30 June 2009

ADA NEGERI AKAN DAPAT KETUA MENTERI DAN MENTERI BESAR BARU TAK LAMA LAGI?

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangkakan akan mengumumkan pendakwaan kes besar tidak lama lagi. Perkara itu diumumkan Pengarah Perisikan SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kes-kes besar yang sedang dirisik kerana menurutnya SPRM tidak akan mendedahkan sebarang kes tanpa terlebih dahulu mempunyai bukti kukuh.

"Pendedahan ini penting untuk memenuhi tuntutan rakyat yang hendak melihat keberkesanan peranan SPRM sebagai sebuah Suruhanjaya berintegriti tinggi, selepas dinaik taraf dari Badan Pencegah Rasuah," katanya kepada pemberita pada majlis serah dan terima tugas Pengarah SPRM Kedah, di pejabat SPRM di sini hari ini.

Menurut beberapa sumber lain antara yang bakal didakwa dan dihadapkan ke mahkamah ialah ketua pembesar negeri sekarang dan bekas ketua pembesar negeri. Adakah ini merupakan satu langkah untuk membuktikan ketelusan dan keadilan atau program pembersihan kerana faktor politik? Sama-samalah kita tunggu.

IKAN SARDIN

Gambar dirakamkan dalam Monorail dari Imbi ke Titiwangsa jam 6.35 petang sebentar tadi. Mana pergi peruntukan RM 7 bilion yang diumumkan oleh bekas PM, Tun Abdullah Badawi dulu untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam semasa menaikkan harga minyak....

SHAH RUKH KHAN HINA NABI: TAHNIAH ALI RUSTAM


Aktor Hollywood Datuk Shah Rukh Khan yang mendapat sanjungan Kerajaan Melaka melalui anugerah bintang Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) mengemparkan umat Islam seluruh dunia dengan kenyataannya yang menghina Nabi SAW. Dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam majalah "Time'n Style", Shah Rukh Khan menyifatkan Nabi SAW seorang tokoh yang tidak berpengaruh dalam sejarah dunia. Malah beliau menyifatkan tokoh seperti Hitler, Napoleon, Winston Churchill serta tokoh terkini seperti Nelson Mandela, Gandhi dan Mother Teresa merupakan tokoh yang berpengaruh dan 'agak baik'.

Kenyataan Shah Rukh Khan menyebabkan beberapa laporan polis dibuat oleh beberapa individu dan pertubuhan Islam di India kerana kenyataan yang berbentuk penghinaan kepada Nabi SAW.

Dalam hal ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Muhd. Ali Bin Rustam sebelum yang begitu bersungguh-sungguh menganugerahkan gelaran Datuk kepada Shah Rukh kerana jasanya yang begitu banyak kepada bumi Melaka.

29 June 2009

UMNO CUBA BERLAGAK BAIK DI MANEK URAI

Menjelang pilihanraya Kecil Manek Urai 14 Julai ini Umno dilihat cuba menggunakan pendekatan psikologi untuk memancing undi pengundi di situ. Umno ingin menggambarkan bahawa mereka sebuah parti yang suci dan bersih bebas dari segala dosa dan noda. Mereka berusaha menggambarkan bahasa Pas yang diterajui oleh Ulama dan profesional sebagai parti yang mengamalkan budaya fitnah dan maki hamun.

Terbaru, Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan mengeluarkan arahan supaya penceramah Umno di Manek Urai supaya tidak menyebar fitnah. Sekali gus secara tidak langsung mengesahkan bahawa sebelum ini Umno mengamalkan budaya fitnah dan pembohongan dalam siri pilihanraya sebelumnya.

Umno terpaksa berlakon menjadi seorang yang dilihat baik, memandangkan mereka gagal menangkis dan menjawab isu yang dibangkitkan oleh penceramah Pas dan Pakatan Rakyat. Misalnya isu royalti petroleum untuk rakyat Kelantan yang selama ini dipesongkan faktanya oleh Umno.

Tindakan pemimpin dan penceramah Umno memburuk-burukkan dan menghina peribadi Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini merupakan kesilapan terbesar Umno di Manek Urai memandangkan bukan sahaja dalam Pas dan Pakatan Rakyat malah mereka di dalam Umno dan penyokong atas pagar di Kelantan begitu menghormati peribadi Tuan Guru.

