04 February 2010

KERANA NAK GEGAU MELAKA SATU MELAKA KENA GEGAU

Malam ni berlansung program Gegau Melaka yang akan dirasmikan oleh presiden parti yang mendakwa jadi juara rakyat bertempat di Dataran Klebang. Nak gegau Melaka ke atau pokok kelapa gegaulah. Panggillah mak cik-mak cik dari wanita Umno atau Puteri Umno untuk meramaikan. Apa yang jadi masalah kerana bimbang orang tak ramai maka habis semua jabatan kerajaan kena paksa dan kerah untuk menunjukkan bahawa parti juara rakyat mendapat sokongan.

Setiap sekolah di sekitar Melaka diwajibkan menghantar paling kurang sebuah bas untuk membawa pelajar. Sekolah rendah tak disuruh nanti nampak sangat budak-budak belum aqil baligh yang ramai sokong parti juara rakyat.

Hari ni anak saya kata tak nak pergi sekolah agama. Saya tanya kenapa? Anak saya beritahu kalau pergi pun tak belajar sebab semua ustaz dan ustazah kena pergi Dataran Klebang. Tak berpuas saya telefon guru besar sekolah agama anak saya. Saya tanya kenapa anak saya disuruh balik awal. ( walaupun sebenarnya dah tahu jawapannya)

Minta maaf Encik, kami diarahkan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berkumpul di masjid Negeri untuk pergi ke Dataran Klebang bersama dengan PM.

Emmm...Pecah tembelang Umno...Tetapi yang jadi masalahnya budak-budak sekolah yang jadi mangsa...

POLIS DAPAT HABUAN KETIKA RAKYAT MENDERITA DALAM KEGAWATAN

Sepanjang yang saya tahu macam-macam kenaikan, insentif diberi oleh kerajaan 1Malaysia kepada anggota polis. Terbaru semalam kerajaan 1Malaysia mengumumkan seramai 98,747 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menikmati pelarasan kenaikan gaji dan elaun Imbuhan Tetap Khidmat Polis (ITKP) antara RM1,500 hingga RM6,000 berkuat kuasa 1 Januari 2009.

Dalam masa yang sama semua jabatan kerajaan yang lain dipotong perbelanjaan mengurus yang menyebabkan banyak program dirancang tiak dilaksanakan. Tidak terkecuali institusi pendidikan seperti sekolah yang turut menerima kesannya. Misalnya bantuan makanan tambahan dan program bantuan susu segar untuk anak-anak miskin di sekolah dihadkan. Bagi ibu bapa berpendapatan lebih RM 3000 yuran makan asrama anak mereka dinaikan dari RM 30 ke RM 90. Kenaikan 200%. Manakala ibu bapa yang mempunyai anak di sekolah berasrama akan 'dipaksa' mengambil anak mereka setiap hujung minggu kerana kerajaan 1Malaysia hendak menjimatkan kos makan minum pelajar pada hari hujung minggu. Bayangkan ibu bapa yang duduk berjauhan dari anak mereka di asrama terpaksa menggeluarkan kos setiap kali anak mereka pulang pada cuti hujung minggu.

Itu senario di sekolah kalau di jabatan dan agensi kerajaan lain masalah serupa dihadapi. Malah sudah dengar ura-ura bahawa elaun kakitangan awam bakal ditarik balik. Bonus? Tak usah mimpilah...Tetapi dalam kata kerajaan kata tak ada duit nak jimat perbelanjaan, seluruh anggota polis mendapat pertambahan elaun yang cukup luar biasa!

Apa motif kerajaan 1Malaysia? Sebelum ini anggota polis bakal memiliki Mykad, bermakna boleh mendaftar sebagai pengundi biasa. Hari ini sedang berlaku percaturan politik yang cukup hebat. Dato Seri Anwar sedang dibicarakan. Dun Perak berada dalam situasi tak menentu. Usaha memujuk dan menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat sedang giat dijalankan. Isu perkauman melibatkan bakar masjid dan gereja sedang hangat diapi-apikan. Lebih menghairankan apabila YB Azmin Ali mendakwa mempunyai bukti Umno terlibat membakar gereja, tidak lagi berlaku kejadian berkenaan. Walhal kejadian itu sebelum ini berlaku secara bersiri.

