16 August 2008

Mana Satu Yang Betul ?


Dalam kenyatan sumpah yang dibuat oleh Saiful Bukhari Azlan petang semalam di Masjid Wilayah Persekutuan , dia mengatakan bahawa dia telah di…. Secara paksa tanpa kerelaan. ( Rujuk akhbar utama hari ini ).Sementara itu, tuduhan yang dikenakan atas Dato' Seri Anwar Ibrahim mengikut seksyen 377B kanun keseksaan yang dibacakan semasa pertuduhan dibacakan adalah secara sukarela. Mana satu yang betul ni…???? Menurut Dato' Dr Harun Din, sepatutnya yang tertuduh yang kena bersumpah dan bukan yang menuduh, ini dah terbalik. Sama - samalah kita lihat nanti siapa sebenarnya yang jadi 'sesumpah'... Nampaknya semakin banyak teka –teki dan silap mata dalam isu ini.

Catatan Dari Bumi Pahang…

Saya merasa kasihan kepada pelajar UiTM di seluruh Negara yang berdemontrasi membantah cadangan Menteri Besar Selangor , Tan Sri Khalid Ibrahim untuk membuka kuota 10 % kepada bukan bumiputera. Perasaan kasihan ini kerana mereka ibarat 'pak turut' atau menjadi 'alat' untuk kepentingan pihak tertentu.

Mengapa baru hari ini pelajar UiTM berani berdemontrasi ? Sudah sekian lama UiTM sunyi dan sepi dari gerakan pelajar baik isu masyarakat atau isu mahasiswa .

Malah dalam beberapa tahun kebelakangan ini hampir semua kampus UiTM di seluruh Malaysia dalam Pilihanraya Perwakilan Pelajar ( MPP ) berlangsung dalam suasana hambar. Kebanyakan calon yang pro dan ditaja pihak pentadbiran UiTM menang percuma. Manakala calon yang mempunyai idealis yang bertentangan dengan pihak pentadbiran dihalang dan disekat serta dikenakan syarat –syarat yang sengaja diadakan. Hal ini menyebabkan suara pelajar bertambah layu dan lesu. Justeru itu, MPP UiTM sebenarnya tidak mewakili suara pelajar tetapi hanya menjadi 'boneka'dan 'alat' kepada pihak pentadbiran UiTM.

Hal ini berbeza dengan IPTA lain, walaupun menerima pelbagai tekanan dan sekatan, suara pelajar masih lantang dan digeruni oleh pihak atasan IPTA. Dalam perjuangan membela hak rakyat dan mahasiswa serta demontrasi –demontrasi aman sebelum ini, wakil dan suara dari IPTA lain adalah lebih menyerlah berbanding dengan UiTM. Malah, tidak keterlaluan kalau dikatakan tidak ada langsung.Maka, jadilah mereka seperti kerbau dicucuk hidung dengan mengikut sahaja kehendak dan arahan pihak atasan UiTM.

Dalam hal ini, saya ingin bertanya pelajar UiTM yang merelakan diri mereka menjadi alat atau dipaksa hadir dalam siri –siri demontrasi baru –baru ini yang kononnya membela hak mereka dan hak Melayu.

  1. Di mana suara anda apabila mata pelajaran sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris yang sama sekali merendahkan martabat bahasa dan bangsa Melayu ?
  2. Di mana suara anda apabila Matrikulasi dibuka kepada bukan Bumiputera ?
  3. Di mana suara anda apabila MRSM dibuka kepada bukan Bumiputera ?
  4. Di mana suara anda apabila biasiswa yang sebelum ini diberi kepada orang Melayu dan Bumiputera ditarik balik ?
  5. Di mana suara anda apabila dasar Meritokrasi diperkenalkan dalam pemilihan ke IPTA yang menyebabkan ramai anak melayu yang tercicir ?
  6. Di mana suara anda apabila Universiti dikopratkan yang menyebabkan orang melayu khususnya terpaksa hutang keliling pinggang untuk melanjutkan pengajian ke universiti ?
  7. Adakah anda tidak perasan di kampus anda ada pelajar luar Negara ? Kenapa anda tidak bantah?

