26 November 2008

ANAK LUAR NIKAH DI MELAKA BERTAMBAH 51%- Ref Malaysiakini

Kes hamil luar nikah di negeri ini meningkat 51 peratus kepada 328 kes berbanding 311 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Malah kes di bawah Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 secara keseluruhannya juga didapati meningkat sebanyak 5.9 peratus atau 93 kes.

Ketua Pegawai Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Rahimin Bani, berkata sehingga November ini, jumlah kes membabitkan kesalahan syariah di negeri ini meningkat kepada 1,586 kes berbanding 1,493 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 808 kes bersekedudukan dilaporkan pada tahun ini berbanding 699 kes tahun lalu," katanya.

Peningkatan kes jenayah syariah di Melaka ini semakin membimbangkan. Dijangka kadar ini akan terus meningkat disebabkan suburnya pusat-pusat maksiat dan hiburan di Melaka.

Apa yang berlaku sepatutnya membuka mata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam untuk mengatasinya. Ali Rustam sepatutnya menarik diri dari pencalonan sebagai timbalan presiden Umno memandangkan banyak masalah besar dalam negeri Melaka yang berlarutan sekian lama gagal diselesaikan. Misalnya, bliau sepatutnya menumpukan perhatian menyelesaikan isu ladang babi di Melaka yang akhir-akhir ini telah mewujudkan kebencian di antara kaum.

Apa yang berlaku di Melaka juga adalah disebabkan sikap terlalu ghairah Ali Rustam untuk mengejar status Melaka negeri maju 2010, sehingga aspek rohani dan pembangunan insan tidak diberi perhatian yang sewajarnya.

Implikasinya dapat dilihat pada hari ini, bukan sahaja kadar jenayah syariah meningkat di Melaka tetapi juga turut melibatkan kes jenayah lain seperti ragut, pecah rumah, rogol dan bunuh. Terbaru apa yang berlaku pada konstabel polis Mohd. Fairuz shafie, 22 tahun yang dibelasah sehingga koma dua hari lepas lebih 20 pemuda membuktikan betapa serius dan gawatnya kes jenayah dan salah laku yang melanda Melaka.

SAIFUL KELUAR DARI PERSEMBUNYIAN-Ref Malaysiakini


Lama tak dengar cerita tentang Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, yang mendakwa dirinya diliwat oleh Datuk seri Anwar Ibrahim. Kehilangannya selama ini menimbulkan pelbagai spekulasi apa yang berlaku kepada Saiful. Malah ada mengatakan dirinya telah ditimpa bala kesan daripada sumpah yang dibuatnya di Masjid Wilayah Persekutuan di depan imam Ramlag Porigi.

Orang ramai pun semakin beransur-ansur lupa dengan 'tragedi' liwat yang melanda Saiful kerana sibuk mengikuti perkembangan semasa yang berlaku dalam negara khususnya pergolakan yang sedang berlaku dalam Umno.

Ramai sudah pasti tertunggu-tunggu kemunculannya esok yang bakal memberi keterangan tentangan dakwaan Qazaf yang dikemukan oleh DSAI sama ada benar atau tidak dia dimakan sumpah. Sama ada di sumpah atau tidak, kebenaran dan kebatilan lambat laun akan terserlah juga umpama cuba menutup bangkai gajah bau busuknya tetap menusuk hidung.

SIAPA PENIPU DALAM WANITA UMNO: HALIMAH ATAU ROPIAH?~Ref Malaysiakini

Siapa yang betul dan siapa penipu? Kelmarin Exco wanita, Datuk Raja Ropiah Raja Ropiah kata tak ada perbincangan tentang peralihan kuasa Rafidah-Sharizat. Semalam,Datuk Halimah Sadique yang juga exco wanita Umno kata ada perbincangan tentang peralihan kuasa dalam mesyurat wanita Umno. Hari ini, Raja Ropiah masih tetap dengan pendirian bahawa Rafidah tak bincang isu peralihan kuasa ini.

