27 May 2009

SISTEM KESELAMATAN DI TERMINAL TAMBANG MURAH LONGGAR.


Tidak lama dulu sebuah akhbar dalam muka depannya pernah menyiarkan betapa rapuh dan longgarnya sistem keselamatan dan keluar masuk dalam terminal tambang murah dalam negara. Pengalaman terbaru saya menggunakan terminal ini dari LCCT -Tawau-Kota Kinabalu-Tawau-LCCT mengesahkan bahawa pihak berkenaan masih mengambil mudah perkara ini tanpa langkah penambahbaikan yang perlu.

Misalnya, walaupun beg yang hendak dibawa masuk ke bagasi pesawat telah melalui mesin pengimbas untuk mengelakkan penumpang membawa masuk barang terlarang, beg yang sudah diimbas masih boleh dibawa ke merata-rata di dalam kawasan terminal tanpa perlu didaftar masuk ke pesawat. Saya yakin ramai di kalangan kita melalui pengalaman ini

Saya terfikir jika ada perancangan untuk memasukkan senjata, bahan peledak atau bom jangka ke dalam beg bagasi ia boleh dilakukan dengan mudah. Cuba bayangkan apa yang berlaku? Memanglah negara kita aman dari ancaman pengganas dan sebagainya, tetapi mana kita tahu kalau ada yang berniat demikian?

Oleh itu sesuatu yang konkrit wajar dilakukan oleh pihak keselamatan dan pengurusan terminal agar sesuatu yang buruk tidak berlaku pada masa hadapan. Pepatah Melayu ada mengatakan malang tidak berbau....

26 May 2009

ZAMBRY IKTIRAF NIZAR MENTERI BESAR PERAK?


Buat pertama kali akhirnya Datuk Zambry Abdul Kadir mengiktiraf bahawa Dato Seri Ir Hj. Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Kenyataan beliau itu sebagai menafikan kenyataan Tuan Guru Datuk Hj. Nik Aziz Nik Mat yang menggelar Zambry sebagai Menteri Besar Mahkamah. Marah bebenar Zamry dengan kenyataan Tok Guru ni..

Jika Zambry tidak mahu gelaran Menteri Besar Mahkamah, saya rasa ada gelaran lain yang mungkin boleh dipertimbangkan.

1. Menteri Besar 1Malaysia
2.Menteri Besar Rampasan Kuasa
3.Menteri Besar Perak jajahan Pulau Pangkor
4.Menteri Besar LANUN!

25 May 2009

APA CERITA EKSPERIMEN US30 JUTA?


Dalam perjalanan dari Airport Kota Kinabalu ke hotel penginapan, pemandu teksi yang membawa saya bertanya apa cerita projek eksperimen US30 juta angkawasan negara, senyap saja bahhh....Duit rakyat sudah habis...Betul juga bahhh...sudah lama.... tak kan senyap macam tu je? Nilai US30 juta bukan sedikit, apa hasil dan manafaat kajian yang dilakukan di ISS, berjaya atau tidak? Mungkin Perdana Menteri 1Malaysia boleh menjawabnya. Masa pilihanraya kecil di Permatang Pauh dulu,Perdana Menteri 1Malaysia mengheret Sheikh Muzzafar ke hulu hilir membantu kempen Umno di sana. Bagaimana tak nak panggil berkempen di Manek Urai pulak?

MUSIM SEMUANYA DUA?

Di Perak, ada dua menteri Besar satu Menteri Besar dipilih oleh rakyat dan satu lagi Menteri Besar dipilih oleh mahkamah. Selain itu di Perak juga ada dua Speaker satu speaker yang dilantik oleh rakyat dan undang-undang Tubuh Negeri dan satu lagi speaker baru yang dilantik dengan cara mengheret speaker lama keluar. Di samping itu ada dua juga setiausaha DUN satu yang telah dipecat yang masih merasakan dirinya Setiausaha DUN dan seorang lagi yang dilantik baru oleh speaker.

