03 May 2009

SPR TERUS SENGET SEBELAH !

SPR terus diperkudakan oleh Umno@BN untuk memastikan sisa-sisa hayat politik mereka. Setelah memperkenalkan peraturan melarang pondok panas pada hari pengundian, hari ini SPR mengumumkan langkah menghadkan kehadiran penyokong semasa hari penamaan calon tidak melebihi 5 ribu orang.

Peraturan baru ini akan dikuatkuasakan dalam pilihanraya kecil Penanti pada penghujung bulan ini. Perkara ini disahkan oleh Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar dalam satu kenyataan pada hari ini. Inilah pembaharuan 1 Malaysia yang menjadi zikir Umno@BN hari ini. Dalam era 1 Malaysia apa yang tak boleh akan dibolehkan.

Kenapa peraturan ini dikuatkuasakan? Semua ini jelas apabila Umno@BN gerun dengan gelombang kebangkitan rakyat yang bersama dengan Pakatan Rakyat. Sebaliknya angka 5 ribu yang dihadkan adalah penanda aras jumlah penyokong yang hanya mampu dikumpulkan oleh Umno@BN dalam pilihanraya. Itupun melalui proses kerahan tenaga serta dibayar upah dan elaun untuk hadir menyokong calon Umno@BN. Berbeza dengan pakatan Rakyat yang boleh menghimpunkan puluhan ribu penyokong tanpa apa-apa ganjaran dan habuan.

Persoalan yang lain bagaimana hendak memastikan jumlah penyokong yang hadir pada hari penamaan calon tidak melebihi 5 ribu orang? Siapakah yang akan ditugaskan oleh SPR untuk mengira jumlah penyokong yang hadir? Peraturan baru ini bukan sahaja tak masuk akal tetapi pelik untuk dilaksanakan.

Masa di sekolah dahulu dalam subjek Bahasa Melayu, cikgu menghadkan supaya karangan tidak melebihi 350 patah perkataan. Jenuh juga nak memastikan agar menepati syarat ditetapkan. Terpaksa dikira berulang kali. Itupun sering tersalah kira! Inikan pulak nak kira 5 ribu orang!

Tetapi itu tidak menjadi masalah kepada media pengampu milik Umno@BN kerana mereka pandai mengira. Terutama bab ganda dua dan ganda tiga bagi penyokong Umno@BN dalam laporan mereka yang senget sebelah sebelum ini.Mereka pandai dalam bab mengira, jumlah yang sedikit boleh digandakan manakala jumlah yang banyak boleh dikurangkan.

Mungkin selepas ini media pengampu akan melaporkan jumlah penyokong Pakatan Rakyat melebihi 10 atau 20 ribu orang tetapi jumlah penyokong Umno@BN tepat-tepat 5 ribu orang!

02 May 2009

SEKAT MEDIA SIDANG DUN 7 MEI BUKTI UMNO TAKUT KEPADA KEBENARAN

Apa yang ditakuti dan disembunyikan Umno pada sidang DUN Perak pada 7 Mei ini? Sekali lagi Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Rahman Hashim menunjukkan kepada umum tentang kebebalan Umno dalam memahami erti demokrasi dan undang-undang.Hanya media pro Umno@BN sahaja yang dibenarkan membuat liputan pada sidang DUN 7 Mei ini. Manakala media alternatif seperti Harakah Daily, Suara Keadilan dan Malaysiakini ' diharamkan' daripada membuat liputan berdasarkan arahan SUK Perak.

Tindakan ini bukan sahaja mengambil alih tugas speaker Dun tetapi turut memberi gambaran bahawa Umno@BN takut dengan bayang-bayang sendiri. Jika mereka berada di pihak yang benar serta berpaksi kepada undang-undang apa yang perlu ditakutkan?

