22 December 2009

LAGI ENJIN JET TUDM HILANG!


Memalukan, bukan sebuah tetapi dua buah! Itulah yang berlaku kepada enjin jet pemintas TUDM F 5E yang satu ketika menjadi jet pejuang kebangaan negara. Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Azizan Ariffin mendedahkan enjin jet F5E kedua hilang selepas kira-kira lima bulan kehilangan enjin jet yang pertama. Siasatan yang dijalankan menunjukkan bahawa enjin jet yang kedua ini dijual di negara Eropah. Enjin jet F5E pertama sebelum ini dipercayai dijual di negara Amerika Selatan.

Kehilangan enjin GE J85-21A digunakan pesawat tempur F-5E milik TUDM berpangkalan di Skuadron Ke-12 Scorpion Pangkalan Udara Butterworth itu dipercayai didalangi individu sama yang didakwa terbabit kehilangan enjin pertama.

Ini jelas menunjukkan betapa longgar dan rapuhnya sistem keselamatan dan pertahanan negara. Jika perkara ini berlaku di luar negara sudah pasti Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera akan meletak jawatan untuk menunjukkan rasa bertanggungjawab. Tetapi apa yang berlaku di negara ini, Menteri Pertahanan, Datuk seri Zahid Hamidi terus menyalahkan prosedur keselamatan yang menjadi punca kehilangan yang berlaku.

Begitu juga apabila Kapal Pengangkut KD Inderapura terbakar baru-baru ini, litar pintas dan pendawaian elektrik yang dipersalahkan. Faktor kelalaian dan kecuaian dalam aspek penyelengaraan, baik pulih dan pemantauan tidak diberi perhatian. Apakah menteri berkenaan akan memberi alasan yang sama jika berlaku lagi kehilangan dan tragedi yang menimpa aset keselamatan negara?

21 December 2009

LAGI PROJEK BN RUNTUH DI TERANGGANU


Stesen bas Kuala Berang Terangganu yang menyembah bumi

Satu lagi projek 'cap ayam runtuh' di Terangganu. Tahun ini sahaja sudah beberapa bangunan 'satu lagi projek Barisan Nasional' menyembah bumi. Sebelum ini kita dihidangkan berita, dewan sekolah, stadium dan masjid runtuh hari ini rakyat Terangganu dikejutkan pula dengan berita Bangunan Perhentian Bas Kuala Berang runtuh. Bermakna tahun ini sahaja dah empat bangunan runtuh di Terangganu.

Dalam kejadian itu, tiga pekerja warga Bangladesh tercedera kerana terkena serpihan kaca yang pecah. Dalam kejadian itu kira-kira 15 pekerja sedang menyiapkan stesen bas berkenaan.

Menurut papan tanda di depan projek tersebut, bangunan ini adalah milik Majlis Daerah Hulu Terengganu. Ia berupa projek membina dan menyiapkan terminal pengangkutan awam.

Arkitek projek ini adalah SAM Arkitek Perunding, juruteranya adalah MNA Consultant Sdn Bhd, juruukur bahan adalah Contract Management Consultant dan kontraktornya adalah Gemilang Mega Sdn Bhd.

(Gambar: Papan tanda di depan bangunan ini)

Di atasnya jelas tertulis perkataan "Satu lagi projek kerajaan Barisan Nasional".

Ketika kejadian tidak ada sebarang ribut atau angin kencang melanda kawasan itu sungguhpun Pantai Timur sekarang sedang menghadapi banjir semula.

Sebelum ini, bumbung Sekolah Menengah Ajil, bumbung stadium Sultan Mizan dan bumbung masjid Kampung Puteh di Kemaman runtuh di negeri ini.

Selain itu, kolam renang yang pernah digunakan untuk Sukan Malaysia (Sukma) di Batu Burok dilaporkan bocor.


