ADUN BN pada masa itu ialah 28 mengatasi 1 kerusi ADUN Pakatan Rakyat yang tinggal 27 (tak termasuk 1 lagi kerusi Speaker), namun jawatan Speaker tidak boleh dilucutkan sekalipun dengan usul undi tidak percaya. Demikian kata Speaker DUN Selangor Teng Chang Khim yang juga seorang peguam.

Jawatan Sepaker kosong hanyalah jika V.Sivakumar meletakkan jawatannya sebagai ADUN atau dia sudah tidak layak dari memegang jawatannya atau meletakkan jawatannya secara sukarela.

Sivakumar dibolehkan, jika beliau mahu, menghalang bekas ADUN-ADUN Pakatan Rakyat yang melompat, iaitu yang telah "meletakkan jawatannya" dari menghadiri persidangan, dan ia sepastinya akan mengurangkan majoriti BN di dewan undangan negeri berkenaan.

Speaker Negeri sebelum ini telah mengisytiharkan ADUN Behrang Jamaluddin Mohd Radzi, ADUN Changkat Jering Osman Jailu dan Jelapang Hee Yit Foong telah mengosongkan kerusinya selepas beliau menerima surat perletakan jawatan ketiga-tiga ADUN berkenaan.

Sekiranya Sivakumar meletakkan jawatannya kerana apa-apa sebab, Dewan Undangan Negeri akan dikira "badan perundangan yang tergantung" kerana Undang-undang batang tubuh negeri Perak memperuntukkan dewan tidak boleh bersidang sewaktu kekosongan speaker kecuali untuk tujuan perlantikan seorang speaker.

Dengan tidak mempunyai suara majoriti yang jelas, Menteri Besar kerajaan BN Datuk Dr Zambry Abdul Kadir tiada pilihan lain selain memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri dan mendapat perkenan pihak Istana untuk satu pilihanraya baru bagi negeri Perak.


Terkini Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Exco kerajaan negeri yang mengangkat sumpah Selasa lalu, akan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Rabu ini, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar.

Sivakumar yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan berkata notis saman hadir kepada Zambry, Hamidah Osman, Datuk Ramly Zahari, Dr Mah Hang Soon, Datuk Saarani Mohamad, Mohd Zahir Abdul Khalid dan Zainol Fadzi Paharudin, telah dihantar pada pagi semalam melalui Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong.

Katanya keputusan tersebut adalah ekoran surat aduan yang diterimanya daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Canning, Wong Kah Woh Khamis lalu yang meminta supaya ketujuh-tujuh Adun Barisan Nasional (BN) tersebut dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan kerana didakwa telah menghina dewan, lapor Bernama.

"Setelah bersidang, pihak jawatankuasa berpendapat terdapat asas ataupun prima facie terhadap aduan yang dibuat oleh YB Wong Kah Woh. Oleh yang demikian jawatankuasa sebulat suara membuat keputusan untuk merujuk kesemua tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Ipoh hari ini.

Katanya, jawatankuasa yang bersidang pada 12 Februari lalu, telah dihadiri oleh beliau sendiri, Husin Din (Adun Selingsing), Chan Ming Kai (Simpang Pulai), Ong Boon Piow (Tebing Tinggi), Loke Chee Yan (Kepayang) dan Sum Chok Leng (Bercham) manakala wakil tunggal daripada BN iaitu Adun Temengor Datuk Hasbullah Osman tidak dapat hadir kerana mempunyai program di Gerik.

Sementara itu, dalam sidang akhbar di Wisma DAP di sini, Pengerusi DAP Perak dan Adun Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham berkata Sivakumar mempunyai kuasa mengeluarkan waran tangkap terhadap menteri besar baru Perak dan enam Exco berkenaan jika mereka tidak hadir di hadapan jawatankuasa itu Rabu ini.

Beliau berkata tindakan menggantung keahlian kesemua tujuh Adun BN berkenaan merupakan antara bentuk hukuman yang boleh dicadangkan oleh jawatankuasa berkenaan.

Dalam keadaan begini, Umno sebenarnya tidak ada pilihan selain terpaksa menerima hakikat bahawa DUN Perak akan dibubarkan untuk mengelakkan masalah yang berlaku.

Ternyata mereka yang mengetuai dan merancang rampasan kuasa di Perak telah bertindak tanpa memahami undang-undang dan kesan dari aspek pelembagaan.

Pilihanraya kecil di Perak semakin sesuatu yang pasti. Justeru itu semua jentera dalam Pakatan Rakyat perlu bersedia bukan hanya berhadapan pilihanraya kecil Bukit Gantang tetapi juga pilihanraya kecil untuk seluruh Perak.

Dalam keadaan sokongan yang semakin mantap, Umno bakal menerima hukuman dari rakyat Perak. Walau bagaimanapun saya yakin mereka sekali lagi akan menggunakan taktik kotor untuk memastikan pilihanraya kecil tidak berlaku di seluruh Perak.