Semua ini menunjukkan bahawa Umno@BN bimbang segala tindakan jahat mereka akan terdedah pada sidang Dun nanti. Saya cukup yakin ada lagi taktik lebih jelik dan kotor bakal dilakukan oleh Umno@BN pada sidang Dun nanti. Sidang Dun 7 Mei ini bukan sahaja bakal penentu hidup atau mati Umno@BN di Perak tetapi sangat penting kepada maruah dan survival politik Dato Seri Najib Tun Razak yang mengetuai rampasan kuasa di Perak.

Dengan menghalang media alternatif membuat liputan, Umno@BN fikir mudahlah mereka membuat liputan dengan memesongkan fakta serta memanipulasi isu sebenar yang bakal berlaku. Umno@BN sebenarnya masih lagi bermimpi bahawa rakyat masih percaya dan bergantung kepada media pengampu dan penipu milik mereka. Mereka masih lagi bermimpi dan tidak mengambil pengajaran tentang kekalahan besar yang dialami dalam pilihanraya Umum ke 12 serta empat pilihanraya kecil Pasca pilihraya tentang sumbangan dan peranan media alternatif. Insyaallah kebenaran akan terbukti dan kebatilan akan hancur dan musnah.

01 May 2009

TERBUKTI UMNO TIDAK PERJUANGKAN MELAYU


Apa alasan Umno@BN merampas kerajaan Pakatan Rakyat di Perak? Kononnya nak mengembalikan ketuanan Melayu Melayu. Umno menuduh Dato Seri Ir Nizar Jamaludin menjadi boneka DAP. Itulah zikir Umno semasa pilihanraya di Bukit Gantang...

Tetapi lihatlah tembelang Umno pecah lagi. Pengerusi Perhubungan Umno Perak yang baru dilantik, Datuk Dr Zamry Abdul Kadir yang mengemukakan usul pecat speaker Dun V. Sivakumar mencadangkan dan merestui Speaker baru di kalangan MIC, Datuk R Ganesan. Kenapa tak calonkan tokoh dalam Umno yang namanya Melayu?Apa yang yang dilakukan oleh Zamry ibarat meludah ke langit jatuh ke muka sendiri. Umno bukan lagi memperjuangkan Melayu tetapi lebih kepada kepentingan peribadi dan gila kuasa sehingga sanggup mengadai prinsip perjuangan serta 'melanun' kerajaan yang dipilih oleh rakyat di Perak.

30 April 2009

SURUH RAKYAT BERJIMAT, TPM GUNA ROLL ROYCE


CAKAP TAK SERUPA BIKIN...Kenderaan yang membawa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar dari kediaman Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Demak Jaya di sini, semalam, selepas menziarahi jenazah Puan Sri Laila Taib. Laila, 68, meninggal dunia pada 3.45 petang semalam.

Ketika berdentung dentang para pemimpin Umno bercakap soal penggunaan kereta rasmi Proton Perdana, kereta rasmi Timbalan Perdana Menteri adalah Roll Royce. Harga sebuah Roll Royce boleh beli sehingga 10 buah Proton Perdana eksekutif.

Inilah agaknya dikatakan pembaharuan dalam Umno@BN dan dasar jimat cermat yang sering diperkatakan. Apa komen Datuk Zamry Abdul Kadir kononnya menjual Toyota Camry yang dibeli kerajaan Pakatan Rakyat untuk menjimatkan duit rakyat dengan menggunakan Proton Perdana.

HANYA PESAWAT FIREFLY DI LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA BATU BERENDAM?


Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam Melaka yang dinaik taraf dijangka akan mula beroperasi Mei ini. Maka banyaklah banner yang dipasang di sekitar Bandaraya Melaka memuji kepimpinan dan ketokohan Ketua Menteri Datuk Seri Ali Rustam kerana 'kejayaan' satu lagi mercu tanda baru Melaka.

Namun sehingga hari ini hanya syarikat FireFly yang menggunakan pesawat ATR 72-500 turboprop yang bersetuju memulakan penerbangan Melaka - Singapura bermula September ini.
Kalau setakat pesawat ATR 72-500 turboprop sebenarnya lapangan terbang ini tak perlu dinaik taraf pun kerana dengan landasan dan kemudahan yang ada sebelum ini pesawat seperti Fokker 50, CN 235 dan Charlie pun boleh mendarat.