Bermakna di antara keduanya ada yang tidak bercakap benar. Kata-kata mereka boleh diterjemahkan sebagai mempertahankan siapa yang mereka sokong. Tetapi masalahnya apa yang sebenarnya berlaku dalam wanita Umno? Mungkinkah kedua-duanya tertidur masa mesyuarat wanita umno yang mebincangkan isu berkenaan? Jika beginilah keadaannya rakyat boleh menilai sendiri sikap mereka yang secara terang-terang berbalah sesama sendiri. Apa yang lebih menjelikkan, ada di antaranya yang sanggup menipu untuk mempertahankan kepalsuan. Apa yang pasti mereka seperti ini tidak layak menjadi pemimpin untuk menerajui negara.

KETUA WANITA UMNO JOHOR PERTAHAN RAFIDAH-Malaysiakini


Setelah diserang dari segenap penjuru, akhirnya ada juga wanita Umno yang mempertahankan Rafidah mengenai pelan peralihan kuasa.

Exco Pergerakan Wanita Umno hari ini menafikan dakwaan tiada perbincangan yang diadakan di kalangan ahli exco berhubung pelan peralihan kuasa antara ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz dan naib ketua, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Ketua wanita Umno Johor yang juga Ahli exco Wanita, Datuk Halimah Sadique berkata dakwaan Pengerusi Biro Antarabangsa Wanita Umno, Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah bahawa Rafidah tidak pernah berbincang dengan Exco pergerakan itu dan hanya membuat pengumuman mengejut di depan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada satu majlis rasmi Wanita berhubung perkara itu adalah tidak benar sama sekali.

"Ahli-ahli exco jangan keluarkan kenyataan tidak berasas dan berbaur fitnah kerana kedua-dua calon (Rafidah dan Shahrizat) sudah menawarkan diri untuk bertanding.

"Biar perwakilan pada pemilihan parti tentukan," katanya dalam satu sidang media di Menara Dato' Onn, di sini, sebentar tadi.

Beliau yang juga senator Dewan Negara meminta supaya ahli-ahli exco berhenti daripada memutarbelitkan fakta berhubung pelan peralihan itu kerana ia mengelirukan ahli-ahli di peringkat akar umbi.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan Raja Ropiah berkata, Rafidah tidak pernah berbincang dengan Exco pergerakan itu sebelum mengumumkan pelan peralihan kuasa di antara beliau dengan Shahrizat pada Jun 2009.

Katanya, beberapa Exco Wanita mendakwa Rafidah membuat pengumuman mengejut di depan Perdana Menteri pada satu majlis rasmi Wanita pada satu majlis Wanita pada 4 Ogos lalu tetapi terpaksa akur kerana dilakukan di depan Perdana Menteri.

Di samping itu beliau mengingatkan semua pihak khususnya di dalam wanita Umno agar tidak membuka pekung di dada dengan 'menelanjangkan' kelemahan wanita Umno kepada umum dan media.Persaingan sengit itu nanti dikhuatiri mewujudkan golongan yang berkempen secara agresif termasuk mengutuk, mengaibkan dan menggunakan media massa bagi memastikan pemimpin yang disokong menang.

"Hentikanlah perangai buruk seperti itu sebaliknya pertandingan mestilah berasaskan keyakinan dan keikhlasan untuk memperjuangkan nasib Melayu," katanya yang juga Exco Wanita UMNO.

Halimah mengulas keputusan Rafidah yang merupakan Ketua Wanita UMNO dan juga Ahli Parlimen Kuala Kangsar untuk mempertahankan jawatan itu selepas Naibnya, Shahrizat mengumumkan akan bertanding jawatan nombor satu sayap itu.

FORMULA MD. TAIB UNTUK HAPUS POLITIK WANG~Malaysiakini


Setelah sekian lama menyepi dari isu politik wang baru hari ini Tan Sri Muhammad Bin Md. Taib bersuara. Kemunculan beliau bukan bertujuan untuk menafikan tuduhan dan dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau terlibat dengan politik tetapi untuk memberi formula bagaimana mengatasi masalah yang semakin membarah dalah Umno.

Formula beliau ialah memasuhkan sistem kuota dan pemilihan Umno kena kembali pada asal. Bagi beliau dengan satu atau dua pencalonan sudah memadai bagi calon ingin bertanding mana-mana jawatan dalam Umno.

Cadangan beliau seolah-olah macam mengesahkan bahawa sistem kuota yang dilaksanakan dalam Umno hari ini menjadi penyumbang kepada politik wang.Keadaan ini menyebabkan calon -calon tidak pilihan selain daripada 'terpaksa' tunduk untuk melakukan politik wang. Adakah Md. Taib juga terpaksa 'akur' dengan melakukan politik wang kerana sistem yang ada dalam Umno ini?. Sama ada Md. Taib terlibat atau tidak sama-samalah kita tunggu siasatan yang bakal dilakukan.

