06 May 2009

SAMBUT HARI LAHIR PUN TAK BOLEH DALAM ERA 1 MALAYSIA?


Semalam jurucakap Bersih Wong Chin Huat ditahan polis dan bakal didakwa di mahkamah kerana suruh orang pakai baju hitam. Hari ini tiga orang lagi ditahan. Puncanya sambut hari lahir Altantuya Sharibu .

Mereka yang ditahan oleh polis Daerah Putrajaya ialah
Sani Md Shah ditahan jam 11.15 pagi apabila memegang kek hari jadi, sementara Saufi Mihat dan Yasir Sheikh Abdul Rahman ditahan tidak lama selepas itu sewaktu memegang kain rentang di depan pintu masuk kompleks Jabatan Perdana Menteri.

Zaman 1 Malaysia ini macam-macam boleh berlaku. Kita tunggu apakah akta atau seksyen yang akan digunakan untuk mendakwa mereka bertiga. Mungkin seksyen tiga suku, sambut birthday tanpa izin!

SURUH PAKAI BAJU HITAM PUN SALAH?


Hanya kerana meminta rakyat Malaysia berpakaian hitam sebagai tanda protes kepada sistem demokrasi yang disifatkan telah berkubur, jurucakap Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Wong Chin Huat telah ditahan polis dibawah Akta Hasutan malam tadi.

Dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina di ibu negara semalam, bersih telah meminta agar
seluruh rakyat Malaysia untuk berkabung pada 7 Mei 2009 (Khamis) dengan berpakaian hitam ke pejabat, ke sekolah, ketika beriadah mahupun di rumah bagi menunjukkan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak tanda ' 1 Malaysia GELITA'.

Tangkapan terbaru mengikut Akta Hasutan ini sekali lagi membuktikan ketakutan kerajaan tentang kebangkitan suara hati rakyat Malaysia. Semua ini membuktikan pembaharuan 1 Malaysia hanyalah gimik dan omong-omong kosong.

Apa lagi erti demokrasi kalau segala hak dan kebebasan rakyat dicabuli dan dinafikan. Sebelum ini pelbagai hak rakyat yang dijamin dalam negara yang mengamalkan demokrasi sebenar seperti hak berhimpun, hak bersuara, berpolitik sering dinafikan oleh kerajaan Umno@BN hari ini.

Tindakan ini sekali lagi memalit tompok hitam kepada demokrasi negara. Apa yang dilakukan oleh kerajaan Umno@BN tidak mampu memulihkan kegawatan politik yang ada sebaliknya akan meningkatkan kebencian rakyat untuk mempercepatkan hayat kerajaan yang ada.

05 May 2009

ADEGAN YANG MUNGKIN DILIHAT DI DUN PERAK 7 MEI INI


Datuk Zamry : Saya dengan ini ingin mengusulkan untuk memecat Speaker Dun Perak, YB V. Sivakumar kerana telah hilang kepercayaan dan melanggar undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Speaker V. Sivakumar : SAYA SOKONG !

CONFIRM ! V. Sivakumar dah kena bomohhhh...

UMNO TERUS MENCARI KAMBING HITAM DI PENANTI

Belum pernah berlaku dalam sejarah penubuhan Umno, keputusan bertanding dalam pilihanraya umum atau kecil dibuat dalam jangka waktu yang begitu lewat seperti di Penanti.

Jika sebelum ini, Umno cuba menggunakan SPR untuk menggagalkan pilihanraya kecil di Penanti tetapi usaha tersebut gagal berikutan pelbagai desakan dan kritikan kepada SPR supaya tidak menjadi kuda tunggangan Umno.Maka Perdana Menteri 1 Malaysia berkata, Biro Politik Umno yang beliau pengerusinya yang akan buat keputusan. Tetapi Biro politik Umno juga tak dapat buat keputusan. Sekoyong -koyong kemudian semasa berada di Sabah hari ini Perdana Menteri 1 Malaysia berkata, Majlis Tertinggi BN yang beliau juga pengerusinya yang akan buat keputusan bertanding atau tidak.

