09 July 2009

TAK PAYAHLAH NAK CABAR PAS KALAU AJAK BERDEBAT PUN TAKUT!


Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencabar Pas dalam kempen pilihanraya Kecil Manek Urai agar membuktikan bahawa selama ini Umno tidak memperjuangkan Islam sejak negara mencapai kemerdekaan.

Tak payahlah nak cabar-cabar, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat dah acap kali sebut, surat rasmi pun telah dihantar untuk ajak berdebat. Kalau cabaran berdebat dengan Tuan Guru pun tak berani tak payahlah bergegar-gegar untuk mencabar Pas untuk buktikan itu dan ini. Malah bukan kali pertama pemimpin Umno takut berdebat atau menolak undangan untuk bertemu secara terbuka dengan pimpinan Pas.

Pelbagai alasan digunakan, tak masuk akal, buang masa, strategi politik....dan macam-macam lagi. Siapa yang takut sebenarnya?

08 July 2009

DUA KISAH TRAGIS

Kisah 1

Kisah yang pernah mengemparkan negara satu ketika dulu apabila Mek Wook Kundor,106 berkahwin dengan seorang pemuda, Mat Noor Che Musa, 37. Maka ramai yang berkata cinta itu buta tidak mengenal usia.

Hari ini Mek Wook terpaksa berpisah dengan suami tercinta apabila suaminya ditahan oleh Agensi Dadah kebangsaan kerana terlibat dalam penagihan heroin dan dihantar ke Pusat pemulihan Dadah di Sungai Besi. Maka Mek Wook terpaksa berpisah dengan suaminya selama 2 tahun. Mek Wook pasti akan kembali kesunyian selepas ini.
Mek Wook dicium suaminya sebelum berpisah untuk ditahan di Pusat Serenti Sungai Besi

Kisah 2

Kisah ini melibatkan seekor beruk yang juga bernama Mek Wook yang tiga hari lepas 'diimport' oleh Kerajaan Negeri Melaka untuk mempromosikan produk pertanian di negeri Melaka. Mek Wook dibawa khas dari tuannya di Terangganu sebagai usaha kerajaan negeri Melaka untuk menunjukkan kepandaian beruk memetik dan mengupas kepala kepada pelancong dan pengunjung di Melaka.

Beruk berkenaan ditambat di belakang kediaman rasmi ketua Menteri Datuk Seri Muhd. Ali Rustam. Malangnya beruk berkenaan ditemui mati semalam yang dipercayai akibat 'tekanan perasaan'. Ali Rustam dilaporkan terkejut dengan kematian beruk berkenaan.
Tinggal kenangan....saat-sat manis Ali Rustam dan Mek Wook...

KENAPA TANGGUH MANSUH PPSMI?


Kerajaan hari ini mengumumkan dasar PPSMI akan dilanjutkan sehingga 2012. Perkara ini diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri 1Malaysia merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan hari ini.

Pengumuman ini sekali gus secara tidak langsung kerajaan mengakui bahawa dasar PPSMI yang diperkenalkan era Tun Dr. Mahathir telah gagal. Bermakna projek yang menelan belanja lebih RM 5 bilion lebur kerana kegelojohan dan pemikiran dangkal yang menyebabkan ramai pelajar khususnya dari kaum Melayu di luar bandar makin tertinggal dan terkebelakang dalam pencapaian akademik khususnya dalam subjek matematik dan sains yang sebelum ini mendewa-dewakan bahasa Inggeris.

Bermakna ' Satu Lagi Projek Barisan Nasional' menemui kegagalan. Sekiranya kerajaan boleh secara tergesa-gesa melaksanakan PPSMI sebelum ini mengapa untuk memansuhkannya perlu menunggu masa yang lama?

Alasan yang diberi supaya pelajar yang terlibat dalam sistem ini tidak terjejas jika dimansuhkan serta merta adalah tidak masuk akal kerana pelajar yang terlibat dalam sistem ini sekarang terbukti berhadapan dengan pelbagai masalah yang membebankan sepanjang dasar ini dilaksanakan. Sepatutnya sistem ini paling lewat pun dimansuhkan adalah penghujung tahun ini bukan tempoh tiga tahun yang lama seperti diumumkan. Tempoh 5-6 bulan adalah mencukupi untuk proses peralihan seperti penyediaan buku teks, soalan peperiksaan dan sebagainya.

Tindakan menangguhkan pelaksanaan PPSMI sehingga 2012 seolah-olah kerajaan Umno dan Barisan Nasional telah mendapat isyarat bahawa mereka akan menjadi pembangkang selepas piliahanraya Umum ke 13 yang dijangka pada tahun 2012. Penangguhan PPSMI sehingga 2012 lebih kepada agenda politik tersembunyi daripada membela nasib pelajar khususnya orang Melayu.

