16 March 2010

MCA PUN TIRU UMNO GUNA CALON KITAR SEMULA


Kalau dah dikatakan sekapal tu maka serba-serbinya kelihatan sama. Jika Umno menerima dan melantik di kalangan mereka yang bermasalah yang diselubungi skandal dan rasuah untuk menjadi pemimpin maka MCA juga tidak mahu ketinggalan.

MCA yang semakin buntu menyelesaikan kemelut yang berlaku terpaksa mengimport bekas pemimpin mereka untuk kembali aktif dalam MCA. Tindakan yang dianggap tidak mampu menyelamatkan MCA yang hampir karam dalam konflik Ong Tee Keat - Chua Soi Lek. Penyertaan Ong Ka Ting bekas presiden MCA yang mengundur diri sebelum ini sebenarnya akan mempercepatkan lagi MCA terus karam dan tenggelam. Sekaligus akan menyumbang penghujung hayat BN dalam pilihanraya akan datang.

Penyertaan pemimpin kitar semula ke dalam MCA, UMNO dan yang sewaktu dengannya jelas menunjukkan bahawa UMNO-BN kini ketandusan pemimpin untuk terus menerajui negara. Berbanding dengan Pakatan Rakyat yang sentiasa memiliki barisan pelapis serta muka-muka baru yang berkterampilan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang akademik dan profesional untuk menjadi alternatif pilihan rakyat dalam pilihanraya umum akan datang. Malah tindakan beberapa ahli parlimen PKR menjadi wakil 'bebas' sebenarnya membuka ruang untuk muka-muka baru menggegarkan persada politik negara.


Memandangkan ramai tokoh kitar semula kini berada dalam BN ada baiknya logo dacing senget sebelah itu ditukar kepada logo kitar semula. Fikir dulu sebelum buang!

14 March 2010

TAK PAYAH TUNGGU KHABAR ANGIN , HARGA BARANG MEMANG DAH MELAMBUNG!

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta orang ramai tidak mendengar khabar angin tentang kenaikan harga minyak dan harga barang keperluan selagi tidak ada pengumuman dari kerajaan 1Malaysia. Menurut beliau lagi selagi tak ada pengumuman rasmi itu spekulasi namanya.

Memang le harga minyak tak naik lagi, tetapi dengan krisis, kegawatan dan kemelut ekonomi yang sedang dihadapai oleh kerajaan 1Malaysia sekarang dan ditambah dengan kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia yang kini semakin menghampiri paras US 100 setong mampukah kerajaan 1Malaysia bertahan?

Nak tunggu pengumuman rasmi kerajaan 1Malaysia baru nak suruh rakyat percaya tentang kenaikan harga barang? Adakah hari ini para peniaga dan pemborong meminta izin atau menulis surat rasmi untuk menaikkan harga barang? Begitu juga berapa ramai peniaga di pasar yang meminta izin dari kerajaan 1Malaysia untuk menaikkan harga bahan makanan basah seperti ikan dan sayur-sayuran?

Jadi apabila kita berhadapan dengan peniaga yang menaikkan harga barang, kita tak boleh percaya. Itu cuma spekulasi sahaja. Maka kita hanya perlu membayar ikut harga lama sahaja. Kalau peniaga tersebut marah-marah maka kita kata itu cuma spekulasi...cubaan..bukan betul-betul!

13 March 2010

1MALAYSIA: ADA PELAJAR KELAPARAN...


Setelah dilantik menjadi Perdana Menteri kalau tak silap saya , Dato Seri Najib telah melakukan kunjungan ke beberapa IPTA. Antaranya UM, UIA dan terkini semalam di UKM. Setiap pertemuan itu digambarkan berlangsung dengan penuh kemesraan untuk mengetahui sendiri kehidupan dan masalah pelajar di kampus. Media menggambarkan Najib duduk semeja beramah mesra dengan pelajar dalam suasana santai dengan mengenepikan protokol.Dalam tujuan lain untuk menggambarkan idea 1Malaysia itu rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan benar-benar dizahirkan.