Maka mereka cuba menebus kesilapan dengan bermain psikologi kononnya Umno sebuah parti yang suci dan murni. Siapa yang tidak kenal Umno? Tindakan Umno untuk berwatak baik umpama seperti cuba menyembunyikan bangkai gajah serta mempunyai agenda tersembunyi yang tidak sukar untuk difahami tujuannya.

28 June 2009

SAIFUL LAYAK TAK MOHON BIASISWA NASIONAL?


Perdana Menteri Dato Seri Najib semalam mengumumkan bahawa kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam akan menubuhkan Biasiswa Nasional yang 100% penilaiannya berdasarkan merit tanpa mengira kaum. Bermakna mengikut meritokrasi sepenuhnya.

Dalam hal ini saya menyokong penubuhan Biasiswa Nasional ini sekali gus memberi sokongan dan motivasi kepada pelajar yang cemerlang untuk terus berjaya pada masa akan datang.

Cuma kita berharap idea ini akan betul-betul praktikal tidak sekadar teori sahaja yang akhirnya wujud campur tangan politik atau pihak tertentu dalam menentukan kriteria dan pemilihan yang layak menerima biasiswa.

Masih ingat lagi dengan bekas pembantu Dato Seri Anwar Ibrahim yang kini mendakwa majikannya itu meliwatnya, Saiful Azlan Bukhari yang gagal dalam akademik tetapi berjumpa Dato Seri Najib (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) itu yang disahkan oleh Najib sebagai urusan biasiswa. Bagaimana seorang pelajar yang gagal mendapat layanan dan keistimewaan dari Timbalan Perdana Menteri untuk memohon 'biasiswa'?

27 June 2009

NAJIB PERLU LETAK JAWATAN KALAU TAK BERANI DEBAT DENGAN TOK GURU


Di dalam Pas Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan Mursyidul Am Pas. Dari segi hieraki Tok Guru menjadi nakhoda kepada Pas. Ketokohan, kelimuan dan kewarakan beliau tidak perlu dipertikaikan. Tetapi dari segi berdebat secara terbuka berkaitan isu semasa dan hal berkaitan agama ketokohan tok guru belum lagi terbukti walaupun berceramah dan memberi kuliah merupakan sesuatu kebiasaan kepada rutin harian Tok Guru. Dalam hal ini saya merasakan Tuan Guru Dato Seri Hj . Abdul Hadi Awang adalah lawan yang setara dengan dato Seri Najib.Malah dalam Pas ramai lagi tokoh dan pimpinan yang handal dalam soal debat terbuka. Antaranya, Datuk Paduka Husam Musa, Dato Dr. Hasaan Ali, Tuan Hj. Muhd. Sabu, Salehuddin Ayub, Dato Mahfuz Omar dan ramai lagi yang tidak mampu nak disenaraikan satu persatu. Mereka ini telah terbukti handal dan digeruni dalam hal berkaitan debat terbuka khususnya dengan Umno.

Tetapi cabaran Tok Guru untuk mengajak Dato Seri Najib berdebat berkaitan soal politik merupakan sesuatu yang baru. Secara peribadi, walaupun saya amat menyanjungi dan menghormati Tok Guru tetapi dalam soal berpidato saya memberi kredit kepada Najib berbanding Tok Guru. Ini mungkin disebabkan suara Najib yang dilihat lebih gagah dan lantang berbanding Tok Guru. Tok Guru sudah lanjut usia mencecah umur angka 70 tahun. Sedangkan Najib masih muda (berjiwa muda) berbanding dengan usia tok guru.

Dalam perbandingan umur dan kelantangan bersuara jika Najib takut atau menolak pelawaan Tok Guru untuk berdebat berkaitan politik orang Melayu saya rasa baiklah Najib meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Apa guna bercakap berdentang dentung, bergegar mikrofon sambil tepuk-tepuk meja atau rostrum tetapi nak berdebat dengan Tok Guru pun tak berani. Kita tunggu adakah Najib bersedia menerima pelawaan Tok Guru untuk berdebat secara terbuka? Apa alasan atau helah akan diberi jika Najib tidak mahu berdebat. Sama-samalah kita tunggu...

UMNO SUDAH MULA GUNA TAKTIK KOTOR DI MANEK URAI

Pilihanraya Kecil Manek Urai dilihat bakal memberi kemenangan seterusnya kepada Pas yang meletakkan seorang peniaga Fauzi Abdullah sebagai calonnya. Umno dilihat tidak mampu dan berupaya menewaskan Pas di situ berdasarkan pengaruh dan sokongan kepada Pas di situ.Hakikat ini turut diakui oleh Umno sendiri bahawa peluang parti itu adalah sukar walaupun tidak mustahil.

