07 May 2009

INIKAH PENDERHAKA ITU?


Apabila Dato Seri Ir Nizar Jamaludin tetap dengan keputusan tidak melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Perak maka juak-juak dalam Umno menggelarnya penderhaka kepada raja. Nizar juga dituduh bersikap biadab kepada Sultan dan Raja Muda Perak.

Tetapi melihat kepada gambar ini sekaligus menjawab segala tuduhan-tuduhan liar Umno. Melihat kepada gambar ini jelas menunjukkan kesopanan dan kemesraan di antara Nizar dan pihak istana.Menurut Nizar sewaktu dipanggil, "Raja Nazrin memaklumkan bahawa baginda meletakkan penghormatan yang tinggi terhadap saya dan Datuk Ngeh Khoo Ngam (bekas Exco Kanan semasa kerajaan Pakatan) dan memaklumkan bahawa Raja berada di atas politik (tidak mencampuri soal politik),"

UMNO SENGAJA MENEMPAH KERANDA DAN MENGGALI LUBANG KUBUR MEREKA SENDIRI


Saya bertanya pada diri sendiri kenapa Umno bertindak membuta tuli di Perak?Siapakah yang telah menasihati Umno untuk bertindak seperti kebudak-budakan di Perak? Apa yang berlaku tidak layak diingat dan dikenang sebagai sejarah negara kerana ia akan menyebabkan generasi akan datang menggelakkan tentang kedunguan golongan yang mendakwa sebagai golongan pembaharuan 1 Malaysia.

Apa yang dilakukan oleh Umno seperti sengaja menempah keranda untuk mereka dikafankan lebih awal dalam kamus politik negara. Berdasarkan sembang-sembang dengan beberapa rakan yang masih setia dalam Umno mereka hanya mampu mengeleng-geleng kepala menyaksikan kebodohan pemimpin mereka sendiri seperti yang ditunjukkan di Dun Perak hari ini.

Apa yang berlaku di Perak hari ini akan terus memarakkan keazaman majoriti rakyat di negara ini untuk menolak Umno buat selama-lamanya. Sudah terlambat bagi Umno untuk membuat perubahan atau cuba menakut-nakutkan rakyat. Mereka boleh menangkap dan menyumbat siapa sahaja ke dalam lokap dan penjara. Mereka juga boleh menipu dengan mendabik dada dengan mengatakan mereka berjaya pada hari ini tetapi mereka tidak mampu untuk memujuk rakyat agar kembali menyokong Umno.

Apa yang dilakukan Umno hari ini umpama membina keranda mereka sendiri untuk disumbatkan ke dalam liang lahad, dikambus dan ditalkinkan untuk dulu kini dan selamanya...




1 MALAYSIA: PEMERINTAHAN ALA SAMSENG?

Hari ini sejarah tercipta apabila Umno@BN mengupah samseng dan mengarahkan polis merampas kerusi speaker Dun Perak. Tindakan yang sama sekali menghina dan mencemar kesucian lambang demokrasi yang belum pernah berlaku dalam sejarah moden manusia di mana-mana pun penjuru dunia.

Inilah gaya dan lagak samseng pemimpin Umno@BN yang kononnya mengutamakan rakyat. Mereka bersikap rakus dan mengamalkan tindakan ala gangster untuk menafikan pilihan rakyat dalam pilihanraya lalu. Apa yang berlaku begitu menjelik dan memalukan tindakan hodoh yang tidak berperikemanusiaan. Semua ini berlaku apabila pemimpin yang tidak amanah mementingkan tembolok dan nafsu nafsi dipilih untuk menerajui negara.

Apa yang berlaku bukan sahaja menghina sistem demokrasi tetapi juga mencemar nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Tak tahu apalah nasib agama, bangsa dan negara ini selagi pemimpin seperti ini dibiarkan bermaharajelala menerajui negara. Negara boleh hancur dan terlingkup apabila mereka menafsirkan undang-undang mengikut kamus dan kemahuan sendiri.