ZAMAN NAJIB BANYAK YANG HILANG


Zaman Dato Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri banyak betul cerita tentang hilang. Altantuya hilang sebelum tubuhnya berkecai dijumpai. Rentetan dari tragedi itu didedahkan bom C4 di bawah prosedur dan keselamatan yang ketat hilang dari simpanan pasukan keselamatan. Selepas itu rekod imigresen Altantuya di Malayasia pun hilang. Kemudian diikuti P.Balasubramaniam penyiasat pensendirian hilang sebelum muncul kembali.

Malang bagi rakyat Malaysia kini Pulau Batu Putih hilang dari peta Malaysia.Bagi kira-kira 1.2 juta kakitangan awam setelah sekian lama tahun ini bonus yang diberi saban tahun 'hilang' digantikan dengan bantuan khas.

Dalam isu politik di Perak 3 bekas adun Pakatan Rakyat hilang, sebelum muncul dalam sidang media bersama Najib di Putrajaya. Terbaru, isterinya dilaporkan 'menghilangkan' duit sebanyak RM 600,000 semasa berada di Dubai melalui pengurup wang di Malaysia. Duit syarikat penerbangan Malaysia dikhabarkan hilang RM 8 bilion dalam bentuk kerugian, tertinggi dalam sejarah.Kini enjin jet pemintas F5E milik TUDM hilang. Mungkin lepas ni kita akan dengar enjin jet Sukhoi, enjin kereta formula 1Malaysia dan enjin kapal selam pulak yang hilang.

Adakah semua ini memberi petanda Najib dan Umno@BN akan hilang kuasa tak lama lagi?

19 December 2009

CARI PERSAMAAN KETEPIKAN PERBEZAAN


Gambar yang pastinya menggusarkan pihak lawan

Konvensyen pertama Pakatan Rakyat hari ini berlansung dalam suasana semangat setiakawan di antara tiga parti gabungannya terdiri daripada PAS, DAP dan PKR. Kira-kira 1500 perwakilan yang hadir membuktikan keazaman dan iltizam untuk menjadi wadah alternatif kepada rakyat di negara ini.

Konvensyen ini menjadi detik bersejarah buat julung kalinya gabungan pembangkang bersatu atas nama Pakatan Rakyat mengenepikan segala perbezaan ke arah titik persamaan untuk meroboh penguasaan BN yang sebelum ini cukup mendabik dada dengan gabungan komponen mereka lebih setengah abad.

Ketika gabungan BN semakin parah dan rapuh dibayangi pelbagai konflik dan perselisihan dalaman, konvensyen Pakatan Rakyat ini sudah pasti sesuatu yang membimbangkan dan menggerunkan BN dalam menghadapi kemaraan Pakatan rakyat khususnya dalam pilihanraya umum akan datang.

Saya mengharapkan konvensyen ini akan terus meningkatkan kesepaduan dan kesefahaman yang telah wujud dalam Pakatan Rakyat agar rakyat untuk menumbangkan BN sehingga kini diselubungi dengan pelbagai masalah dan skandal yang boleh membawa mudarat kepada negara ini.

Apa yang saya harapkan segala masalah dan isu yang berlaku terutama perkara yang sensisif diselesaikan secara baik dengan semangat setiakawan di meja rundingan. Jangan biarkan keharmonian dan ikatan yang wujud terlerai kerana hal-hal remeh temeh atau salah faham dengan menggunakan media dan pihak musuh yang sentiasa mencari ruang dan kesempatan untuk melaga-lagakan Pakatan Rakyat. Perpaduan yang berjaya diwujudkan hari ini menjadi isyarat yang cukup jelas bahawa Pakatan Rakyat sudah cukup bersedia untuk menguasai dan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan selepas pilihanraya umum ke 13.

ENJIN PESAWAT PEJUANG PUN BOLEH HILANG?