Semua yang berlaku boleh mencetuskan suasana gelombang reformasi kedua kebangkitan rakyat. Maka dalam hal ini sokongan pihak polis adalah sangat penting bagi 'menyokong' semua tindak tanduk kerajaan 1Malaysia. Jadi saya tak hairan polis dapat habuan begitu besar. seperti kata Allahyarham P. Ramlee dalam cerita Madu Tiga...Baik ada makna tu...

03 February 2010

BERANIKAH HISHAMMUDIN LAWAN NAJIB?

Menteri Dalam Negeri Datuk Hishamudin Tun Hussein berkata, satu kertas siasatan telah dibuka untuk mendakwa bekas pegawai khas Dato Seri Najib, Datuk Nasir Safar di mahkamah di bawah Akta Hasutan.

Bagi saya pengumuman Hishamudin adalah cakap politik. Sama macam dakwaan Hishamudin pada Naib Presiden Keadilan Azmin Ali bila Azmin kata beliau ada bukti orang Umno terlibat bakar gereja.

Walaupun Nasir telah letak jawatan sebagai pegawai khas Najib, beliau tetap orang kepercayaan Najib. Cuma dalam konteks kenyataan Nasir yang terlampau itu, Najib terpaksa meminta Nasir letak jawatan. Kalau tidak slogan juara rakyat dan 1Malaysia akan jadi lawak jenaka. Tetapi orang tua-tua ada berkata sebab pulut santan binasa sebab mulut Umno bakal tumbang dalam pilihanraya. Kenyataan Nasir keluar dalam tajuk utama akhbar Cina dan Tamil.Walaupun saya tak faham makna tapi mudah diteka apa beritanya. I Malaysia orang cina dan India dah baca tembelang Umno menipu mereka.

Berbalik pada tajuk beranikah Hishamudin untuk heret Nasir di bawah Akta Hasutan? Nasir telah jadi orang kepercayaan Najib kira-kira 30 tahun. Mendakwa Nasir bererti memalukan Najib kerana Nasir merupakan penasihat beliau sekian lama. Bermakna mendakwa Nasir seperti melawan dan memalukan Najib. Persoalannya adakah Hishamudin akan bertindak atau sekadar cakap politik atau gimik murahan. Apa yang pasti orang Cina dan India tidak pernah lupa tindakan Hishamudin menghunus keris dalam Persidangan Pemuda Umno. Mungkin Hishamudin je yang terlupa....

BAHAN LUCAH PERCUMA


Kepada mereka yang ketagih perbuatan tak senonoh membaca bahan-bahan lucah tak perlu susah payah nak dapat bahan berkenaan. Penerbitan bahan lucah ini mendapat kebenaran dari Kementerian Dalam Negeri. Walau bagaimanapun edisi bercetak hanya akan terbit esok, manakala versi digital boleh mula diakses hari ini.

Apa yang lebih malang bahan lucah berkenaan diedarkan secara percuma di sekolah rendah dan menengah. Saya tak dapat dapat bayangkan bagaimana anak-anak yang masih mentah akan didedahkan dengan perkataan dan ayat-ayat lucah serta istilah-istilah yang meloyakan.

Tetapi itulah yang akan dilakukan untuk mengaibkan Dato Seri Anwar Ibrahim supaya rakyat lupa tentang apa yang berlaku kepada Altantuya,skandal, penyelewengan dan salah guna kuasa. Apa yang lebih penting mereka menaruh harapan rakyat akan terus memilih parti temberang yang menjadi juara mengkhianati dan menipu rakyat.

Apa yang pasti rakyat di negara ini cukup matang dan terdedah dengan maklumat di hujung jari untuk membezakan kebenaran dan kebatilan. Buatlah apa pun rakyat tahu yang mana satu kaca dan yang mana satu permata. Kadang-kadang saya terfikir kenapa mereka beria-ia mengali kubur mereka sendiri?