Sekiranya, 'kebangkitan' pelajar UiTM adalah datang dari kesedaran mereka sendiri, saya adalah orang yang tumpang gembira. Sebaliknya, jika ini dilakukan sebab mengikut arahan dan kehendak pihak tertentu ia merupakan sesuatu yang sangat malang sekali dalam dunia pendidikan. Lebih – lebih lagi mereka adalah golongan terpelajar dan intelektual. Maka, memang patutlah 'ranking' IPTA dalam Negara terkeluar dalam senarai 100 IPT terbaik di dunia. Berbeza dengan Universiti Nasional Singapura yang berada pada ranking ke 18 di dunia.

15 August 2008

SUMPAH DAN SESUMPAH


Sumpah dan sesumpah, dua perkataan yang hampir sama bunyinya tetapi jauh berbeza dari segi makna. Bersumpah dilakukan dalam keadaan untuk membuktikan kebenaran, menguatkan hujah dan mengukuhkan pengakuan yang dibuat.

Dalam Islam, bersumpah merupakan cara terakhir apabila semua cara atau pintu penyelsaian lain sudut tertutup. Misalnya, tidak mempunyai saksi dan mahkamah tidak dapat membuat keputusan. Selagi terdapat cara lain,maka bersumpah adalah tidak perlu.

Sementara itu, di sudut perundangan apabila disebut surat sumpah, akuan bersumpah dan angkat sumpah maka bermakna seseorang itu mengaku dari sudut tulisan dan lisan bahawa setiap kenyataan yang dibuat adalah benar dan terpelihara dari kepalsuan.

Namun, realiti hari ini biasanya orang akan terdesak untuk bersumpah ( apa juga cara dan kaedahnya ) apabila merasakan dirinya tidak dipercayai ataupun orang lain meragui kejujuran dan kebenaran yang diperkatakan . Maka bersumpah adalah cara terakhir untuk membuktikan bahawa dirinya 'suci' dan 'bersih'.

Dari segi psikologi, orang yang suka bersumpah sebenarnya ada masalah keyakinan pada dirinya sama ada tidak mempercayai diri sendiri dan merasakan dirinya tidak dipercayai. Dalam konteks ini, sepanjang terlibat dalam bidang kaunseling hal-hal sebegini adalah lumrah.

Antaranya bertujuan untuk menarik simpati, ingin mendapat perhatian dan mempunyai sesuatu agenda atau kepentingan peribadi. Dalam kaunseling disebut 'self mechanism' atau 'helah bela diri'. Justeru itu, semua ini menyebabkan saya lebih berhati – hati dengan mereka yang mudah dan suka bersumpah.

Sementara itu, sesumpah pula adalah sejenis binatang yang boleh dan cepat menyesuaikan diri atau mengubah warna mengikut suasana persekitaran. Dalam hal ini, sesumpah dapat mengelakkan diri dari serangan musuh dan ancaman lain.

Dalam masyarakat kita, bila sesorang itu dilabel sebagai sesumpah maka dia dianggap sebagai tidak boleh dipercayai atau ' lidah bercabang'. Hari ini cakap lain dan esok cakap lain atau memberitahu perkara yang sama tetapi dengan versi yang berbeza pada orang yang berlainan. Orang ini dianggap sebagai berpura – pura dan hipokrit.

Namun, saya melihat dari sudut positif orang seperti sifat 'sesumpah' adalah mereka yang cepat menyesuaikan diri dengan suasana dan persekitaran baru. Misalnya seorang guru, dia dapat menyesuaikan diri dengan sekolah baru, rakan setugas baru dan gaya kepimpinan guru besar atau pengetua yang baru dan berbeza.

Sekiranya sifat sesumpah yang positif dapat diamalkan, individu akan merasai kepuasan dan keseronokan bekerja. Tidak timbul persoalan tekanan akibat gaya kepimpinan ketua , rakan baru dan suasana baru yang berbeza.

