15 June 2009

SIDANG PARLIMEN KECOH


Hari ini bermula Mesyuarat Parlimen Penggal ke dua. Hari ini juga mencipta sejarah apabila Dato Seri Ir Hj. Nizar Jamaludin yang baru mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen Dewan Rakyat dari Bukit Gantang digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat untuk dua hari berikutnya.

Semua ini kerana selepas sahaja mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat Nizar yang memakai lilit kepala berrwarna hitam yang menuntut pembubaran Dun Perak secara spontan melaungkan 'bubar..bubar..bubar Dun Perak' yang mengejutkan speaker dan sidang dewan yang lain.

Spekaer mengarahkan Nizar dan beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat agar membuka lilitan kepala setelah dibantah wakil rakyat BN. Walaupun Nizar dan beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat enggan berbuat demikian. Maka Speaker telah menggunakan 'budi bicaranya' dengan mengarah Nizar, YB Ngeh (DAP), YB Nga Kor Ming (DAP), YB Gobala (PKR), YB Dr. Hatta (PAS), YB Dr.Dzulkefly Ahmad (PAS), YB Mahfuz (PAS) meninggalkan Dewan.

Saya tidak menyalahkan tindakan Nizar dan ahli parlimen yang lain serta pihak speaker tetapi saya menyalahkan petualang yang bertanggungjawab merampas kuasa dan hak rakyat Perak sehingga wujud suasana kecoh pada hari ini. Mereka cuma menyampaikan suara majoriti rakyat yang inginkan pilihanraya semula di Perak. Mereka juga bukan mencari publisiti dan membuat provokasi tetapi bertujuan membuka mata orang ramai serta menyampaikan suara rakyat yang inginkan keadilan dan menjunjung lunas demokrasi yang sebenar.

14 June 2009

ANAK BEKAS PM KE NI?

CALON JAWATANKUASA ATASI KEMARAU (EL NINO)

Seluruh negara terutama beberapa kawasan di Lembah Kelang agak kelam dengan fenomena el Nino yang melanda. Beberapa kawasan di sekitar ibu kota seperti KLCC dan Cheras kadar penglihatan terhad akibat iklim yang dipengaruhi oleh El Nino.

Kementerian Pertanian Industri dan Asas Tani melalui menterinya Datuk Noh Omar mengambil langkah segera dengan menubuhkan Jawatankuasa menangani El Nino untuk mengelakkan golongan petani mengalami kerugian akibat cuaca panas berterusan yang boleh merosak dan memusnahkan tanaman. Menurut beliau jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian dan semua jabatan dan agensi di bawah kementerian itu.

Cuma saya nak mencadangkan satu lagi calon yang saya fikir sangat sesuai untuk jawatankuasa menangani kemarau ini......Akhir-akhir ini suara spesis calon ini begitu lantang terutama menjelang pilihanraya kecil Manek urai dan mungkin boleh membantu kementerian terbabit. Spesis ini juga boleh ditemui di sebuah kawasan di Kelantan.





KPLI DILANJUTKAN KE 18 BULAN

Kementerian Pelajaran melalui Bahagian Pendidikan Guru dalam proses akhir untuk memuktamadkan Kursus Perguruan lepasan Ijazah (KPLI) dilanjutkan dari setahun ke 18 bulan.

Perkara ini dinyatakan oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG) Datuk Misrah Ibrahim dalam satu kenyataannya semalam. Beliau berkata pelaksanaan itu akan dimulakan bermula pengambilan Januari 2010.

Berdasarkan pengalaman sebelum ini mengajar dan memberi latihan di beberapa buah IPTA, IPTS dan sekolah berkaitan dengan bidang perguruan langkah memanjang tempoh kursus untuk KPLI adalah wajar untuk meningkatkan kualiti guru yang dihasilkan agar memiliki ilmu, kemahiran dan nilai yang mantap serta sesuai sebagai bakal guru.

Tempoh setahun yang dilalui sebelum ini dilihat sudah tidak sesuai lagi pada masa ini dalam memenuhi keperluan latihan kepada bakal guru. Malah sebenarnya guru KPLI hanya mengikuti teori kurang daripada 6 bulan di Institut Perguruan kerana selepas itu terlibat dengan pelbagai aktiviti dan Latihan Mengajar bermula semester satu dan semester dua pengajian.

