25 June 2009

ALI RUSTAM TIDAK PEDULI BANTAHAN DAN SENSITIVITI ORANG ISLAM DI MELAKA

Pagi tadi saya berkesempatan melalui kawasan pembinaan taman peringatan (jirat Cina) yang mendapat bantahan penduduk setempat di Kesang Pajak Melaka. Kawasan pembinaan berkenaan merupakan kampung tradisional Melayu. Tidak ada sebuah pun rumah orang Cina di sekitar kawasan berkenaan. Rumah atau pekan Cina berhampiran hanya kira-kira 2 kilometer dari tapak berkenaan.

Tapak pembinaan berkenaan terlalu hampir dengan rumah penduduk Melayu yang saya anggarkan tidak lebih dari 50 meter. Masaalahnya kenapa tapak berkenaan tetap diluluskan oleh kerajaan negeri di bawah Ketua Menteri YAB Datuk Seri Muhd. Ali Rustam? Adakah beliau tidak menyedari sensitiviti orang Melayu dalam hal ini kerana tapak pembinaan jirat Cina ini sangat hampir dengan rumah penduduk di kampung?

Adakah kerajaan negeri tidak ada tapak lain yang lebih sesuai selain di situ? Adakah ini yang dikatakan idea 1Malaysia? Membina kawasan jirat Cina di kawasan penempatan Melayu! Adakah Ali Rustam juga boleh meluluskan tapak perkuburan untuk orang Melayu beragama Islam di kawasan penempatan penduduk Cina seperti di Banda Hilir, Ayer Keroh atau di tengah-tengah Bandaraya Melaka?

Saya bukan menentang kawasan khas untuk jirat orang Cina tetapi tempat yang dipilih adalah sangat tidak sesuai. Mungkin inilah balasan kepada pengundi dan penyokong Umn0 di kawasan berkenaan yang dulu kini dan selamanya serta selamat,aman makmur bersama Umno.


Kain rentang Taman Peringatan yang sedang rancak dibina
Kawasan pembinaan saujana mata memandang

KHIR TOYO:JANGAN TIRU MACAM SAYA!


Mantan Menteri Besar Selangor Dato Seri Mohd. Khir Toyo menasihati kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor supaya tidak menyalah guna dan menyeleweng duit rakyat atau duit kerajaan negeri.

Nasihat itu berikutan Program Himpunan Perdana Perpaduan 100,000 rakyat yang bakal diadakan di Selangor pada 30 Jun ini. Terima kasih kepada Khir Toyo kerana prihatin dan mengambil berat hal ehwal kewangan kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat sekarang. Bermakna Khir Toyo benci pada salah guna kuasa, guna kedudukan untuk tujuan peribadi atau parti. Dalam erti kata lain Khir Toyo cukup jijik dan benci pada rasuah.

Saya berharap Kerajaan Rakyat sudi mendengar dan mengikut nasihat dari mantan Menteri Besar Selangor. Tetapi macam mana pula dengan beliau sendiri? Siapa yang tanggung percutian dan perjalanan beliau ke Paris, Disneyland dan beberapa tempat di Eropah semasa menjadi Menteri Besar Selangor? Bagaimana pula dengan hadiah mahal-mahal yang bernilai jutaan ringgit sebagai 'cenderamata' semasa menjadi Menteri Besar dulu? Apa cerita seterusnya dengan isteri beliau berkenaan dengan wang BALKIS? Dalam masa yang sama kenapa tidak berani hadir dalam siasatan oleh Jawatankuasa Dun Selangor berkaitan kewangan kerajaan negeri (SELCAT) semasa zaman beliau dahulu? Apa yang beliau gentarkan sehingga digantung selama setahun dari menghadiri sidang DUN Selangor?