Apa yang sering berlaku, tekanan perasaan, gangguan emosi dan stres dialami apabila sesorang gagal atau lambat menyesuaikan diri seperti sesumpah . Implikasinya, hilang motivasi untuk bekerja, bersikap ala kadar, mudah marah – marah dan cepat sensitif dan melenting tak tentu pasal walaupun hanya hal –hal kecil yang remeh temeh.

Sekiranya ia berlaku kepada seorang guru, maka dia cenderung mengasingkan diri, lambat masuk ke kelas, sering ponteng ( ambil MC awal minggu dan hujung minggu…Isnin atau Jumaat ) dan jalan pintas yang sering diambil ialah minta tukar sekolah lain. Adakah masalahnya selesai ?Jawapannya tidak, di sekolah baru muncul pula masalah baru…

Kesimpulanya, berhati –hati dengan sumpah atau orang yang mudah bersumpah. Sebaliknya jadilah seperti sesumpah untuk meningkatkan kualiti dan harga diri serta mewujudkan keceriaan dan kebahagiaan dalam hidup.


 


 

13 August 2008

SANTAI : KISAH MAIN DAM….


Samat baru sahaja berkahwin. Kerana tidak mempunyai rumah, terpaksa dia menumpang di rumah bapa mertuanya...

Malangnya, ada sesuatu yang tidak kena. Samat ni kuat sangat makan. Bapa mertuanya selalu merungut. Beras 20kg, tak sampai seminggu dah habis. Selalu tak macam ini. Sejak Samat duduk di rumahnya... cepat sangat barang-barang dapur habis. Samat betul-betul 'menghabiskan borehhh...'

Kebaikan Samat pula ialah, dia ni alim sikit. Tak pernah tinggal sembahyang. Malangnya bapa mertuanya tak pulak begitu... Waktu maghrib seronok depan tv tengok roda impian... lepas tu sambung tengok berita... lepas tu makan... lepas tu tidur.. esok bangun pukul 8... pergi kedai kopi... bersembang, sampai tengahari.

Balik makan, kemudian tidur... petang pergi kedai kopi lagi... main dam, berborak mengalahkan orang politik.Kerana sama-sama ada kekurangan ni lah yang menyebabkan si menantu tak berani menasihati bapa mertua, dan bapa mertua tak berani memarahi anak menantu yang kuat makan. Tetapi dia terus mencari idea... macam mana nak kenakan si Samat ni.. Bengang betul dia... dah lah tak kerja...melantak kuat pulak tu...

Suatu hari dia dapat idea... nak kenakan Samat.. "Samat, mari kita main dam haji..." katanya kepada Samat... "Boleh juga..." kata Samat tanpa mengesyaki sesuatu.

Bila sahaja bermain, dia sengaja membiarkan buah damnya dimakan oleh Samat... Dia hulur, Samat makan, hulur lagi... Samat makan lagi... hulur lagi makan lagi, dan lagi... dan lagi...

"Eh ko ni Samat... kuat betul makan laa... agak-agak laa..." katanya tersenyum..

"Alamak bapak mertua aku ni perli aku ni... mentang-mentang aku kuat makan.." fikirnya dalam hati... tapi tak apa...

Mereka bermain set kedua... bapa mertuanya hulur... dia tak makan... hulur lagi, tak makan juga... kena tangkap... tak macam set pertama... dia dah bijak sikit...

Bila tak makan, mestilah kena tangkap...(sesiapa tak tahu main dam haji tentu tak faham cerita ini...) kemudian bapa mertuanya dapat melangkah hingga ke haji...

Apa lagi....

"Ehh orang tak pernah sembahyang pun boleh pergi haji ke...?"

Merah padam muka bapa mertuanya... dia nak perli anak menantunya, tetapi dia yang terkena....