Ini juga penting untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dan berminat sahaja dipilih untuk menyertai KPLI ini. Memandangkan ramai yang sebelum ini melihat KPLI sebagai pilihan kedua atau jalan pintas setelah gagal dalam bidang pekerjaan lain. Hanya mereka yang memiliki ketahanan sahaja yang sanggup untuk melalui dan menempuhi pelbagai aktiviti dan latihan sebagai persediaan untuk melahirkan guru yang berkualiti.

13 June 2009

UMNO AKAN BUAT KEJUTAN DI MANEK URAI?


Pilihanraya Kecil Manek Urai menunjukkan Umno seperti tidak berminat untuk bertanding di sana. Mungkin Umno merasakan peluang mereka untuk menang adalah tipis berdasarkan Manek Urai merupakan sarang dan kubu kuat Pas sekian lama. Walaupun diakui Pas pernah tewas pada 2004 disebabkan isu nasional serta rakyat tertipu dengan imej Islam Hadhari ketika itu.

Perkembangan isu semasa juga tidak memihak kepada Umno walaupun mereka cuba memainkan isu kerajaan perpaduan siang malam. Bagi penduduk Manek Urai isu kerajaan perpaduan tidak memberi apa-apa makna kerana mereka hanya inginkan bulan purnama berbanding dacing yang senget sebelah.

Tetapi saya menjangkakan Umno akan membuat kejutan bagi saya sesuatu yang tidak mengejutkan. Umno mungkin akan meletakkan juara dan pakar lompat seantero dunia sebagai calon di situ. Mungkin juga si kaki lompat tidak dipilih menjadi calon tetapi akan mengistiharkan memasuki Umno sebelum atau semasa pilihanraya kecil Manek Urai berlangsung untuk meningkatkan imej Umno di Manek Urai.

Ini berdasarkan perkembangan muktahir bahawa si kaki lompat tadi kelihatan begitu telioq dan kebuloq untuk memasuki Umno kembali untuk kali ke berapa tahh...Gambar di atas mungkin dapat menceritakan segala-galanya.

Bagi saya letaklah siapa pun sama ada kaki lompat, kaki terbang atau kaki temberang sekalipun sebagai calon Umno, Umno akan ditewaskan di Manek Urai. Berdasarkan sokongan padu kepada Pas dan kepimpinan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini tak ada sebab penduduk di Manek Urai hendak menyokong Umno. Seperti kata-kata popular Tok Guru satu ketika dulu...Tak ade sebab demo nak lawe kawe....

12 June 2009

MAS RUGI KETIKA AIR ASIA TERUS CATAT UNTUNG


Penerbangan Malaysia (MAS) mengalami kerugian operasi RM138 juta dalam suku pertama berakhir 31 Mac 2009. Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Idris Jala, berkata kerugian pertama sejak suku ketiga 2006 itu disebabkan harga minyak yang turun naik secara keterlaluan dan krisis ekonomi global yang memberi kesan ke atas jumlah penumpang dan kargo.

Macam mana sebuah syarikat GLC kerajaan boleh rugi dalam masa yang sama Syarikat Air Asia boleh mencatat keuntungan? Adakah turun naik harga minyak tidak mempengaruhi Air Asia seperti alasan yang diberikan oleh MAS?

Mungkin ramai yang tertanya-tanya macam mana sebelum ini apabila mula-mula diuruskan oleh Datuk Seri Idris Jala MAS boleh mencatat keuntungan berturut-turut?

Masa itu MAS untung bukan disebabkan keuntungan dari hasil operasinya tetapi hasil penjualan aset-asetnya seperti bangunan dan tanah. Maka kesimpulannya kalau nak bagi MAS untung, jual sahaja MAS tu...

RAMAINYA YANG AMBIL BERAT TENTANG PAS


Kebelakangan ini Pas mendapat publisiti percuma yang cukup meluas. Liputan besar-besaran ini datangnya daripada pelbagai sumber seperti media pro Umno@BN dan juga rangkaian maklumat maya yang terdiri daripada portal berita dan blog.

Sama ada berita itu bercorak positf, negatif atau berkecuali saya melihat semua ini menunjukkan ramai yang ambil berat dan bimbang dengan perkembangan yang berlaku di dalam Pas. Apabila setiap hari mereka menulis tentang Pas bermakna Pas hari ini begitu berpengaruh dalam masyarakat di negara ini bukan sahaja kepada orang Melayu yang sinonim dengan Islam tetapi juga kepada masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam.