Kepada Khir Toyo sebelum nak berlagak baik kononnya berhemah soal kewangan dan benci pada rasuah bersihkan diri beliau dahulu dari segala dakwaan yang dikemukakan. Jika beliau berada di pihak yang benar saman pihak berkenaan yang menyiasat dan mengemukakan tuduhan dan bukti berkaitan kes beliau. Jika tidak, lebih baik je senyap dari sibuk-sibuk mempersoalkan ketelusan dan kewibawaan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

24 June 2009

UMNO UMPAMA PUNGGUK RINDUKAN BULAN


Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat telah buat keputusan muktamad bahawa PR menolak idea Kerajaan Perpaduan. Keputusan itu telah menamatkan segala teka teki, salah faham dan konflik yang dikatakan berlaku dalam Pakatan Rakyat berkaitan dengan isu berkenaan. Keputusan menolak idea Kerajaan Perpaduan ternyata melegakan ramai pihak kecuali Umno dan mereka yang sewaktu dengannya.

Sehingga hari ini Umno terutamanya terus mengungkit-ungkit dan seperti menaruh harapan agar Pas meneruskan perundingan kononnnya untuk perpaduan orang Melayu. Maka pimpinan Umno seperti YAB Ketua Menteri Melaka Datuk Mohd. Ali Rustam menuduh kononnya Pas tunduk kepada tekanan dari DAP dan PKR. Malah banyak lagi kenyataan seumpamanya oleh pimpinan Umno lain yang ternyata kecewa kerana tidak lagi boleh mempergunakan isu Kerajaan Perpaduan untuk meneruskan survival politik Umno.

Tindakan Umno dengan mengungkit seperti meratap dan merintih agar Pas kembali menerima kerajaan Perpaduan samalah seperti cerita pungguk rindukan bulan. Tetapi cuma kali ini Umno merindukan bulan purnama yang semakin mengambang penuh yang mendapat sokongan mantap dan padu bukan sahaja di kalangan orang Melayu yang beragama Islam tetapi juga dari kaum lain terutama Cina dan India. Maka Umno akan terus merayu dan berharap agar bulan jatuh ke riba tanpa mempedulikan apa pun orang nak kata. Kesian ke pungguk...

23 June 2009

GURU KUMPULAN A BERPOLITIK TAK BOLEH, MENTERI BERKEMPEN POLITIK PADA GURU TAK APA PULAK!

Mengikut pekeliling Perkhidmatan Awam Guru dan Kakitangan Awam Kumpulan A tidak dibenarkan aktif berpolitik. Tetapi ramai sedia maklum klausa larangan itu hanya difokuskan kepada kakitangan awam kumpulan A yang menyokong parti pembangkang atau Pakatan Rakyat. Bagi kakitangan awam yang aktif berpolitik dalam Umno dan Barisan Nasional perkara ini dibuat seperti tak nampak sahaja. Walaupun mereka terlibat secara terang-terangan dan memegang jawatan penting dalam Umno@BN. Malah ada yang berlagak selamba menampal logo Umno atau dacing senget sebelah serta bendera Umno@BN di kenderaan mereka, dibiarkan tanpa apa-apa tindakan.

Maka ramailah di kalangan kakitangan awam yang aktif atau hanya menjadi penyokong Pakatan Rakyat yang ditukarkan ke pedalaman dan ditukarkan berjauhan dengan isteri, anak-anak dan keluarga atau dikenakan tindakan tatatertib kerana dikatakan melanggar etika dan pekeliling perkhidmatan awam.

Larangan berpolitik kepada kakitangan awam kumpulan A oleh kerajaan ternyata bersifat prejudis dan menyekat kebebasan bersuara dan berpolitik yang diiktiraf dalam negara yang menjunjung prinsip demokrasi.

Ternyata larangan berpolitik ini berniat serong dan mempunyai agenda yang tersembunyi. Dalam masa yang sama pihak Kerajaan dari Perdana Menteri sehinggalah kepada Timbalan Menteri terus memperalatkan dan melacurkan kakitangan awam dengan memaksa mereka untuk ke majlis yang bersifat politik yang dihadiri oleh mereka. Mana-mana yang tidak menghadiri majlis berkenaan akan dikenakan surat tunjuk sebab dan diambil tindakan.