Selepas dari itu, Samat tak lagi kuat makan dan bapa mertuanya dah jadi alim... tak tinggal sembahyang lagi... sekarang ni ada kat Mekah kerjakan umrah... Nak pergi haji belum sampai seru... katanya laa...

Apa Nak Jadi ?


Data terkini dari Jabatan Agama Islam Melaka ( JAIM ) bahawa seramai 199 wanita beragama Islam dikesan melahirkan anak luar nikah dalam tempoh tujuh bulan pertama ( Januari – Julai ) tahun ini merupakan sesuatu yang membimbangkan.

Menurut sumber JAIM, jumlah mereka yang terlibat sebenarnya lebih ramai lagi. Ini disebabkan mereka yang terlibat dengan perbuatan terkutuk ini dapat menyembunyikan perbuatan mereka dengan melahirkan anak di klinik swasta, bidan kampung atau melarikan diri dari negeri lain supaya tindakan mereka tidak dapat dikesan.

Pendedahan ini menunjukkan betapa kroniknya masalah gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang berlaku di negeri Melaka. Apa yang berlaku sepatutya membuka mata semua pihak khususnya pihak kerajaan negeri bagi membendung dan menangani masalah ini.

Pihak kerajaan negeri perlu bertindak segera dengan menghentikan dari menganjurkan program – program yang boleh mendedahkan golongan muda mudi kepada pergaulan bebas hingga menjerumus kepada perkara maksiat. Di antaranya termasuklah program Jom Heboh dan Sambutan Kemerdekaan yang akan diadakan tidak lama lagi.Seperti menjadi lumrah, setiap kali sambutan kemerdekaan ini diadakan ia pasti melibatkan konsert persembahan artis yang tidak senonoh dan melalaikan.

Program ini bukan sahaja menggalakkan pergaulan bebas muda mudi tetapi juga membazir wang rakyat. Sebaliknya digantikkan dengan program yang berbentuk kerohanian seperti forum atau wacana kemerdekaan, Majlis Puisi Kemerdekaan, Program sukan dan reakrasi untuk remaja , program Bacaan Yassin dan Solat Hajat, Ceramah Agama atau apa sahaja program sesuai yang dapat membimbing golongan muda mudi khususnya dapat menghayati erti kemerdekaan yang sebenar dan menjadi warganegara yang berguna kepada agama, bangsa dan Negara.

Sementara itu, semua pihak perlu turut sama berganding bahu dengan memikir dan melaksanakan tanggungjawab mengikut peranan dan kemampuan masing – masing. Sama ada di melibatkan sektor kerajaan atau swasta serta masyarakat di kampung atau di Bandar.

Apa yang lebih penting, tidak ada penyelesaian lain yang lebih baik selain kembali kepada Al Quran dan berpegang kepada Hadis Nabi SAW serta menjadikan ulama sebagai panduan dan ikutan dalam setiap aspek kehidupan. Semua pihak yang mengaku diri beriman perlu kembali dan menerima ajaran Islam sebenar secara menyeluruh sama ada di bidang sosial, ekonomi dan politik atau menjadikan Islam sebagai 'Way of Life'.


 


 


 

‘Kami Cuma Bercumbu Bukan Berzina’…


"Kebetulan saya terbaca kenyataan ini dalam akhbar kosmo semalam (12 Ogos 2008). Kenyataan ini terkeluar dari seorang artis yang di candid gambarnya ketika sedang bercumbu di pantai Port Dickson.

Islam tidak pernah menentang artis secara total. Tetapi kalau kenyataan sebegini memang ditolak dan ditentang oleh Islam. Mungkin sesetengah artis menyangka apabila diri bergelar artis atau akstres mereka akan mengikut rentak hidup artis Hollywood yang bebas bercumbu dan berzina di mana sahaja.