Isu kerajaan perpaduan yang cuba dimanipulasi oleh Umno juga gagal menarik minat pengundi si situ. Lebih-lebih lagi Umno di situ menghadapi pergolakan dan krisis kesan daripada pemilihan bahagian tidak lama dulu.

Menyedari laluan yang sukar dalam masa yang sama perlu mengelakkan aib maka taktik kotor mula dikesan dilakukan oleh Umno. Kali ini mereka fokus untuk menyekat pengundi luar dari balik mengundi. Perkara ini dibongkar oleh Ketua Pemuda Pas Negeri Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman bahawa agen-agen Umno mula menawarkan RM 300 kepada pengundi luar jika mereka tidak balik mengundi. Dalam Pilihanraya Umum lalu, kepulangan pengundi luar secara besar-besaran ke Kelantan dikenal pasti sebagai antara faktor penyumbang utama kemenangan Pas di Kelantan.

Kenapa Umno bimbang dengan pengundi luar? Pengundi luar terdiri daripada pelbagai golongan yang terdedah kepada maklumat dalam dunia ICT. Segala maklumat, penyelewengan, skandal serta isu yang berlaku diperolehi hanya di hujung jari. Mereka ini dilihat lebih memihak kepada Pakatan Rakyat seperti Pas. Manakala penduduk tempatan saluran 1 dan 2 masih tertutup dari segi maklumat dan terpaksa bergantung kepada propaganda Umno melalui telivesyen dan akhbar seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Justeru itu jentera pilihanraya Pas di Manek Urai perlu lebih prokaktif dalam memastikan pengundi luar pulang mengundi. Umno boleh menggunakan pelbagai strategi lain bagi menyekat kepulangan pengundi luar misalnya membeli semua tiket bas ekspres dari destinasi tertentu sepert dari Kuala Lumpur, Johor Baharu dan Pulau Pinang ke destinasi ke Kelantan pada malam sebelum hari mengundi untuk memastikan tiket perjalanan pada hari berkenaan kehabisan. Memandangkan 14 Julai adalah hari bekerja, mungkin pengundi luar lebih selesa menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan sendiri.

Walaupun Pas adalah pilihan di Manek Urai, semua pihak perlu bekerja keras bagi memastikan kemenangan yang sudah hampir dalam genggaman menjadi kenyataan

26 June 2009

LEBIH SIBUK NAMA PENYAKIT DARI ATASI MASALAH PENYAKIT


Sewaktu penyakit demam selsema babi mula-mula melanda dunia khususnya di Amerika Latin, Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia berkata penyakit itu akan dikenali sebagai influenza A atau H1N1 untuk mengelakkan salah faham dan kebimbangan masyarakat di negara ini tentang penyakit itu. Maka dikenalilah ia dengan H1N1.

Setelah H1N1 mula menjadi wabak di negara itu yang semakin hampir menuju jumlah kes ke 100 maka Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mencadangkan agar nama H1N1 disebut semula selsema babi untuk memberi kefahaman kepada masyarakat tentang bahaya penyakit tersebut. Pulak dah! Mungkin lepas ini ada pula cadangan untuk nampak lebih Islamik dan bunyi yang tak memualkan akan disebut demam selsema khinzir. Babi pun mungkin boleh pening kepala kerana orang bergaduh soal nama penyakit yang dibawa.

Bagi saya bukan soal nama yang perlu diperbesarkan, tetapi sebagi menteri yang bertanggungjawab, Rais Yatim sepatutnya fokus dalam memberi kesedaran, penerangan dan maklumat sebenar kepada masyarakat berkaitan dengan penyakit berkenaan.

Dalam hal ini saya melihat kerajaan tidak benar-benar serius dalam menangani masalah ini. Sebagai contoh kalau di terminal lapangan terbang mesin pengimbas suhu dan saringan penyakit hanya dilakukan kepada penumpang pesawat seperti Malaysia Airlines dan syarikat penerbangan antarabangsa yang lain. Tetapi bagi penumpang pesawat Air Asia, sama ada domestik atau antarabangsa kalau di terminal LCCT tidak ada sebarang tapisan dan langkah berjaga-jaga diambil oleh Kementerian Kesihatan. Jadi saya tak pelik apabila banyak kes import penyakit ini adalah melalui penerbangan tambang murah. Adakah nyawa dan soal kesihatan penumpang dan pengguna tambang murah ini juga murah?