02 February 2010

ADEGAN YANG INGIN DILIHAT:MELIWAT SECARA ON LINE

Kisah ini berlaku di sebuah 1Negara di sebuah benua yang gemar betul dengan tuduhan liwat meliwat. Hakim sedang mendengar hujah peguam bela dan pendakwaraya berkaitan dengan satu kes liwat.

Peguambela : Kami membantah kes ini yang arif.

Hakim : Kenapa pulak, bukankah mangsa mengaku dirinya telah diliwat, siap bersumpah dalam masjid lagi.

Peguambela: Tapi yang arif...3 laporan perubatan dari doktor dan hospital berbeza menunjukkan bahawa pengadu tidak diliwat.

Hakim: Kita dengar dulu bagaimana pengadu diliwat, lagipun tak kan dia sengaja nak reka-reka cerita.

Peguambela: Tetapi yang arif pada tarikh kejadian yang didakwa, yang tertuduh ada bukti alibi bersama dengan 13 orang yang lain.

Hakim: Pendakwaraya macam mana, nak teruskan kes atau sebaliknya?

Pendakwaraya: Kami tetap nak teruskan kes, kerana kami ada bukti DNA.

Hakim: Tetapi masa kejadian yang dituduh tidak ada di tempat kejadian.

Pendakwaraya: Kita buat pindaan sedikit yang arif.

Hakim: Pindaan macam mana tu?

Pendakwaraya: Tertuduh didakwa kerana MELIWAT SECARA ON LINE.

Hakim:??????!!!!??
Peguambela:????!!!??
Tertuduh:%?!#!!??#

01 February 2010

TEMBELANG UMNO PECAH!

Cukup rancak sehari dua ini Umno menyerang Pakatan Rakyat dengan memberi gambaran bahawa PR sedang mengalami krisis keyakinan dan umpama retak menanti belah. Tidak dinafikan wujud sedikit masalah seperti 'pendarahan dalaman' menurut Lim Kit Siang tetapi tidak sampai mengalami komplikasi.

Isu melibatkan YB Khalid Samad, Dato Dr, Hassan Ali, Zuklifli Nordin dan beberapa ahli parlimen daripada PKR lebih kepada proses 'pendidikan' kepada PR. Tetapi apa yang berlaku kepada Umno-BN menyebabkan mereka sebenarnya dalam kepanasan. Tengku Razaleigh secara terbuka berada di pentas rakyat bersama kerajaan Pas Kelantan, Khairy didesak secara terbuka melepaskan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno menyebabkan parti 'juara rakyat' cukup tertekan.

Oleh itu tidak ada cara lain kecuali mengalih isu dan cuba menyogok wakil rakyat PR sama ada di parlimen dan Dun untuk berpaling tadah untuk 'memulih semangat' Umno-BN. Mereka tahu kalau mempelawa sekadar guna 'air liur basi' tak berkesan maka ratusan juta ringgit ditawarkan untuk wakil rakyat PR melompat parti. Dato Seri Anwar mendedahkan bahawa Dato Dr. Jamaludin Jarjis mengetuai komplot untuk menumbangkan PR. Siapa tak kenal JJ, bagi penduduk Rompin cukup mengenali beliau bahawa rasuah sudah sinonim dengannya untuk memastikan beliau kekal sebagai ahli parlimen Rompin. Maka saya tak pelik tugas untuk 'membeli' wakil rakyat PR diketua oleh JJ. JJ cukup dekat dan rapat dengan Presiden parti juara rakyat. sudah pasti beliau bukan bertindak bersendirian kalau tak buat apa susah-susah perabis bil telefon untuk menghubungi wakil rakyat PR dari Amerika!

Apa yang berlaku mendedahkan tembelang sebenar Umno yang bukan parti juara rakyat tetapi parti juara rasuah!

