28 April 2009

UMNO MAKIN PENING DI PENANTI

Fairus bersama Calon PKR di Penanti Dr. Mansor Othman

Apa isu nak dibawa oleh Umno@BN di Penanti? Isu rasuah bekas Timbalan Ketua Menteri 1, Mohammad Fairus Khairuddin? SPRM dah buat kenyataan, tak ada kes !

Perpecahan dalam PKR? Macam mana pulak Fairus ni boleh hadir pada majlis pengumuman calon? Semuanya semakin memeningkan Umno@BN. Patutlah Dato Seri Najib kata Umno@BN mungkin tak bertanding di Penanti, tak nak habis duit rakyat katanya.

Rupa-rupanya Umno sudah tandus isu. Isu derhaka tak relevan untuk penduduk Penanti. Penanti menanti untuk mendedahkan segala kejelikan yang ada dalam Umno@BN. Rakyat Penanti sudah tidak sabar untuk menanti 31 Mei untuk mentalkinkan Umno@BN di sana. Jika begini keadaannya Umno@BN sudah semakin pasti tidak akan bertanding di Penanti. Sama-samalah kita nanti...

SHAFEI AFDAL LEBIH 'AFDAL'JAGA SABAH DARI SIBUK-SIBUK NAK RAMPAS KEDAH


Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah yang baru dilantik, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dinasihatkan agar menumpukan Sabah yang silap haribulan bakal terlepas kepada Pakatan Rakyat daripada sibuk-sibuk untuk merampas Kedah yang diterajui oleh Datuk Seri Azizan Razak.

Ini memandangkan pilihanraya negeri Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi. Siapa Shafie Afdal yang sibuk-sibuk nak merampas Kedah? Pelantikan Shafie Afdal sendiri sebenarnya satu penghinaan kepada Umno Kedah yang seolah-olah ketandusan tokoh dan calon yang berwibawa sehingga terpaksa mengimport tokoh yang menyeberangi Laut Cina Selatan untuk mengajar Umno Kedah tentang erti perpaduan dan kerjasama yang dikatakan faktor ketewasan mereka dalam pilihraya umum yang lalu.

Pelantikan Shafei bukan sahaja menimbulkan perasaan tidak puas hati kepada Umno Kedah tetapi menyebabkan perpecahan dalam Umno negeri itu semakin kronik. Faktor ini Insyaallah akan membantu untuk mengekalkan Kerajaan Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum akan datang.

NAJIB MAHU DENGAR DENYUT NADI RAKYAT: BAGAIMANA DENGAN YANG SUDAH TIDAK ADA DENYUT NADI?


Perdana Menteri Dato Seri Najib hari ini mengemukakan langkah seterusnya dalam program pembaharuan Satu Malaysia.

Dalam ucapan beliau kepada kakitangan awam di Putrajaya yang dipancarkan secara online hari ini, Dato Seri Najib menyatakan hasratnya untuk memahami denyut nadi rakyat agar ia berupaya menyelami keluh kesah dan gundah gulana sebenar kehidupan seharian rakyat.

Perdana Menteri berkatam siri "walkabout" atau tinjauan mesra oleh beliau di kawasan-kawasan tertentu bukan sahaja bagi membolehkan beliau mendekati rakyat tetapi lebih penting supaya beliau dapat merasai sendiri secara visual dan melalui panca deria akan segala bau dan hiruk pikuk serta likuliku kepayahan yang dilalui oleh orang ramai dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

Baguslah kalau macam tu, tetapi saya cukup yakin apa pun pembaharuan yang dibawa oleh Dato Seri Najib itu semua tidak mampu menutup watak sebenar beliau sebelum ini. Lebih-lebih lagi ingatan rakyat kepada yang sudah hilang denyut nadi....

MAHKAMAH PERSEKUTUAN TOLAK PERMOHONAN ZAMRY PERCEPATKAN KES


Mahkamah Persekutuan yang bersidang hari ini menolak permohonan Menteri Besar kudeta, Datuk Zamry Abdul Kadir untuk mempercepatkan kes dan keputusan untuk mendapat pengistiharan siapa Menteri Besar Perak sebelum sidang Dun 7 Mei ini.

Sebaliknya Mahkamah Persekutuan mengarahkan agar kes itu dirujuk dan dibicarakan kembali di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Keputusan ini terus menyaksikan status Menteri Besar Perak akan terus menjadi pertikaian dan perdebatan pada sidang Dun akan datang.

