11 June 2011

PENAYANG VIDEO LUCAH DIPENJARA...RAHIM TAMBY CHIK???

Seorang bapa empat anak dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen Melaka semalam.Hakim Zaharah Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap pemandu bas, P Kanapathy, 38, dan memerintahkan ia berjalan mulai semalam.

Terdahulu, tertuduh meminta mahkamah supaya meringankan hukuman dengan alasan mempunyai empat anak berusia antara empat hingga lapan tahun apabila tiga daripadanya masih bersekolah, manakala isterinya tidak bekerja.

Tertuduh turut mengakui tindakan menayangkan video lucah adalah satu kesalahan apabila soalan mengenainya diaju Zaharah terhadapnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Akmalhana Mohammed meminta hukuman maksimum dikenakan terhadap tertuduh kerana cuba mengambil kesempatan terhadap mangsa pada waktu malam dan tindakan itu mengundang pelbagai perkara buruk.

Dalam hal ini saya memuji pihak polis kerana berjaya menyelesaikan kes ini dalam masa yang singkat.Walau bagaimanapun rakyat hari ini ternanti-nanti apakah tindakan pihak berkuasa khususnya pihak polis terhadap Trio Dato T yang diketuai oleh Rahim Tamby Chik yang secara terbuka mengaku menayangkan video lucah di rumah tetamu kerajaan Carcosa sri Negara.

Apakah ada kitab undang-undang lain yang menjadi rujukan pihak polis? Adakah pihak polis merujuk kes berkenaan berdasarkan buku Pelembagaan Umno? Adakah tindakan Rahim Tamby Chik menayangkan video lucah adalah satu kebenaran dan boleh membawa kebaikan kepada rakyat?

Kini seperti diramalkan muncul pula video melibatkan video lucah edisi baharu yang melibatkan Timbalan Presiden Pas Tn. Hj. Muhamamad Sabu. Maka pihak polis dan Umno tidak boleh cuci tangan dan menyalahkan rakyat jika mereka mendakwa bahawa polis dan Umno memang bersekongkol dalam isu ini.

Tidak ada cara lain untuk rakyat Malaysia menyelamatkan rakyat khususnya generasi muda daripada dirosakkan dengan unsur lucah yang melampau yang kini seolah-olah dihalalkan secara terbuka kecuali memastikan pilihanraya ke 13 rakyat bangkit membuat perubahan dengan memastikan Umno/BN tidak lagi berkuasa di negara ini.







09 June 2011

BERSYUKUR ANAK NAJIB BERTEMU JODOH ORANG KAZAKHSTAN BUKAN KUTUB SELATAN!


Tahniah kepada Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak kerana bakal menerima menantu tak lama lagi dengan pembesar di Kazakhstan. Saya doakan anak gadis Najib, Nooryana Najwa dan bakal suaminya akan berkekalan hingga ke anak cucu.

Jika ada jodoh, tak lama lagi ramailah rakyat Malaysia berkesempatan makan nasi minyak dari Kazakhstan. Kenyataan Khairy Jamaludin semalam mengesahkan dakwaan ahli parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad yang juga AJK Pas Pusat bahawa Najib ada urusan peribadi di sana.

Menurut Khairy....“Perancangan lawatan PM ke Kazakh dibuat lama sebelum pertunangan anak perempuannya....Bagi saya betullah kata Khairy tu, kalau perkahwinan dibuat secara tergesa-gesa dalam masa yang singkat akan menimbulkan cerita lain pulak. Dalam masyarakat kita biasanya kalau perkahwinan macam ni sama ada kahwin paksa atau kena tangkap basah!

Dzulkefly yang juga adalah ahli Majlis Jawatankuasa Pusat PAS pada sidang medianya dua tiga hari lepas berkata adalah salah dari segi moral bagi Najib dan keluarganya menggunakan duit rakyat atau dana awam bagi membiayai lawatan mereka merisik perkahwinan anak perempuan mereka di Kazakhstan.

Kehadiran Najib di Kazakhstan adalah secara kebetulan dengan majlis pertunangan anaknya. Mana dia nak tahu anaknya akan bertunang dengan orang Kazakhstan serentak dengan lawatan rasminya? Kebetulan ini sama seperti lawatan Najib di Washington DC tidak lama dulu yang serentak dengan majlis konvokesyen anaknya di sana . Semuanya berlaku secara kebetulan dan bukan disengajakan!