Lihatlah apa kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dalam kempen politik kepada guru-guru di Manek Urai hari ini dengan meminta mereka supaya mengundi Umno@BN. Tindakan Timbalan Menteri berkenaan menunjukkan bahawa Umno@BN dalam keadaan terdesak dalam Pilihanraya Kecil di Manek Urai sehingga sanggup buat apa sahaja walaupun terpaksa melanggar undang-undang dan peraturan yang dibuat oleh mereka sendiri

22 June 2009

SUK MELAKA SALAH GUNA HARTA KERAJAAN

Saya menerima email dari seorang pembaca blog ni tentang salah guna harta kerajaan oleh SUK Melaka, Datuk Wira Omar Bin Kaseh semasa majlis perkahwinan anaknya baru-baru ni. Di antaranya beliau menggunakan letter head milik kerajaan negeri untuk urusan peribadi jemputan perkahwinan anaknya. Walaupun mungkin perkara ini kelihatan kecil ia tetap satu salah guna kuasa. Adakah pihak SPRM Melaka akan siasat? Rasanya tidak, saya yakin Pengarah SPRM Melaka turut mendapat surat jemputan sama daripada SUK. Insyallah banyak lagi pendedahan tentang penyelewengan yang berlaku bakal didedahkan kepada umum dalam blog ini.

Ruang yang dihitamkan bertujuan untuk mengelakkan pemberi makumat dikenali.

TUAN GURU YANG MERENDAH DIRI


Siapa yang tidak kenal dengan YAB Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat. Menteri Besar yang terkenal dengan kealiman dan kewarakannya. Disegani kawan dan lawan kerana ketokohan, kewibawaan, ketinggian ilmu serta perwatakan yang dikagumi.

Kezuhudan dan tawadhuknya terserlah dalam setiap perkataan, tindakan dan perbuatan sama ada zahir atau batin. Terkini sifat itu begitu terserlah apabila tuan Guru menarik balik segala kenyataanya kepada Timbalan Presiden Pas, Ustaz Nashrudin Mat Isa sebelum ini berkaitan isu kerajaan perpaduan.

Kami bersama-sama dalam satu saf yang padu untuk terus memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulatkan Islam di persada tanahair," katanya dalam satu kenyataan empat perenggan yang dibaca dalam satu sidang media hari ini.

Sikap dan sifat yang ditunjukkan wajar membuka mata semua bahawa ketokohan Tuan Guru dan perpaduan dalam Pas sukar digugat oleh mana-mana pihak yang cuba melaga-lagakan kepimpinan Pas. Seperti yang pernah saya catatkan sebelum ini, Pas akan menjadi lebih kuat dengan isu kerajaan perpaduan.


PEMIMPIN UMNO YANG BUTA SEJARAH

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato Idris Harun dalam satu kenyataannya berkata Dato Seri Anwar Ibrahim menjadi punca kepada perpecahan orang Melayu.

Menurut beliau Anwar telah mencemar budaya dan adab orang Melayu yang penuh kesusilaan hingga kelembutan orang Melayu dalam berpolitik bertukar menjadi kekerasan iaitu musyawarah bertukar kepada demontrasi jalanan dan berpantun kepada hina menghina.

Kepada Dato Idris lupa ke sejarah penentangan orang Melayu menentang penjajah di negara ini bermula daripada menentang Portugis dan Belanda di Melaka. Diikuti penjajahan British dan Jepun. Bila pulak Tok Jangggut, Dato Bahaman dan Mat Kilau berpantun dengan penjajah British? Bila pulak orang Melayu berpantun dalam menentang Malayan Union? Kepada Dato Idris kalau tokoh dan idol pejuang politik orang Melayu seperti Dato Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Dr Burhanuddin Helmy hanya sibuk berpantun dan berdondang sayang seperti saranan Datuk, jawapannya orang Melayu hari ini masih dijajah.