DARIPADA LEBIH 2000 HOTEL HANYA 170 ADA SIJIL HALAL


Blog ini pernah menyiarkan tentang status halal makanan hotel-hotel yang ada di seluruh Malaysia. Tetapi perkara ini masih dipandang ringan oleh banyak pihak seolah-olah hal ini bukan satu isu yang penting. Tetapi bagi mereka yang sering manghadiri kursus, mesyuarat dan seminar di hotel saban minggu seperti saya hal ini sesuatu yang begitu membimbangkan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC)., Datuk Seri Jamil Bidi daripada lebih 2000 hotel yang terdapat di negara ini hanya 170 hotel sahaja yang memiliki sijil halal.Hotel yang mempunyai sijil halal itu meliputi 15 buah hotel lima bintang, hotel empat bintang (23), hotel tiga bintang (101), hotel dua bintang (14) dan selebihnya hotel tanpa bintang.

Bagi saya pihak kerajaan perlu tegas dalam hal ini seperti menyenarai hitamkan hotel yang masih belum memiliki sijil halal daripada sebarang penganjuran pakej kursus dan sebagainya. Langkah ini saya kira berkesan kerana kebanyakan hotel di negara ini bergantung kepada program jabatan dan agensi kerajaan di hotel mereka berbanding penginapan daripada individu, keluarga dan syarikat.

Tetapi saya perhatikan kebanyakan jabatan dan agensi kerajaan main hentam dan tibai semacam je dalam memilih hotel untuk menganjurkan sesuatu program. Ini mungkin hendak memudahkan kerja mereka, karenah birokrasi, kesesuaian pakej hotel ditawarkan berbanding had kelayakan.Malah bukan sesuatu yang perlu disembunyikan bahawa majoriti chef di hotel terdiri daripada bukan Islam dan lebih malang lagi terdiri daripada warga negara asing.


Saya melihat persoalan halal haram ini begitu dipandang remeh oleh umat Islam di negara ini. Jadi tidak hairanlah kenapa pengusaha hotel 'besar kepala' dan tidak ambil berat tentang keperluan menyediakan makanan yang mendapat pengitirafan sijil halal daripada agensi yang ditetapkan oleh kerajaan.

Kepada penganjur dalam jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dalam program yang diadakan di hotel menjadi tanggunjawab mereka untuk memilih dan memastikan hotel yang dipilih menyediakan makanan yang halal bukannya sekadar 'sedap' dan 'mewah' serta harga yang berpatutan yang menjadi keutamaan.

07 July 2009

SAYA SANGGUP BELI RUMAH KHIR TOYO RM 5 JUTA!


Mantan Menteri Besar Selangor menafikan dakwaan bahawa rumahnya bernilai RM 24 juta sebaliknya mengatakan nilai rumah dan tanah berkenaan hanya RM 3.5 juta yang dibeli melalui pinjaman bank HSBC selama 30 tahun.

Seorang saudara saya yang tinggal dalam seksyen kejiranan yang berdekatan dengan istana baru Khir Toyo memberitahu rumah berkembar yang dibelinya tahun lepas dengan luas 30 X 80 pun dah nak mencecah RM 1 juta!

Jika begitu nilainya apa kata saya menawarkan Khir Toyo RM 5 juta untuk harga rumah dan tanah yang dimilikinya sekarang? Mungkin ada orang kata saya mana ada duit! Betul saya tak dapat nak bayangkan berapa banyak timbunan duit RM 5 juta. Paling banyak pun saya pernah pegang ditangan dalam rm 15 ribu.Itu pun dah menggigil semacam.Lainlah macam Tan Sri Muhd. Taib yang ditangkap ketika pikul duit berjuta- juta di Australia tidak lama dulu.

Jadi macam mana saya nak dapat duit sebanyak tu? Saya rasa dengan harga RM 5 juta yang ditawarkan mana-mana bank boleh menawarkan pinjaman. Apalah sangat dengan nilai RM 5 juta berbanding tanah dan rumah yang boleh dijadikan cagaran di bank yang bernilai puluhan juta. Kalau pinjam dengan ah long pun walaupun faedah yang dikenakan 100% pun boleh untung lagi.Tetapi persoalannya sediakah Khir Toyo menjual tanah dan rumah dengan harga yang saya tawarkan? Bukankah Khir Toyo boleh senang-senang dapat untung RM 1.5 juta?

06 July 2009

MANA KHIR TOYO DAPAT DUIT BUAT ISTANA RM 24 JUTA?

