08 November 2009

SEMINAR BUKTI PAS LEBIH TERBUKA DARI UMNO@BN

Seminar Memperkasakan Pas telah membawa satu dimensi baru kepada dunia baru Pas. Walaupun masih ada kedengaran cakap-cakap belakang selepas berakhirnya seminar ini semalam.

Apa yang pasti Pas hari ini berjaya membuktikan keterbukaan dan ketelusan Pas untuk membina kekuatan dan imej baru merentasi persepsi negatif yang sering dilontarkan oleh media dan pemimpin parti lawan.

Pas bersedia dan berani menjemput tokoh profesional yang tidak berkaitan dengan Pas untuk 'membedah' bagi mencari sebarang punca atau wabak penyakit yang mungkin berlaku. Pas memberi peluang sebebas-bebasnya tanpa syarat kepada dua tokoh akademik iaitu pensyarah Universiti Islam Antarbangsa (UIA) Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dan pensyarah dari Universiti Malaya (UM) Dr. Abu Hassan Hasbullah untuk memberi pandangan kritikal mereka tentang hala tuju dan perjuangan Pas masa kini.

Dalam masa yang sama Pas membenarkan semua media tanpa mengira latar belakang politik untuk membuat liputan tanpa halangan atau syarat. Media yang sering memberi laporan senget sebelah dibenarkan membuat liputan tanpa had dan batasan.

Apa yang dibuktikan dalam seminar yang dianjurkan oleh Pas semalam membuktikan Pas adalah sebuah parti yang terbuka dan bersedia mendengar pandangan dan kritikan berbeza dengan persepsi negatif sebelum ini bahawa Pas sebuah parti yang tertutup dan jumud.

Sebaliknya ia sebagai tempelakan kepada Umno yang sebenarnya tertutup dan jumud yang tidak sanggup serta gentar berhadapan dengan media selain dengan media pro mereka. Buktinya dalam Persidangan Agong Umno yang terbaru bukan sahaja media yang tidak sehaluan seperti Harakah dan Siasah tidak dibenarkan membuat liputan tetapi media berkecuali seperti Malaysiakini, Malaysia Insider dilarang sama sekali memasuki dewan untuk membuat liputan.

Semoga segala resolusi seminar akan segera diterjemahkan untuk memastikan Pas terus mewarnai arus perdana politik negara untuk menamatkan riwayat politik Umno@BN.

KELANTAN TEWAS...PAS PUN BOLEH TEWAS JIKA...

Malam tadi setelah sekian lama tidak menyaksikan aksi sukan boleh sepak tempatan saya menonton siaran langsung Pelawanan Akhir Kelantan-Negeri Sembilan. Atas kertas segala-galanya memihak kepada Kelantan. Semangat pemain dan jumlah penyokong yang saya kira lebih tiga kali ganda mengatasi Negeri Sembilan di stadium Bukit Jalil.

Saya bukan penyokong Kelantan atau Negeri Sembilan malah tidak menyokong mana-mana pasukan bola sepak tempatan. Atas pagar le tu...Tetapi berdasarkan perkembangan dan publisiti Kelantan pastinya pasukan pilihan. Tetapi apa kesudahannya Kelantan tewas 3-1 dalam perlawanan yang saya sifatkan berat sebelah.

Jika Kelantan pasukan pilihan untuk menang boleh tersungkur menelan kepahitan ditewaskan oleh Negeri Sembilan adakah Pas tidak boleh mengalami nasib yang sama?

Pas kini semakin mendapat tempat di mata masyarakat. Dulu Pas dikenali parti golongan 'pak lebai' kini Pas telah melepasi batas dan tembok itu. Malah orang cina dan India sudah tidak segan-segan dan secara terbuka menyatakan sokongan kepada Pas. Wakil rakyat Pas ada di semua negeri di Semenanjung kecuali Melaka. Program Pas di mana-mana mendapat sambutan hebat dan menggalakkan. Dari tukang kebun sehinggalah saintis dan koporat terkenal ada di dalam Pas. Ringkas kata dalam Pas...Semua ada...

