17 August 2009

SEMPURNAKAN SEMPORNA DULU WAHAI SHAFIE AFDAL...

Dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agong Umno di Rompin, Naib Presiden Umno Datuk Shafie Afdal bedal semacam kerajaan Pas khususnya di Kelantan kononnya sepanjang 19 tahun memerintah tak ada pembangunan.

Katanya masjid, jalan, surau, balairaya semua kerajaan pusat yang buat. Kerajaan Pas tak buat apa. Cuma nak tanya kerajaan pusat tu guna duit siapa? Guna duit dari tabung Umno ke?

Kepada Shafie Afdal jangan hanya bedal semacam. Lihat dulu parlimen Semporna yang diwakili dari tahun 1980-an. Apa pembangunan yang dilakukan? Cuba bandingkan pekan Pasir Mas di Kelantan dan Pekan Semporna. Satu dikuasai oleh Pas dan satu dikuasai oleh Umno. Rasanya di antara keduanya tak jauh bezanya. Pasar di Pas Mas jauh lebih tersusun berbanding pasar di Semporna. Stesen bas di Pasir Mas jauh lebih cantik berbanding stesen pengangkutan awam di Semporna. Bandingkan pula deretan kedai-kedai di Pekan Semporna dan deretan kedai di Pekan Pasir Mas Siapa pemiliknya? Walaupun orang Melayu dan Bajau lebih 90% di Semporna kedai-kedai di Semporna majoriti dimiliki oleh bukan bumiputera khususnya orang Cina. Manakala di Pekan Pasir Mas, farmasi, klinik, mini market rata-ratanya di miliki oleh orang Melayu.

Golongan miskin lebih ramai di daerah-daerah di Kelantan berbanding di Semporna? Saksikanlah gambar ini....

Sebuah villa yang terdapat di Semporna
Sebuah lagi banglo mewah yang terdapat di Parlimen Semporna

16 August 2009

SAMPAI BILA NURI NAK TERBANG?


Setiap kali keluar berita tentang helikopter Nuri pasti tak ada cerita lain. Sama ada terhempas, hilang dari radar ataupun terpaksa mendarat cemas. Cuma hari ini agak istimewa kerana cerita helikopter Nuri membabitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pastinya tak dapat melupakan apabila helikopter Nuri yang dinaiki untuk merasmikan satu mesyuarat Umno bahagian di Sabah terpaksa mendarat cemas di Tuaran.

Bagi Muhyiddin mungkin ini pengalaman pertama beliau merasai saat cemas menggunakan helikopter Nuri. Tetapi bagi anggota tentera negara khususnya kapten pesawat mungkin detik-detik cemas seperti itu sudah acap kali mereka lalui. Mujur tidak ada sesuatu yang buruk berlaku. Jika tidak mungkin satu lagi sejarah hitam terpalit membabitkan helikopter Nuri yang telah digunakan sejak tahun 1970-an lagi. Tak dapat nak dibayangkan bagaimana helikopter yang telah berpuluh tahun digunakan masih lagi menjadi aset 'berharga' kerajaan. Jika nak dijual ke negara mundur sekalipun mereka akan fikir beratus kali sebelum membuat keputusan membeli helikopter Nuri ini.

Saya yakin jika tidak kerana kontroversi cadangan pembelian Eurocopter tempohari, Muhyiddin tidak perlu melalui mimpi ngeri merasai pengalaman menaiki pesawat yang pernah digelar 'keranda terbang' ini. Jika kerajaan masih lagi bercadang meneruskan penggunaan helikopter ini saya cadangkan ia hanya digunakan oleh Perdana Menteri dan Timbalannya serta menteri-menteri yang ada. Biarlah mereka gunakan untuk merasmikan mesyuarat Umno sini sana. Bagi operasi ketenteraan, logistik atau operasi mencari dan menyelamat gunakanlah pesawat lain.

Agak malang anggota tentera perajurit negara terkorban sia-sia kerana disebabkan pesawat yang telah layak disimpan di Muzium Negara. Jika tidak pun boleh dihadiahkan kepada kerajaan Melaka untuk menambah koleksi Muzium yang ada.Ajal maut memang ketentuan Allah SWT tetapi pepatah Melayu ada berkata 'maut jangan dicari'. Sudah tiba masanya kerajaan menukar helikopter antik ini sebelum satu lagi musibah melanda negara.

15 August 2009

JJ BUAT LAWAK...


Umum mengetahui Datuk Dr. Jamaludin Jarjis(JJ) telah dilantik sebagai duta Ke Amerika Syarikat. Maka wujud desakan daripada pelbagai pihak agar beliau meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen Rompin kerana pelantikan ini akan menghadkan masa beliau bersama rakyat di Parlimen Rompin.