Lengkap dengan air terjun bertingkat. Macam Niagara Falls pulak!
Berapa buah rumah PPRT boleh dibina dengan kos RM 24 juta?
Mahligai berkonsepkan Jawa sepenuhnya...
Pintu masuk rumah Khir Toyo.

Mantan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Muhd. Khir Toyo menunjukkan kekayaan luar biasanya apabila memiliki sebuah banglo umpama mahligai bernilai RM 24 juta di seksyen 7 Shah Alam.

Banglo tersebut yang terletak di Jalan Suasa, Seksyen 7 dekat sini dibina diatas dua lot tanah yang dicantumkan dan kedua-dua tanah ini berjumlah RM4 juta dengan keluasan 52,041 kaki persegi.

Tanah pertama yang bernombor HSD 22904 di lot PT 62, Seksyen 7 dengan keluasan 31,794 kaki persegi berharga sebanyak RM2.9 juta iaitu RM93 ringgit untuk satu kaki persegi yang dibeli dari sebuah syarikat Ditamas Sdn. Bhd.

Syarikat tersebut dimiliki oleh Shamsuddin Hayroni yang merupakan sahabat baik kepada Mantan Menteri Besar Selangor itu.

Namun, harga yang dibeli untuk tanah kedua yang bernombor HSD 22905 adalah lebih murah iaitu RM900,000 iaitu RM46 untuk satu kaki persegi di di lot PT 65 seksyen 7, seluas 20,427 kaki persegi.

Harga rumah ini lebih kurang RM18 juta dan belum dicampurkan dengan harga perabot yang diimport sepenuh dari Bali. Jadi semuanya berharga RM20 juta dan dicampur pula dengan harga tanah yang berjumlah RM4 Juta. Apa yang lebih menarik harga sebuah pintu gerbang sahaja berharga, RM290,000. Seorang kakitangan kerajaan dengan Gred DG 48 pun berair biji mata nak kumpul duit sebanyak tu untuk membina pintu gerbang seperti rumah Khir Toyo.

Persoalannya dari manakah segala kekekayaan luar biasa yang dimiliki oleh Khir Toyo? Adakah diperolehi sebelum menjadi Menteri Besar atau sebelum itu lagi? Adakah SPRM tidak berminat untuk menyiasat kekayaan dan aset yang dimiliki oleh Khir Toyo? Jika Khir Toyo mengumpul segala gaji dan elaun yang diperolehi sepanjang menjadi Menteri Besar sudah pasti beliau tidak mampu untuk membina mahligai berkenaan. Saya yakin jika terdapat mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat memiliki rumah semewah itu sudah pasti sudah berderu-deru siasatan akan dilakukan oleh SPRM.

UMNO SEMAKIN PEMURAH DI MANEK URAI


Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak sebelum ini meminta Umno tidak lagi menabur projek 'Mee segera' di dalam mana-mana pilihanraya kecil atau umum kerana pendekatan tersebut menurut beliau sudah tidak dapat diterima pada masa kini.

Tetapi itu semua hanya omong-omong kosong kerana projek mee segera bukan sahaja tidak berkurangan malah semakin mencurah-curah. Saya tidak pasti sama ada Umno di peringkat bawahan tidak mengikut arahan Najib atau semua projek mee segera yang makin menjadi-jadi kebelakangan ini mendapat restu dari Najib sendiri.

Terkini Umno yang bertanding di Manek Urai menunjukkan sikap 'pemurah' mereka setiap kali pilihanraya dengan memberi bantuan dan projek segera.

Seramai 6,142 pelajar sekolah rendah, menengah dan sekolah Arab di Manek Urai mendapat perhatian Kementerian Pelajaran yang akan memberikan mereka bantuan uniform dan beg sekolah secara percuma.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed berkata pemberian itu telah dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada beliau beberapa hari lalu sebagai tanda ingatan kementerian berkenaan.

Tanda ingatan? Kenapa hanya di Manek Urai dan dipilih ketika sedang sibuk-sibuk pilihanraya kecil? Nampaknya Umno merasakan penduduk di Manek Urai yang tinggal di luar bandar boleh diperbodohkan oleh mereka untuk meraih undi. Ternyata Umno sudah kontang idea dan strategi bagaimana untuk memulihkan keyakinan rakyat kepada mereka.

Tetapi saya yakin, penduduk di Manek Urai cukup bijak berpolitik dan tidak akan lupa dengan amanat Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beri duit ambil, beri gula kacau, bagi kain pakai...Undi pakat-pakat pangkah bulan....

05 July 2009

TAHNIAH DAN TAKZIAH

Tahniah kepada Saudara Azafir Bin Mohd. Nor bekas AJK Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil yang melangsungkan perkahwinannya hari ini. Semoga bahagia dan kekal hingga ke anak cucu dan terus istiqamah dalam perjuangan.