Akibat keberanian orang Melayu menentang penjajahan, kezaliman dan penindasan, orang Melayu hari ini semakin berani menentang sebarang bentuk penjajahan sama ada penjajahan politik atau penjajahan pemikiran yang cuba dibawa oleh Umno hari ini. Sebenarnya itu yang cukup digeruni dan ditakuti oleh Umno hari ini. Jadi mereka cuba melekakan orang Melayu agar lalai dan terus leka dengan pelbagai program hiburan dan propaganda, hanya sibuk berpantun dan bergurindam biarpun dikhianati dan dizalimi oleh pemimpin yang korupsi dan hanya mementingkan diri.

PAKATAN RAKYAT SETUJU DENGAN KERAJAAN PERPADUAN


Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang selesai bermesyuarat sebentar tadi mencapai keputusan sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan kerajaan Pepaduan tanpa melibatkan Umno dan komponen BN yang lain.

Semua pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat hadir dalam mesyuarat dan sidang akhbar selepas itu. Keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat dibacakan oleh Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim.

"Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan persekutuan akan datang," katanya.

Melalui keputusan ini bermakna cita-cita Umno untuk mempergunakan isu ini untuk kepentingan politik mereka dengan alasan perpaduan orang Melayu tidak kesampaian. Bermakna Umno terus kekal dengan kerajaan perpaduan mereka dalam Barisan Nasional yang semakin porak peranda.

Keputusan ini sekali gus menamatkan spekulasi dan meredakan segala kebimbangan tentang isu kerajaan perpaduan yang boleh meretakkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat. Bermakna selepas ini semua pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat boleh memfokuskan usaha untuk menumbangkan Umno@BN dalam pilihanraya kecil Manek Urai dan pilihanraya umum yang dijangka mungkin akan berlaku dalam tempoh terdekat.

PENGALAMAN BERCERAMAH DI PROGRAM UMNO

Hujung minggu baru ni merupakan minggu agak sibuk bagi saya. Selain sibuk dengan hal peribadi jadual saya agak padat dalam memenuhi undangan menyampaikan ceramah kepada pelajar, ibu bapa dan juga guru.

Salah satu program tersebut ialah saya diundang untuk berceramah di satu program anjuran Umno. Ini bukan kali pertama saya berceramah di program Umno. Saya terima kerana ia fokus untuk motivasi keibubapaan bagi saya tak ada kena mengena dengan politik,ia lebih kepada majlis perkongsian ilmu.

Majlis ceramah dalam surat jemputan yang difaxskan sepatutnya bermula pada jam 2 petang bertempat di balai raya JKKK tempat berkenaan. Sebelum itu saya pada jam 10.30 - 12.30 berceramah kepada guru-guru di sebuah sekolah yang jaraknya lebih kurang 1 jam perjalanan dengan memandu. Setelah habis ceramah di sekolah saya bergegas untuk ke program ceramah Umno berkenaan. Saya ada masa lebih kurang 30 minit untuk solat Dzuhor dan makan tengahari. Jadi memang agak berkejar-kejar sedikit.

Sampai di tempat ceramah, saya perhatikan suasana agak lengang. Silap tempat ke aku ni? Lantas saya menelefon pihak penganjur. Katanya betullah tempat ni. Tak lama lepas tu pihak penganjur datang, beberapa ketika kemudian datang seorang pemuda yang kemudiannya terkial-kial sedang pasang alat pembesar suara. Melihat jumlah makanan yang disediakan paling kurang pun untuk 100 orang. Jam dah menunjukkan hampir pukul 3 petang, masih tak nampak lagi batang hidung ibu bapa atau pun ajk Umno kat cawangan tu. Pihak penganjur sibuk sekali menelefon, jemput orang datang barangkali. Saya cuba berlagak selamba... Agak lama lepas tu saya dapati adalah lebih kurang 10 orang budak-budak yang saya jangka berumur 4 hingga 10 tahun masuk ke dalam balai raya. Lebih kurang 3.15 pengerusi JKKK dan penganjur beritahu teruskan ceramah. Maknanya saya kena ceramah kepada budak-budak kat depan tu! OK lah tu...maknanya juga kena ubah tajuk dari motivasi keibubapaan kepada ceramah kepada budak-budak. Bagi saya semua tu tak ada masalah bahan-bahan memang telah sedia dalam laptop. Lebih kurang 30 minit ceramah, datang YB Adun dari kawasan berkenaan. Saya lihat dia macam tak puas hati, memang patut pun dia rasa kecewa dan tak puas hati.Lebih kurang 5 minit beliau pun keluar.

