22 April 2009

SPR BERMAIN SILAP MATA KEKOSONGAN KERUSI DUN PENANTI?


Ada yang tak kena apabila SPR terus melewat-lewatkan tentang kekosongan kerusi Dun Penanti. Apa lagi yang SPR tunggu dan hendak siasat setelah kerusi itu diistiharkan kosong oleh Speaker Dun Pulau Pinang.

Perkara ini diumumkan sebentar tadi oleh Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said berkata, Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akan membuat pengumuman itu pada sidang media yang akan diadakan pada Isnin ini, jam 10 pagi di Ibu Pejabat SPR di sini.

“SPR yang bermesyuarat hari ini telah membincangkan perkara-perkara berkaitan kekosongan kerusi N.12 Penanti, Pulau Pinang.

“Berkaitan dengan perkara tersebut, sidang media oleh pengerusinya yang sepatutnya diadakan pada Jumaat ini, telah ditunda kepada Isnin depan (27 April 2009) di Ibu Pejabat SPR di sini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Adakah SPR mendapat arahan baru daripada pihak tertentu? Mungkinkah ada 'kejutan' yang tidak mengejutkan yang bakal diumumkan oleh SPR pada hari Isnin depan?

Satu Malaysia dah tahu SPR kini seolah-olah menjadi alat kepada Umno@BN. Segala tindak tanduk SPR akhir-akhir ini seperti SPR sebagai komponen BN. Ini semua rentetan daripada kekalahan Umno@BN dalam empat siri Pilihanraya Kecil. Apabila bekas Adun Penanti mengumumkan meletak jawatan, maka Dato Seri Najib menyifatkan ia sebagai helah Pakatan Rakyat. Maka lepas itu para juak-juak dalam Umno menggesa agar Umno memulaukan pilihanraya tersebut.

Apa yang berlaku jelas menunjukkan bahawa Umno@BN begitu trauma untuk berhadapan dengan kebangkitan dan suara rakyat. Maka pelbagai alasan diberi untuk memastikan pilihanraya kecil ini dapat dielakkan. Kita tunggu apa 'silap mata' SPR kali ini pada Isnin depan.

SPEAKER MELAKA TUNJUK KUASA, SPEAKER PERAK MACAM MANA?

Hebat betul dengan speaker Melaka, Datuk Othman Muhamad setelah semalam menolak usul tidak percaya kepada Ketua Menteri Melaka, Dato Seri Muhd. Ali Rustam hari ini bertindak lebih 'garang' dengan mengarahkan Ketua Pembangkang,Goh Leong San meninggalkan dewan setelah tidak menghiraukan arahan Speaker supaya duduk. Goh diarah keluar dewan kira-kira jam 12.15 tadi.

Berita ini pasti 'menggerunkan' Datuk Zamry Abdul Kadir Menteri Besar Kudeta di Perak tentang kuasa yang ada pada Speaker dalam menghadapi sidang Dun Perak akan datang. Speaker Perak V. Sivakumar sudah pasti tersenyum dengan berita ini.

ALI RUSTAM TERLIBAT MENONTON VCD LUCAH?


Sidang DUN Melaka semalam bukan sahaja 'meriah' dengan isu usul tidak percaya yang cuba dibawa oleh Ketua Pembangkang, Goh Leong San tetapi juga isu gambar dan video membabitkan adun Bukit Lanjan, Elizebert Wong dan teman lelakinya.

Cubaan Ketua Menteri Melaka, Dato Seri Muhd. Ali Rustam meminta 'fatwa' daripada Adun Kota Laksamana, Betty Chew ternyata akhirnya menikam diri sendiri.

"Adakah tindakan yang betul bagi seorang wakil rakyat wanita tidur dengan teman lelaki Melayunya,"

Mohd Ali kemudiannya bertanya Chew sama ada beliau ada menonton video Wong yang dimaksudkan itu dan Chew menjawab, beliau tidak menontonnya.

