01 June 2009

CERAMAH YB DATO HUSAM MUSA DAPAT SAMBUTAN LUAR DUGAAN


Walaupun media pro Umno@BN dan beberapa penulis blog seperti cuba melaga-lagakan kepimpinan Pas dengan kononnya wujud golongan Erdogan dan ulama ini sama sekali tidak menjejaskan sambutan ahli dan penyokong Pas terhadap program ceramah yang diadakan.

Malam ini ceramah Perdana anjuran Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil mendapat sambutan di luar dugaan. Ceramah kali ini membariskan YB Dato Husam Musa,Ustaz Kamarudin Sidek dan Adun DAP Dun Ayer Keroh.

Husam menjelaskan bahawa Umno@BN cukup gentar dengan perpaduan dan kerjasama erat yang wujud di dalam Pakatan Rakyat. Justeru itu pelbagai usaha dilakukan untuk memecah belahkan pakatan ini. Menurut beliau, usaha untuk memecah belahkan ini cuba dilakukan oleh musuh dengan melaga-lagakan kepimpinan Pas seolah-olah senario politik murahan seperti yang lumrah dalam Umno turut berlaku di dalam Pas. Misalnya isu perebutan jawatan, wujud perbalahan dalam pimpinan dan rasuah.

Sambutan hebat yang ditunjukkan oleh rakyat Melaka pada program malam ini memberi petanda bahawa Pas berpotensi besar untuk melahirkan anak sulung dalam Dewan Undangan Negeri serta sebagai isyarat bahawa Pakatan Rakyat mendapat sokongan padu untuk membentuk kerajaan di Melaka dalam Pilihanraya Umum akan datang.

31 May 2009

DR MANSOR MENANG ! DALAM PILIHANRAYA TERAMAN DI MALAYSIA

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Dr. Mansor Othman calon dari PKR memenangi kerusi DUN Penanti. Manakala 3 lagi calon bebas mungkin terpaksa mencari sponsor untuk menggantikan semula duit deposit calon mereka yang hilang.

Esok saya jangkakan akhbar pro Umno@BN akan kata pengundi Penanti boikot PRK Penanti. Mungkin tajuk lain Peratus keluar mengundi rendah dalam sejarah. Mereka lupa nak siarkan tajuk berita seperti :

Pilihanraya Penanti Bebas Pengundi Hantu.....

Pilihanraya Penanti Teraman Dalam Sejarah Malaysia.....

Pilihanraya Penanti Tidak Ada Unsur Sabotaj.....

Pilihanraya Penanti Tidak Ada Poster Calon dikoyakkan...

Pilihanraya Penanti Bebas Gejala Rasuah.......

Pilihanraya Penanti Bebas Projek Mee Segera....

Pilihanraya Penanti Tidak Ada Agensi Kerajaan Disalahgunakan....

PENANTI AMAN DARI PENGUNDI HANTU

Pilihanraya Kecil Penanti yang sedang berlangsung hari ini mencatat dua sejarah tersendiri dalam proses pilihanraya di negara ini. Pertama, Umno@BN tidak bertanding dan kedua saya rasa satu-satunya pilihanraya yang aman dari pengundi hantu.

Jika dalam pilihanraya yang lain sama ada umum atau kecil, isu pengundi hantu sering diperkatakan. Sama ada yang menjelma sebelum hari pengundian atau muncul secara tiba-tiba pada hari mengundi. Mereka boleh datang secara rombongan atau datang secara bersendirian.


Dalam pilihanraya kecil kali ini tidak langsung kedengaran tentang pengundi hantu. Apa maknanya tu? Bermakna pengundi hantu hanya wujud bila adanya Umno@BN! Di mana ada Umno@BN bertanding di situ ada pengundi hantu...Lebih banyak tempat yang Umno@BN bertanding lebih banyak pengundi hantu yang berkeliaran. Jadi kesimpulannya, hanya satu cara untuk memastikan tidak muncul pengundi hantu pada setiap kali pilihanraya, Umno@BN tak payah bertanding! Jika tak percaya, tengoklah nanti pilihanraya kecil di Manek Urai bulan Julai nanti isu pengundi hantu pasti akan kedengaran sekali lagi. Ini menunjukkan Umno@BN dan pengundi hantu memang tak dapat dipisahkan...

30 May 2009

PASTI KAWASAN BUKIT KATIL JOHAN KESELURUHAN SUKAN PASTI NEGERI MELAKA

Pengurus, juruletih pasukan Kawasan Bukit Katil dan Kota bergambar sebelum aksi final bola sepak

Penjaga gol Pasti Kawasan Jasin terkedu melihat rakan sepasukan membuat 'senamrobik' di depan pintu gol sendiri...