Kos membina lapangan terbang ini telah meningkat daripada peruntukan asal RM 130 juta dalam RMK 9. Idea awal menaik taraf adalah untuk menjadikan lapangan terbang ini sebagai hub tambang murah dengan mensasarkan syarikat seperti Air Asia dan FireFly serta MAS.

Namun Air Asia dikatakan menangguhkan rancangan untuk menjadikan lapangan Terbang Batu Berendam sebagai distinasi baru mereka kerana lapangan terbang ini dibina tidak melepasi spefikasi dan syarat untuk membolehkan pesawat Air Asia seperti Airbus A320 mendarat. Ini menyebabkan Ali Rustam sekali lagi terpaksa mengemis kepada Pak Lah, Perdana Menteri ketika itu untuk mendapatkan peruntukan tambahan untuk memanjangkan lagi landasan yang baru siap dibina.

Tetapi masalah lain pula timbul untuk memanjangkan landasan ini kerana akan melibatkan pengambilan tanah dan kediaman penduduk di Taman Seri Bayan yang akan menyebabkan kos meningkat berkali ganda.

Ali Rustam wajar menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku sehingga menyebabkan lapangan terbang ini dibina tidak mengikut spefikasi yang ditetapkan. Adakah wujud unsur-unsur penyelewengan atau salah guna duit rakyat dalam projek ini? Tetapi masalah itu sepatutnya tidak berlaku kerana setiap projek mega yang bernilai ratusan jutaan ringgit sepatutnya mempunyai perancangan dan kajian yang teliti.

7 MEI RAKYAT AKAN MENGHAKIMI KEBODOHAN UMNO DI PERAK

7 Mei ini setiap tumpuan akan sekali lagi beralih ke DUN Perak. Cuma kali ini bukan lagi di bawah pokok tetapi sidang Dun yang bakal berlangsung di Bangunan Darul Ridzuan.

Semua wakil rakyat telah menerima 'jemputan' untuk menghadiri sidang DUN berkenaan yang dipanggil oleh 'setiausaha Dun', Abdullah Untung. Terdapat juga wakil rakyat yang turut menerima notis usul untuk melantik Speaker Dun yang baru.

Amalan luar biasa yang sedang berlaku di Perak hari ini. Namun begitu Datuk Zamry Kadir mengulangi bahawa sidang dun berkenaan akan terus diadakan seperti yang telah 'dijadualkan'.

Tindakan di Perak adalah satu usaha dan kerja bodoh Umno untuk mengelirukan serta mengalihkan isu sebenar. Mereka cuba untuk memperbodohkan rakyat bahawa apa yang dilakukan adalah mengikut undang-undang dan pelembagaan. Mereka ingin menggambarkan bahawa Pakatan Rakyat yang melanggar dan tidak menghormati undang-undang.

Semua ini dengan tujuan dan harapan untuk memburuk-burukkan Pakatan Rakyat pada pandangan umum.

Apa yang dilakukan oleh Umno kononya untuk menegakkan undang-undang tetapi sebenarnya adalah satu tindakan untuk terus memperbodohkan rakyat yang lebih cerdik daripada kebanyakan pemimpin Umno yang ada.

Mereka cuba menampilkan imej 'baik' dan 'bersih' untuk menutup tindakan 'melanun' dan 'merompak' kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Rakyat tidak akan melupakan watak samseng dan kerja-kerja jahat yang mereka lakukan selama ini.Mereka cuba memperbodohkan rakyat tetapi sebenarnya mereka yang merendah dan memperbodohkan diri mereka sendiri. Rakyat akan selagi menjadi hakim dan pemutus apa yang berlaku di Perak. Kembalikan hak dan kuasa kepada rakyat Perak, biar rakyat membuat pilihan untuk bersama Pakatan Rakyat atau Umno@BN. Tidak ada penyelesaian yang terbaik selain daripada membubarkan Dun Perak.