30 January 2010

DUA HOTEL DI MELAKA DAPAT ANUGERAH HOTEL TERKOTOR DI ASIA


Apakah malangnya rakyat Melaka. Rakyat melaka dimalukan sekali lagi! Selepas Eye On Malaysia disita hari ini rakyat Melaka diaibkan sekali lagi apabila dua buah hotel terkemuka di negeri ini mendapat anugerah hotel terkotor di Asia. Dua hotel berkenaan diletakkan kedudukan ke 4 dan ke 9 paling kotor di Asia berdasarkan satu kajian antarabangsa melalui maklum balas mereka yang pernah menginap di hotel berkenaan.

Perkara ini dinyatakan oleh Penasihat Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Chua Kim Tee.

Kini imej Melaka semakin merudum di kalangan pelancong sama ada dari dalam atau luar negara. Dalam hal ini kita wajar berterima kasih kepada pihak hotel dan kerajaan negeri yang bekerja keras serta berganding bahu sehingga melayakkan Melaka mendapat anugerah yang cukup berprestij ini. Maka benarlah slogan yang terpampang apabila memasuki negeri Melaka ' Melawat Melaka bermakna melawat Malaysia'.

Jika Hotel Water City sebelum ini diarah tutup oleh kerajaan negeri kerana tunggakan hutang bil air kepada Syarikat Air Melaka dan hutang lain kita tunggu apakah tindakan kerajaan negeri dalam hal ini. Adakah kerajaan negeri akan bertindak terhadap hotel berkenaan yang salah sebuah daripadanya dimiliki oleh bekas pemimpin kanan Umno negeri ini.

PILIHANRAYA KAMPUS BAYANGAN APA YANG BAKAL BERLAKU DALAM PILIHANRAYA UMUM

Pilihanraya kampus yang sedang hangat sekarang dicemari dengan pelbagai insiden yang cukup memalukan. Belum pernah dalah sejarah, golongan terpelajar ini bangun menyatakan hak mereka secara beramai-ramai apabila demokrasi kampus cuba dicabuli dan dikhianati.

Kemenangan beberapa calon Pro Mahasiswa di UPM dibatalkan kerana didakwa berkempen dalam Facebook. Kemenangan Pro Aspirasi di UM dan UKM dibantah secara besar-besaran kerana dakwaan penyelewengan yang berlaku. Di UM bantahan secara luar biasa pelajar memaksa pihak Universiti menangguhkan keputusan yang diumumkan sebelum ini.

Kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Khaled Nordin bahawa pelajar yang membantah pilihanraya kampus sebagai tidak matang sebenarnya kena pada batang hidung beliau sendiri.Bercakap dan mengeluarkan kenyataan tanpa berdasarkan fakta dan menyiasat terlebih dahulu dakwaan dilakukan oleh pelajar. Adakah menteri ini fikir mereka yang membantah ini budak tadika atau pra sekolah? Mereka adalah golongan yang cukup cemerlang dalam pendidikan lebih-lebih lagi kejayaan mereka memasuki antara IPT yang terelit di negara ini.

Khalid Nordin mungkin cukup tertekan dengan apa yang berlaku di kampus sekarang kerana sudah pasti beliau akan terpaksa menjawab kepada orang atas kenapa berlaku kegawatan yang mencemar imej negara yang sebelum sudah cukup banyak dipalit aib.

Dalam hal ini saya memuji naib cancelor UM yang bersedia berunding dan mendengar serta akan menyiasat semua dakwaan yang dilakukan oleh pelajar.

Sebagai bekas pimpinan pelajar di IPTA di negara ini, diskiriminasi, penyelewengan dan manipulasi serta ugutan kepada pelajar yang tidak pro HEP (Umno-BN) bukan perkara baru. Pelbagai peraturan pelik akan dibuat untuk memastikan gelombang pelajar yang menyokong suara mahasiswa yang menjadi cerminan suara rakyat tidak berlaku di kampus. Pelajar akan diugut dengan pelbagai taktik seperti disingkirkan dari kolej kediaman dan dikenakan tindakan tidak masuk akal. Bagi kami bekas pelajar yang pernah memperjuangkan suara mahasiswa di kampus kalah menang adalah perkara biasa. Kami boleh menerima dengan terbuka apa juga keputusan jika proses pilihanraya dilaksanakan secara adil dan telus.