Beliau mengulangi soalan itu kepada Chew beberapa kali sehingga seorang ADUN membalas:

"Mengapa anda begitu terpesona dengan Elizabeth Wong dan isu telanjang sehingga membangkitkannya beberapa kali?,"

Ketua Pembangkang, Goh Leong San kemudiannya bangun untuk membela Chew dengan mengatakan Mohd Ali telah melakukan gangguan seksual terhadap Chew dengan bertanyakan soalan itu sehingga Speaker Datuk Othman Muhamad seterusnya cuba meredakan ketegangan itu dengan mengatakan "beliau telah melihat video itu".

Hal itu menyebabkan Goh bertanya jika Mohd Ali telah melihat video itu yang kemudiannya dijawab yang beliau hanya "melihat satu video".

Maka memang wajar sekali Ketua Menteri Melaka ini untuk terus didesak untuk melepaskan jawatannya. Ini kerana bukan sahaja terlibat dengan rasuah seperti yang dibuktikan oleh Lembaga Disiplin sebelum ini tetapi kini terlibat menonton VCD yang tidak bermoral.

Sumber : The Star Online

21 April 2009

LELONG CAMRY EXCO PERAK BUKTI KEANGKUHAN ZAMRY


Kerajaan haram Perak yang diterajui oleh Datuk Zamry Abdul Kadir akan melelong 16 buah kereta Toyota Camry 2.4 yang baru digunakan tidak sampai dua bulan.

Menurut kenyataan tender terbuka yang dihantar ke bahagian iklan sebuah akhbar berbahasa Melayu di sini hari ini, lelongan kereta itu akan berlangsung di tempat letak kereta Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini mulai 9.30 pagi hingga 4 petang pada 4 hingga 18 Mei ini.

Walau bagaimanapun kenderaan rasmi Menteri Besar Rakyat Dato Seri Ir Nizar Jamaludin plat pendaftaran AGS 10 tidak akan terlibat dalam lelongan tersebut.

Ini satu bukti keangkuhan Zamry dan mereka yang sewaktu dengannya yang cuba menunjuk lagak dan keangkuhan walaupun kes kemelut politik di Perak masih di peringkat perbicaraan di mahkamah. Apa akan berlaku jika mahkamah membenarkan saman Nizar bahawa pelantikan Zamry sebagai Menteri Besar bercanggah dengan pelembagaan yang akhirnya membawa kepada pembubaran Dun Perak?

Ini juga menunjukkan sikap gopoh dan tergesa-gesa serta balas dendam seperti tindakan mereka merampas kerajaan Perak dan membubarkan JKK di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat dan terkini melelong kenderaan yang dibeli menggunakan duit rakyat.Tindakan menjual ini pasti menyebabkan kerugian duit rakyat kesan susut nilai yang berlaku.

KALAU SPEAKER MELAKA BOLEH TOLAK USUL, SPEAKER PERAK PUN BOLEH JUGA...

Hari ini DUN Melaka agak 'meriah' apabila pembangkang mengemukakan usul tidak percaya kepada Ketua Menteri Melaka, Dato Seri Muhd. Ali Rustam. Walau bagaimanapun speaker Melaka, Datuk Othman Mohamad telah menolak usul berkenaan.

Saya enggan mengulas apa yang berlaku di DUN Melaka pada hari ini cuma saya ingin mengingatkan Datuk Zamry Abd. Kadir dan mereka yang sewaktu dengannya serta semua media milik Umno bahawa apa yang berlaku di Melaka menunjukkan bahawa speaker mempunyai kuasa dan imuniti yang diperuntukkan oleh pelembagaan. Bukan Setiausaha dewan dan bukan juga SUK ! Kalau Ketua Pembangkang Melaka bawa kes itu ke mahkamah mencabar tindakan speaker menolak usul yang dibawa pagi tadi saya yakin kes itu akan ditolak mentah-mentah.Tetapi tak tahulah kalau speaker Perak je yang terkecuali, Setiausaha DUN dan SUK yang lebih berkuasa!