Kalau di negeri Pakatan Rakyat sudah menjadi perkara biasa Umno@BN yang menunjukkan keangkuhan apabila ada dua Jawantankuasa di peringkat kampung . Umno@BN melantik pengerusi Jawatankuasa Kecil Kemajuan Kampung Persekutuan(JKKP) sedangkan sudah ada Jawatankuasa Kecil Kemajuan Kampung (JKKK) yang dilantik oleh kerajaan negeri.

Semalam semalam tercipta, apabila presiden PPP dari Perak memecat timbalannya dan timbalannya semalam mengadakan kongres dengan dipilih sebagai presiden baru.

Pening kepala juga dibuatnya. Mungkinkah selepas ini akan ada juga dua perdana menteri dan ada dua presiden Umno ( satu yang tersurat dan satu lagi tersirat) ?

24 May 2009

PROJEK MEE SEGERA MUNCUL LAGI...

Umno@BN umum tak bertanding di Penanti. Kesian orang Penanti tak dapat jalan tar sampai depan rumah, tak dapat duit 'zakat', kain batik, kain pelekat, basikal percuma atau tidak dapat melihat pemimpin 1 Malaysia yang 'berjiwa rakyat' memasuki ceruk kampung dan memanjat tangga rumah mereka dengan hanya berselipar jepun.Semua ini gara-gara Umno@BN kehilangan taring dan sengat mencipta sejarah era 1Malaysia apabila mengaku kalah awal-awal lagi untuk tidak bertanding di Penanti.

Maka untuk menebus aib arang yang terconteng maka secara sekoyong-koyong Umno@BN begitu ghairah untuk bertanding di Manek Urai yang kehilangan wakil rakyat yang kembali ke rahmatullah. Maka seperti biasa projek 'mee segera' datang mencurah-curah yang kononnya 'projek mee segera' ini menjadi pantang larang Perdana Menteri 1Malaysia dari zaman berzaman.

Antaranya hari ini dirasmikan laluan ulang-alik KTMB Tumpat-Dabong. Bagus saya amat setuju..Tetapi yang saya tak setuju kenapa ketika waktu pilihanraya kecil Manek Urai baru terhegeh-hegeh buat projek itu ini? Begitu juga dengan cadangan Perdana Menteri 1Malaysia untuk memenuhi 4 lagi tuntutan pesara. Bagus saya amat setuju...Lebih-lebih lagi ayah saya dan ramai ahli keluarga saya bakal mendapat habuan jika menjadi kenyataan. Tetapi kenapa baru sekarang sedangkan tuntutan itu telah diajukan sekian lama? Adakah Umno@BN merasakan mereka perlu mengekalkan sokongan golongan veteran setelah majoriti besar golongan muda sudah mula menjauhi Umno@BN?

Kepada pemimpin 1Malaysia Umno@BN jika mereka benar-benar ikhlas buatlah pembangunan tanpa menunggu tarikh pilihanraya. Lihatlah betapa daifnya rumah rakyat di negara ini setelah hampir 52 tahun merdeka. Adakah nak menunggu seorang lagi pemimpin meninggal dunia baru nasib mereka akan dibela? Dalam hal ini saya berkata dalam hati untungnya rakyat di Manek Urai bila Umno@BN ingin bertanding....Bilalah nak pilihanraya kecil di Melaka...

Rumah seorang penyokong setia Umno di Sempurna Sabah...

Sebuah lagi rumah penyokong Umno di kawasan Shapei Afdal
Satu lagi projek Umno setelah sekian lama merdeka....

23 May 2009

MAHKAMAH PERSEKUTUAN AKAN BERI KEADILAN KEPADA NIZAR?

Keputusan semalam semua dah tahu, Datuk Zambry Abdul Kadir mencipta sejarah kerana menjadi Menteri Besar dengan keputusan mahkamah bukan melalui prosedur biasa iaitu pilihan rakyat dalam proses dan lunas demokrasi. Manakala Dato Seri Ir Nizar Jamaludin dinafikan sebagai Menteri Besar melalui keputusan Mahkamah yang mengenepikan proses Dewan Undangan Negeri.