Apa yang lebih menghairankan kenapa Zamry begitu beria-ia dan tergesa-gesa meminta Mahkamah mengistiharkannya sebagai Menteri besar Perak? Bukankah selama ini beliau mendabik dada mengaku bahawa beliau Menteri Besar yang sah? Adakah beliau juga meragui perkenan daripada Sultan berhubung pelantikan beliau sama ada mengikut pelembagaan atau sebaliknya?

BUKIT KATIL DIJANGKA DAPAT YDP BARU MENANG TANPA BERTANDING


Sehingga hari ini terdapat tiga nama dicalonkan untuk jawatan YDP Kawasan Bukit Katil, Melaka. Iaitu penyandang, Hj. Bakrin Bin Sidek, Saudara Ramli Dalip Ketua MTD Bukit Baru dan Saudara Sofi Wahab, Ketua Penerangan Kawasan dan Negeri.

Namun begitu, Saudara Ramli dijangka terkeluar daripada pencalonan apabila hanya mendapat satu pencalonan daripada dua pencalonan yang ditetapkan dalam peraturan terbaru. Semua cawangan dan dewan di Bukit Katil telah selesai mengadakan mesyuarat agong.Manakala Hj. Bakrin, YDP penggal lalu telah menghantar surat menarik diri dari dicalonkan. Perkara ini dimaklumkan kepada saya sebentar tadi. Alasan beliau ialah untuk memberi laluan kepada muka baru untuk menerajui Pas Kawasan.

Ini bermakna, Saudara Sofi secara automatik akan diistiharkan sebagai YDP Pas Kawasan Bukit Katil yang baru. Saya berharap dan mendoakan agar saudara Sofi dapat membawa dimensi baru dan memacu Pas Kawasan ke era yang lebih cemerlang pada masa akan datang.

Saya yakin dengan pengalaman beliau semasa di universiti, peringkat pemuda kawasan dan negeri serta sebagai Ketua Penerangan Negeri, saudara Sofi dapat melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Pemilihan saudara Sofi atau dikenali blogger Mutaligat juga merupakan satu pengiktirafan kepada golongan bloggers di negara ini.

Semoga dengan pelantikan saudara Sofi akan menjana kekuatan Pas Kawasan Bukit Katil untuk berhadapan dengan Ketua Menteri ( Dun Bukit Baru dalam kawasan Bukit Katil) untuk melahirkan anak sulung Pas di Dun Melaka dalam Pilihanraya Umum akan datang.

Saya yang turut dicalonkan untuk AJK Kawasan tidak dapat menghadirkan diri ke mesyuarat Agong Pas Kawasan yang dijadualkan 3 Mei ini di sebuah resort di Melaka kerana menguruskan keluarga untuk mendapat rawatan pakar di sebuah hospital swasta di sini.

27 April 2009

BOLEHKAH SIDANG DUN HARAM 7 MEI USUL PECAT SPEAKER?

Umno@Bn Perak akan tetap memanggil sidang Dun Perak pada 7 Mei ini yang notisnya dikeluarkan oleh Setiausaha Dun yang dipecat! Lebih menarik sidang Dun ini diadakan begitu tergesa-gesa tanpa dimaklumkan kepada speaker terlebih dahulu. Maka tidak hairanlah sidang Dun Perak 7 Mei yang bakal berlangsung bakal memecah satu lagi rekod dunia yang dicipta oleh kerajaan Satu Malaysia Umno@BN.

Hari ini Pejabat Setiausaha Dun Perak menerima satu usul yang dikemukakan oleh Menteri Besar Haram Datuk Zamry Abdul Kadir untuk memecat speaker dun Perak, V. Sivakumar. Maka masalah dan kemelut yang dicipta oleh Umno@BN akan selesai? Jangan mimpilah! Apa yang bakal dilakukan oleh kerajaan Umno@BN bukan sahaja bertentangan dengan pelembagaan negeri tetapi di luar aturan tabii. Nak buat sidang Dun buatlah, lagipun mereka ada kunci dewan Dun Perak.

Tetapi ingatlah wahai Umno@BN.... tindakan anda makin meningkatkan darjah kebencian majoriti rakyat kepada Umno@BN. Berapa lama Umno@BN nak bertahan sebelum pilihanraya umum diadakan ? Setahun? Dua Tahun? Tiga tahun? Apa yang pasti masanya tetap akan tiba untuk Umno@BN menerima balasan daripada kegelojohan dan kebodohan mereka sendiri dalam pilihanraya akan datang. Apa yang dilakukan oleh Umno@BN hari ini ibarat dapat secupak rugi selori!