Orang ramai sudah pasti ingin tahu adakah pencalonan yang menggalakkan yang diterima oleh Md. Taib sebagai timbalan presiden umno adalah berpunca daripada politik wang. Kita masih menunggu siapakah kuasa ghaib yang dimaksudkan oleh Ruhanie Ahmad yang memberi undi kepada calon timbalan presiden yang bertanding.

25 November 2008

PENGARAH JAKIM DAN MUFTI PERLIS BERGADUH PASAL YOGA~Malaysiakini


Masih tak habis lagi cerita pasal yoga. Sekarang ini jadi isu lain pulak. Belum reda polemik tentang fatwa yoga kali ini berlaku pula perselisihan dan perdebatan di antara mufti perlis Ustaz Asri Zainal Abidin dan Pengarah Jakim,Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Masing-masing ada hujah dan pendapat tersendiri. Ustaz Asri minta Jakim beri alternatif yoga dan jangan hanya kaku aje lepas keluar fatwa. Jakim kata, mereka dah buat kajian mendalam sebelum keluar fatwa. Jakim minta mufti Perlis jangan hanya sedap cakap aje, berilah pandangan apa alternatif yang dimaksudkan.

Dalam hal ini, golongan yang menentang fatwa yoga pasti bertepuk tangan di luar sana melihat umat Islam, tokoh agama dalam kerajaan bergaduh sesama sendiri. Sepatutnya mereka kena duduk berbincang dan bermuzakarah mencari alternatif dan penyelesaian terbaik.

Fatwa yoga berkaitan dengan akidah umat Islam. Mereka sepatutnya bersatu dan mengelakkan dari mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengelirukan. Sikap seperti inilah yang menyebabkan Islam dipersendakan. Hanya ada satu cara sahaja untuk mengembalikan kegemilangan Islam di negara ini iaitu kembali kepada ajaran Islam sebenar.

MALAYSIAKINI ANGGAP POLITIK PAS DAN UMNO SAMA

Ibarat langit dengan bumi. Itu yang saya dapat gambarkan perbezaan amalan berpolitik dalam Pas dan Umno. Dalam Pas setiap ahli dan kepimpinan telah sekian lama dididik, dan ditarbiyyah konsep amal jamai' terutama konsep wala'atau ketaatan kepada pemimpin.Ahli telah dididik kuasa dan kedudukan adalah amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

Amanah sebagai pemimpin, bermakna masa dan wang ringgit dari poket sendiri terpaksa dikeluarkan. Masa bersama dengan anak isteri semakin terhad kerana tanggungjawab terhadap jemaah. Berbeza dengan Umno, jawatan menjanjikan kuasa dan pengaruh serta peluang untuk mengumpul kekayaan.

Di dalam Pas,parti atau jemaah mengatasi segala-galanya dari semua kepentingan individu. Justeru itu mengejar kedudukan dan pengaruh sama sekali tidak wujud dalam Pas. Jika ada mereka yang bersikap demikian lambat laun mereka akan gugur dan terpencil dengan sendirinya. Pemimpin datang dan pergi tetapi perjuangan perlu diteruskan.

Malaysiakini semalam cuba menggambarkan bahawa wujud konflik dalam Pas selangor sehingga menyebabkan Pesuruhjaya Pas selangor menggugurkan Iskandar Abdul Samad dan Shaari sunggip sebagai timbalan pesuruhjaya Pas Selangor.

Untuk makluman Malaysiakini golongan yang gila jawatan dan kuasa hanya wujud dalam Umno sahaja. Seorang pejuang Islam sejati di dalam Pas tidak timbul istilah kecewa, merajuk malah jauh sekali untuk berpaling tadah dari perjuangan jika tidak memegang sebarang jawatan atau digugurkan dari kedudukan dalam parti atau jemaah. Keikhlasan dalam perjuangan mengatasi segala-galanya.

Kisah Khalid Ibnu Walid panglima Islam terbilang yang dipecat oleh syaidina Umar Al Khattab sewaktu sedang bertarung di medan perang dijadikan contoh bahawa jawatan bukan alasan untuk berhenti berkhidmat dan berbakti kepada Islam.