Takziah kepada keluarga Allahyarham Hj. Md. Nor bekas aktivis dan AJK Pas Kawasan Bukit Katil yang kembali ke rahmatullah hari ini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau serta ditempatkan di kalangan golongan yang mendapat naungan arasy Allah serta keampunan dari-Nya.
Gambar Allahyarham yang pernah saya rakamkan pada tahun 2006. Al Fatehah...

04 July 2009

3.7 JUTA BELUM DAFTAR PEMILIH: APA KOMEN PEMUDA UMNO BUKIT KATIL YANG HALANG KEMPEN DAFTAR PEMILIH?


Seramai 3.7 juta daripada 27 juta rakyat di negara ini yang layak mendaftar sebagai pemilih didapati tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ngah Senik.

Menyedari hakikat ini maka SPR perlu meningkatkan usaha dan kempen secara menyeluruh untuk menarik golongan muda khususnya untuk mendaftar diri menjadi pemilih. Usaha ini juga perlu melibatkan semua parti politik sama ada dari kerajaan atau pembangkang.

Tetapi, Pemuda Umno Bukit Katil Melaka nampaknya masih ketinggalan di belakang apabila bukan sahaja menghalang usaha untuk mendaftar pengundi baru malah bertindak samseng dan kurang ajar kempen yang dijalankan oleh PAS dan DAP di sebuah pasar malam di Melaka baru-baru ini untuk menggalakkan golongan muda mendaftar menjadi pemilih.

Saya merasakan bukan sahaja Umno di Melaka, Umno di seluruh Malaysia bimbang dengan angka 3.7 juta yang belum mendaftar menjadi pemilih. Hal ini kerana golongan muda ini dilihat lebih terdedah kepada pelbagai sumber maklumat dari perkembangan pesat dunia teknologi maklumat berbanding golongan saluran satu dan dua yang rata-rata masih lagi menjadikan akhbar seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian sebagai kitab rujukan mereka.

Justeru itu, golongan muda ini dilihat lebih berminat dan tertarik atau pro kepada pakatan Rakyat. Bayangkan jika 60-70 % golongan muda ini mendaftar sebagai pengundi dan mengundi Pakatan Rakyat dalam pilihanraya akan datang? Bermakna Umno@BN bolehlah mengucapkan selamat tinggal dan sayonara.



PEMUDA SAMSENG KETUA RASUAH...


Kemaraan dan sokongan yang semakin mantap kepada Pakatan Rakyat di Melaka menyebabkan Umno di Melaka semakin hilang arah dengan bertindak samseng terhadap aktiviti yang dijalankan oleh Pakatan Rakyat di Melaka.

Tindakan memaki hamun, menendang serta menggunakan senjata bahaya seperti cota dan buku lima membayangkan Umno melalui tindakan Pemuda Bahagian Bukit Katil cukup terdesak dengan sokongan orang ramai yang ditunjukkan kepada Pakatan Rakyat. Layarilah laman SPR, Umno di Parlimen Bukit Katil nyaris-nyaris tersungkur dalam pilihanraya umum lalu dengan menang majoriti yang sangat kecil.

Adakah Pemuda Umno Bukit Katil bertindak secara bersendirian tanpa arahan dan restu dari sesiapa? Atau tindakan Pemuda Umno Bukit Katil sengaja dirancang untuk menjatuhkan imej ketua bahagiannya di situ? Siapa Ketua Bahagiannya?


Jadi saya tak peliklah, kalau pemuda Bahagian Bukit Katil bertindak samseng dan kurang ajar kerana siapa yang tak kenal ketua Bahagiannya di situ. Terang-terang terlibat dengan rasuah tetapi diselamatkan oleh kerajaan 1Malaysia: samseng diutamakan, rasuah dibiarkan...Mungkin tindakan ini satu tindakan terdesak berikutan berita bertiup kencang bahawa kertas siasatan pendakwaan sedang disiapkan oleh SPRM untuk membuat pendakwaan di mahkamah. Malah bukan sesuatu yang menjadi rahsia lagi bahawa rakyat Melaka semakin meyakini bahawa mereka bakal mendapat ketua menteri baru tidak lama lagi.

Apa-apapun saya mengucapkan tahniah kepada Pemuda Umno Bukit Katil kerana tindakan tidak bertamadun dan biadab mereka sekurang-kurangnya telah membuktikan bahawa kerjasama dan hubungan di antara PAS dan DAP di Melaka bertambah erat ekoran serangan ala samseng tersebut walaupun terdapat sedikit masalah di Kedah.
Gambar pimpinan Pas dan DAP Melaka selepas sidang akhbar bersama di Pejabat DAP Melaka semalam selepas membuat 8 laporan polis.