Tetapi sikap tak apa, mengabaikan program parti terutama pembinaan diri dan tarbiyyah serta sikap terlalu yakin boleh memakan diri. Pilihanraya umum boleh diadakan bila-bila masa dari sekarang. Apakah dengan isu yang berlaku dan imej Pas hari ini mampu mengekalkan momentum sokongan rakyat kepada Pas?

Bagi ahli dan penyokong teras Pas, sokongan kepada Pas pastinya tidak berbelah bahagi walaupun apa jua yang melanda tetapi cabaran Pas ialah mengekalkan sokongan rakyat tidak berparti khususnya sokongan bukan Islam.

Justeru itu semua pihak dalam Pas perlu melipat gandakan usaha dan meningkatkan sokongan dan momentum kepada Pas dalam usaha menjadikan Pas sebagai alternatif dan pilihan terbaik.

07 November 2009

DR ASRI SERTAI PAS, DR AZIZ BARI SERTAI UMNO?

Spekulasi ini mula belegar di kalangan ramai berdasarkan perkembangan yang berlaku. Dr. Asri diajak ( disuruh kata Ustaz Harun Taib) dalam satu pertemuan di rumah beliau di Kuala Lumpur. Isu JAIS menyebabkan tak pasal-pasal saham Dr. Asri melambung. Isu saman menyaman menyebabkan indeks saham beliau terus naik mendadak. Semasa seminar yang saya hadiri di Palace Of The Golden Horses kelmarin, slot Dr. Asri audien sampai terpaksa berdiri dan melimpah keluar dewan.

Andainya Dr. Asri ditakadirkan menyertai Pas dalam tempoh terdekat sudah pasti ia memberi pukulan maut kepada Umno@BN dengan populariti beliau sekarang. Sekaligus memberi momentum dan kekuatan kepada Pas sekarang yang berhadapan dengan situasi yang berlaku dalam kepimpinan Pas yang didakwa oleh pihak di luar Pas. Sekaligus memberi tonik terbaik kepada Pas setelah tewas di pilihanraya kecil Bagan Pinang.

Begitu juga kepada Profesor Dr. Aziz Bari yang kebelakangan ini begitu 'celupar' mengkritik kepimpinan Pas. Beliau sebelum ini dilihat pro Pakatan Rakyat terutama dalam menyentuh isu-isu berkaitan dengan undang-undang dan pelembagaan. Maka tulisan dan ulasan beliau dijadikan 'fatwa dan hujah' Pakatan Rakyat untuk berhadapan dengan isu penyelewengan undang-undang khususnya dalam krisis yang dicipta Umno@BN di Perak.

Andainya Dr. Aziz menyertai Umno@BN ia pastinya akan memberi kekuatan kepada Umno@BN yang sekarang sedang berhadapan pelbagai krisis kronik sama ada dalam Umno sendiri atau melibatkan komponen mereka dalam BN khususnya MCA,MIC dan Gerakan.

Bagi saya kepada pimpinan dan penyokong Pas agar tak payahlah fikir spekulasi ini. Pas perlu bina kekuatan dari dalam bukannya mengharap orang luar memantapkan perjuangan Pas. Jika berlaku, anggaplah ia sebagai bonus dan bukan faktor penentu kepada kemenangan dan kemantapan jemaah. Berkaitan dengan keceluparan Dr. Aziz Bari dan kemungkinan menyertai Umno biarkanlah, Pas hari ini melangkah dan berdiri gagah kerana iltizam, keikhlasan dan pengorbanan pimpinan dan semua lapisan dalam Pas sehingga Pas begitu digeruni dan dicemburi pada hari ini. Seperti saya sebutkan sebelum ini individu boleh datang dan pergi. Mereka yang hidup akan menempuh saat mati tetapi perjuangan meneruskan kesinambungan dakwah yang dibawa oleh Nabi SAW perlu diteruskan. Berundur tidak sama sekali!