Bagi saya nasib baik juga anak Najib bertemu jodoh dengan orang Kazakhstan yang tidaklah jauh mana. Saya tidak dapat bayangkan kalau anak Najib bertemu jodoh dengan orang Kutub Utara atau Kutub Selatan. Maka mungkin banyaklah lagi kebetulan-kebetulan yang tidak disangka-sangka...Mungkin kebetulan dengan Misi 1Malaysia menawan Kutub Utara atau Kutub Selatan. Maka ramailah pengiring-pengiring Najib yang kecut kerana menahan cuaca sejuk dalam suhu di bawah paras beku.

05 June 2011

UMNO MENGELABAH DENGAN KABINET BARU PAS


Keputusan rasmi sudah diumumkan. Kabinet baru Pas kini mengorak langkah untuk mengotakan janji terutama dalam menghadapi pilihanraya umum ke 13. Apa yang saya perhatikan yang paling banyak mengulas tentang kabinet baru pas bukannya pimpinan Pas atau Pakatan Rakyat tetapi majoritinya pemimpin Umno.

Seperti dijangka semua akhbar milik Umno/BN memberikan layanan 'istimewa' kepada kabinet baru Pas. Menurut Ustaz Dato Tuan Ibrahim Tuan Man yang tewas kepada Tn Hj. Muhamad Sabu atau dikenali dengan Abang Mat, bukan namanya Umno kalau mereka menyokong Pas. Manakala menurut Tuan Guru Dato Nik Aziz Nik Mat dalam ceramah malam tadi, Umno tidak tidur lena dengan kabinet baru Pas terutama dengan kemenangan Abang Mat.

Tak perlu diulas diceritakan siapa dia Abang Mat, bukan sahaja budak PASTI budak belajar tadika Kemas yang ditaja oleh Umno pun kenal beliau. Pengalaman saya berurusan dengan Abang Mat cukup untuk mengenali hati budi beliau. Seorang yang sangat low profile, tidak demand bila dijemput ceramah dan tak banyak kerenah. Saya terlibat beberapa kali berurusan dengan beliau dalam menguruskan jemputan ceramah. Boleh dihubungi secara terus...Tak ada PA tak ada protokol...Saya masih teringat semasa satu program di Pulau Pinang yang saya terlibat menjemput beliau saya terperasan Abang Mat pakai baju koyak....sayu rasa masa tu...Mungkin beliau tak perasan...tetapi saya perasan bajunya berkualiti rendah....Itulah Abang Mat walaupun ketika itu sudah jadi wakil rakyat di Nilam Puri dan tokoh Pas popular.

Kemenagan Abang Mat dan saf kepimpinan yang baru sebenarnya satu momentum dan suntikan semangat kepada Pas untuk berhadapan pilihanraya Umum ke 13. Saya yakin sentuhan Abang Mat pastinya menggerunkan Umno terutamanya Abang Mat bakal memimpin kebangkitan rakyat dalam Himpunan Bersih 2 pada 9 Julai depan.

Apa yang paling menggusarkan Umno, cubaan mereka untuk melaga-lagakan pimpinan Pas jauh meleset. Tidak wujud perpecahan ataupun puak-puak seperti yang sering berlaku dalam Umno.Polemik dan ulasan kemenangan dan kekalahan adalah lumrah. Masing-masing menerima dengan hati terbuka sesuai dengan kejayaan hasil tarbiyyah Pas yang meletakkan jawatan adalah amanah yang bukan untuk dibanggakan.

Umpama kata Presiden Pas, Tuan Guru Dato seri Hj. Abdul Hadi Awang pertukaran kepimpinan Pas umpama menukar perabot rumah. Tidak bermakna perabot lama tidak berguna dan akan dibuang terus. Kadang-kadang perabot lama harganya lebih mahal daripada perabot baru. Saya cukup yakin mereka yang tewas mengikut tradisi Pas akan diberi peranan tertentu bagi memastikan kesinambungan Pas dalam merealisasikan 'Negara Berkebajikan'.

Cuma saya sedikit bimbang mungkinkah selepas ini video hitam putih Abang Mat pula akan terbit di pasaran...........

03 June 2011

UMNO MELAKA TERDESAK GUNA MIMBAR JUMAAT RAIH UNDI!