Apa yang berlaku hari ini menunjukkan kemelut politik di Perak tidak akan berakhir selagi penyelesaian terbaik diambil untuk mengadakan pilihanraya semula. Saya yakin Umno@BN dan Pakatan Rakyat akan menerima apa juga keputusan rakyat terhadap pilihanraya DUN Perak jika pilihanraya itu diadakan dalam suasana adil dan saksama.

PEMBAHARUAN UMNO: DRIVER AMBULAN PUN JADI PENGARAH GLC DI TERANGGANU


Selepas Dato seri Najib dilantik menjadi Perdana Menteri maka riuh rendah dan gegak gempita sekali dengan program pembaharuan yang dicanangkan dalam Umno@BN. Maka munculah slogan Satu Malaysia...menenggelamkan slogan 'Islam Hadhari' sebelum ini.

Sesuai dengan perubahan tampuk kepimpinan dan pembaharuan dalam Umno maka pemandu ambulan dan guru sekolah rendah turut layak dilantik sebagai pengarah anak syarikat kerajaan negeri (GLC) di Terangganu.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) Terengganu, Dato' Rosol Wahid mendakwa pelantikan berkenaan tidak disenangi beberapa ADUN yang menggelar diri mereka kumpulan 18.

Patutlah adun-adun Umno di Terangganu mengambil tindakan 'menderhaka'. Mana tidaknya cukup ramai golongan cerdik pandai di kalangan profesional dan berpengalaman di Terangganu tetapi Datuk Ahmad Said Menteri Besar Terangganu mengamalkan politik balas dendam dengan mengenepikan itu semua. Mungkin inilah yang dimaksudkan dengan slogan Satu Malaysia bagi menggantikan Islam Hadhari Terangganu Bestari.

20 April 2009

DUN TERANGGANU BAKAL BUBAR?

Dato Ahmad Said Menteri Besar Terangganu berhadapan krisis keyakinan yang semakin meruncing apabila jumlah wakil rakyat Umno@BN yang menolak kepimpinan beliau meningkat daripada 10 kepada 18 orang.

Perkara ini didedahkan oleh Setiausaha Kelab Penyokong BN Terengganu, Alias Abdullah mendakwa, sehingga hari ini jumlah ADUN yang menolak Ahmad meningkat daripada 10 kepada 18 orang.Menurutnya, ADUN terbaru menyertai kumpulan mereka termasuklah beberapa exco kerajaan negeri.

Ahmad Said sekarang dalam keadaan begitu tertekan dengan perkembangan terbaru yang berlaku. Beliau boleh menguji dan mengembalikan kredibiliti dan pengaruhnya di DUN Terangganu dengan mendapatkan 'mandat' baru daripada wakil rakyat Umno@BN dengan meminta wakil rakyat Umno@BN yang masih setia bersama beliau membuat usul menyokong kepimpinannya.

Namun begitu dalam keadaan sekarang, saya yakin Ahmad Said tidak akan berani membuat demikian, pilihan yang ada sekarang ialah membuat pertimbangan yang paling serius dengan memohon perkenan pemangku sultan untuk membubarkan dun Terangganu. Tetapi dalam keadaan sekarang saya yakin Perdana Menteri Dato Seri Najib tidak akan merestui tindakan tersebut memandangkan Umno khususnya sedang berdepan krisis keyakinan dan sokongan daripada rakyat.

Namun begitu, pembubaran Dun adalah opsyen terbaik yang ada kepada Ahmad Said untuk menyelamatkan maruah beliau berbanding sekiranya 18 Adun yang 'menderhaka' bertindak terlebih dahulu untuk memohon mengadap Pemangku sultan untuk mendapat perkenan pelantikan Menteri Besar Terangganu yang baru berdasarkan sokongan yang ada sekarang.