29 April 2009

DUN PENANTI: INGATAN BUAT SAHABAT SEPERJUANGAN DI PULAU PINANG



Pas Kawasan Permatang Pauh dan Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang berhasrat untuk meletakkan calon Pas di Penanti.Dalam Pas, segala pandangan dan cadangan adalah amat dialu-alukan dalam konsep musyawarah. Tetapi sebagai ahli dan pimpinan di peringkat kawasan dan negeri apa-apa keputusan dan cadangan wajar dirujuk kepada pimpinan tertinggi di peringkat pusat.

Tidak salah untuk menyuarakan pandangan dan pendapat tetapi setiap pandangan itu perlu disampaikan melalui saluran yang betul. Tidak disalurkan melalui media yang bukan menjadi lidah rasmi parti. Sekaligus memberi peluang kepada musuh untuk melaga-lagakan kerjasama erat yang wujud dalam Pakatan Rakyat selama ini.

Ini bukan bermakna Pas menyekat ahli untuk bersuara dan menyatakan pandangan. Tetapi adab-adab berjemaah serta akhlak Islam perlu dijaga. Hubungan yang terjalin selama ini dalam Pakatan Rakyat adalah hasil pandangan dan keputusan daripada akar umbi di dalam jemaah Pas yang kemudiannya diputuskan perbincangan panjang lebar dalam Majlis Syura Pas..Bukan keputusan Mursyidul Am dan Presiden Pas secara bersendirian. Apa juga kerjasama Pas dalam Pakatan Rakyat telah dibincangkan secara mendalam dalam Majlis Syura Pas. Justeru itu apa juga perjanjian perlu ditaati dan disepakati.

Justeru itu pada pandangan saya, tindakan Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang dan Pas Kawasan Permatang Pauh adalah kurang manis kerana boleh mengundang perpecahan di dalam Pakatan Rakyat. Soalan saya kepada Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang dan Pas Kawasan Permatang Pauh mampukah Pas bersendirian dalam menguasai senario politik di negara ini? Boleh memenangi kerusi Parlimen dan Dun di Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak yang majoriti pengundi Melayu sekitar 50-60%? Begitu juga kemenangan yang membawa menguasai negeri Kedah dan meningkatkan kemenangan Pas di kelantan?

Jika kita memilih untuk kekal menjadi pembangkang, dalam situasi sekarang saya yakin Pas tidak memerlukan rakan dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat. Tetapi untuk tujuan mengembangkan syiar Islam dalam menyampaikan mesej daawah kerjasama dalam Pakatan Rakyat adalah sangat penting.

Lihatlah betapa hari ini orang Cina dan India boleh turut sama menyumbang tenaga dan membantu Pas dalam pilihanraya yang dilihat janggal dan mustahil satu ketika dahulu.Ini ditunjukkan dengan jelas dalam PRU yang lalu dan juga PRK di Kuala Terangganu dan Bukit Gantang yang ditandingi oleh Pas. Ini semua lahir dari kerjasama erat yang wujud dalam Pakatan Rakyat.

Kepada sahabat-sahabatku dalam Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang dan Pas Kawasan Permatang Pauh apa juga keputusan pimpinan wajar ditaati selagi tidak menyuruh kepada perkara mungkar dan kerosakan. Ingatlah konsep wala' yang selalu kita sebut dan bincang dalam usrah dan tamrin...Kami dengar...Kami taat...

SELEPAS MELAWAT THAILAND, INDONESIA, BRUNEI, NAJIB AKAN MELAWAT MONGGOLIA?


Dato Seri Najib Tun Razak dijadualkan akan berangkat ke Brunei hari ini untuk mengadakan lawatan rasmi. Lawatan ini adalah lawatan luar negara yang ketiga selepas melawat Thailand dan Indonesia selepas menjadi Perdana Menteri.