06 November 2009

SELAMAT MENGADAKAN EGM...ehhh...SEMINAR

Esok Kepimpinan Pas Pusat, Dewan-dewan serta saf utama Pas di peringkat negeri dan Kawasan akan berseminar untuk mencari formula dan titik persamaan menyelesaikan segala isu berlaku dan seterusnya memantapkan perjuangan Pas sebagai wadah dan alternatif kepada rakyat Malaysia yang begitu dahagakan perubahan dan pembaharuan setelah sekian lama diperintah regim Umno@Barisan Nasional yang penuh dengan skandal, krisis, rasuah yang mencengkam kehidupan rakyat.

Semoga pertemuan di Dewan Dato Fadzil Nor akan membawa lembaran baru kepada perjuangan Pas. Semoga pertemuan di dewan yang mengambil nama Allmarhum bekas presiden Pas akan kembali memarakkan semangat dan roh perjuangan Allamarhum yang banyak membawa dimensi baru kepada Pas hari ini.

Sebagai orang kecil dalam jemaah saya ingin melihat kemesraan, ukhuwwah dan semangat perjuangan yang selama ini sukar digugat akan kembali bertaut untuk meneruskan visi dan misi perjuangan Pas untuk meneruskan tradisi dan kesinambuangan perjuangan membawa mesej dan dakwah Islam kepada masyarakat.

Saya begitu mengharapkan agar semua pihak yang berseminar akan mencari formula terbaik dan bukan menunding jari kepada mana-mana pihak 'ribut dalam cawan' yang melanda Pas hari ini. Apa yang berlaku hari ini adalah satu proses tarbiyyah untuk memastikan Pas tidak menyimpang dari landasan perjuangan.

Kepada semua pimpinan yang hadir dalam EGM ehhh seminar esok...Selamat Berseminar.

04 November 2009

DR. ASRI AKAN DITANGKAP LAGI?

Saya baru sahaja mengikuti satu majlis ceramah dan perbincangan 'circle talk' bersama Dr. Asri di Palace Of Golden Horses di The Mines Seri Kembangan Selangor. Majlis itu bersempena dengan satu persidangan di peringkat kebangsaan.

Peserta program terdiri dari golongan profesional dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta. Ada juga pegawai kanan PDRM berpangkat supritandent di majlis berkenaan. Dari jabatan agama juga ada, tak pasti pulak dari JAIS ada atau tidak. Tetapi yang pastinya Dr. Asri masih lagi belum dapat 'tauliah' dari JAIS. Bermakna ceramah yang disampaikan adalah 'haram' bagi pihak JAIS.

Memandangkan Dr. Asri sekali lagi telah melanggar undang-undang memberi ceramah tanpa tauliah mungkinkah beliau sekali lagi akan ditangkap oleh polis dan JAIS?
Sedang menyampaikan ceramah secara 'haram', JAIS kena bertindak!

KENAPA WANG EHSAN DAN BUKAN ROYALTI UNTUK KELANTAN?

Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa Kerajaan Pusat setuju memberi 'wang ehsan' kepada Kelantan hasil daripada hasil petroleum dari pesisir perairan Kelantan. Perkara itu diumumkan dalam jawapan kepada ahli Parlimen dari Kelantan di Dewan Rakyat. "Pembayaran' itu akan dibuat melalui projek pembangunan dan projek membasmi kemiskinan setelah berbincang dengan kerajaan negeri.

Pengumuman ini sekali gus mengesahkan bahawa Kelantan memang layak memperolehi hasil petroleum dari bumi Kelantan.

Persoalannya mengapa wang ehsan dan bukan royalti? Wang ehsan bermakna diberi berdasarkan budi bicara dan bila-bila masa boleh ditarik semula. Adakah satu jaminan bahawa pembayaran itu akan dilakukan dengan telus dan adil? Adakah wang ehsan ini mengulangi episod wang ehsan seperti yang berlaku sewaktu Pas memerintah Terangganu? Apa yang berlaku? Kerajaan Pas Terangganu terpaksa mengemis dan terpaksa memfailkan tuntutan dan saman di mahkamah untuk mendapatkan hak wang royalti seperti yang termaktub dalam perjanjian dengan Petronas. Duit yang dinamakan wang ehsan itu diberi kepada 'wakil kerajaan pusat' di Terangganu.Pemberian wang ehsan itu ternyata satu pengkhianatan kepada rakyat Terangganu kerana wang ehsan itu diberi kepada mereka yang tidak berhak dan lebih bertujuan mengayakan kroni dan syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan Umno@BN kononnya atas nama pembangunan. Sebaliknya apabila Umno@BN kembali berkuasa di Terangganu status wang ehsan itu boleh berubah semula menjadi royalti.