Percumbuan adalah perkara yang boleh menjurus ke pengzinaan. Kerana itu Islam melarang keras aksi dan adegan yang boleh mengjurus kepada pengzinaan. sejauh mana manusia dapat mengekang nafsu ketika bercumbu. Bahkan bercumbu merupakan muqadimah yang paling hampir kepada zina. Penulis bukan menuduh bahawa artis tersebut berzina. Kerana tuduhan ini memerlukan kepada 4 orang saksi yang menyaksikan pengzinaan itu. Tetapi penulis bimbang kalau-kalau kenyataan ini tersebar dan akan mempengaruhi remaja melayu yang lain supaya bebas bercumbu di masa sahaja.


Memang dimaklumi bahawa kebiasaanya remaja melayu terbiasa mengikut corak kehidupan artis kesayangan mereka. Jadi sewajarnya artis-artis melayu menunjukkan kesopanan dan adab sebagai seorang Islam. Artis-artis juga sepatutnya mendapat sedikit asas pendidikan agama supaya mereka mengetahui perbezaan di antara halal dan haram dalam Islam.


Saya masih bersangka baik bahawa artis ini masih belum faham tentang ajaran Islam keseluruhannya. Mungkin beliau menyangka bahawa hanya berzina yang diharamkan, bercumbu tidak apa. Tapi harapan penulis agar perkara ini tidak berlaku lagi di masa hadapan. Harap artis ini dapat meluangkan sedikit masa untuk belajar mengenai agama Islam di tempat tinggal beliau

DEMONTRASI ‘HALAL’


Melihat kepada ramainya pelajar UitM turun berdemontrasi kelmarin, terdetik di hati saya ' lain macam je' sambutannya. Apa yang lebih menarik pelajar boleh meninggalkan kampus, kuliah dan tutorial tanpa ada apa – apa tindakan dari pihak Universiti. Malah, Perdana Menteri menghamburkan pujian kepada Naib Cancelor UiTM, Dato seri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah kerana 'kejayaan' demontrasi tersebut.

Puncanya, apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mencadangkan agar UiTM membuka kuota 10 % kepada bukan Bumiputera. Mereka berarak dari Dataran Shah Alam sehingga ke Bangunan SUK yang menempatkan pejabat Menteri Besar Selangor.

Mungkin ini adalah langkah positif seperti persetujuaan kerajaan untuk meminda Akta Kolej dan Universiti ( AUKU ) untuk memberi kebebasan kepada pelajar berpolitik.

Maklumat yang diterima, demontrasi 'halal' itu turut diiringi pegawai dari Unit Hal Ehwal Pelajar dan pensyarah UiTM. Hebatnya…bertuah sekali pelajar UiTM kerana mendapat pegawai Hal Ehwal Pelajar ( HEP )yang begitu ' baik hati' kerana dapat meluangkan masa mengiringi pelajar berdemontrasi .

Era 90-an semasa berada dalam kepimpinan pelajar, saya turut terlibat dalam beberapa siri demontrasi. Demontrasi pertama ialah bersama dengan pelajar dari IPTA awam yang lain membantah tindakan kerajaan negeri Melaka mengambil tanah penduduk di Kampung pantai Tanah Merah dan Pantai Kundor untuk membina Logi Penapisan Petronas sekarang.

Malangnya, ketika itu kami tidak mendapat layanan 'istimewa'dari pegawai HEP yang baik hati seperti di UiTM. Malah, bila berlakunya demontrasi ada sahaja pegawai HEP yang akan turut memantau untuk mengesan pelajar terlibat untuk diambil tindakan tatatertib. Di samping itu, mereka yang disyaki menganjur atau terlibat dengan mana – mana demontrasi akan dipanggil untuk disoal siasat mengikut Akta Kolej Dan Universiti ( AUKU ).

Natijahnya, jika ada bukti yang nyata, pelajar yang terlibat dengan demontrasi boleh digantung pengajian atau disingkirkan dari Universiti ! Justeru itu, mana – mana pelajar yang ingin terlibat dengan demontrasi akan berfikir 2 kali kerana risiko yang bakal ditanggung.

Di sini, saya ingin mengucapkan 'tahniah 'dan 'syabas' kepada pihak pentabiran UiTM kerana 'keterbukaan' mereka membenarkan pelajar berdemontrasi.