Ini mendedahkan sistem demokrasi dan keadilan dalam negara mempunyai kepincangan apabila kuasa eksekutif dan legalisatif tidak terpisah di antara satu sama lain. Malah setiap satunya dilihat boleh terpengaruh dan dipengaruhi.

Peluang Nizar melalui proses perundangan yang tinggal setapak lagi iaitu melalui rayuan ke Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi dalam negara. Jika tewas di situ, peluang Nizar untuk menjadi Menteri Besar melalui proses perundangan dikira sudah tertutup rapat.

Saya menggesa agar tidak terlalu mengharap kepada Mahkamah Persekutuan akan memberi keadilan kepada Nizar. Mengapa? Siapa hakim tertinggi di Mahkamah Persekutuan? Ketua Hakim Negara. Siapa ketua Hakim Negara? Tun Zaki Tun Azmi. Seorang bekas peguam yang selama ini yang banyak mewakili Umno dalam kes mahkamah. Malah terlibat sebagai panel dalam Lembaga Rayuan dan Disiplin Umno! Pelantikannya beliau sebagai Ketua Hakim Negara sendiri mengundang kontroversi kerana mengepikan hakim-hakim yang lebih senior.

Jadi kepada siapa lagi kita nak mengharap. Sudah pasti hanya kepada Allah SWT serta kepada rakyat untuk menghukum kerakusan Umno@BN dalam pilihanraya umum ke 13. Masa tiga tahun setengah bukanlah lama. Pakatan Rakyat perlu mengekalkan momentum sokongan rakyat dengan meningkatkan gerak kerja untuk memberi pengajaran kepada Umno@BN untuk ditalkinkan dalam kamus politik negara.

22 May 2009

MB MAHKAMAH VS MB RAKYAT

1. MB Mahkamah bermaksud MB yang dipilih atau diputuskan oleh mahkamah sama ada Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan. Manakala MB Rakyat dipilih oleh rakyat menerusi proses pilihanraya.

2. MB Mahkamah oleh dipilih dari seorang hingga lima orang hakim yang dilantik oleh kerajaan yang memerintah. Manakala MB Rakyat dipilih oleh rakyat yang layak berumur 21 tahun keatas yang ada dalam buku daftar pemilih berdasarkan jutaan pengundi.

3. MB Mahkamah dipilih berdasarkan hujah dari peguam yang mewakili sesorang MB berdasarkan hujah perundangan yang memiliki tafsiran berbeza. Manakala MB rakyat diplih oleh rakyat berdasarkan isu dan perkembangan yang berlaku dalam aspek sosial, politik dan ekonomi.

4. MB Mahkamah hanya wujud apabila wujudnya rampasan kuasa setelah gagal menenangi hati rakyat melalui proses pilihanraya. MB Rakyat adalah MB yang dipilih berdasarkan keyakinan dan berjaya memenangi hati majoriti rakyat.

5. MB mahkamah dipilih berdasarkan keputusan hakim yang boleh berubah mengikut masa dan kepentingan ....MB Rakyat ialah MB dipilih dari lubuk dan suara hati rakyat yang akan menjadi HAKIM SEBENAR..HAKIM RAKYAT DI MAHKAMAH RAKYAT...

MAHKAMAH RAKYAT IKTIRAF NIZAR SEBAGAI MB


Mahkamah Rakyat memutuskan bahawa Dato Seri Ir Hj. Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar Rakyat walaupun Mahkamah Rayuan hari ini yang bertindak sebaliknya apabila mengistiharkan Datuk Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar.

Segala keraguan dan kemunsykilan wujud konspirasi terancang teserlah berdasarkan keputusan Mahkamah yang seolah-olah berada di bawah telunjuk Umno@BN.

Apa pun keputusan yang dibuat pada hari ini tidak mampu memadam dan menghakis tuntutan pilihanraya semula di Perak oleh majoriti rakyatnya. Saya yakin keputusan mahkamah hari ini akan meningkatkan simpati dan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat di Perak dan seluruh Malaysia untuk menumbangkan Umno@BN dalam pilihanraya umum akan datang.