TAHNIAH KHAIRY:RANKING MALAYSIA MENINGKAT LAGI DALAM FIFA!!

Tahniah kepada Timbalan Presiden FAM, Datuk Khairy Jamaludin kerana sejak menerajui FAM ranking Malaysia terus meningkat. Terkini dalam senarai yang dikeluarkan oleh FIFA semalam ranking Malaysia naik dari

158 ke 161.

Semoga denga peningkatan ranking Malaysia ini dalam senarai FIFA akan dapat membantu kempen jawatan ketua pemuda Umno bulan depan.

TUGAS BARU SPR

SPR di bawah pengerusi baru,Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sekarang ini ada tugas baru. Tugas baru SPR sekarang ialah :

1. Mengambil alih tugas mahkamah dalam kes yang berkaitan dengan masalah undang-undang. Jika ada masalah dari segi kesahihan surat dan tanda tangan SPR boleh membuat keputusan segera. Sekali gus dapat menjimatkan masa mahkamah untuk membicarakan kes berkenaan.

2. Mengambil alih tugas polis. Sekiranya berlaku sesuatu keadaan 'panas' maka tugas SPR ialah mengawal dan memastikan keadaan kembali tenang. Ini dapat menjimatkan dan memudahkan tugas polis untuk mengawal keamanan dan keselamatan negara.

3. Memastikan pemilihan Umno dapat berjalan dengan lancar. Oleh itu pilihanraya kecil atau umum tidak boleh dilakukan jika berlaku ketika mesyuarat Umno semakin hampir.

4. Memastikan bakal perdana menteri dapat mengambil alih jawatan dalam suasana 'aman damai' tanpa diselubungi imej yang memalukan jika parti yang mewakili bakal PM kalah teruk dalam pilihanraya kecil.

Sehubungan dengan itu saya dengan ini mencadangkan agar pengerusi SPR meletak jawatan dan menyertai Umno dan seterusnya bertanding dalam pilihanraya kecil di Bukit Gantang. Kalau tak pun mungkin boleh mengambil alih tugas pengerusi tetap Umno pada pemilihan Umno Mac depan.

MUKHRIZ AJAK PAS MASUK GAUNG!

Tak habis-habis dengan kenyataan nak mempromosi diri. Mentang-mentang le nak pemilihan Umno tak lagi maka inilah masa untuk menarik undi dan perhatian perwakilan.

Itulah yang cuba dilakukan oleh anak kesayangan mantan PM, Dato Mukhriz Mahathir.

Terkini Mukhriz mencadang agar Pas Perak menyertai BN. Kepada Dato Mukhriz, pemimpin, ahli dan penyokong Umno yang lain sila jawab soalan berikut sebelum ingin 'meminang' Pas menyertai BN.

Menyertai parti yang bergelumang dengan rasuah?

Menyertai parti yang terlibat dengan budaya samseng ala lanun?

Menyertai parti yang tidak mengormati undang-undang?

Menyertai parti yang ada adegan baling-baling kerusi dalam mesyuarat?

Menyertai parti yang memperalatkan raja dan polis?

Menyertai parti yang menyekat kebebasan demokrasi?

Menyertai parti yang menyokong undang-undang rimba ISA,OSA,AUKU dan lain-lain?

Menyertai parti yang menyokong kelulusan lesen judi dan arak?

Menyertai parti yang ditolak oleh majoriti rakyat?

Menyertai parti yang bakal berkubur?

Jika Pas bersetuju bermakna seolah-olah Pas setuju untuk masuk gaung bersama dengan BN.

13 February 2009

APASAL PULAK NIZAR KENA MENGUCAP?

Mengucap dua kalimah syahadah boleh berlaku dalam banyak situasi. Dalam azan, iqamah, solat, nak memeluk Islam atau menyebut semula kalimah syahadah bagi mereka yang sudah gugur akidahnya.

Tapi yang peliknya, kenapa tak pasal-pasal ahli MT Umno, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar meminta MB Perak yang sah Dato seri Ir Nizar Jamaludin mengucap semula syahadah? Adakah Nizar telah gugur syahadah kerana tidak mahu mengikut telunjuk mereka yang tak reti atau buat-buat tak reti pada undang-undang status jawatan MB? Adakah Nizar telah gugur syahadah kerana memfailkan tindakan perundangan di mahkamah untuk mencabar pelantikan 'MB pintu belakang' di Perak?

Adakah Nizar belum masuk Islam oleh itu kena ucap kalimah syahadah?

Inilah jadinya bila terlalu ghairah nak sentuh pasal hukum dalam Islam hingga tak dapat beza bab batal akidah dan bab undang-undang negara.

Dalam bab agama Islam usah dipermainkan. Kalau tak reti baik diam. Dari kita bercakap akhirnya orang tahu memang kita tak reti.