Harap – harap selepas ini mana – mana IPTA dan IPTS boleh mengikut langkah 'positif' yang dilakukan oleh pihak UiTM. Begitu juga kepada pihak kerajaan.Jika selepas ini, ada pelajar yang terlibat dengan demontrasi sama ada isu nasional seperti kenaikan harga minyak atau berkaitan dengan pelajar, pihak IPTA akan memberi kebenaran kepada pelajar berkenaan. Mungkin mereka akan diberikan 'pengecualian menghadiri kuliah dan tutorial' sekiranya demontrasi itu bertembung dengan sesi kuliah dan tutorial.

Di samping itu juga, pelajar yang terlibat dengan demontrasi akan diberi 'merit' untuk untuk tujuan pengijazahan kerana 'keberanian' dan 'kepekaan' mereka dalam meperjuangkan hak dan nasib mahasiwa dan kepentingan Negara.


 


 


 


 

11 August 2008

SENYUM



"SENYUM adalah perhiasan batin yang dapat membantu mengindahkan perhiasan lahir yang tidak sempurna.

Setiap kali berhubung dengan orang lain, sewajarnyalah kita SENYUM.

SENYUM adalah jalan pintas bagi menyatakan anda menyukai seseorang.

"SENYUM" yang kamu berikan apabila berhadapan dengan sahabatmu adalah satu sedekah.

SENYUM adalah jambatan persahabatan.

SENYUM adalah satu perlabuhan yang pastinya tidak akan merugikan.

Di Moscow, Rusia, ada sekolah yang mengajar untuk SENYUM.

SENYUM harus ada ketululusan.

SENYUM yang dibuat-buat pasti tidak akan menyenangkan, sama saja dengan kening yang berkerut.

Adalah diperakui, setiap kali terSENYUM kita hanya menggerakkan 15 otot manakala ketika marah kita akan mengedutkan 63 otot di bahagian muka.

Perbuatan mengerutkan dahi saja memerlukan gerak kerja 40 otot. Bayangkanlah !!!

"SENYUM" juga adalah malaikat rahmat yang turun ke dunia.

Kebanyakkan SENYUM adalah jangkitan. Apabila kita SENYUM orang akan SENYUM balik kepada kita.

Orang akan merasa dihargai bila kita SENYUM padanya, sekaligus ia akan memberi tanggapan yang baik kepada diri kita. Lantas .... kenapa kita tidak muliakan ? Muliakan dengan diri kita.

SENYUMlah kepada orang yang tidak anda kenali hari ini. Insya-Allah dia akan membalas SENYUMan anda itu.

Alangkah mudahnya membina rangkaian persahabatan........ William Shakespere mengatakan : "Apa yang anda kehendaki akan lebih cepat diperolehi dengan SENYUM daripada memotong dengan pedang"

Semasa bekerja, semasa belajar, SENYUMlah. Ia akan menumbuhkan rasa keriangan dan kegembiraan.

Bila berhadapan dengan keadaan sukar SENYUMlah. Bukankah ketawa yang sopan itu sihat.

Pujangga menyebut : "SENYUMan itu kelopak.
Tertawa itu bunga yang sempurna kembangnya"
"

Apa Dah Jadi Dengan Bakal Guru Hari Ini ?



Institiut Perguruan Malaysia ( IPGM ) sekali lagi digegarkan dengan isu melibatkan masalah moral guru pelatih. Belum reda isu guru pelatih perempuan terlibat melukis gambar lucah, kini muncul pula isu guru pelatih di tangkap khalwat.

Perbuatan tidak bermoral ini dapat dihidu oleh penduduk kampung yang bertindak menangkap pasangan berkenaan. Menurut seorang penduduk yang tidak mahu disiarkan namanya, perbuatan sumbang guru pelatih dan pasangannya telah lama didiperhatikan dan dikesan cuma kali ini mereka dapat dicekup oleh penduduk kampung.