Sepanjang pertemuan itu adakah Najib benar-benar cuba menyelami kehidupan pelajar atau sekadar untuk propaganda media dan mengaburi masyarakat di luar sana? Adakah Najib tidak dimaklumkan bahawa terdapat pelajar IPT yang terpaksa mengikat perut menahan lapar kerana kos hidup di IPT yang tidak tertanggung? Ini sebagaimana didedahkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah. Adakah pimpinan pelajar yang pro aspirasi (pro Umno-BN) yang bersama Najib itu hanya pandai membodek dan mengampu Perdana Menteri tentang masalah sebenar yang berlaku di kampus?

Sebenarnya isu pelajar terpaksa mengikat perut bukan isu baru. Bukan sesuatu yang luar biasa apabila ramai pelajar terpaksa buat kerja sambilan di sebelah malam atau ketika tidak ada kuliah untuk meneruskan survival kehidupan di kampus. Keadaan diburukkan dengan pembayaran pinjaman PTPN atau agensi tertentu yang tak tentu masa dan sering sangkut-sangkut.

Apabila membuat kerja sambila sudah pasti tumpuan kepada pelajaran terjejas. Tetapi mereka tidak punya pilihan lebih-lebih lagi dalam suasana kos kehidupan dalam negara yang serba serbinya mahal.Saya mempunyai maklumat dan bukti bahawa ada pelajar IPT yang hanya makan dua kali sehari. Namun siapa yang peduli itu semua. Apa yang lebih dirisaukan oleh kerajaan 1Malaysia ialah apabila pelajar IPT menyokong pembangkang atau menyertai program Pakatan Rakyat.

Maka semua usaha dilakukan untuk memastikan pelajar IPT kembali menyokong kerajaan 1Malaysia. Justeru itu pelbagai cara dilakukan sama ada campur tangan pilihanraya kampus sehinggalah mengatur pelbagai program dan peraturan dengan berlindung di sebalik AUKU untuk mengikat dan menjerut pelajar.

12 March 2010

PERINGATAN BUAT YANG SERING MEMPERSENDAKAN MUNAJAT MEREKA YANG DIZALIMI


Hari ini di bumi Kelantan berlaku satu peristiwa yang wajar menjadi renungan mencetuskan keinsafan serta meningkatkan ketakwaan di sisi Allah SWT. Solat sunat Istisqa yang diimamkan oleh YAB Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk memohon hujan ditunjukkan tentang tanda dan kebesaran Allah SWT.

Seramai kira-kira 2000 jemaah yang turut serta dalam sunat itu mengalami peristiwa yang menakjubkan apabila hujan mula turun sebaik sahaja bacaan surah Al Fatehah dimulakan. Peristiwa ini memberi isyarat yang cukup jelas bahawa doa dan munajat mereka yang ikhlas sentiasa berserah diri mengharapkan pertolongan Allah akan diperkenankan oleh Allah SWT. Cuma masa sahaja yang menentukan.

Sebelum ini seringkali pemimpin Umno mempersendakan apabila puluhan ribu rakyat Kelantan bermunajat seperti dalam isu royalti minyak yang dituntut oleh kerajaan Pas Kelantan. Malah ada suara-suara sumbang ulama Umno yang memperleceh munajat rakyat Kelantan agar pemimpin Umno yang menafikan hak rakyat Kelantan ditimpa bala.

Pemimpin Umno-BN mungkin boleh mengarahkan pihak polis untuk menghalang program Pas dan Pakatan Rakyat. Mereka juga boleh berlindung dengan mengarahkan polis untuk menangkap pemimpin PR seperti yang dialami oleh Mazlan Aliman. Mereka juga boleh menggunakan semua institusi yang di bawah telunjuk mereka daripada polis, SPRM dan mahkamah untuk mereka cerita dan bukti untuk memalukan pemimpin PR. Mereka juga boleh menggunakan segala bentuk media untuk menghalalkan segala tindak tanduk mereka. Tetapi mampukah Umno-BN menghalang kekuasaan Allah SWT?

Peristiwa yang berlaku di Kelantan hari ini memberi ingatan kepada bekas ahli parlimen dari Pakatan Rakyat yang melompat seperti YB Bagan Serai,Mohsin Fadzli Samsuri yang telah tamat tempoh meletak jawatan yang diberikan oleh Ustaz Ahmad Awang untuk berhadapan solat hajat selama dua minggu. Datuk Jamil Khair dan ustaz dan Tan Sri Harussani mufti Perak boleh mempertikaikan solat hajat berkenaan tetapi mampukah mereka berdua menghalang jika Allah SWT memperkenankan munajat berkenaan?