Hari ini seluruh masjid di negeri Melaka diperalatakan dan diarahkan membaca khutbah yang disediakan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) tentang 'kewajipan mentaati pemimpin". Semua sedia maklum MAIM dipengerusikan oleh Ketua Menteri Melaka, Dato Muhd. Ali Rustam merangkap Pegerusi Umno/ BN Melaka.

Tindakan terdesak ini menggambarkan piliharaya umum semakin hampir dan Ali Rustam semakin terdesak untuk menghadapi pilihanraya ke 13. Ini menjadi bukti Umno semenangnya hanya memperalatkan masjid untuk kepentingan politik semata-mata dan tidak berminat untuk melaksanakan dasar Islam yangs sebenar.

Cuma dalam khutbah Jumaat tadi tidak disebut nama pemimpin yang perlu ditaati yang dikatakan wajib taat kepada pemerintah yang melaksanakan ajaran Islam sebenar. Adakah pemimpin itu Ali Rustam atau Rahim Tamby Chik? Adakah ini contoh pemerintah yang perlu ditaati? Semua sedia maklum bahawa Ali Rustam merupakan seorang pemimpin yang suci bersih bebas dari rasuah sama ada sebagai pemimpin Umno atau pemimpin kerajaan negeri Melaka.

Manakala Rahim Tamby Chik, memang terkenal kesuciannya dari dulu lagi daripada segala noda dan dosa. Tidak lama dahulu meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka khabarnya untuk beruzlah daripada terpedaya dari daki-daki dunia. Sentiasa menundukkan pandangan apabila melihat perempuan cantik lebih-lebih lagi perempuan bawah umur. Hobinya kini ialah menonton dan menerbitkan rancangan berbentuk agama dalam visi hitam putih! Jadi kesimpulannya rakyat Melaka kena taat dan menyokong kepada pemimpin seperti ini yang menjunjung Islam sebagai panduan hidup!

30 May 2011

UMNO TAWAR PAS JAWATAN MENTERI NIKAH KAHWIN?

Semakin hampir pilihanraya macam-macam perang saraf yang cuba dilakukan oleh Umno. Terbaru pendedahan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat Umno berjumpa dengan beliau beberapa kali untuk mewujudkan kerajaan perpaduan.

Nampak sangat Umno sudah cukup terdesak dan gila talak. Sebelum ini Umno cubaan menyunting DAP tidak dilayan. Bukan sekadar bertepuk sebelah tangan tetapi umpama pungguk rindukan bulan.

Sudah acap kali Umno cuba memujuk rayu agar Pas menerima tawaran pinangan mereka. Seolah-olah Umno lupa bahawa Pas telah dikhianati sejak 1978. Malah sehingga kini Umno tidak henti-henti menabur fitnah dan menyerang Pas.

Tawaran tiga jawatan menteri kepada Pas seperti yang didedahkan oleh YAB Tuan Guru seolah-olah ingin menggambarkan betapa bersungguh-sungguhnya Umno untuk mewujudkan kerajaan perpaduan kononnya demi perpaduan Melayu.

Persoalanya apakah tiga jawatan menteri yang ingin ditawarkan kepada Pas? Adakah Umno akan ambil kuota dari MCA, MIC dan Gerakan? Adakah Umno berani menarik semula jawatan menteri ahli parlimen parti komponen Sabah dan Sarawak? Mungkinkah juga ada menteri Umno yang akan korbankan jawatan mereka? Siapa menteri yang sanggup berkorban itu? Jawapannya tak ada! Pilihan yang yang ada Umno wujudkan jawatan menteri baru yang tak perlu dan tak penting antara jawatan yang sesuai ialah Menteri Nikah Kahwin, Menteri audio video ( hitam putih ) dan Menteri Ukur Jalan!

HIMPUNAN 'SEJUTA BELIA' BOLEH MENGAPA TIDAK DENGAN HIMPUNAN BERSIH?

Kelmarin berlangsung di Putrajaya, Perdana Menteri menjadi 'tekong' himpunan sejuta belia. Walaupun terpaksa mengerah belia khususnya pelajar kolej dan IPTA serta IPTS dari seluruh negara anggaran yang hadir tidak lebih dari 10 ribu orang. Seperti biasa kehadiran mereka kerana mendapat arahan daripada pihak atasan.

Pelbagai acara diadakan, daripada persembahan artis, pameran dan ucapan. Kemuncak acara ialah Perdana Menteri sekali lagi berhimpun dengan ' sejuta belia' menyaksikan pasukan kegemarannya Machester United dibelasah 1-3 oleh Barcelona. Sepanjang majlis itu pastinya ramai yang terpekik terlolong menyokong pasukan pilihan mereka. Maka riuh rendah suasana dinihari pagi di Putrajaya seperti orang kena sampuk hantu polong.