Pasti Kawasan Bukit Katil sekali lagi mengekalkan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu apabila muncul johan keseluruhan Sukan Pasti Peringkat Negeri Melaka yang diadakan hari ini. Kejohanan kali ini berlangsung di Kompleks Sukan Rakan Muda Lendu Alor Gajah.

Walaupun gagal mengekalkan kejuaraan bola sepak dengan muncul naib johan setelah tewas kepada pasti kawasan Kota 0-2 dan tempat ketiga bola jaring itu sudah memadai bagi Pasti Kawasan Bukit Katil untuk mengekalkan kejuaraan.

Kejayaan ini juga bertambah manis apabila pasukan bola sepak Kawasan Bukit Katil berjaya menewaskan Pasti Kawasan Jasin dalam pertandingan separuh akhir iaitu 1-0 yang memaksa penjaga gol pasukan lawan terpaksa memungut bola dalam gol sendiri...

Beberapa orang pemain bola sepak dan bola jaring dari kawasan Bukit Katil turut terpilih untuk mewakili Pasti Negeri Melaka ke kejohanan Sukan Pasti Peringkat Kebangsaan yang bakal berlangsung di UNISEL Selangor.

Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat terutama semua guru, murid dan ibu bapa dari Pasti Ar Rahmah, Seri Jati dan Al Ikhwan yang mewakili Kawasan Bukit Katil pada sukan pasti negeri tahun ini.

PRK PENANTI DAN MANEK URAI : SATU LAGI REFERENDUM RAKYAT


Pilihanraya Penanti dan Manek Urai, dua pilihanraya kecil yang begitu dibimbangi oleh Umno@BN. Rakyat dijangka akan keluar beramai-ramai mengundi calon Pakatan Rakyat untuk menyatakan protes dan menghantar isyarat kepada kepimpinan 1Malaysia yang diterajui oleh Dato Seri Najib bahawa mereka bukan bodoh yang boleh diperkotak-katikkan.

Rakyat semakin meluat dengan permainan politik kotor di Perak yang masih buntu dan tidak stabil. Rakyat juga semakin merana dengan krisis ekonomi yang makin dirasai negara yang gagal ditangani dengan sewajarnya. Rakyat merasakan diri mereka dipermainkan apabila pemimpin-pemimpin 1 Malaysia terus hidup bermewah-mewah ketika rakyat marhaen terus hidup menderita.

Isu pembunuhan Atantuya, skandal berbilion ringgit melibatkan Zon Bebas Pelabuhan Klang yang membabitkan pemimpin Umno@BN, lesap entah kemana puluhan billion duit rakyat dalam pakej ransangan ekonomi ( sebenarnya meransang pemimpin Umno@BN ) semuanya membuktikan bahawa sandiwara dan lakonan pemimpin 1Malaysia sudah sampai tahap yang melampau dan keterlaluan.
Pemimpin Umno@BN tidak perlu buat-buat terkejut dan terkedu dengan peningkatan kadar jenayah seperti kebiadapan ahlong kerana pemimpin 1Malaysialah yang menjadi pendorong kepada semua ini berlaku. Ada kuasa disalahgunakan. Ada kuasa lebih ditumpukan mengumpul harta dan kekayaaan. Harta rakyat umpama harta sendiran berhad. Rakyat terus hidup dalam ketakutan dan kemiskinan.

Justeru itu, pilihanraya Penanti dan Manek Urai akan menjadi medan terbaik bagi rakyat untuk mengajar dan menghantar referendum bahawa rakyat menolak Umno@BN untuk dulu kini dan selamanya....

29 May 2009

ALTANTUYA MASIH MENGHANTUI PEMIMPIN 1 MALAYSIA DI PENANTI

Jika dalam pilihanraya kecil lalu di Bukit Gantang wajah 'Altantuya' boleh dilihat di mana-mana. Sehingga keluar arahan agar isu itu tidak disentuh dalam pilihanraya kecil berkenaan. Puncanya ada orang yang terasa, seperti kata pepatah siapa makan cili dia yang terasa pedasnya.

Isu Altantuya ini begitu sensitif dan dikatakan menjadi punca mengapa Umno@BN enggan bertanding di Penanti kerana bimbangkan isu ini akan muncul semula. Maka PKR dan calon bebas diberi ingatan oleh pihak polis di Penanti agar tidak memainkan isu ini.

Hari ini Ahli Majlis Tertinggi Keadilan Badrul Hisham Shaharin disiasat polis dibawah akta hasutan kerana membangkitkan isu ini dalam ceramah beliau malam tadi di Penanti.Beliau disiasat selama tiga jam di balai polis Seberang Perai Utara.