Saya seringkali melahirkan kebimbangan tentang keselamatan negara dari ancaman luar terutama pintu keluar masuk sempadan negara. Masih ingat lagi kehilangan dua kontena cip komputer dari terminal kargo di Bayan Lepas tidak lama dulu? Begitu juga dengan rampasan dadah yang beratnya hampir 1 tan di Rompin Pahang. Ini belum termasuk dengan betapa mudahnya pendatang haram membolosi sempadan negara dan begitu bergaya ' mengeksport' motorsikal milik rakyat negara ini untuk digunakan di negara jiran.

Berita terkini enjin jet pejuang F5E milik TUDM bernilai kira-kira RM50 juta daripada Gudang Material Udara I (Matra I), Pangkalan Udara Kuala Lumpur hilang dari sistem kawalan dan keselamatan yang ketat. Kehilangan ini berlaku pada hujung tahun lalu dan dikatakan telah dijual di sebuah negara di Eropah.

Dalam kes ini siasatan menunjukkan ia melibatkan penglibatan orang dalam iaitu pegawai atasan TUDM sendiri. Saya tidak mahu bangkitkan penyelewengan dan pecah amanah yang berlaku. Tetapi apa yang saya ingin utarakan bagaimana enjin jet yang sebegitu besar boleh 'dieksport'' ke Eropah? Adakah pihak berkuasa di lapangan terbang, pelabuhan dan pintu sempadan tak dapat mengesan enjin yang begitu besar merentasi sempadan negara? Sejak bila pula Malaysia jadi pengeksport enjin pesawat pejuang?

Jika enjin pesawat pejuang yang begini besar boleh diseludup keluar tidak mustahil banyak lagi aset keselamatan milik negara ini telah dibawa keluar dan jatuh kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Justeru itu satu siasatan rapi perlu dilakukan dan rakyat perlu diberitahu tentang kejadian yang berlaku. Ini kerana ia bukan sahaja berkaitan soal keselamatan tetapi juga berkaitan dengan duit rakyat yang menjadi pembayar cukai terhadap segala harta dan aset milik kerajaan.

17 December 2009

ADUN TIOMAN PAHANG KEMALANGAN


Rakan saya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tioman, Datuk Mohd Johari Hussain, 36, cedera ringan selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas lalu terbakar di Batu 16, Jalan Pekan-Rompin, dekat Pekan, semalam. Kejadian itu berlaku kira-kira jam 11 malam tadi.

Saya difahamkan sejurus beliau sekeluarga keluar dari kenderaan yang terbabas, kenderaan berkenaan terbakar dan meletup sebanyak lima kali.

Isterinya, Zurina Yosof, 34, dan empat anaknya, Mohd Jibrail,9, Amirah Balqis,7, Mohd Mikail,6, dan Mohd Atid sembilan bulan serta anak saudaranya, Mohd Harun Hamili, lapan tahun turut cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman, berkata kejadian berlaku kira-kira 11.30 malam ketika mereka dalam perjalanan dari Pekan menuju ke Rompin selepas pulang ke kampung isterinya di Kelantan.

"Mohd Johari yang sedang memandu kenderaan itu terlelap menyebabkan kenderaan jenis Toyota Fortuner itu terbabas dan terbalik sebelum terbakar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam satu majlis kenduri baru-baru ini saya bersembang panjang dengan beliau tentang senario politik semasa di Rompin khususnya di Dun Tioman walaupun kami dari parti politik yang berbeza. Saya mendoakan semoga beliau sekeluarga cepat sembuh dan dipermudahkan Allah SWT. Semoga apa berlaku menjadi muhasabah dan diambil sebagai peringatan dari Allah SWT.

16 December 2009

JJ GUNA SIDANG VIDEO DENGAN ORANG ASLI ROMPIN

Penduduk asli Rompin terpukau dan terkedu dapat bercakap dengan JJ guna sidang Video

Duta Amerika Syarikat yang juga ahli parlimen Rompin Pahang Datuk Dr. Jamaludin Jarjis hari ini mengadakan sidang video dengan kira-kira 300 orang penduduk orang asli Rompin dalam merasmikan Program Literasi Undang-Undang Etnik Minoriti yang diadakan di Dewan Jubli Perak Majlis Daerah Rompin.