Apa yang berlaku dalam pilihanraya kampus sekarang memberi isyarat kepada Pakatan Rakyat untuk bersedia untuk berhadapan dengan pelbagai taktik dan strategi yang lebih kotor yang bakal dilakukan untuk pihak Umno-BN dalam pilihanraya umum akan datang. Maka dalam hal ini pimpinan dan jentera Pakatan Rakyat di semua peringkat perlu bersedia menghadapi segala kemungkinan. Isu remeh temeh, perselisihan pendapat dan kenyataan yang memberi gambaran negatif kepada Pakatan Rakyat perlu dielakkan. Agenda rakyat dan nasional perlu diberi keutamaan. Ini kerana penyertaan dalam pilihanraya akan datang adalah sebagai 'kerajaan dalam penantian' dan bukan lagi sebagai pembangkang.

29 January 2010

PROGRAM GEGAU 1 MALAYSIA: UMNO-BN TIRU PAS MELAKA

Banner GEGAU ANJURAN Umno-BN

PAS Melaka gegau lama dah...

Pada 4 Febuari ini dijadualkan akan dilancarkan program GEGAU 1MALAYSIA. Majlis itu akan dirasmikan oleh Presiden Umno Dato Seri Najib Tun Razak di Dataran Klebang. Katanya kehadiran dijangkakan 50 ribu orang. Saya dimaklumkan pihak sekolah, IPTA dan jabatan-jabatan kerajaan serta syarikat swasta di Melaka telah diberikan arahan untuk hadir ke program berkenaan.

Apa yang saya nak utarakan ialah Umno-BN Melaka seperti sudah tandus idea dengan meniru PAS Melaka yang telah melancarkan program GEGAU MELAKA pada 16 Disember 2007. Apa-apapun kita ucap terima kasih kepada kerajaan Melaka yang meniru idea PAS Melaka yang terbukti cukup berkesan 'mengegau' Melaka dalam pilihanraya umum lalu walaupun masih belum memenangi sebarang kerusi.

Kita tunggu siapa yang bakal 'bergegau' dalam pilihanraya umum akan datang. Apa yang pasti Umno-BN cukup 'bergegau' dengan sambutan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat di Melaka

UMNO GELABAH BILA AHLINYA DIKAITKAN SERANGAN GEREJA


Naib Presiden Keadilan, Azmin Ali secara terbuka mendedahkan bahawa beliau mempunyai maklumat tentang serangan terhadap gereja yang dilakukan berkaitan isu kalimah Allah turut didalangi oleh ahli Umno.

Jika sebelum ini, pihak polis begitu mengharapkan kerjasama orang ramai untuk mendapat maklumat agar mereka yang terlibat diburu sehingga ke lubang cacing. Malah, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan sendiri mendedahkan bahawa pihaknya akan meneliti semua maklumat termasuk yang disiarkan di dalam blog.

Tetapi apa yang menghairankan, apabila Azmin mendedahkan dia mempunyai maklumat pihak yang terlibat dengan serangan gereja itu pihak polis hanya mendiamkan diri. Menteri Dalam Negeri, Datuk seri Hishamuddin Hussein awal-awal lagi mengeluarkan kenyataan bahawa pihak polis tidak memerlukan maklumat yang didakwa dimiliki oleh Azmin. Malah pemimpin Umno senada seirama menyifatkan kenyataan Azmin adalah kenyataan politik.

Belum lihat hujung pangkal dah kata kenyataan politik. Kalau ya pun, siasat le dulu baru keluar kenyataan sama ada ia berasas atau sebaliknya.Kata nak siasat tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik. Kenapa Hishamudin tidak mengarahkan polis untuk siasat atau dakwa Azmin jika tuduhan Azmin adalah palsu dan berunsur fitnah?Kengganan dan sikap berdolah dalih Hishamudin dan pemimpin Umno dalam hal ini akan menguatkan spekulasi bahawa Umno memang terlibat dalam serangan gereja!