ORANG GILA DI TANJUNG RAMBUTAN PENING KEPALA DENGAN KERJA GILA DI DUN PERAK

Bila mendengar Tanjung Rambutan terus kita membayangkan tentang hospital yang menempatkan orang yang sakit jiwa, mengalami gangguan emosi dan psikoterapi kronik atau dipanggil gila.

Pengalaman saya membuat lawatan ke hospital seperti ini di Tampoi Larkin Johor Baharu untuk membuat kajian ilmiah, orang gila ini ada juga kewarasannya. Misalnya ada yang dapat mengingati asal usul diri dan mempunyai sifat dan nilai-nilai kemanusiaan.Sebab itulah ada di kalangan penghuni di hospital gila dibenarkan berkeliaran bebas di perkarangan hospital. Cuma sifat mereka yang kadang-kadang gila-gila menyebabkan mereka tidak boleh bersama masyarakat umum yang tidak gila.

Tetapi apa yang berlaku di DUN Perak hari ini menunjukkan sifat-sifat yang lebih gila daripada penghuni di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan. Di antara ciri-ciri gila yang dikenal pasti ialah :

1. Gila menangkap orang
2. Gila nak jadi speaker
3. Gila nak jadi menteri besar
4. Buat-buat gila.....

SELEPAS LANTIK MB HARAM KINI LANTIK SPEAKER HARAM PULA

Umno@BN makin tak faham undang-undang, memang sengaja mencabuli prinsip undang-undang yang sebelum ini digubal oleh mereka selepas era penjajah. Sebentar tadi mereka melantik bekas Adun Rapat Setia G. Ganesan sebagai 'speaker Dun".

Lebih meloyakan mereka melantik speaker tersebut dengan dikelililingi oleh adun Umn@BN sahaja dalam sidang Dun Perak. Setelah gagal mengadakan sidang DUN mereka cuba melantik speaker di kalangan mereka sendiri tanpa ada sebarang usul pelantikan dan pelucutan jawatan speaker dilakukan. Mana punyai kitab undang-undang yang mereka pakai?Benarlah kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Umno@BN gopoh untuk berkuasa di Perak.Kegopohan mereka menyerlahkan kebodohan mereka sendiri yang bertindak membelakangi undang-undang.

Hari ini Perak mencipta satu lagi sejarah dan rekod dunia mempunyai dua menteri Besar dan dua speaker. Keadaan huru hara ini memang sengaja dicipta oleh Umno@BN. BUBARKAN DUN PERAK !

BUBARKAN DUN PERAK

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin saya memohon agar DYMM Sultan Perak mendengar suara hati majoriti rakyat Malaysia agar bubarkan segera Dun Perak untuk memulihkan kemelut dan konflik yang berlaku.

Ternyata usaha Umno@BN hari ini untuk membuat rampasan kuasa kedua di Perak hari gagal apabila speaker yang dilantik mempunyai kuasa yang tidak boleh dicabar dan dipertikaikan. Sehingga saat ini sidang Dun masih gagal dilaksanakan. Adakah kita terus hendak melihat adegan yang menjijikkan ini dalam sejarah politik negara?Kembalikan kuasa kepada rakyat...Pulihkan demokrasi..

06 May 2009

1 MALAYSIA : RAKYAT DITAKUTKAN, POLIS DIPERALATKAN..


Saya tidak terkejut dengan siri operasi polis yang terbaru yang melibatkan jurucakap BERSIH, Wong Chin Huat ,Naib Presiden Pas, Tn. Hj. Muhamad Sabu dan Cikgu Bard hari ini dan malam tadi. Semua ini menepati ramalan ramai pihak sebelum ini bahawa pihak polis akan digunakan oleh Dato Seri Najib untuk memastikan beliau terus dapat bertapa di singgahsana Perdana Menteri satu satu jangka masa yang lama.

Terbukti benar segala telahan, pembebasan akhbar Harakah dan Suara Keadilan dan beberapa tahanan ISA sejurus dilantik sebagai PM hanya gimik murahan untuk menutup watak sebenar Najib sepanjang menjawat tugas nombor satu negara.