Semua ini sekaligus menunjukkan Pas hari ini telah diiktiraf sebagai kuasa politik perdana yang boleh menjadi penentu kepada senario politik dalam negara. Jika Pas sebuah parti kecil dan tidak berpengaruh siapa yang nak ambil peduli kepada Pas dan menceritakan apa yang berlaku dalam Pas siang dan malam.

Ini juga sebagai peringatan untuk semua yang berada di dalam Pas, sama ada peringkat pimpinan atau bawahan agar selain mengutamakan kepentingan Islam mereka juga perlu memikirkan kepentingan nasional dalam setiap kenyataan dan tindakan. Semua ini penting sesuai dengan sokongan dan penerimaan masyarakat kepada perjuangan Pas hari ini.

11 June 2009

PELANTIKAN HUSAM DAN MAT SABU BUKTI PAS TIDAK BERPECAH


Presiden Pas Tuan Guru Dato Seri Hj. Abdul Hadi Awang hari ini mengumumkan saf kepimpinan Pas yang baru. Di peringkat negeri tidak banyak perubahan yang berlaku bagi jawatan Pesuruhjaya Pas Negeri. Seperti yang dijangka dua tokoh kanan Pas yang tidak terpilih dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden dilantik menganggotai AJK Pas Pusat.

Pelantikan Datuk Paduka Husam Musa dan Hj. Muhd. Sabu oleh YB Presiden sekaligus menepis segala tohmahan oleh media dan pemimpin Umno bahawa Pas sedang mengalami pergolakan dan perpecahan kononnya di antara kumpulan golongan Erdogan dan Ulama.

Di sini jelas menunjukkan tidak wujud politik dendam atau sebarang unsur yang tidak sihat di dalam Pas seperti yang berlaku dalam Umno dan komponen BN yang lain. Misalnya lihatlah balasan yang diterima oleh Khairy Jamaludin dan ramai penyokong Pak lah yang sebelum ini memegang jawatan tinggi dan cukup berpengaruh sama ada dalam parti atau pentadbiran kerajaan. Satu persatu dicantas dan dipinggirkan dalam Umno kerana tidak sehaluan dengan idea 1Malaysia. Begitu juga yang berlaku dalam MCA, Datuk Chua Soi Lek terpaksa meratapi nasib malang apabila tidak memegang jawatan dalam kabinet serta hanya diberikan peranan kecil dalam MCA walaupun bergelar timbalan Presiden.

Pelantikan Datuk Husam Musa dan Hj. Muhd. Sabu menunjukkan keterbukaan Pas dalam menerima pandangan dan teguran sama ada daripada pimpinan atau ahli di peringkat bawahan. Di sini menunjukkan bahawa sumbangan kedua tokoh ini masih diperlukan dalam memastikan kemaraan Pas dalam arus politik negara. Tidak timbul soal tekanan atau pengaruh luar dalam pelantikan ini. Saya melihat Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang sentiasa meletakkan kepentingan Islam dan Pas mengatasi segala-galanya. Semoga dengan pelantikan ini akan memacu dan meningkatkan momentum perjuangan Pas untuk memastikan Umno@BN akan tersungkur dalam pilihanraya umum akan datang.

SIAPA YANG RETAK BN ATAU PR?

Sehingga hari ini media milik Umno@BN terus mendakwa kerjasama Pakatan Rakyat semakin retak. Dalam masa yang sama mereka lupa pada rumah tangga sendiri yang hampir roboh dan senget menunggu masa untuk menyembah bumi.

Apa yang berlaku dalam Umno di Perlis dan Terangganu serta kekalutan memilih calon di Manek Urai hanyalah segelintir daripada kemelut yang sedang melanda dalam Umno hari ini. Tambah memeningkan dengan isu dalaman PPP,Gerakan, MCA dan MIC.

Jadi untuk menutup kelemahan dan masalah yang berlaku Umno serta mereka yang sewaktu dengannya , Umno cuba mengalihkan isu bahawa wujud keretakan dalam Pakatan Rakyat. Maka mereka pun memalu gendang serta mengulangi zikir mereka yang sama siang malam bahawa Pakatan Rakyat semakin retak.

Tetapi kenyataan Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim hasil pertemuan bersama semua pimpinan utama Pakatan Rakyat malam tadi ibarat petir dan halilintar yang menutup segala isu yang dibangkitkan oleh Umno@BN kepada Pakatan Rakyat.

Berikut disiarkan kenyataan penuh Anwar:

Kenyataan ini saya edarkan setelah berbincang dengan Ustaz Abdul Hadi Awang dan Sdr Lim Kit Siang semalam. Kami mengulangi komitmen untuk memperkukuhkan kerjasama Pakatan Rakyat bagi menjayakan Agenda Perubahan.