UMNO@BN TRAUMA DENGAN PILIHANRAYA


SPR telah membuka gelanggang pertarungan pada 31 Mei ini di Penanti. Bermakna satu pilihanraya kecil akan dilangsungkan. Pas, melalui Pengarah Pilihanrayanya Dato Mustafa Ali berkata Pas akan memberi laluan dan keutamaan kepada PKR bertanding di Penanti atas dasar semangat kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Insyallah jentera Pas daripada semua peringkat akan turun beramai-ramai untuk memastikan kemenangan calon Pakatan Rakyat walaupun siapa sahaja yang bakal dicalonkan.

Umno@BN bagaimana? Nampaknya terus berdolak dalik sama ada bertanding atau tidak. Dato Seri Najib berkata Biro Politik akan buat keputusan. Tetapi perlu diingat, keputusan muktamad adalah pada Najib sendiri selaku presiden Umno. Bermakna Najib boleh menerima atau menolak apa juga keputusan Biro Politik Umno. Tak payahlah mencari 'kambing hitam' untuk mengelak daripada bertanding di Penanti.

Jika Umno@BN tidak bertanding, mereka patut merasa malu kerana seorang nenek seperti Maimun Yusof,90 tahun lebih berani daripada mana-mana pemimpin Umno@BN yang ada pada hari ini apabila bertanding secara solo melawan ayam tambatan Pas Tuan Hj. Mohd. Sabu dalam PRU ke 12 lalu.

Begitu juga dengan Hanafi Mamat, presiden parti kecil seperti AKIM juga tidak gentar bertanding dalam PRK seperti yang ditunjukkan di Permatang Pauh dan Kuala Terangganu walaupun hilang wang deposit atas dasar hak bertanding dalam sistem negara demokrasi.

Tetapi Umno yang mengaku sebagai gergasi politik negara satu ketika dahulu kelihatan trauma untuk bertanding dalam pilihanraya kali ini. Saya cukup yakin Umno@BN hari ini cukup tertekan dalam menghadapi mana-mana pilihanraya terutama faktor penolakan kaum bukan Melayu yang hari ini secara terbuka dan berterus terang menolak Umno@BN. Umno@BN menyedari undi teras mereka di kalangan orang Melayu tidak memadai untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat dalam arus politik negara.

Dalam mana-mana PRU atau PRK di kawasan yang pengundi yang terdiri daripada 30-50% bukan Melayu saya berani mengatakan bahawa peluang Umno@BN untuk menang adalah tipis. Berdasarkan bahawa pengundi 'tegar' Pas sama sekali tidak akan memberi undi kepada Umno@BN.

Justeru itu tidak mengejutkan apabila Umno@BN hari ini seperti kehilangan bisa dan sengat dalam berhadapan perpaduan serta muafakat Pakatan Rakyat. Isu hari ini bukan lagi isu pembangunan serta perubahan atau pembaharuan dalam Umno@BN. Isu hari ini majoriti rakyat sudah cukup muak dan meluat dengan Umno@BN. Rakyat sebenarnya tidak sabar untuk menunggu tarikh PRU ke 13 diumumkan. Semua ini menambah derita dan trauma kepada Umno@BN!

PENANTI TERUS MENANTI


Akhirnya segala teka teki dan kemusykilan sama ada PRK Penanti diadakan atau tidak terjawab hari ini apabila Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof mengumumkan hari penamaan calon 23 Mei dan pengundian 31 Mei.

Namun kelewatan SPR mengumumkan tarikh PRK berkenaan masih terus meninggalkan misteri dan kemusykilan tidak seperti kelaziman dan amalan sebelum ini. Mungkin ini juga satu pembaharuan SPR selaras dengan pembaharuan dalam Umno!

Tetapi temp0h PRK yang diadakan agak lewat (walaupun mengikut undang-undang setiap kekosongan boleh diisi dalam tempoh 60 hari )terus menimbulkkan persoalan. Kalau tidak silap saya, inilah jangkamasa yang paling lama diadakan PRK bila berlaku kekosongan kerusi.

Adakah sesuatu perancangan akan dilakukan bagi memastikan kemenangan Umno@BN di Penanti? Mungkin juga tarikh berkenaan dipilih bagi memberi peluang kepada semua mengundi untuk balik mengundi memandangkan cuti hujung minggu dan awal cuti persekolahan.