Dalam tahun ini sahaja, di IPGM berkenaan telah berlaku beberapa kes perlakuan sumbang yang melibatkan guru pelatih. Terbaru sebelum ini, semasa program PRAKTIKUM telah didapati ada guru pelatih membawa teman lelaki masuk ke dalam rumah sewa sewaktu rakan – rakan guru pelatih lain tiada di rumah. Hal ini diberitahu sendiri oleh guru besar sekolah berkenaan.

Ini tidak termasuk aksi 'couple' yang sering dilaporkan oleh orang awam yang kurang senang dan merunggut dengan perlakuan tidak sopan ini.

Persoalannya, dalam hal ini siapa yang harus dipersalahkan ? Adakah masalah ini berpunca dari sikap Ibu bapa yang mendesak anak memilih profesion perguruan ? Adakah ini juga dikaitkan dengan kegagalan sistem pendidikan Negara ? Pengaruh media masa dan rakan sebaya atau sikap guru pelatih itu sendiri yang lupa diri tentang siapa diri mereka ?

Adakah ini juga berpunca apabila profesion perguruan ini dipilih kerana hanya profesion ini sahaja yang dapat menjamin pekerjaan apabila tamat belajar nanti berbanding dengan kursus lain di Institut Pengajian Tinggi ( IPT ) ? Lantaran itu, soal minat dan keikhlasan sudah jatuh nombor dua atau tiga.

Bagaimana agaknya guru hendak mendidik anak murid berakhlak mulia kalau awal –awal lagi baru 'setahun jagung' di IPGM belum lagi mendapat status guru dah menunjukkan 'belang' dengan melanggar etika keguruan dan melakukan sesuatu yang bertentangan nilai – nilai akhlak dan bercanggah dengan ajaran Islam.

Isu keruntuhan moral di kalangan segelintir guru pelatih IPG ini sudah pasti lama kelamaan akan menghakis keyakinan masyarakat kepada warga pendidik. Sekiranya perkara ini tidak dibendung dan diatasi dari sekarang , sudah pasti ini akan merendahkan martabat profesion ini dan seterusnya akan menyebabkan perasaan hormat dan menyanjungi warga pendidik akan pudar dan hilang dari pandangan masyarakat.

Apa yang paling dibimbangi, masyarakat akan hilang kepercayaan terhadap tugas guru sebagai pendidik dan mentarbiyyah masyarakat. Sebaliknya, guru dilabel sebagai 'virus' dan 'wabak' kepada masyarakat. Lebih teruk lagi kalau guru dianggap sebagai 'spesis' perosak.

Kepada sebahagian besar lagi bakal guru dan guru yang benar – benar ikhlas dalam profesion ini yang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit dan kadang –kadang terpaksa bersengkang mata kerana menghambakan diri pada bidang perguruan teruskanlah niat dan usaha murni , semoga apa yang dilakukan dapat membina ,mencorak dan mengubah masyarakat. Apa yang lebih penting lagi, setiap keringat dan pengorbanan akan mendapat keredhaan dari Allah SWT.

10 August 2008

Bicara Malam….


Sudah lebih 2 bulan kita mengalami kesan kenaikan harga minyak. Walaupun kini minyak di pasaran dunia menunjukkan penurunan harga,harga minyak di Malaysia masih tidak nampak tanda – tanda berlaku penurunan dalam masa terdekat.


 

Apa yang saya nak kongsikan pada kali ini ialah nasib yang dialami oleh kakitangan kerajaan, terutamanya golongan pekerja pertengahan dan bawahan yang mengalami masalah ekoran kenaikan harga minyak.


 

Ini berkaitan dengan TNT (tuntutan elaun perjalanan) yang masih di takuk lama walaupun minyak dah beberapa kali naik. Untuk makluman,TNT untuk gred DG 41 hingga DG 48 ialah seperti kadar berikut :


 

  1. 500 KM pertama = RM 0.70
  2. 501-1000 KM = RM 0.60
  3. 1001 dan seterusnya RM 0.50


 

Sebagai contoh jarak dan kadar tuntutan yang dibuat oleh saya untuk menyelia guru pelatih yang sedang praktikal ( PRAKTIKUM ) di daerah Jasin .