UMNO HIPOKRIT JIKA BERTANDING DI MANEK URAI

Adakah Umno tidak bertanding di Dun Manek Urai? Pilihanraya kecil bakal diadakan berikutan kepulangan ke rahmatullah Adun Pas bagi kawasan itu Allaharyam Ismail Yaacob yang meninggal dunia awal pagi tadi.

Jika di Penanti Umno mengambil pendirian tidak bertanding kerana ingin menjimatkan duit rakyat, langkah yang sama wajar diambil oleh Umno jika mereka benar-benar ikhlas dan ingin mendahulukan rakyat seperti yang digembar-gemburkan oleh Perdana Menteri 1 Malaysia.

Tetapi saya yakin Umno akan bertanding ini kerana tak sampai 24 jam, seorang demi seorang pemimpin Umno menyuarakan agar Umno bertanding di Manek Urai. Jika Umno bertanding di sana, Umno jelas parti yang hipokrit ibarat meludah ke langit yang jatuh ke muka sendiri.

KEPUTUSAN MAHKAMAH RAYUAN PETANG INI MENYELESAIKAN KRISIS DI PERAK?

Saya yakin ramai yang menunggu dengan debaran Keputusan yang bakal dibuat oleh Mahkamah Rayuan yang dijangka akan dibacakan keputusannya pada 3.30 petang ini. Apakah implikasi keputusan ini kepada Pakatan Rakyat dan Umno@BN? Mampukah keputusannya yang diumumkan menjadi penamat krisis politik di Perak. Kepada Pakatan Rakyat, sekiranya keputusan ini memihak kepada Dato Seri Ir Nizar Jamaludin ia akan membuka laluan untuk memohon mandat serta perkenan Istana untuk membubarkan Dun Perak. Ini dilihat penting untuk menyerahkan hak dan pilihan kepada rakyat Perak untuk menyelesaikan krisis yang berlaku sejak Febuari lalu. Sekaligus keputusan yang mengekalkan Nizar sebagai Menteri Besar akan meningkatkan momentum sokongan serta simpati rakyat bukan sahaja di Perak tetapi juga seluruh Malaysia kepada Pakatan Rakyat. Ia sekali gus member petanda dan membuka laluan pembentukan kerajaan baru selepas Pilihanraya Umum ke 13 nanti.

Sebaliknya jika Umno@BN memenangi kes ini mereka hanya ibarat menang sorak tetapi rakyat bakal menolak mereka dalam pilihanraya Umum ke 13 akan datang. Rakyat akan tambah meluat dan bakal memberi pengajaran untuk 'membalas jasa' Umno@BN merampas kerajaan Perak secara kudeta. Sistem perundangan Negara akan terus menjadi perdebatan.Rakyat tidak boleh disalahkan dalam hal ini kerana apa yang berlaku dalam sistem kehakiman Negara bermula daripada Isu Pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbbas dan hakim –hakim kanan sehinggalah isu tape Linggam kepercayaan rakyat kepada ketelusan dan keadilan sistem kehakiman dan perundangan Negara semakin terhakis.

Sudah pasti mereka tidak akan membubarkan Dun Perak. Bermakna kerajaan Perak kekal tidak stabil memandangkan pertikaian dan pelbagai kes yang sedang dibicarakan di mahkamah termasuk yang melibatkan Speaker S. Sivakumar.Ini bermaksud walaupun Umno@BN menang atau kalah dalam keputusan Mahkamah Rayuan akan tetap membawa kepada kejatuhan Umno dalam penguasaan senario politik dan pentadbiran dalam kerajaan.

Justeru itu, saya mendoakan agar Allah SWT memberi kemenangan kepada Nizar kerana ia boleh menyelesaikan krisis politik di Perak serta bakal membawa era baru kepada politik baru Malaysia yang lebih adil, demokratik dan berkebajikan.

P/S: Saya mungkin tidak dapat mengulas keputusan Mahkamah Rayuan petang ini kerana sekarang ini berada di Semporna Sabah sehingga 26 Mei ini. Rangkaian broadband di sini agak kurang memuaskan. Mungkin saya akan ulas sebelah malam nanti dengan menggunakan kemudahan wifi di hotel penginapan.