Tetapi persoalan yang lain adakah SPR akan 'merestui' jika Dun Terangganu dibubarkan? Dalam kes di Penanti, SPR masih berteka-teki dengan status kekosongan kerusi di dun berkenaan. Malah Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar hari ini berkata bahawa badan itu akan mengkaji status kerusi dun atau parlimen yang dikosongkan dengan sengaja akibat masalah peribadi dan krisis dalaman parti. Adakah Umno@BN terkecuali dalam situasi ini?

Apa yang berlaku bakal merentap keegoan dan kebongkakan tindakan Umno@BN di Perak yang merampas kerajaan Pakatan Rakyat yang dipilih oleh rakyat secara sah dalam pilihanraya. Apa yang berlaku di Terangganu ibarat api dalam sekam yang sudah merebak yang tidak dapat dipadamkan yang bakal mempercepatkan lagi kejatuhan era Umno@BN dalam persada politik negara.

19 April 2009

DR MAHATHIR GESA AGAR UMNO BERTANDING DI PENANTI DAN BINA JAMBATAN BENGKOK


Umno@BN kemungkinan besar akan membatalkan hasrat memberi kemenangan percuma kepada PKR dalam pilihanraya kecil Penanti. Mantan PM, Tun Dr Mahathir yang kini menjadi 'mentor' dan 'penasihat' kepada Dato Seri Najib mengesa agar Umno@BN tidak mengangkat bendera putih di Penanti.

Umno@BN akhir-akhir ini dilihat begitu fobia dengan pilihanraya kecil setelah ditolak oleh majoriti rakyat dalam 4 siri pilihanraya kecil. Jadi pelbagai alasan diberi untuk 'menghalalkan' agar Umno tidak bertanding di Penanti.

Saya melihat penyertaan Umno dalam pilihanraya kecil itu semakin pasti apabila wujud gesaan dari Dr Mahathir. Ini telah terbukti apabila semua 'nasihat' Mahathir sebelum ini pasca era Pak Lah sebagai PM akan dituruti khususnya oleh DS Najib. Walaupun tidak dinyatakan secara terbuka seperti pelantikan Muhriz dan tidak melantik Khairy di dalam kabinet serta beberapa isu lain.

Dalam satu isu yang lain, pembinaan Jambatan Bengkok menyeberangi Tambak Johor yang dibatalkan di bawah era Pak Lah bakal menjadi kenyataan di bawah pimpinan DS Najib. Ini telah saya jangkakan sejak awal lagi apabila DS Najib menjadi PM maka wujud gesaan daripada pelbagai pihak agar pembinaan Jambatan Bengkok itu diteruskan. Saya siarkan komen seorang pembaca dalam posting saya sebelum ini bawah tajuk 'Sudah-sudahlah dengan Jambatan Bengkok tu...' untuk penilaian pembaca.

Orang bodoh saja buat jambatan bengkok.

Jarak terdekat antara poin A dan poin B adalah garisan lurus. Kalau bengkok jaraknya adalah lebih panjang. Tentunya kos buat jambatan lebih panjang lebih tinggi.Siapa yang untung??

Perlu sangatkah jambatan ini? Kalau tak ada jambatan ini rugikah kita? Kalau ianya untuk keperluan pengangkutan untuk mengekspot barangan hasil industri kita melalui pelabuhan singapura seperti dulu kala, bukankah kita dah ada pelabuhan yang hebat di tanjung pelepas dan johor port.

Tak terfikirkah oleh mereka yang inginkan jambatan ini risiko-risiko pembinaan jambatan ini? Nak cakap buat kajian dulu kan lebih baik dari mengikut emosi dan sokongan buta tuli.