Justeru itu perjuangan menuntut royalti untuk rakyat oleh kerajaan negeri Kelantan perlu diteruskan untuk memastikan hak rakyat Kelantan akan dapat dikembalikan untuk menikmati kemakmuran dan kekayaan ini dapat diagih dan diuruskan secara adil dan telus.

SATU LAGI PROJEK RUNTUH KERAJAAN BARISAN NASIONAL

Setelah jambatan runtuh meragut nyawa 3 murid di Kuala Dipang, Umno@BN meneruskan kecemerlangan mereka dengan satu lagi projek runtuh. Kali ini berlaku di Jalan persekutuan di KM 12 Jalan Rawang-Selayang di Bukit Kanching, Rawang yang terpaksa ditutup kepada semua lalulintas hari ini akibat cerun runtuh pada 2.45 pagi tadi.

Bayangkan jika berlaku ketika waktu puncak atau waktu sibuk, tidak dapat dibayangkan berapa lagi tragedi ini akan meragut nyawa. Seperti biasa maka keluarkan kenyataan-kenyataan...Siasatan akan dijalankan, laporan akan diberikan...Kerajaan akan menyalahkan pemaju..pemaju menyalahkan kerajaan...Rakyat? Dengar je lah.....Insyaallah anda mampu mengubahnya dalam PRU ke 13 akan datang.

02 November 2009

ADA YANG MENGELENG TAK PERCAYA DAN ADA YANG BERTEPUK TANGAN GEMBIRA DENGAN PENAHANAN DR. ASRI?

Era 1Malaysia makin bercelaru dan haru biru. Ingatkan Islam Hadhari je yang mengelirukan tetapi Islam 1Malaysia lagi memeningkan. Kalau dah jadi mufti ada PHD pun tak layak mengajar agama agaknya siapa yang layak diberi tauliah mengajar agama era 1Malaysia?

Dalam hal ini kita perlu berhati-hati dengan mufti di negeri masing-masing. Tidak mustahil ada di kalangan mereka tidak ada tauliah untuk menyampaikan atau bercakap hal-hal berkaitan dengan umat Islam. Mungkin juga selama ini kita mendengar ceramah, kuliah dan khutbah Jumaat dari mufti yang tak ada tauliah!

Perdana Menteri 1Malaysia terkejut dengan penahanan Dr. Asri. Ramai juga menteri yang terkejut dan buat-buat terkejut. Jika tindakan menahan Dr. Asri di luar pengetahuan PM, atas arahan dan agenda siapa beliau ditahan? Adakah ada pihak dalam Umno@BN mempunyai agenda atau strategi tertentu? Adakah ini membuktikan bahawa PM cukup lemah sehingga tidak mampu mengawal tindakan orang orang bawahannya sesukati hati?

Bagi saya ada agenda tersembunyi di sebalik penahanan dan tindakan 'memalukan' Dr. Asri. Mungkin banyak pihak yang mengeleng kepala tak percaya dan tidak kurang yang bertepuk tangan gembira. Wallah'ulalam

DR ASRI DITAHAN POLIS MALAM TADI


Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin selepas beliau menyampaikan kuliah di sebuah kediaman di Taman Sri Ukay di sini malam ini.

Penahanan Mohd. Asri pada pukul 12 tengah malam itu dipercayai ada kaitan dengan fahaman Wahabi yang dikaitkan dengan beliau.

Sebelum beliau ditahan, sepasukan anggota polis dan pegawai JAIS telah berada di luar rumah banglo itu sejak pukul 8 malam.

Dianggarkan, terdapat hampir 1,000 orang hadir mengikuti kuliah tersebut.