Agaknya sampai bila 'roh' Altantuya akan aman dari terus berkeliaran dalam negara ini? Mampukah mereka menutup semua mulut di negara ini daripada terus memperkatakan tentang Altantuya? Mereka boleh menangkap dan memenjarakan sesiapa yang membangkitkan isu ini tetapi ingat mereka tidak mampu memadam kepercayaan dan keyakinan rakyat siapa yang terlibat di sebalik pembunuhan ini. Malah sehingga hari ini tidak ada satupun tindakan menjawab atau menyaman media-media antarabangsa yang terus mengaitkan isu ini dengan pemimpin 1 Malaysia. Jadi kita sebenarnya tidak boleh menyalahkan rakyat apabila terus memperkatakan isu ini.....

KOMUNISME DAN NASIONALISME : DUA-DUA BAHAYA

Saya merasa pelik kenapa isu kepulangan Chin Peng ke negara ini diperbesarkan oleh media dan pemimpin-pemimpin 1 Malaysia. Seolah-olah ada agenda tersirat di sebalik isu ini. Sebagai rakyat Malaysia yang lahir selepas merdeka yang belajar sejarah negara dari bangku sekolah hingga ke universiti, fahaman komunis adalah ditolak sama sekali. Generasi hari ini walaupun tidak melalui zaman darurat, mereka dapat merasai dan menyelami tentang bahaya komunisme.

Komunis tidak mempercayai agama, bagi mereka agama seperti mitos yang tidak menjanjikan apa-apa. Oleh itu tidak pelik semua tindakan komunis adalah bertentangan sama sekali dengan agama.

Kadang-kadang ada di kalangan kita terlupa, selain komunis fahaman lain seperti nasionalis juga merbahaya kepada agama. Malah ia boleh meracuni dan merosakkan akidah umat Islam tanpa disedari. Nasionalis bertopengkan agama untuk mencapai cita-citanya. Bagi pengikut ajaran nasionalis ini, agama seperti kosmetik atau akesesori. Misalnya bagi mereka politik dan agama adalah terpisah. Politik tidak boleh dikaitkan dengan pentadbiran dan perundangan. Hukum Islam seperti Hudud dan Qisas adalah sesuatu yang tidak dapat diterima sama sekali.
Nasionalis juga meletakkan pemimpin negara seperti dewa yang kadang-kadang ditaati dan ditakuti melebihi ketaatan dan kepatuhan kepada Maha Pencipta.

Islam hanya dilihat melalui acara kebesaran seperti sambutan Maulidur Rasul, Israq Mikraj dan Maal Hijrah. Al Quran hanya dijadikan bacaan dan pertandingan sama ada di peringkat negeri kebangsaan dan antarabangsa. Isu dan kandungan Al Quran bukan untuk dijadikan ikutan dan amalan. Mereka hanya menerima Al Quran yang sesuai dalam hidup mereka. Misalnya contoh mudah dalam bab menutup aurat. Aurat isteri pemimpin negara hanya ditutup dengan sehelai selendang ketika hadir ke sambutan Maulidur Rasul dengan jambul terjojol...Walhal dalam Al Quran dah beritahu bahawa aurat itu wajib sama ada rakyat biasa atau pemimpin negara tanpa kompromi.

Fahaman nasionalis juga membenarkan lesen judi dan arak dikeluarkan secara berluasa. Maka wujudlah pusat perjudian dan hiburan yang menghidangkan arak yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan di negara nasionalis.Malah fahaman nasionalis menerima cukai judi dan arak sebagai salah satu sumber pendapatan negara!

Ini merupakan hanya sekelumit tentang bahaya fahaman nasionalis...Jadi sebagai rakyat yang beragama Islam kita wajib bukan sahaja menolak dan menentang fahaman komunis tetapi berjuang untuk menolak segala bentuk fahaman nasionalis untuk menyelamatkan anak cucu dan generasi kita pada masa akan datang.

28 May 2009

KHAIRY HASUT PENGUNDI TIDAK KELUAR MENGUNDI DI PENANTI


Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaludin yang tersisih daripada kabinet 1Malaysia menghasut pengundi di Penanti agar tidak keluar mengundi di Penanti pada 31 Mei ini. Kenyataan berbau hasutan ini disiarkan dalam sebuah akhbar hari ini.

Kenyataan ini membuktikan sikap samseng dan menghina sistem demokrasi dalam negara. Walaupun kenyataan ini berunsur hasutan dan menghina sistem demokrasi saya yakin pihak polis dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak akan berbuat apa-apa. Sebaliknya jika kenyataan ini dikeluarkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat saya yakin polis akan bertindak 'mesra,cepat betul' untuk menyiasat dan membuat pendakwaan.