Apa yang saya nak simpulkan kepada Umno di atas sana janganlah cakap bergegar-gegar sangat bahawa mereka masih kuat dan mendapat sokongan. Sibuk-sibuk dengan muka tak malu ajak Pas bincang kerajaan Perpaduan, walhal Pas sudah hantar isyarat tak berminat untuk teruskan perbincangan. Nasihat saya jagalah rumah tangga Umno yang semakin goncang apabila ahli-ahli mereka sendiri sudah tidak berminat dengan program-program Umno. Kepada Pakatan Rakyat, teruskan gerak kerja mantapkan organisasi, rapatkan lagi kerjasama Insyaallah peluang dalam PRU kepada Pakatan Rakyat adalah sangat cerah.

20 June 2009

HISHAMUDIN TERLUPA DOAKAN UNTUK UMNO DI MANEK URAI?


Dato Hishamudin Tun Hussin, Naib Presiden Umno semalam berdoa agar Pas tidak berpecah berkaitan isu kerajaan Perpaduan. Terima kasih banyak-banyak sebab ambil berat dan prihatin kepada Pas. Insyaallah isu kerajaan Perpaduan tidak akan menyebabkan orang Pas keluar dari Pas, tubuh parti baru atau jauh sekali nak menyertai Umno yang sudah hilang taring yang hanya tinggal gigi susu!

Dalam sibuk-sibuk Hishamudin mendoakan perpaduan dalam Pas, Hishamudin lupa untuk doakan partinya sendiri yang berpecah dan semakin mereput. Terbaru di Manek Urai,Umno di sana berhadapaan dengan konflik dalam menghadapi pilihanraya berkenaan. Perpecahan dalam Umno di sana semakin ketara di antara kumpulan yang menyokong ketua bahagian sekarang, Datuk Ramzi Abdul Rahman dan yang menyokong bekas ketua bahagian Datuk Wan Zaid Abdullah.

Menurut sumber, penyokong Datuk Wan Zaid masih lagi menyimpan dendam berikutan kekalahan kepada Datuk Ramzi dalam pemilihan lalu. Dalam keadaan sekarang mana-mana calon yang dipilih daripada dua kumpulan berkenaan akan menyebabkan perpecahan dalaman Umno semakin meruncing. Persoalanya siapa calon yang boleh memuaskan hati kedua-dua pihak? Mungkin dalam keadaan begini mungkin Umno Kelantan akan mencadangkan calon berkecuali atau calon import untuk meredakan rasa tidak puas hati dan permusuhan. Dalam hal ini saya melihat pencalonan Datuk Ibrahim Ali mungkin opsyen yang ada. Tetapi dengan mengimport calon luar ia merupakan sesuatu penghinaan kepada Umno yang terdiri daripada anak tempatan khususnya di Manek Urai.

Maka kesimpulannya siapa pun yang dicalonkan sebagai calon Umno di Manek Urai akan menyebabkan Umno di Manek Urai akan berpecah ke tahap lebih kronik lagi. Jadi eloklah Hishamudin membanyakkan doa untuk Umno di Manek Urai, di Kelantan dan untuk Umno seluruh Malaysia supaya dipanjangkan umur sekurang-kurangnya menjadi pembangkang yang kuat dalam pilihanraya umum akan datang.