Tak tahulah mungkin lepas ini Perdana Menteri 1 Malaysia terpaksa berjumpa ahli nujum, bomoh dan pawang seperti di Perak untuk buat keputusan Umno bertanding atau tidak di Penanti jika MT BN juga tak dapat buat keputusan . Kalau payah sangat...baling je dadu...habis cerita...

NEGARA DI AMBANG BAHAYA!

Setiap hari ada sahaja dadah yang berjaya diseludup ke negara ini. Jika kelmarin Polis Pahang berjaya merampas 900 kiligram dadah jenis syabu yang dimuatkan dalam kontena di Jalan Segamat Kuantan. Hari ini pula dilaporkan polis berjaya merampas 27 kilogram ganja dari seorang petani di Kedah.

Dalam bab ini saya mengucapkan tahniah kepada pihak polis Malaysia kerana berjaya merampas dadah berkenaan dalam kuantiti yang besar. Jika dadah itu dipasarkan dalam negara ini tidak dapat dibayangkan berapa ramai generasi kita yang rosak binasa.

Tetapi dalam satu hal lain saya tertanya-tanya bagaimana dadah dalam kuantiti yang begitu banyak dapat membolosi sempadan negara? Mungkin jumlah yang dirampas adalah lebih kecil berbanding dadah yang berjaya dipasarkan di negara ini.

Semua ini mendedahkan betapa longgar, pincang serta lemahnya sistem keselamatan negara yang begitu mudah dibolosi. Kita tidak tahu berapa banyak lagi bahan terlarang dan merbahaya seperti senjata api selain dadah yang telah berlegar-legar di kalangan mereka yang tamak dan haloba yang inginkan kekayaan segera. Jika ini berlaku, rakyat di negara ini sentiasa terdedah dengan pelbagai ancaman pelbagai pelakuan jenayah dan ancaman lain.

Misalnya menurut sumber polis, mereka yang mengambil dadah jenis syabu akan bertindak di luar batasan kemanusiaan dan sukar diduga. Mereka ini dikateogori sebagai golongan yang 'berani mati'. Jika mereka terlibat dengan jenayah ragut dan rompak mereka tidak teragak-agak untuk membunuh dan bertindak ganas. Manakala jika mereka menjadi 'mat rempit' golongan ini merupakan senjata pembunuh kepada pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah.

Justeru sesuatu tindakan drastik perlu dilakukan oleh pihak kerajaan terutamanya bagi menangani masalah yang semakin serius melanda negara pada hari ini supaya tidak membawa musibah yang lebih besar kepada negara ini.

04 May 2009

TERMINAL BARU BEROPERASI ESOK?


Laluan masuk utama yang masih belum siap sepenuhnya

Kerja-kerja memanjangkan landasan masih dijalankan walaupun telah dipanjangkan sebelum ini


Kalau mengikut banner yang dipasang, Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam yang dinaiktaraf bakal beroperasi 5 Mei ( Esok ).

Tetapi melihat kerja-kerja naik taraf yang masih rancak dijalankan menimbulkan kemusykilan kepada saya macam mana terminal baru beroperasi walhal prasarana yang masih banyak yang belum siap.

Semua ini memperlihatkan ada yang tak kena dengan pembinaan Airport ini. Pembinaan tak mengikut spefikasi dan kos yang meningkat hingga sekali ganda daripada peruntukan asal RM 130 juta macam-macam seperti ada yang cuba disembunyikan untuk menutup kepincangan yang berlaku.

PAKATAN RAKYAT DI ERA CYBER. UMNO@BN MASIH GUNA BOMOH?


Apa yang berlaku di Perak semakin merumitkan dan kadang -kadang masuk episod yang melucukan. Ketika Pakatan Rakyat menjadikan era cyber sebagai medium penghubung kepada rakyat dalam menyampaikan pelbagai maklumat, Umno masih lagi ketinggalan zaman dengan menggunakan bomoh dan pawang.