Hari ini jelas apabila tindakan seperti ingin melaga-lagakan kepimpinan Pas di selangor tidak menjadi kenyataan apabila Khalid Abdul Samad yang kononnya dipecat mengingatkan ahli Pas tidak terperangkap dengan helah musuh berkaitan dengan diri beliau yang tidak dilantik semula sebagai timbalan pesuruhjaya Pas Selangor dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada Harakah Daily.

Kenyataan Timbalan Pesuruhjaya 11 PAS Negeri Selangor, Iskandar Abd Samad:

"Saya berharap rombakan pimpinan PAS Selangor yang dibuat pada Mesyuarat Perhubungan 21 November lepas dengan persetujuan ahli-ahlinya akan dapat memberi nafas baru kepada PAS di Selangor.

"Saya juga berharap tenaga-tenaga baru ini akan dapat membawa ide-ide baru. Kita perlu berani membuat perubahan.

"Rombakan seperti ini adalah satu perkara biasa dan tidak patut dipertikaikan. Kepimpinan adalah satu amanah dan bukan hak mana-mana individu. Setiap individu mempunyai peranan dan tugas masing-masing di dalam jemaah. Masanya adalah untuk melihat ke hadapan.

"Saya menyeru ahli-ahli PAS agar memberi tumpuan kepada tugas utama untuk mengembangkan dan mengukuhkan pengaruh PAS di Selangor.

"Janganlah ahli-ahli terperangkap dengan permainan politik musuh yang mahu melihat PAS berpecah dengan mengeksploitasi rombakan ini.

"Masanya adalah untuk bekerja dan bukan untuk bercakap semata-mata. Tanggungjawab kita adalah besar. Kita mungkin ada hanya tiga tahun sebelum pilihan raya umum yang akan datang. Tumpukan usaha untuk membuktikan kemampuan PAS di dalam kerajaan dan menambah kerusi-kerusi PAS.

"Sejak mula menjadi ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor dalam tahun 1993 dan merasai pimpinan tiga Pesuruhjaya, saya telah melihat segala-galanya dan seperti biasa saya berkeyakinan ahli-ahli PAS di Selangor matang menghadapi sebarang cabaran."


Ini semua menjadi rahsia kenapa Pas terus gagah berdiri dan melangkah sehingga hari ini walaupun telah lebih setengah abad melewati usia. Keikhlasan, perjuangan dan pengorbanan kerana Allah SWT mengatasi segala-galanya.

ALI RUSTAM SOKONG DEMONTRASI-Malaysiakini



Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menyokong tindakan agresif penduduk kampung Kuala Sungai Baru yang mengadakan demontrasi kelmarin berkaitan isu babi sangkut di rumah AJK Umno Masjid Tanah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Pusat Zakat Melaka di Bukit Baru semalam.

Malah beliau menyokong sekiranya penduduk kampung berkenaan hendak mengadakan demontrasi pada setiap MINGGU!

"Mereka bertindak bagi membantah tindakan kurang ajar individu tertentu yang menyebabkan penduduk tidak senang terhadap perbuatan terkutuk tersebut"

Tahniah dan syabas diucapakan kepada Ali Rustam kerana akhirnya bersetuju bahawa demontrasi sebagai satu cara untuk meluahkan rasa tidak puas hati. Berbeza dengan pemimpin Umno lain yang menganggap demontrasi boleh menjejaskan ketenteraman awam dan menjejaskan kedatangan pelancong. Di samping boleh menyebabkan peniaga mengalami kerugian dan pelabur enggan datang ke negara ini selain boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas. Malah Khairy Jamaludin pernah menyifatkan bahawa peserta demontrasi sebagai beruk.

Penduduk Melaka beruntung kerana mendapat ketua menteri yang faham tentang demokrasi dan kebebasan bersuara. Mungkin selepas ini penduduk Melaka akan lebih dialu-alukan dalam siri demontrasi yang bakal diadakan selepas ini.

Kepada Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), BERSIH dan NGO lain yang berminat untuk mengadakan demontrasi anda semua dijemput mengadakan demontrasi di Melaka terutama di sekitar kawasan pelancongan di Melaka atau paling tidak pun di hadapan pejabat ketua menteri.Anda semua dijamin bebas dari gas pemedih mata, semburan air asid dan gangguan si kepala merah(FRU).