Anggota polis dan JAIS mula memasuki pekarangan kediaman itu selepas orang ramai meninggalkan banglo tersebut kira-kira pukul 9.30 malam.

Pegawai JAIS kemudiannya dilihat berbincang dengan Mohd. Asri, sebelum dia dibawa tanpa digari ke Balai Polis Ulu Klang.

Mohd. Asri sempat memberitahu para pemberita yang turut berada di kediaman itu supaya mengikutnya ke balai polis tersebut kerana beliau mahu memberi penjelasan mengenai kejadian itu.

Dalam pada itu,kira-kira 2 jam, para pegawai Jais berunding untuk meminta Dr Asri ke pejabat agama atau balai polis berdekatan.

Pada awalnya,Dr Asri mahu para pegawai itu mengambil keterangan di rumah tersebut, namun setelah berbincang agak lama,Dr Adsri akur untuk ke balai polis berdekatan.

Beliau kelihatan menaiki van JAIS dan diiringi oleh beberapa buah kereta peronda polis.

Sebelum pergi, Dr Asri sempat meminta supaya pihak media menunggu beliau dirumah tersebut kerana akan mengadakan sidang media.

"Jangan bimbang,saya akan balik semula ke sini.Doakan saya.

"Tunggu saya...akan membuat sidang media," katanya di hadapan orang ramai dan pihak media yang mengerumuni rumah tersbut.

Dipercayai tangkapan itu,berikutan dakwaan beliau yang dikatakan mengajar tanpa tauliah dan ada kaitannya dengan sidang media semalam serta memo bantahan lantikan beliau selaku Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah(Yadim).

Beliau dipercayai dibawa ke balai polis Hulu Kelang untuk diambil keterangan

Turut berada di rumah banglo itu ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib.

01 November 2009

MENYERTAI PAS AKAN MELENYAPKAN FITNAH KEPADA DR ASRI


Bekas Mufti Perlis, Dr. Asri Zainal Abidin bukan nama baru bagi saya. Saya mengenali beliau pada tahun 1995 semasa belajar di USM, Minden Pulau Pinang. Ketika itu beliau membuat master di bawah seliaan PM Dr. Radzi yang kebetulan juga adalah pensyarah penasihat akademik saya.

Beliau mempunyai karekter dan kepimpinan serta memiliki asas dan pengetahuan agama yang mantap berdasarkan latar belakang akademik serta minat untuk menyampaikan dakwah Islam.

Beberapa hari lepas beliau menerima kunjungan Ustaz Harun Taib Ketua Dewan Ulama' Pas di rumahnya dalam suasana mesra yang saya yakin kehadiran Ustaz Harun Taib sebagai 'utusan rasmi' Pas untuk menjemput Dr. Asri menyertai perjuangan Pas.

Walaupun belum ada sebarang jawapan dari Dr. Asri saya yakin beliau masih menimbangkan perkara itu. Lebih-lebih lagi beliau sebenarnya cukup dekat dengan Pas sama ada dari pergaulan, hubungan kekeluargaan dan rakan taulan. Malah isteri beliau merupakan adik kepada pimpinan utama Pas Melaka.

Hari ini beliau berhadapan dengan tuduhan dan fitnah bahawa beliau bermimpikan jawatan sebagai pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) yang kini dipengerusikan oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Dato'.Nakhaie Ahmad. Belaiu dituduh akan membawa fahaman Wahabi jika diberikan jawatan berkenaan.

Ketika ini beliau berhadapan dengan situasi ini secara 'bersendirian'. Saya yakin fitnah dan tuduhan ini bukan yang terakhir dilemparkan kepada beliau sebagai pendakwah 'bebas'. Maka Dr. Asri wajar memilih satu platform yang tepat untuk meneruskan usaha dakwahnya. Dalam hal ini Pas adalah medan yang terbaik untuk beliau. Saya yakin bukan sahaja akan mengembangkan potensi yang ada padanya tetapi dapat bersama membantu Pas untuk memertabatkan dakwah Islam di muka bumi Malaysia ini.