Semua ini bertujuan untuk mengertak dan mengugut rakyat supaya menutup mulut dari membicarakan hal-hal kontroversi yang dikaitkan dengan beliau. Saya yakin semua ini baru langkah permulaan dan tidak mustahil lebih banyak operasi polis akan dilakukan bagi memastikan konsep 1 Malaysia: Rakyat ditakutkan, kezaliman dihalalkan akan dilaksanakan.

Tindakan terbaru yang dilakukan ini menunjukkan Umno@BN tidak belajar sejarah keruntuhan kerajaan dan tamadun moden abad ini, bahawa petanda kerajaan akan tumbang apabila suara rakyat yang inginkan reformasi sebenar dinafikan haknya.

DR MAHATIHIR : RAJA TIDAK ADA HAK PECAT KETUA KERAJAAN


Tun Dr Mahathir menyatakan hari ini bahawa seorang raja tidak mempunyai hak untuk memecat ketua kerajaan. Perkara ini menurut beliau jelas dalam pelembagaan negara bahawa raja hanya mempunyai kuasa melantik ketua kerajaan seperti Perdana Menteri oleh DYMM Agung tetapi tidak ada hak untuk melucutkan jawatan tersebut kecuali melalui undi tidak percaya.

Sebenarnya orang kat kampung saya semua dah tahu...Pak cik mak cik yang menoreh getah pun tahu perkara ini.Cuma Umno@BN dalam kerajaan 1 Malaysia je yang buta tentang fakta dalam undang-undang dan pelembagaan. Apa-apa pun kita tunggu aje lah mungkin petang nanti kes mahkamah yang berkaitan krisis politik di Perak akan diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi. Dalam kerajaan 1 Malaysia macam-macam boleh berlaku...

SAMBUT HARI LAHIR PUN TAK BOLEH DALAM ERA 1 MALAYSIA?


Semalam jurucakap Bersih Wong Chin Huat ditahan polis dan bakal didakwa di mahkamah kerana suruh orang pakai baju hitam. Hari ini tiga orang lagi ditahan. Puncanya sambut hari lahir Altantuya Sharibu .

Mereka yang ditahan oleh polis Daerah Putrajaya ialah
Sani Md Shah ditahan jam 11.15 pagi apabila memegang kek hari jadi, sementara Saufi Mihat dan Yasir Sheikh Abdul Rahman ditahan tidak lama selepas itu sewaktu memegang kain rentang di depan pintu masuk kompleks Jabatan Perdana Menteri.

Zaman 1 Malaysia ini macam-macam boleh berlaku. Kita tunggu apakah akta atau seksyen yang akan digunakan untuk mendakwa mereka bertiga. Mungkin seksyen tiga suku, sambut birthday tanpa izin!

SURUH PAKAI BAJU HITAM PUN SALAH?


Hanya kerana meminta rakyat Malaysia berpakaian hitam sebagai tanda protes kepada sistem demokrasi yang disifatkan telah berkubur, jurucakap Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Wong Chin Huat telah ditahan polis dibawah Akta Hasutan malam tadi.

Dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina di ibu negara semalam, bersih telah meminta agar
seluruh rakyat Malaysia untuk berkabung pada 7 Mei 2009 (Khamis) dengan berpakaian hitam ke pejabat, ke sekolah, ketika beriadah mahupun di rumah bagi menunjukkan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak tanda ' 1 Malaysia GELITA'.

Tangkapan terbaru mengikut Akta Hasutan ini sekali lagi membuktikan ketakutan kerajaan tentang kebangkitan suara hati rakyat Malaysia. Semua ini membuktikan pembaharuan 1 Malaysia hanyalah gimik dan omong-omong kosong.

Apa lagi erti demokrasi kalau segala hak dan kebebasan rakyat dicabuli dan dinafikan. Sebelum ini pelbagai hak rakyat yang dijamin dalam negara yang mengamalkan demokrasi sebenar seperti hak berhimpun, hak bersuara, berpolitik sering dinafikan oleh kerajaan Umno@BN hari ini.

Tindakan ini sekali lagi memalit tompok hitam kepada demokrasi negara. Apa yang dilakukan oleh kerajaan Umno@BN tidak mampu memulihkan kegawatan politik yang ada sebaliknya akan meningkatkan kebencian rakyat untuk mempercepatkan hayat kerajaan yang ada.