Persidangan video selama 10 minit itu menyebabkan orang asli Rompin terpukau kerana dapat berinteraksi dengan wakil rakyat mereka walaupun jauh beribu batu. Maka selepas ini ramailah penduduk asli yang merupakan kira -kira 10% pengundi di parlimen Rompin akan melanggan streamyx, Broadband dan Wimax untuk berinteraksi dan melepaskan kerinduan kepada wakil rakyat mereka.

Maklumlah talian internet di Rompin terutama di perkampungan orang asli di sini cukup pantas untuk berkomunikasi dalam facebook, yahoo massengger, skype, window life dan sebagainya.

Selepas ini penduduk asli Rompin akan kurang ke hutan untuk mencari akar kayu, buluh dan rotan kerana sibuk dan terpacak di depan skrin komputer untuk mengadu hal dan berbincang dengan wakil rakyat mereka yang duduk di Washington DC.

BLOGGER TAK BERETIKA: UTUSAN PALING BERETIKA?


Datuk Hismauddin Tun Hussin semalam dalam satu kenyataan di Terangganu berkata ada antara penulis blog menulis tanpa mengikut peraturan dan etika kewartawanan untuk meraih populariti berbanding wartawan tempatan yang berpegang kepada etika penulisan yang betul.

"Kita ada etika dan mereka tidak ada dan tidak mengamalkan etika kewartawanan. Inilah yang membezakan kita dengan mereka.

Maknanya akhbar seperti Utusan Malaysia dan sewaktu dengannya merupakan akhbar yang paling beretika dalam abad ini. Jika tidak mana mungkin ada kempen boikot akhbar berkenaan dan diharamkan dibekalkan di pejabat kerajaan negeri dan agensi di bawahnya di negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat. Maka tidak hairanlah juga kerana etika kewartawanan itu menyebabkan akhbar berkenaan bermurah hati membayar saman fitnah seperti yang dimenangi oleh Datuk seri Anwar Ibrahim Datuk Mustafa Ali dan Datuk Mahfuz Omar. Khabarnya banyak lagi 'derma' yang akan diberi oleh akhbar berkenaan kepada pimpinan lain Pakatan Rakyat yang sedang menunggu kes saman terhadap akhbar yang beretika itu dibicarakan di mahkamah.

Selain itu disebabkan beretikanya akhbar berkenaan maka jualan akhbar berkenaan terus merosot dari tahun ke tahun. Tahniah kepada akhbar berkenaan kerana mendapat anugerah dan pujian etika kewartawanan dari Hishamudin.

15 December 2009

BALA MENANTI NAJIB!

Setelah sekian lama menghilangkan diri, penyiasat persendirian P.Balasubramaniam yang sebelum ini mengaitkan Dato Seri Najib Tun Razak dalam akuan bersumpah pertama bersedia untuk bertemu dengan SPRM untuk mendedahkan apa yang sebenarnya yang berlaku.

Dalam akuan bersumpah pertama, Bala menjelaskan secara terperinci bahawa Najib terlibat dengan tragedi menimpa Altantuya. Namun, tak sampai 24 jam, Bala menarik balik dakwaan tersebut dalam akuan bersumpah kedua bahawa Najib tidak terlibat.

Kesediaan Bala bertemu SPRM ibarat bala yang bakal menimpa Najib. Bala melalui peguamnya meletakkan syarat agar segala keterangan dan kesediaannya berjumpa SPRM diadakan di luar negara kerana faktor keselamatan. Menurut peguam Bala, Americk Singh Sidhu antara syarat lain yang dinyatakan ialah supaya suruhanjaya membayar kos penginapan, makanan dan perjalanan Balasubramaniam jika ia bersetuju mengambil keterangannya di London atau Singapura.