Apa yang menarik himpunan itu mendapat 'permit polis'. Tidak timbul pulak isu keselamatan, gangguan ketenteraman awam dan istilah menganggu lalu lintas. Walaupun saya difahamkan oleh rakan di Putrajaya, beberapa jalan utama ditutup untuk memberi laluan kepada himpunan tersebut.

Jika polis boleh membenarkan himpunan 'Sejuta Belia' mengapa tidak himpunan '100 ribu' Bersih pada bulan Julai nanti? Kalau tidak dibenarkan berhimpun di tengah Bandaraya Kuala Lumpur saya yakin penganjur Himpunan Bersih ke 2 sedia untuk menimbangkan alternatif jika diberi permit berhimpun di Putrajaya. Sehingga hari ini setiap himpunan anjuran pakatan Rakyat berlangsung dengan aman dan tertib, provokasi polis yang sering menjadikan keadaan huru hara.

Adalah sangat tidak adil kalau polis dan pihak keselamatan tidak membenarkan Himpunan Bersih. Ini kerana rakyat yang bakal berhimpun untuk menuntut pilihanraya adil dan bersih juga adalah pembayar cukai serta turut menyumbang kepada ekonomi negara.

24 May 2011

RASIONALISASI DAN SELARAS SUBSIDI BUKTI UMNO/BN SEMAKIN TIDAK RASIONAL DAN TAK WARAS

Spekulasi makin rancak diperkatakan, minyak RON 95 akan naik. Petanda dan bayangannya cukup jelas dari kata yang berbelit-belit dan bercabang-cabang dari mulut pak menteri. Maka pelbagai istilah dan hujah dangkal serta fatwa dikeluarkan untuk 'menghalalkan' harga minyak RON 95 dinaikkan.

Hari ini pak cik mak cik penyokong tegar Umno sudah pandai sebut istilah rasionalisasi dan penyelarasan subsidi sampai tergeliat lidah dan gusi. Istilah harga naik sudah ghaib kerana tipu daya dan putar belit akhbar milik Umno terutamanya Utusan Malaysia.

Walaupun harga minyak dunia tidak menentu dan menunjukkan kenaikan di pasaran tetapi negara-negara pengeluar minyak dunia masih mengekalkan harga minyak untuk kegunaan rakyat mereka. Cuma negara-negara pengimport yang tidak ada memiliki telaga minyak merasa terkesan .

Apa yang peliknya, Malaysia yang pengeluaran minyak tempatan melebihi 700,000 tong sehari turut mengikut jejak langkah negara-negara yang tidak mempunyai telaga minyak. Ke mana pergi segala hasil kekayaan minyak negara? Mengapa rakyat yang sering menjadi mangsa? Adakah ini yang dikatakan Umno menjadi juara rakyat? Rakyat didahulukan? Semua ini cukup membuktikan pemimpin Umno/BN makin tidak rasional dan sudah hilang waras. Ketika rakyat terhimpit dan menderita dengan kenaikan harga barang, pemimpin Umno/BN hidup senang lenang rakyat hidup dengan air mata berlinang.

Apabila hendak menaikkan harga minyak maka mulalah pemimpin Umno jual minyak urat...rasionalisasi dan penyelarasan subsidi untuk kebaikan rakyat. Apa ingat rakyat hari ini tunggul kayu?

Rakyat sebenarnya sudah tidak ada pilihan untuk memulihkan dan menyelamatkan negara ini selain daripada memastikan Umno/BN dinafikan daripada terus membentuk kerajaan. Cukuplah rakyat sudah lama tertindas dan menderita. Digula-gulakan sekejap masa pilihanraya menderita dan sengsara selepasnya. Rakyat perlu bangun dan berani memperjuangkan hak mereka. Gunakan kuasa yang ada untuk menolak kerajaan yang sudah tidak mampu membela nasib rakyat kalau bukan untuk kita pun tetapi sekurang-kurangnya untuk kehidupan lebih baik anak cucu kita pada masa akan datang.

16 May 2011

OHH....INI LAH HADIAH HARI GURU!

Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam memberi gambaran bahawa sempena Hari Guru yang disambut hari ini ada berita baik untuk warga pendidik. Maka hari ini, pada tanggal 16 Mei 2011 belum lagi diumumkan berita yang dikatakan gembira itu rakyat sudah dapat dua berita yang pastinya menggembirakan bukan sahaja pendidik yang menjadi penyokong tegar Umno tetapi penyokong sejati Umno.

Berita pertama, Dato Seri Anwar Ibrahim diperintah bela diri kes Liwat 2. Maka gembiralah mereka melihat sistem kehakiman negara yang terus menjadi bahan Raja Lawak dan dipermainkan dan seterusnya menjadi alat bahan ketawa dari seluruh dunia.

Berita gembira kedua untuk para pendidik, harga minyak RON 95 dijangka akan naik dalam tempoh terdekat kerana kerajaan Umno-BN sudah cukup sesak untuk menampung kos subsidi. Sumber 1 dan sumber 2

Apa kaitan berita pertama dan kedua. Berita pertama menyebabkan rakyat sibuk dengan kes Liwat 2. Macam-macam polemik akan berlaku. Utusan dan Berita Harian dan sewaktu dengannya akan keluar muka depan. Tengah sibuk-sibuk berita Liwat 2 maka kerajaan Umno-BN akan naikkan harga minyak! Tahniah untuk cikgu yang kuat menyokong Umno dan rakyat Malaysia yang sewaktu dengannya.

11 May 2011

RON 95 AKAN NAIK 80 SEN JIKA BN MENANG ?

Pelbagai harga barang keperluan utama pengguna telah dinaikkan harga. Maka pelbagai istilah digunakan untuk tipu orang kampung yang rata-rata penyokong tegar Umno dulu kini dan selamanya. Selaras...penjimatan subsidi...struktur subsidi...Terbaru kenaikan harga gula 20 sen kelmarin yang disifatkan sebagai 'hadiah' dan menjadi bukti nyata rakyat didahulukan.

Telah sering kali disebut jika BN terus diberi mandat memerintah Malaysia, rakyat akan berhadapan kenaikan inflasi dan harga barang berterusan. Kenaikan harga barang akibat kegagalan kerajaan Umno-BN mengurus khazanah milik negara sebaiknya. Tambah membarah apabila amalan rasuah dan penyelewengan yang menjadi budaya dalam Umno-BN.

Hari ini Umno-BN semakin nazak dan sesak. Nazak kerana mood rakyat yang semakin berpaling daripada menyokong BN. Sesak kerana tidak mampu lagi menangani krisis ekonomi dalam negara.

Kenaikan RON 97 dan gula baru-baru ini sebenarnya tidak menjejaskan sangat pengaruh BN. Ini kerana RON 97 tidak ramai digunakan secara langsung oleh rakyat di negara ini. Hanya golongan elit dan berada dan berkemampuan yang menggunakan RON 97. Manakala kenaikan harga gula sebanyak 20 sen tidak memberi kesan segera kepada kenaikan harga barangan keperluan berasaskan gula.

Namun kenaikan RON 95 yang majoriti digunakan oleh rakyat kelas pertengahan dan bawahan pastinya akan menimbulkan kemarahan rakyat. Pembaziran dan penyelewengan menyebabkan kerajaan yang ada tidak mampu lagi menampung kos subsidi RON 95. Kerajaan tak berani nak naikkan harga RON 95 kerana sedar rakyat akan naik minyak.

Hanya satu cara nak naikkan harga minyak, dapat mandat besar dalam pilihanraya. Nak buat pilihanraya sekarang tak selamat bagi Umno-BN. Maka pelbagai isu dan fitnah serta konspirasi dilakukan untuk menghodohkan imej pimpinan Pakatan Rakyat dengan andaian rakyat akan kembali menyokong Umno-BN dengan taktik tersebut.

Maka jika rakyat termakan dengan fitnah dan segala konspirasi, parlimen dibubarkan. Andaian mereka Umno-BN boleh menang besar. Jika rancangan mereka membodohkan rakyat berhasil, rakyat akan dibodohkan sekali lagi dengan menaikkan harga RON 95 yang mengikut harga pasaran dan semasa sepatutnya dijual RM 2.70 dan bukan Rm 1.90 seperti sekarang. Jadi kemungkinan sangat besar harga minyak akan melambung jika Umno-BN menang sekali lagi dalam pilihanraya. Jika tak percaya tunggu je lah...masa tu menyesal pun tak guna...sumber klik (sini)