Semua ini membuktikan bahawa Umno@BN tidak layak bercakap tentang demokrasi kerana sudah terbukti selama ini ramai pemimpin Umno@BN sering mengkhinati demokrasi dalam negara. Ini juga melambangkan 'fobia' yang terlampau apabila Umno@BN bersikap bacul dan dayus untuk menarik diri dari bertanding di Penanti secara demokratik.

Mereka cukup gentar terhadap sokongan rakyat dan pengundi di Penanti yang akan memberi sokongan padu kepada calon Pakatan Rakyat. Saya yakin pelbagai taktik kotor lagi bakal digunakan oleh Umno@BN untuk menghalang pengundi dari menunaikan kewajipan di Penanti.

PILIHANRAYA KECIL MANEK URAI : 14 JULAI MENGUNDI, 6 JULAI PENAMAAN CALON

Pilihanraya kecil DUN Manek Urai, Kelantan ditetapkan pada 14 Julai ini, sementara penamaan calonnya jatuh pada 6 Julai.

Demikian diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya hari ini.

Pilihanraya dipanggil susulan kekosongan kerusi itu yang ditinggalkan penyandangnya Ismail Yaakub apabila pulang ke rahmatullah 22 Mei lalu.

Seramai 12,293 pemilih termasuk 25 pemilih pos dijangka membuang undi dalam kerusi kawasan pedalaman itu di kawasan parlimen Kuala Krai.

SPR akan menggunakan daftar pemilih yang dikemaskini sehingga Jumaat lalu.

SIAPA MANGSA SETERUSNYA?




Ramai yang marah-marah, mengetap bibir tanda geram apabila membaca berita dan melihat gambar mangsa kekejaman ah long yang dilayan lebih teruk daripada binatang dalam tajuk-tajuk berita hari ini.

Tiga orang mangsa ahlong yang diselamatkan oleh polis dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Taman Perindustrian Serdang telah dikurung di antara 10 hari hingga dua bulan. Ketika diselamatkan ketiga-tiga mangsa diikat di leher dan kaki dengan menggunakan rantai serta hanya disediakan sebuku roti seminggu dan bergantung kepada air paip untuk terus hidup.

Sampai bila isu ini terus berlaku? Adakah kita hendak menunggu mangsa seterusnya? Sebelum ini sering disiarkan beberapa tragedi pembunuhan dan tindakan ganas yang dipercayai berkaitan dengan ah long.Isu ah long atau ceti haram ini bukan isu baru. Ia telah lama didedah dan dibincangkan. Ahlong ini semakin bermaharajalela dan bertindak sesuka hati gaya samseng seolah-olah mencabar serta tidak gentar dengan pihak keselamatan.

Ini semua menunjukkan pihak kerajaan dan keselamatan seperti bersikap sambil lewa dalam isu ini. Lihatlah di banyak tempat di bandar dan kawasan perumahan, ah long ini begitu terbuka menampal dan mengiklankan skim pinjaman yang mereka tawarkan. Iklan dan poster yang dilekatkan begitu meriah seolah-olah suasana perang poster waktu pilihanraya.

Dalam pentadbiran Pihak Berkuasa Kerajaan Majlis Tempatan yang kerajaan negerinya Umno@BN jika ada poster ceramah atau bendera parti milik Pakatan Rakyat ditampal dan dinaikkan begitu cepat poster dan bendera berkenaan dibuang. Tahniah diucapkan kepada Kerajaan Tempatan berkenaan kerana begitu cepat dan proaktif dalam melaksanakan arahan! Tetapi bagaimana dengan poster dan iklan ceti haram ini? Apa tindakan pihak berkuasa tempatan?

Begitu juga dengan pihak bank negara yang begitu cepat bertindak dan mendakwa jika ada individu dan syarikat mengambil deposit dari pelabur tanpa izin dari bank negara. Tetapi bagaimana dengan ceti haram ini? Adakah mereka diberi layan dan keistimewaan untuk menjalankan urusan perniagaan mereka? Begitu juga dengan pihak polis, adakah mereka tidak menyedari kegawatan dan masalah yang berlaku akibat ceti haram yang menjalankan operasi secara terbuka ini?

Kepada pihak polis, jangan hanya sibuk menjaga ceramah-ceramah Pakatan Rakyat tetapi masalah yang lebih besar yang membawa kegawatan sosial dan ketakutan di kalangan masyarakat seperti ceti haram seolah-olah dibiarkan tanpa tindakan sewajarnya.