25 June 2009

ALI RUSTAM TIDAK PEDULI BANTAHAN DAN SENSITIVITI ORANG ISLAM DI MELAKA

Pagi tadi saya berkesempatan melalui kawasan pembinaan taman peringatan (jirat Cina) yang mendapat bantahan penduduk setempat di Kesang Pajak Melaka. Kawasan pembinaan berkenaan merupakan kampung tradisional Melayu. Tidak ada sebuah pun rumah orang Cina di sekitar kawasan berkenaan. Rumah atau pekan Cina berhampiran hanya kira-kira 2 kilometer dari tapak berkenaan.

Tapak pembinaan berkenaan terlalu hampir dengan rumah penduduk Melayu yang saya anggarkan tidak lebih dari 50 meter. Masaalahnya kenapa tapak berkenaan tetap diluluskan oleh kerajaan negeri di bawah Ketua Menteri YAB Datuk Seri Muhd. Ali Rustam? Adakah beliau tidak menyedari sensitiviti orang Melayu dalam hal ini kerana tapak pembinaan jirat Cina ini sangat hampir dengan rumah penduduk di kampung?

Adakah kerajaan negeri tidak ada tapak lain yang lebih sesuai selain di situ? Adakah ini yang dikatakan idea 1Malaysia? Membina kawasan jirat Cina di kawasan penempatan Melayu! Adakah Ali Rustam juga boleh meluluskan tapak perkuburan untuk orang Melayu beragama Islam di kawasan penempatan penduduk Cina seperti di Banda Hilir, Ayer Keroh atau di tengah-tengah Bandaraya Melaka?

Saya bukan menentang kawasan khas untuk jirat orang Cina tetapi tempat yang dipilih adalah sangat tidak sesuai. Mungkin inilah balasan kepada pengundi dan penyokong Umn0 di kawasan berkenaan yang dulu kini dan selamanya serta selamat,aman makmur bersama Umno.


Kain rentang Taman Peringatan yang sedang rancak dibina
Kawasan pembinaan saujana mata memandang

KHIR TOYO:JANGAN TIRU MACAM SAYA!


Mantan Menteri Besar Selangor Dato Seri Mohd. Khir Toyo menasihati kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor supaya tidak menyalah guna dan menyeleweng duit rakyat atau duit kerajaan negeri.

Nasihat itu berikutan Program Himpunan Perdana Perpaduan 100,000 rakyat yang bakal diadakan di Selangor pada 30 Jun ini. Terima kasih kepada Khir Toyo kerana prihatin dan mengambil berat hal ehwal kewangan kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat sekarang. Bermakna Khir Toyo benci pada salah guna kuasa, guna kedudukan untuk tujuan peribadi atau parti. Dalam erti kata lain Khir Toyo cukup jijik dan benci pada rasuah.

Saya berharap Kerajaan Rakyat sudi mendengar dan mengikut nasihat dari mantan Menteri Besar Selangor. Tetapi macam mana pula dengan beliau sendiri? Siapa yang tanggung percutian dan perjalanan beliau ke Paris, Disneyland dan beberapa tempat di Eropah semasa menjadi Menteri Besar Selangor? Bagaimana pula dengan hadiah mahal-mahal yang bernilai jutaan ringgit sebagai 'cenderamata' semasa menjadi Menteri Besar dulu? Apa cerita seterusnya dengan isteri beliau berkenaan dengan wang BALKIS? Dalam masa yang sama kenapa tidak berani hadir dalam siasatan oleh Jawatankuasa Dun Selangor berkaitan kewangan kerajaan negeri (SELCAT) semasa zaman beliau dahulu? Apa yang beliau gentarkan sehingga digantung selama setahun dari menghadiri sidang DUN Selangor?

Kepada Khir Toyo sebelum nak berlagak baik kononnya berhemah soal kewangan dan benci pada rasuah bersihkan diri beliau dahulu dari segala dakwaan yang dikemukakan. Jika beliau berada di pihak yang benar saman pihak berkenaan yang menyiasat dan mengemukakan tuduhan dan bukti berkaitan kes beliau. Jika tidak, lebih baik je senyap dari sibuk-sibuk mempersoalkan ketelusan dan kewibawaan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.