Maka kepada semua pemimpin Umno-BN yang sering mempersendakan munajat mereka yang tertindas dan dizalimi....tunggulah masa dan ketikanya. Lambat atau cepat balasannya pasti tiba...

11 March 2010

ISU DEBAT ZULKIFLI NORDIN-KHALID SAMAD : HANYA BUDAK HINGUSAN YANG TAKUT BERDEBAT

Kalau tak silap saya sudah dua tiga hari YB Khalid Samad ahli parlimen Shah Alam mencabar YB Zulkifli Nordin untuk berdebat isu kalimah Allah. Isu yang mencetuskan konflik mereka berdua sehingga membawa kepada pemecatan Zulkifli Nordin dari PKR.


Tetapi sehingga hari ini belum terdengar sebarang jawapan dari Zulkifli Nordin yang cukup lantang di depan media sehari dua ini. Sebelum ini pelbagai istilah diberi kepada pemimpin Pakatan Rakyat dari anak firaun sehinggalah ke budak hingusan semua terpacul dari mulut beliau. Beliau sebelum ini cuba menggambarkan bahawa dirinya seorang yang berprinsip dan tidak akan menggadaikan prinsipnya. Jadi gelanggang debat adalah medan yang terbaik untuk membuktikan keberanian dan prinsip yang dipertahankan.

Sudah pasti ramai yang menunggu kehadiran dan jawapan beliau dalam sesi debat nanti. Kita tunggu adakah beliau bersedia berdebat atau sebaliknya. Bagi saya hanya budak hingusan sahaja yang tidak berani berdepan dan berdebat di depan khalayak ramai.

10 March 2010

APA KHABAR NASIR SAFAR?


Sudah lebih sebulan kes hasutan melibatkan Datuk Nasir Safar orang kepercayaan Perdana Menteri 1Malaysia terhadap orang cina dan India dalam satu program di Melaka berlalu.Berpuluh laporan polis sudah dibuat. Ketua Polis Melaka sebelum ini mengumumkan polis sudah melengkapkan siasatan.

Tetapi yang peliknya kes itu kini seolah-olah cuba disenyapkan. Sehingga hari ini tidak ada perkembangan susulan kes berkenaan. Boleh jadi Jabatan Peguam Negara sangat sibuk dengan kes liwat Dato seri Anwar Ibrahim sehingga tak sempat untuk membawa kes berkenaan ke mahkamah. Berbeza dengan kes Blogger Aduka Taruna sepantas kilat semua pihak terlibat dari polis sehingalah Jabatan Peguam Negara membawa kes berkenaan ke mahkamah. Apakah istimewanya Nasir Safar? Adakah mereka bimbang kes berkenaan akan memberi kesan kepada Umno atau lebih tepat lagi kepada bekas bos Nasir Safar? Semua ini menguatkan dakwaan bahawa institusi undang-undang di negara ini hanya mengikut telunjuk pemerintah. Jika begitu situasinya maka kita tidak boleh menyalahkan rakyat jika mereka hilang kepercayaan kepada sistem kehakiman di negara ini. Jadi apa pilihan yang ada untuk menegakkan keadilan dan undang-undang? Pilihanraya? Jalanraya?

07 March 2010

PECAT ZULKIFLI NORDIN BUKTI PKR DAN PR KUAT


Akhirnya skrip Zulkifli Nordin ahli parlimen Kulim Bandar Baru ditamatkan dalam PKR dan Pakatan Rakyat. Maka berakhirlah episod cerita ' Firaun Kecil' di dalam PKR. Tindakan memecat Zulkifli Nordin merupakan tindakan tepat dan wajar kerana tindakan sumbang beliau yang bertentangan dengan prinsip organisasi.

Pemecatan Zulkifli Nordin membuktikan bahawa tidak ada kompromi kepada mereka yang mengkhianati perjuangan serta bertindak melampaui batas serta tidak memahami etika perjuangan.