Pakar kejuruteraan menyebut walaupun dibina jambatan merentasi selat tebrau kapal-kapal dgang tidak boleh juga menggunakannya kerana selat ini cetek. Kalau kita nak dalamkannya untuk laluan kapalpun, kerja-kerja mengorek perlu dilakukan setiap hari kerana akan berlaku mendapan berterusan akibat hakisan tebing dan pantai Johor dan Singapura. Berapa pula kos untuk kerja-kerja mendalamkan selat dan kerja-kerja maintenance ini?

Berapakah ketinggian jambatan ini, bahasa kejuruteraannya 'air draft' untuk laluan kapal? 24 meter kalau tak silap saya. Selat ini kecil sahaja. Kalau nak buat jambatan yang midsapnnya setinggi 24 meter dari aras laut, bayangkan kecerunan jambatan tersebut. Sebab itulah dicadangkan bengkok. tak logik lansung.

Apakah kerajaan kena belanja berbilion duit rakyat lagi untuk memuaskan hati seorang tua dan impiannya?

iR Nisarr

15/4/09 2:44 PM

18 April 2009

UMNO BUAT PROGRAM JUDI DALAM MAJLIS PERASMIAN SURAU

Hari ini berlangsung majlis Perasmian Surau dan Balairaya Taman Angkasa Nuri. Program ini di bawah Japerun Durian Tunggal dan JKKK Gangsa (Umno le tu..) .Tuan rumah hanya menyediakan tempat dan yang lain-lainnya dikendalikan oleh Japerun dan JKKK.

Pelbagai acara disusun di antaranya pertandingan azan, mewarna kanak-kanak tadika, memasak ikan sungai, pameran dan pemeriksaan kesihatan. Acara pada mulanya berjalan elok dicemari dengan program berunsur judi. Pihak penganjur telah membuat pertandingan meneka berat buku dan jumlah muka surat. Nak teka tak salah, yang jadi salah apabila bayaran dikenakan sebanyak 50 sen untuk sekali teka. Judi le tu, sama macam sport toto dan 4 nombor ekor, cuma hadiahnya berbentuk hamper.

Saya difahamkan perkara itu pernah ditegur dalam mesyurat, tetapi memang dah perangai Umno tak kira bab halal dan haram. Perasmian surau pun diadakan majlis unsur judi.

Apa yang lebih memualkan saya, program perasmian surau ini telah digunakan untuk kempen borang pendaftaran ahli Umno. Siapa yang memperalatkan surau dan masjid? Orang Umno tolong jawab? Tak percaya datanglah sekarang di majlis itu yang sedang berlangsung...

UMNO@BN SEMBUNYI FAKTA UNTUK ADAKAN SIDANG DUN HARAM 7 MEI INI

Patutlah dalam sidang akhbar selepas keputusan mahkamah Persekutuan kelmarin,Datuk Zamry abdul Kadir Menteri Besar Kudeta, beliau nampak tidak ceria. Rupa-rupanya ada fakta yang disembunyikan tentang apa yang berlaku sebenarnya dalam perbicaraan di Mahkamah Persekutuan berkenaan.

Semua ini menujukkan Umno@BN khususnya di Perak berusaha menyekat kebangkitan rakyat dan memulihkan imej yang tercalar dengan cuba untuk menipu rakyat.

Umno@BN sekali lagi bermain-main dengan istilah 'perkenan Sultan' untuk menghalalkan tindakan haram mereka untuk mengadakan sidang Dun Perak 7 Mei ini.

Terbukti Umno@Bn sengaja ingin mewujudkan suasana kalut dan kacau bilau di Perak. Buatlah apa pun, majoriti rakyat Perak telah menolak mereka. Kesalahan yang mungkin tidak dimaafkan sehingga tujuh keturunan walaupun mereka cuba menarik simpati untuk 'memohon restu' rakyat...

Nak tahu apa yang sebenarnya berlaku di Mahkamah Persekutuan kelmarin sila klik

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=020372&Itemid=85