Lawatan ini dijangkakan akan mengukuh dan meningkatkan hubungan dua hala di antara negara. Mungkinkah Najib selepas ini akan mengadakan lawatan rasmi ke Monggolia? Walaupun Malaysia dan Monggolia tidak mempunyai kedutaan hanya memiliki konsulat , lawatan ini jika diadakan pasti akan mencipta sejarah dalam hubungan diplomatik di antara dua negara. Mungkin perkara ini boleh difikir secara serius oleh Perdana Menteri. Memandangkan Monggolia mempunyai pelbagai potensi dalam bidang pelaburan.

NAK TUNGGU BABI SELSEMA DI MELAKA BARU NAK BERTINDAK?


Seluruh dunia gempar dengan wabak selsema babi yang melanda beberapa negara Barat khususnya Mexico yang telah meragut hampir 200 nyawa. Maka pelbagai langkah diambil mengelakkan wabak ini menular terutama di pintu masuk utama negara. Wabak ini berpunca daripada najis dan kekotoran dari babi. Nama pun dah babi, dalam Islam dikateogorikan sebagai najis mughalazah,najis paling berat.

Tetapi dalam sibuk-sibuk kita bincang dan langkah mencegah wabak yang mungkin dibawa pelancong dari Barat ke negara ini melalui sempadan negara kita seperti terlupa babi-babi yang beranak pinak bercucu cicit yang ada dalam negara.

Masalah babi di Melaka nampaknya masih tidak nampak jalan penyelesaian dan langkah tindakan yang konkrit yang telah berlarutan sekian lama dari generasi ke generasi. Khususnya di Paya Mengkuang di Masjid Tanah Melaka. Semalam kira-kira 50 penduduk tempatan berdemontrasi membantah kelembapan kerajaan negeri menangani isu ini.

Menurut Sinar Harian Edisi Melaka/Negeri Sembilan sehingga hari ini masih terdapat kira-kira 39,000 ekor babi di Paya Mengkuang! Mana janji Kerajaan Melaka hendak memindahkan ladang ternakan babi di sini? Dalam tempoh setahun jika tidak ada sebarang tindakan diambil saya yakin bilangan babi di sini boleh meningkat berlipat kali ganda.

Adakah Kerajaan Melaka hendak menunggu babi-babi di Melaka selsema baru nak bertindak?Adakah kerajaan Melaka hendak menunggu nyawa rakyat di negeri ini menjadi alasan dan galang ganti? Masa itu mungkin baru terhegeh-hegeh mengambil tindakan seperti serangan wabak JE sebelum ini.

Masa itu menyesal pun sudah tiada gunanya. Kerajaan Melaka lebih sibuk menyediakan pelbagai infrastruktur untuk menarik pelancong ke negeri ini tetapi untuk kebajikan, keselamatan dan keselesaan hidup rakyat kerajaan Melaka seperti lepas tangan dan buat-buat tak nampak masalah yang berlaku.

28 April 2009

UMNO MAKIN PENING DI PENANTI

Fairus bersama Calon PKR di Penanti Dr. Mansor Othman

Apa isu nak dibawa oleh Umno@BN di Penanti? Isu rasuah bekas Timbalan Ketua Menteri 1, Mohammad Fairus Khairuddin? SPRM dah buat kenyataan, tak ada kes !

Perpecahan dalam PKR? Macam mana pulak Fairus ni boleh hadir pada majlis pengumuman calon? Semuanya semakin memeningkan Umno@BN. Patutlah Dato Seri Najib kata Umno@BN mungkin tak bertanding di Penanti, tak nak habis duit rakyat katanya.

Rupa-rupanya Umno sudah tandus isu. Isu derhaka tak relevan untuk penduduk Penanti. Penanti menanti untuk mendedahkan segala kejelikan yang ada dalam Umno@BN. Rakyat Penanti sudah tidak sabar untuk menanti 31 Mei untuk mentalkinkan Umno@BN di sana. Jika begini keadaannya Umno@BN sudah semakin pasti tidak akan bertanding di Penanti. Sama-samalah kita nanti...