Apa yang lebih penting pemecatan Zulkifli Nordin membuktikan bahawa PKR khasnya dan PR amnya jauh lebih kuat berbanding dengan Umno-BN. Umno tidak berani memecat Datuk Seri Ali Rustam dan Khairy Jamaludin walaupun mereka berdua bergelumang dengan rasuah.Umno bimbang sokongan dan pengaruh Ali Rutsam dan Khairy akan menyebabkan perpecahan dan pergolakan dalam Umno.

Umno juga tidak berani memecat malah hanya memekakkan telinga, membutakan mata serta membatukan diri apabila Tengku Razaleigh berada di pentas kerajaan Pas Kelantan memperjuangkan isu royalti minyak. Begitu juga Umno tidak berani bertindak apabila semua Adun Umno Kelantan menyokong usul membawa royalti minyak ke mahkamah yang bertentangan dengan pendirian Umno Kelantan berhubung isu ini.

Umno juga tidak berani bertindak apabila Datuk Idris Jusoh dan kuncu-kuncunya di Terangganu secara terbuka dan tersembunyi menunjukkan sikap penentangan terhadap kepimpinan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terangganu.ganu.Maka hari ini Umno terpaksa menyimpan 'biawak hidup' serta membiarkan api dalam sekam terus membakar dari dalam Umno.

Dalam situasi yang lain dalam kompoenen BN seperti MCA dan PPP mereka tidak mampu melakukan apa-apa walaupun berlaku penentangan dan pergolakan secara terbuka dalam parti.

Maka dengan keberanian dan ketegasan PKR memecat Zulkifli Nordin membuktikan siapa yang lebih kuat dan berprinsip?

06 March 2010

KEMARUK 2/3 SEHINGGA TERLUPA UMNO-BN SEDANG CACA MARBA

Pemimpin Umno-BN dan mereka yang sewaktu dengannya pastinya cukup seronok dengan perkembangan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat. Sudah ada tiga ahli parlimen yang melompat jadi 'wakil bebas'. Bermakna Umno-BN mendapat 3 kerusi parlimen tanpa perlu pilihanraya kecil. Kemungkinan dalam tempoh terdekat parlimen Kulim Bandar Baru akan masuk dalam senarai berkenaan.

Stituasi ini menyebabkan Umno-BN semakin kemaruk dengan misi untuk kembali mendapat majoriti 2/3 di parlimen. Adakah semudah itu? Dalam sibuk-sibuk mencari atau mengenal pasti serta mencari mana lagi ahli parlimen yang goyah dan tidak bermoral serta diselubungi masasalah peribadi atau kewangan untuk diajak dalam pesta lompat melompat ini, Umno-BN terlupa bahawa mereka kini semakin parah dan kronik.

Pergolakan dan MCA dan PPP sudah tidak boleh diselamatkan. Budaya tikam belakang dalam Umno serta komponennya terus berlaku dan berluasa.

Melihat sokongan kepada program Dato Seri Anwar Ibrahim di dua tempat berbeza di Melaka malam tadi yang dihadiri oleh lautan manusia cukup memberikan gambaran bahawa pengaruh dan sokongan terhadap Pakatan Rakyat bukan sahaja tidak tergugat malah semakin semakin mendapat sokongan.

Dalam masa yang sama program lain Pakatan Rakyat seperti di Melaka melalui program ceramah, program sambutan Tahun Baru Cina memberi isyarat yang cukup jelas yang menggerunkan Umno-BN bahawa mereka bakal tersungkur dalam pilihanraya umum akan datang.

Jadi biarkanlah mereka bergembira dan berseronok seketika menjaga tepi kain orang sehingga mereka lupa apa yang berlaku dalam kain sendiri. Kepada pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat lipat gandakan usaha untuk misi yang lebih besar dalam pilihanraya umum akan datang.

03 March 2010

UMNO -BN SEBENARNYA YANG TERDESAK!

Sehari dua ini mungkin pemimpin Umno bersorak dengan perkembangan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat. Bagi saya biarkanlah mereka bertepuk tangan, berkeroncong dan berdondang sayang.

Biarkan mereka bergembira seketika supaya mereka terlupa porak peranda dan tsunami yang bakal melanda mereka. Mereka fikir dengan cara itu rakyat akan memaafkan 'dosa-dosa' mereka selama memerintah negara.