Saya berharap agar suasana demokrasi di negara ini tidak terus dimalapkan oleh SPR dalam PRK Penanti. SPR akhir-akhir ini dilihat sering membuat keputusan sebelah pihak serta berat sebelah dan seperti menjadi jurucakap dan komponen Umno@BN. Apa-apa pun terima kasih kepada SPR kerana 'bersetuju' mengadakan PRK Penanti.

26 April 2009

GAGASAN SATU MALAYSIA DAN PEPSI COLA

Presiden Pas, Tuan Guru Dato Seri Hj Abdul Awang menyifatkan slogan pembaharuan Satu Malaysia oleh Dato Seri Najib hanya gimik politik seperti pepsi cola.

Pepsi Cola, mungkin budak-budak hari ini tidak lagi mendengar jenama minuman berkarbonat popular satu ketika dulu. Kalau tak silap saya, Micheal Jackson@Mikael Jakson merupakan duta produk ini dengan nilai tajaan puluhan juta ringgit.

Maka ramailah orang meminum pepsi cola kerana tertarik dengan iklan serta gimik yang dibuat oleh Micheal Jackson dalam iklan Pepsi cola sambil menari terkinja-kinja.

Tetapi saya yakin mereka yang pernah minum air Pepsi Cola mengakui rasanya sebenarnya sama je air karbonat lain di pasaran.

Itulah yang mungkin ingin digambarkan oleh Tuan Guru Hj. Hadi Awang, idea Satu Malaysia hanyalah gimik dari DS Najib yang sebenarnya tetap sama dengan apa yang diperjuangkan oleh Umno@BN selama ini. Dasar Umno@BN tetap tidak berubah daripada menggula-gulakan rakyat dengan projek Mee Segera dan pelbagai gimik yang lain.

Maka gimik terus dibuat daripada semasa ke semasa untuk menunjukkan bahawa PM hari ini menggutamakan rakyat. Justeru itu 'pemimpin berjiwa rakyat' ini dapat dilihat bersama dengan orang ramai di Petaling Street hinggalah boleh duduk minum teh tarik di gerai minah endon di Puduraya.

Apakah dengan bersama rakyat di Petaling Street dan Puduraya rakyat di negara ini telah melupakan segala kisah silam DS Najib?

Malah gagasan Satu Malaysia oleh DS Najib sebenarnya telah ketinggalan zaman. Pas telah terlebih dahulu mengenengahkan idea Pas Untuk Semua yang semakin diterima oleh rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini. Malah 15 tahun yang lalu Presiden Pas ketika itu, Almarhum Ustaz Fadzil Nor telah mengutarakan idea 'memasyarakatkan Pas'.

Bermakna idea Satu Malaysia bukan sahaja hanya gimik tetapi juga telah ketinggalan zaman, sama dengan Pepsi Cola!

ISU AGAMA OLEH KABINET, NAJIB MENDERHAKA?


Tindakan Barisan Kabinet Satu Malaysia yang membuat keputusan kontroversi berkaitan soal agama anak yang kekal mengikut agama asal ibu bapa semasa berkahwin bukan sahaja membelakangkan Majlis Fatwa Kebangsaan tetapi juga kuasa Sultan dan DYMM Agong.

Apa perlu wujudnya Majlis Fatwa Kebangsan sekiranya persoalan berkaitan dengan agama boleh diputuskan oleh wakil Umno, MCA dan MIC serta komponen BN yang lain yang berbilang bangsa dan agama.

Tindakan Kabinet Najib dilihat bukan sahaja bertentangan dengan bidang kuasa yang ada tetapi juga telah mengambil alih kuasa Sultan dan DYMM Agong yang bertanggungjawab dalam hal yang berkaitan dengan adat resam dan agama Islam di negara ini.

Adakah Perdana Menteri Dato Seri Najib dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Major Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharum membincangkan perkara ini dengan DYMM Agong sebelum membuat keputusan yang merobek dan mencabar maruah dan kedaulatan Islam di negara ini?

Perkara ini wajar dijelaskan oleh Najib adakah DYMM Agong telah dimaklumkan dan memperkenankan hal yang berkaitan dengan umat Islam ini? Jika keputusan jemaah menteri ini dibuat tanpa perkenan DYMM Tuanku bermakna Najib dan seluruh anggota kabinet bukan sahaja telah mengambil tugas Majlis Fatwa tetapi juga telah menderhaka!