24 November 2008

FATWA YOGA :KEMBALI PADA ISLAM SEBENAR-Malaysiakini


Fatwa telah pun dikeluarkan, YOGA adalah haram kepada umat Islam. Berdasarkan amalan dalam senaman berkenaan yang mengandungi unsur mantera dan pemujaan yang dipengaruhi unsur hindunisme yang boleh memesongkan akidah umat Islam.

Walau bagaimanapun ibarat rumah dah siap tetapi pahat masih berbunyi. Apa yang ingin saya sentuh bukan berkaitan tentangan dari golongan anti Islam atau NGO bukan Islam tetapi masalah dari pelaksanaan fatwa ke seluruh negara yang untuk diwartakan.

Selangor masih lagi belu melaksanakan atas alasan belum mendapat restu atau perkenan dari sultan. Manakala sultan Perak mencadangkan supaya fatwa ini dirujuk kepada Majlis Raja-raja sebelu menerima pakai fatwa yang dikeluarkan.

Dalam hal ini jelas menunjukkan wujud ketidakselarasan dan sedikit kelemahan kepada hal ehwal yang berkaitan dengan masalah umat Islam di negara ini. Hal berkaitan agama Islam dan adat istiadat adalah di bawah bidang kuasa raja-raja Melayu. Oleh itu sejauh mana fatwa yang dikeluarkan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan menyeluruh melalui keputusan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan?

Dalam hal ini sudah sampai masanya undang-undang berkaitan dengan Islam diselaraskan di negara ini supaya tidak wujud tafsiran yang berbeza di antara negeri. Sudah sampai masanya sistem perundangan Islam dilaksanakan di negara ini dengan berpandu kepada ajaran Islam yang sebenar seperti yang dituntut di dalam Al Quran dan hadis Nabi SAW.

Islam telah terbukti membawa keadilan dan kebaikan kepada semua.Inilah padahnya apabila sistem perundangan Islam di negara ini disempitkan pada skop yang terhad mengikut warisan penjajah. Implikasinya Islam berani dipersendakan oleh golongan bukan Islam dan mereka yang anti Islam di negara ini secara terbuka tanpa ada apa-apa tindakan.Justeru itu hanya Islam yang syumul sahaja yang mampu menyelamatkan ummah dan merungkai segala kekeliruan dan kepincangan. Islam mampu menyelesaikan semua masalah tanpa mengira kaum dan warna kulit sama ada dari segi sosial, politik dan ekonomi.

HARGA MINYAK DIJANGKA TURUN ISNIN DEPAN~Malaysiakini


Harga syiling atau harga terapung minyak dijangka akan diumumkan pada Isnin depan selepas mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, majlis tersebut akan mempertimbangkan sama ada akan menetapkan harga lantai minimum atau menetapkan satu sistem apungan harga yang terurus mengikut penurunan harga minyak mentah dunia yang kini mencecah US$50 setong.

"Perkembangan ini adalah di luar jangkaan, harga minyak jatuh dengan begitu nyata. Kita akan berbincang halatuju yang akan kita ambil. Adakah kita akan tetapkan harga lantai atau meneruskan dengan sistem sedia ada di amna kita mengurangkan harga (minyak tempatan) bila harga (minyak mentah dunia) jatuh.

Kita berharap kerajaan akan menurunkan harga minyak ke paras yang munasabah sejajar dengan harga minyak di pasaran dunia. Hari ini mengikut pasaran harga minyak petrol tanpa subsidi ialah RM 1.60 dan diesel RM1.50 berdasarkan harga minyak di pasaran global purata $AS50 setong.

Dalam masa yang sama kerajaan perlu mencari langkah segera untuk memastikan harga barang juga turut turun seiring dengan penurunan harga minyak. Apa yang berlaku harga barang masih lagi mahal dan terus meningkat terutama barang-barang basah seperti ikan dan sayur-sayuran sehingga membebankan pengguna.

Penguatkuasaan dan kawalan harga perlu dilakukan agar harga minyak yang murah benar-benar dapat dinikmati oleh rakyat. Apa guna harga minyak murah kalau harga barang keperluan masih mahal dan terus melambung tinggi?