Apakah mereka fikir rakyat akan lupa kegawatan politik ciptaan mereka di Perak? Apakah mereka fikir pengundi di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor akan kembali untuk mengundi Umno-BN kembali? Apakah mereka fikir rakyat akan lupa apa yang berlaku pada Altantuya? Apakah mereka fikir rakyat lupa tentang misteri kehilangan enjin pesawat? Apakah mereka fikir rakyat lupa tentang tragedi kapal selam yang tak boleh tenggelam?Apakah mereka fikir rakyat terhibur dengan berita propaganda media ketika rakyat sedang mengikat perut? Adakah mereka fikir rakyat akan percaya bulat-bulat Dato Seri Anwar meliwat si Saiful yang lebih gagah daripadanya?

Jika itu yang mereka percayakan silalah buat pilihanraya sekarang. Berdasarkan perkembangan sekarang saya cukup yakin rakyat semakin tidak sabar untuk menumbangkan Umno-BN dalam pilihanraya umum akan datang. Saya melihat sokongan yang semakin meningkat terhadap Pakatan Rakyat terutama daripada pengundi cina di seluruh negara. Saya yakin Umno-BN menyedarinya, sokongan pengundi cina kepada Umno-BN semakin merudum. Hakikat itu cukup digeruni oleh Umno-BN.

Maka terdapat teori mengatakan Umno-BN amat terdesak untuk mendapat undi 2/3 di parlimen. Hanya undi 2/3 di parlimen sahaja yang membolehkan Umno-BN membuat persempadanan semula kawasan pilihanraya. Jika persempadanan semula dibuat sudah pasti ada pertambahan kawasan parlimen yang majoriti Melayu kerana mereka tidak yakin di parlimen yang mempunyai ramai pengundi cina. Andaiannya, pengundi Melayu umpama tunggul kayu yang mudah ditipu yang diangggap secara tradisi menyokong parti penipu dan pengampu.

Maka berdasarkan perkembangan yang berlaku, Umno-BN yang sebenarnya yang terdesak dan bukannya PAS,PKR dan DAP atau Pakatan Rakyat. Kepada Pakatan Rakyat buatlah yang terbaik untuk memastikan cita-cita Umno-BN mendapat undi 2/3 di parlimen tidak kesampaian. Terjemahkan perpaduan dan kekuatan supaya kemaraan ke Putrajaya selepas PRU ke 12 akan menjadi kenyataan.

AHLI PKR YANG MELOMPAT UMPAMA ANAI-ANAI

Hari ini seorang lagi ahli parlimen PKR melompat menjadi ahli parlimen bebas ( Umno le tu ). Kali ini ahli parlimen dari Bagan Serai Mohsin Fadzli Samsuri. Kemungkinan selepas ini ada lagi ahli parlimen PKR yang 'gelap mata' bakal melompat untuk melaksanakan teori BN 2/3 di parlimen sebelum PRU umum menjadi kenyataan. Apa yang pasti ada 'projek khas' yang bakal dilaksanakan jika BN dapat sokongan 2/3 di parlimen.

Mohd. Fairuz Khairudin bekas adun Penanti yang melompat memberi amaran agar menghentikan segala serangan peribadi kepada beliau. Menurutnya sarang tebuan jangan dijolok. Bagi saya Fairus dan mereka yang sewaktu dengannya yang telah melompat dari Pakatan Rakyat bukannya sarang tebuan tetapi sarang anai-anai yang wajib dibinasa dan dimusnahkan. Jika anai-anai ini dibiarkan membuat dan membesarkan sarangnya lambat laun ia boleh menyebabkan bangunan pencakar langit pun boleh menyembah bumi.

Maka tindakan mereka keluar dari Pakatan Rakyat dan PKR perlu dibiarkan dan dilihat secara positif sebagai langkah pembersihan anasir-anasir yang boleh merosakkan Pakatan Rakyat pada masa kini dan akan datang. Tindakan mereka keluar sama ada ke dalam Umno atau 'bebas' sebenarnya akan lebih memantapkan Pakatan rakyat pada masa depan apa yang penting rakyat akan menterjemahkan sokongan mereka kepada Pakatan rakyat melalui kertas undi pada pilihanraya umum akan datang. Jika Umno-BN merasa mereka cukup kuat dan mendabik dada dapat 'membeli' atau 'memujuk' Adun atau ahli parlimen menyertai mereka beranikah mereka untuk membubarkan DUN atau parlimen?