Perkara ini didedahkan oleh Adun Titi Serong Yb Idham lim Abdullah yang mempunyai bukti bahawa kerusi speaker telah 'diasap kemenyan' oleh bomoh yang diupah oleh Umno untuk memastikan V.Sivakumar 'kecundang' pada 7 Mei ini.

Saya bukan tidak mempercayai bomoh tetapi tindakan pihak Umno yang diketuai oleh Datuk Zamry Abdul Kadir seperti yang didakwa oleh saudara Idham Lim menunjukkan bahawa Umno sebenarnya semakin terdesak untuk merampas kerusi speaker Perak.

Apa yang Umno@BN Perak kalut sangat? Bukankah mereka mendapat perkenan istana malah kes ini telah dibawa ke mahkamah. Apakah Datuk Zamry lebih percaya kepada bomoh berbanding mahkamah? Kalau beginilah caranya pemikiran Umno, elok dalam pilihanraya akan datang Umno@BN mencalonkan bomoh dan pawang yang handal-handal yang ada dalam negara untuk mewakili mereka. Mungkin dengan cara itu wakil Pakatan Rakyat akan kelu dan tidak mampu berhujah serta menjadi seperti lembu di cucuk hidung hanya mengikut dan menurut semua rentak Umno@BN di dalam sidang Dun atau Dewan Rakyat.

Mungkin pendekatan bomoh pawang merupakan salah satu elemen dalam pembaharuan 1 Malaysia. Mungkin selepas ini semua YB dalam Umno@BN yang ada boleh mengamalkan ilmu penunduk dan penyeri wajah agar rakyat terus dapat diperbodohkan untuk menyokong mereka.Untuk itu mereka boleh menghubungi Datuk Zamry di Perak untuk mendapatkan bomoh yang sesuai.

03 May 2009

SPR TERUS SENGET SEBELAH !

SPR terus diperkudakan oleh Umno@BN untuk memastikan sisa-sisa hayat politik mereka. Setelah memperkenalkan peraturan melarang pondok panas pada hari pengundian, hari ini SPR mengumumkan langkah menghadkan kehadiran penyokong semasa hari penamaan calon tidak melebihi 5 ribu orang.

Peraturan baru ini akan dikuatkuasakan dalam pilihanraya kecil Penanti pada penghujung bulan ini. Perkara ini disahkan oleh Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar dalam satu kenyataan pada hari ini. Inilah pembaharuan 1 Malaysia yang menjadi zikir Umno@BN hari ini. Dalam era 1 Malaysia apa yang tak boleh akan dibolehkan.

Kenapa peraturan ini dikuatkuasakan? Semua ini jelas apabila Umno@BN gerun dengan gelombang kebangkitan rakyat yang bersama dengan Pakatan Rakyat. Sebaliknya angka 5 ribu yang dihadkan adalah penanda aras jumlah penyokong yang hanya mampu dikumpulkan oleh Umno@BN dalam pilihanraya. Itupun melalui proses kerahan tenaga serta dibayar upah dan elaun untuk hadir menyokong calon Umno@BN. Berbeza dengan pakatan Rakyat yang boleh menghimpunkan puluhan ribu penyokong tanpa apa-apa ganjaran dan habuan.

Persoalan yang lain bagaimana hendak memastikan jumlah penyokong yang hadir pada hari penamaan calon tidak melebihi 5 ribu orang? Siapakah yang akan ditugaskan oleh SPR untuk mengira jumlah penyokong yang hadir? Peraturan baru ini bukan sahaja tak masuk akal tetapi pelik untuk dilaksanakan.

Masa di sekolah dahulu dalam subjek Bahasa Melayu, cikgu menghadkan supaya karangan tidak melebihi 350 patah perkataan. Jenuh juga nak memastikan agar menepati syarat ditetapkan. Terpaksa dikira berulang kali. Itupun sering tersalah kira! Inikan pulak nak kira 5 ribu orang!