Kami berpendapat adalah penting untuk memberi peluang dan ruang kepada rakan-rakan parti komponen untuk menjelaskan pendirian mereka berhubung sebarang isu yang berbangkit.

Kami percaya perselisihan kecil yang digembar gembur oleh media Umno-BN tidak akan meretakkan permuafakatan yang terbina dari iltizam untuk membawa Perubahan kepada rakyat Malaysia keseluruhannya.

Perlu dijelaskan bahawa isu rundingan PAS-umno yang berbangkit dari kenyataan Ustaz Abdul Hadi pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar di muktamar tahunan baru-baru ini harus dilihat dalam konteks pidato Presiden PAS.

Dalam pidato tersebut Ustaz Abdul Hadi mengulangi komitmen PAS untuk memastikan Perubahan terlaksana melalui wadah Pakatan Rakyat dan menggariskan kewajaran muafakat antara parti bagi menyelesaikan krisis Perak melalui pilihan raya, menggesa agar badan kehakiman bebas dari sebarang kongkongan dan pilihan raya yang telus.

Insya-Allah permuafakatan Keadilan, PAS dan DAP akan bertambah utuh dari hari ke hari. Rakyat Malaysia mahukan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, telus dan cekap mentadbir bagi kembali memacu negara ini ke persada. Pakatan Rakyat bersedia menggalas tanggungjawab demi memastikan negara ini berada di landasan yang tepat.

10 June 2009

KENAPA KHAIRY BERMATIAN PERTAHANKAN SIS?


Akhir-akhir ini saya melihat Khairy Jamaludin seolah-olah cuba mencari publisiti untuk menonjolkan dirinya yang makin terpinggir dalam Umno. Dalam isu kerajaan perpaduan, Khairy seolah-olah ingin menunjukkan ketokohannya agar rundingan di antara Pas dan Umno perlu diteruskan pada masa hadapan demi perpaduan orang Melayu.

Dalam isu kerajaan perpaduan saya nasihatkan Khairy agar satukan dahulu pemuda Umno kini berpecah dua tiga yang menolak beliau sebagai ketua pergerakan itu. Beliau sehingga hari ini masih belum dapat menyatukan pemuda-pemuda Umno yang masih melabelkan beliau sebagai perasuah untuk memenangi jawatan ketua pemuda. Lupakah Khairy dengan pemuda Umno yang berdemontrasi di hadapan PWTC memprotes kemenangan beliau? Adakah mereka ini beruk juga seperti yang dilabelkan oleh Khairy kepada peserta demontrasi yang dianjurkan Pakatan Rakyat?

Dalam isu SIS kenapa Khairy melenting tak tentu pasal? Jawapannya tanyalah pada Nori Bin Tun Abdullah, isteri kepada Khairy yang menjadi penyokong kuat kepada SIS. Sekali lagi nasihat saya kepada Khairy fahamilah isunya..... usul muktamar Pas untuk mengharamkan SIS ialah sekiranya SIS melanggar batas-batas Islam...Maknanya bertentangan dengan syariat Islam, bertentangan dengan Al Quran dan As Sunnah...Bertentangan dengan hukum dan perintah Allah...Menghina dan mencerca Islam. Adakah itu hendak dibiarkan?

Jika SIS tidak mempersenda dan menghina Islam, tidak menyentuh persoalan hukum yang ditetapkan oleh Allah, tidak mempertikaikan sunnah Nabi SAW, teruskanlah aktiviti dan program mereka. Itu dijamin dan digalakkan dalam negara yang menjunjung prinsip demokrasi.

Lagipun bukan Pas yang boleh haramkan SIS. Pas menggesa pihak yang berkaitan seperti mufti dan Majlis Fatwa. Maka tugas Majlis Fatwalah yang siasat dan buat keputusan untuk haramkan atau tidak. Bukannya Dewan Ulama Pas atau Majlis Syura Pas.

Islam amat menghormati kebebasan beragama dan hak agama lain. Islam melarang penganutnya menghina kepercayaan dan agama lain. Begitu juga agama lain juga perlu menghormati orang yang beragama Islam dengan tidak mempertikaikan dan menghina ajaran Islam. Lebih-lebih lagi kalau orang Islam sendiri mempertikaikan ajaran Islam seperti yang sering dilakukan oleh SIS. Itu isunya....Itu pun susah nak faham ke?