 

  • Dari IPPM ke SK Air Barok Jasin ( pergi balik 70 KM X RM 0.70 = RM 49.00 )
  • Kos per KM = Rm 0.30 X 70 = RM 21.00
  • Baki RM 28.00
  • Tolak kos servis, tayar dan lain lain ?


 

Bila dikira kos tersembunyi yang tidak boleh dituntut sebenarnya apa yang tinggal sekadar balik modal je. Dalam keadaan macam ini pun kadang – kadang ada pihak yang kurang senag dengan tuntutan yang dibuat. Seolah – olah menganggap 'tugas luar' sebagai 'core bussines' atau ' side income' selain tugas rasmi.


 

Ada yang mungkin beranggapan, saya berkira dengan kerja, sedangkan sudah menjadi tanggungjawab dalam kerja. Apa yang saya pinta, cukup apa yang dilakukan difahami dan dihormati. Apa yang diperolehi pada hari ini tanpa TNT , Allahamdulillah cukup untuk menampung segala urusan di samping dapat diasingkan untuk simpanan masa depan.


 

Namun, bagaimana nasib kakitangan kerajaan yang lain? Saya pernah menemui kakitangan kerajaan yang pendapatan bulanan tidak cukup pun untuk membeli susu anak. Ada juga, pendapatanya yang baki gajinya yang negatif. Bukan sedikit, agak ramai yang saya temui. Malah ada di kalangan mereka sekadar cukup untuk membayar bil dan hutang piutang.


 

Ada yang menganggap ini berpunca dari gaya hidup bermewah –mewah. Tetapi adilkah kita berpandangan begitu ? Bagaimana dengan kenaikan kos hidup dan kadar inflasi ? Peningkatan kos perkhidmatan dan pengangkutan ?


 

Inilah salah satu bebanan kepada kakitangan awam yang mungkin kurang diberi pembelaan. Sebaliknya, mereka yang sudah berpendapatan tinggi terus diberi pelbagai keistimewaan dan pelbagai insentif. Sebagai contoh, pada bulan Julai baru-baru ini pihak JPA telah meluluskan kenaikan elaun imbuhan tetap dan keraian bagi perjawatan gred khas A,B dan C. Bagi gred khas A: RM6,500.00;Gred khas B: RM 4,550.00 dan gred khas C: RM3,500.00.

Mereka terus senang dan dilimpahi dengan pelbagai keistimewaan. Manakala golongan bawahan terus terhimpit dan kurang mendapat pembelaan. Justeru itu, pihak berkenaan mesti membuka mata dan mempertimbangkan langkah – langkah khusus untuk membantu golongan ini.


 

Saya tidak menafikan langkah – langkah yang diambil oleh kerajaan menangani masalah ini tetapi pada pandangan saya masih tidak memadai dan perlu diambil langkah – langkah segera dengan lebih serius bersesuaian dengan kemampuan yang dimiliki oleh kerajaan.


 

Peningkatan kadar jenayah dan salah guna kuasa yang semakin menjadi –jadi akhir –akhir ini mungkin sebagai petunjuk kesan daripada desakan hidup yang dialami. Manusia sanggup buat apa sahaja dengan mengambil jalan mudah tanpa berfikir panjang bila sudah terdesak.


 

Dalam masa yang sama , Islam sentiasa mengajar umatnya agar terus berusaha untuk mencari rezeki yang halal dengan bersungguh – sungguh. Gunakan segala peluang dan ruang yang ada. Ketepikan rasa malas berusaha, iri hati dan dengki. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Di samping itu, panjatkan doa dengan penuh kudus dan tulus kepada-Nya. Setiap kesusahan ada kesenangan. Setiap Kesulitan ada kemudahan. Meyakini, apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.