Keterangan Balasubramaniam, bekas anggota polis Cawangan Khas, haruslah direkodkan dalam bahasa Inggeris dan satu salinannya diserahkan kepada anak guamnya, sementara rakaman video siasatan tersebut pula diambil oleh pihak peguam tersebut.

Kita menunggu reaksi SPRM yang sebelum ini bersedia untuk menemui Bala tentang dakwaan adik Najib terlibat secara lansung yang menyebabkan Bala menarik semula akuan bersumpah yang pertama.

SPRM wajar bertindak segera kerana ia merupakan persoalan maruah negara lebih-lebih lagi ia melibatkan Perdana Menteri Malaysia sendiri. Nama perdana menteri perlu dibersihkan untuk memastikan imej Malaysia tidak dipandang negatif di mata dunia. Lagipun syarat yang ditetapkan Bala tidak sukar untuk ditunaikan. Jadi tidak ada alasan SPRM tidak mengambil peluang ini untuk mendapat keterangan dan maklumat dari Bala. Jika SPRM tidak bertindak maka ia ibarat bala besar sedang menanti Najib!

TARGEDI JJ DI MELAKA MELETUP: SATU LAGI PROJEK CAP AYAM?

Sekembalinya ke Melaka, saya dikejutkan dengan berita Medan selera JJ Melaka yang bakal dibuka pada 17 Disember ini meletup yang menyebabkan seorang penyelia restoran, Tiau See Peing, 25,(gambar) maut manakala 16 cedera.Daripada kesemua mangsa yang cedera, tujuh cedera parah dengan tiga berada dalam keadaan kritikal. Mereka yang kritikal ialah Mohd. Tarmizi Jaafar, 23, Lai Soon Wee, 32, dan Ooi Kok On, 33.

Boleh dikatakan setiap hari saya melalui jalan di JJ Melaka ini untuk pelbagai urusan. Saya melihat JJ Melaka dibina 24 jam sehari tanpa henti. Mengikut perkiraan saya bangunan sebegini hebat dibina dalam tempoh tak sampai 3 bulan daripada projek bermula. Jurutera dan pekerjanya majoriti adalah warga asing.

Oleh itu ada beberapa persoalan yang saya ingin utarakan. Dalam tempoh begitu cepat dan pantas pembinaan projek ini yang bakal dibuka 17 Disember adakah bangunan berkenaan telah mendapat sijil layak menduduki (CF) ? Dalam isu yang lain, adakah kerajaan negeridan pihak berkuasa tempatan telah membuat kajian mendalam sebelum bangunan berkenaan diberi kebenaran untuk dibina?

Bagi mereka yang biasa berulang alik melalui projek ini sedia maklum bahawa jalaraya berhampiran kawasan ini sering sesak teruk terutama pada waktu puncak dengan adanya Pasaraya Tecso dan Melaka Sentral. Saya tidak dapat bayangkan kesesakan yang berlaku apabila JJ ini dibuka.

Tragedi letupan itu sepatutnya membuka mata semua pihak tentang kepincangan yang berlaku di sebalik projek ini. semua yang terlibat sama ada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan kontraktor terlibat perlu bertanggungjawab sepenuhnya dalam tragedi malang ini kerana ia melibatkan soal keselamatan dan nyawa orang ramai.

Saya melihat tragedi ini ada hikmah si sebaliknya sebagai satu peringatan Allah SWT terhadap sikap tamak dan kerakusan manusia tanpa mengira kepentingan orang ramai dalam mengaut keuntungan.

Dalam hal ini, pembukaan pasaraya ini perlu ditangguhkan sehingga semua siasatan selesai dan keselamatan orang ramai terjamin. Kita tidak mahu ada lagi nyawa yang terkorban gara-gara kelalaian dan kecuaian manusia.