12 February 2009

'MERDEKA CENTRE' JUGA PENDERHAKA?

Menteri Besar Perak yang sah Dato Seri Ir Nizar Jamaludin digelar penderhaka oleh Umno hanya kerana meminta Sultan Perak membubar DUN dan mengadakan pilihanraya semula. Sekali lagi beliau dianggap penderhakaa apabila ingin mempertahankan Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak tentang kuasa Menteri Besar maka beliau dilabel penderhaka.

Adakah Umno juga akan melabelkan sebuah badan bebas iaitu 'Merdeka Centre' juga sebagai penderhaka Ini kerana kajian Merdeka Centre menunjukkan hampir 74 peratus mahukan DUN dibubarkan manakala 76 peratus pengundi juga ingin melihat "pilihan raya menerusi rakyat" diadakan untuk menentukan kerajaan pilihan mereka.

Hanya 21 peratus responden mengatakan bahawa pihak istana mempunyai "hak" untuk menentukan kerajaan bagi rakyat jelata.

"Malah, 62 peratus lagi responden merasakan bahawa peranan istana dalam kes ini (perubahan kerajaan) tidak mencerminkan kehendak rakyat negeri Perak,"

Hanya 29 peratus yang mengatakan peranan istana menggambarkan kehendak rakyat.

Pendapat umum itu dikendalikan oleh firma tersebut antara 6 dan 8 Februari lalu untuk mengukur percepsi pandangan orang ramai berhubung perkembangan politik di Perak.

Seramai 507 pengundi berdaftar di Perak dipilih untuk mengambil bahagian dalam kajian tersebut.

Saya menunggu siapa pemimpin, ahli atau penyokong Umno yang akan melabelkan Merdeka Centre sebagai penderhaka dan pengkhianat atas kajian yang dilakukan.

Apa yang pasti kajian terbaru Merdeka Centre ini akan lebih menggerunkan Umno yang bakal menghadapi pilihanraya kecil Bukit Gantang. Apa lagi tindakan dan sekatan yang mereka akan gunakan untuk menyekat kebangkitan rakyat Perak?

Adakah MB Perak, Dato seri Nizar Jamaludin akan dikaitkan dengan tuduhan liwat untuk menghakis dan mencemarkan imej beliau? Kita tunggu lepas ni kot-kot ada pemuda yang sudi 'menggadaikan maruah' untuk mengaku bahawa dia pernah diliwat oleh Nizar. Maklumlah ada orang kat negara kita ni suka sangat dengan bab membuat tuduhan liwat meliwat ni!

BANNER MENARIK DI CHANGKAT JERING



Sumber gambar:http://idhamlim.blogspot.com/

TERBUKTI WUJUD KONSPIRASI JAHAT DI PERAK


Sudah terang lagi bersuluh bahawa wujud konspirasi 'caca marba' rampasan kuasa Umno terhadap kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Bermula daripada pembentukan 'Kerajaan Perak' yang melanggar aturan undang-undang sehinggalah episod dan drama penipuan demi penipuan yang dilakukan. Terkini Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr. Zaininah Mohd Zain hari ini menafikan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Mohd Osman Jailu telah dimasukkan ke hospital itu baru-baru ini.

"Dia tidak pernah dimasukkan ke HKL," katanya ketika mengulas dakwaan adik Mohd Osman bahawa abangnya gagal hadir perbicaraan kes rasuahnya di Mahkamah Majistret di Ipoh semalam kerana dia dimasukkan ke HKL.

Menurut Norliza, abangya dimasukkan ke unit rawatan rapi pada malam Isnin.

Bagaimanapun, Norliza gagal menunjukkan sijil cuti sakit dengan mendakwa abangnya berada di bawah pengawasan doktor.

Majistret Sharmila Abdul Samad mengeluarkan waran tangkap ke atas Mohd Osman selepas Norliza memberitahu mahkamah bahawa abangnya dimasukkan ke hospital kerana masalah jantung.

Saya yakin penangguhan kes ini memang sengaja diada-adakan untuk melambat-lambatkan kes berkenaan. Bukankkah kedua-kedua bekas adun berkenaan telah ditawarkan 'pengampunan' terhadap kes rasuah yang dihadapi mereka.

Tindakan Osman Jailu ternyata telah menipu dan menghina mahkamah. Tapi tak pelik, kalau kerajaan yang sah dan pilihan rakyat boleh dikhinati inikan pula hanya sekadar menipu mahkamah.

Kita tunggu adakah laporan polis dan tindakan akan diambil atau sekadar hanya akan melihat sebelah mata sahaja apa yang berlaku.

Hebat macam mana pun mereka cuba menipu dan memperdaya rakyat tetapi yakinlah sesuatu pembohongan, unsur fitnah dan khianat tidak mampu bertahan lama.