Tetapi itu tidak menjadi masalah kepada media pengampu milik Umno@BN kerana mereka pandai mengira. Terutama bab ganda dua dan ganda tiga bagi penyokong Umno@BN dalam laporan mereka yang senget sebelah sebelum ini.Mereka pandai dalam bab mengira, jumlah yang sedikit boleh digandakan manakala jumlah yang banyak boleh dikurangkan.

Mungkin selepas ini media pengampu akan melaporkan jumlah penyokong Pakatan Rakyat melebihi 10 atau 20 ribu orang tetapi jumlah penyokong Umno@BN tepat-tepat 5 ribu orang!

02 May 2009

SEKAT MEDIA SIDANG DUN 7 MEI BUKTI UMNO TAKUT KEPADA KEBENARAN

Apa yang ditakuti dan disembunyikan Umno pada sidang DUN Perak pada 7 Mei ini? Sekali lagi Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Rahman Hashim menunjukkan kepada umum tentang kebebalan Umno dalam memahami erti demokrasi dan undang-undang.Hanya media pro Umno@BN sahaja yang dibenarkan membuat liputan pada sidang DUN 7 Mei ini. Manakala media alternatif seperti Harakah Daily, Suara Keadilan dan Malaysiakini ' diharamkan' daripada membuat liputan berdasarkan arahan SUK Perak.

Tindakan ini bukan sahaja mengambil alih tugas speaker Dun tetapi turut memberi gambaran bahawa Umno@BN takut dengan bayang-bayang sendiri. Jika mereka berada di pihak yang benar serta berpaksi kepada undang-undang apa yang perlu ditakutkan?

Semua ini menunjukkan bahawa Umno@BN bimbang segala tindakan jahat mereka akan terdedah pada sidang Dun nanti. Saya cukup yakin ada lagi taktik lebih jelik dan kotor bakal dilakukan oleh Umno@BN pada sidang Dun nanti. Sidang Dun 7 Mei ini bukan sahaja bakal penentu hidup atau mati Umno@BN di Perak tetapi sangat penting kepada maruah dan survival politik Dato Seri Najib Tun Razak yang mengetuai rampasan kuasa di Perak.

Dengan menghalang media alternatif membuat liputan, Umno@BN fikir mudahlah mereka membuat liputan dengan memesongkan fakta serta memanipulasi isu sebenar yang bakal berlaku. Umno@BN sebenarnya masih lagi bermimpi bahawa rakyat masih percaya dan bergantung kepada media pengampu dan penipu milik mereka. Mereka masih lagi bermimpi dan tidak mengambil pengajaran tentang kekalahan besar yang dialami dalam pilihanraya Umum ke 12 serta empat pilihanraya kecil Pasca pilihraya tentang sumbangan dan peranan media alternatif. Insyaallah kebenaran akan terbukti dan kebatilan akan hancur dan musnah.

01 May 2009

TERBUKTI UMNO TIDAK PERJUANGKAN MELAYU


Apa alasan Umno@BN merampas kerajaan Pakatan Rakyat di Perak? Kononnya nak mengembalikan ketuanan Melayu Melayu. Umno menuduh Dato Seri Ir Nizar Jamaludin menjadi boneka DAP. Itulah zikir Umno semasa pilihanraya di Bukit Gantang...

Tetapi lihatlah tembelang Umno pecah lagi. Pengerusi Perhubungan Umno Perak yang baru dilantik, Datuk Dr Zamry Abdul Kadir yang mengemukakan usul pecat speaker Dun V. Sivakumar mencadangkan dan merestui Speaker baru di kalangan MIC, Datuk R Ganesan. Kenapa tak calonkan tokoh dalam Umno yang namanya Melayu?Apa yang yang dilakukan oleh Zamry ibarat meludah ke langit jatuh ke muka sendiri. Umno bukan lagi memperjuangkan Melayu tetapi lebih kepada kepentingan peribadi dan gila kuasa sehingga sanggup mengadai prinsip perjuangan serta 'melanun' kerajaan yang dipilih oleh rakyat di Perak.