Misalnya dalah edisi Siasah yang lalu sahabat saya, Saudara Fadzly Mohd. Ramly seorang peguam muda di Rompin menyatakan bahawa JJ perlu meletakkan jawatan demi kepentingan rakyat di parlimen yang diwakili.

Semalam dalam satu majlis JJ berkata itu tak ada masalah....

Katanya pelantikan beliau itu tidak bermakna beliau akan mengabaikan kebajikan pengundi di Rompin dan boleh mendengar dan menyelesaikan masalah mereka melalui Internet.

"Insya-Allah saya tidak akan abaikan pengundi...dan mewujudkan laman web sendiri untuk berhubung dengan mereka di sini,"

Inilah lawak alaf baru dari JJ kepada orang Rompin. Nak tanya JJ berapa kerat orang Rompin yang ada kemudahan internet di rumah? Macam mana dengan orang asli seperti di Kedaik, Bukit Serok dan Denai? Mereka pun guna yahoo massengger, skype dan live hotmail juga ke untuk berinteraksi dengan wakil rakyat mereka yang akan duduk berbelas ribu kilometer?

Kemudahan broadband dan streamyx di Rompin memang amat mengecewakan. Tanyalah kepada orang Rompin.Setiap kali saya ke Rompin, broadband yang dibawa memang menyakitkan hati. Itu digunakan sekitar kawasan Pekan Kuala Rompin bayangkan kalau digunakan di ceruk kampung dan pedalaman di Rompin?

Wakil rakyat kena dekat dengan rakyat. Walau pun dia ada wakil atau pembantu yang dilantik itu tak sama. Soal kenduri kendara, sakit pening, kematian serta susah senang, wakil rakyat kena ambil tahu. Tugas duta ini kerja sibuk sama taraf dengan jawatan menteri. Kerja tak tentu masa dan tak kira hari. Jadi cara yang terbaik, lepaskanlah jawatan tu...ramai lagi yang layak.

14 August 2009

TAWARAN HEBAT SEMPENA RAMADHAN!!!


p/s: Terima kasih pada saudara Fauzi kerana email yang dihantar.

AKIBAT PPSMI UMNO TAK FAHAM KIASAN BAHASA TOK GURU NIK AZIZ


Seperti dijangka pemimpin Umno dan sewaktu dengannya memanipulasi kenyataan terbaru YAB Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat berkaitan dengan Islam. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pun buat-buat terkejut dengan kenyataan Tok Guru berkenaan.

Semalam beberapa orang yang menurut media pro Umno cendiakawan ( cendawan?) turut menegur kenyataan Tok Guru.

Apa kenyataan Tok Guru sehingga pemimpin Umno 'ribut-ribut' tu?Menurut Tok Guru....Beliau tidak membantah tindakan segelintir pemimpin DAP menghina Islam kerana berpendapat parti itu bukan parti Islam dan kefahaman mereka terhadap Islam mungkin tidak mendalam. Tetapi kalau pemimpin Umno yang beragama Islam menentang Islam itu lebih teruk dari DAP.

Bab ayat yang akhir tu tak pulak disiarkan oleh media pro Umno. Itu pun payah nak faham ke? Kalau orang bukan Islam menentang Islam tu itu kita tak boleh nak salahkan. Masaalahnya orang Islam sendiri yang tak faham Islam atau menakut-nakutkan orang bukan Islam tentang Islam.

Saya masih ingat lagi semasa saya menetap di sebuah negeri di Pantai Timur, setiap kali pilihanraya umum orang Umno akan berkempen pada orang asli supaya jangan undi 'bulan'. Kalau sokong 'bulan', nanti kena 'potong', tak boleh lagi joget 'sewang', tak boleh bela anjing, tak boleh makan H1N1(he..he..) ...Puas nak terangkan kembali pada orang asli tentang kempen Umno yang memberikan imej negatif pada Islam.

Inilah padahnya apabila mengagung-agungkan Bahasa Inggeris dalam PPSMI sehingga generasi Umno hari ini semakin tak faham (buat-buat tak faham) bahasa Melayu.

13 August 2009

USTAZ ASRI RABBANI MENINGGAL DUNIA


Al Fatehah...Ketua kumpulan nasyid Rabbani, Asri Ibrahim, 40, meninggal dunia di Hospital Pantai, Kuala Lumpur kira-kira jam 11 pagi tadi kerana sakit jantung.

Allahyarham yang juga penyanyi utama kumpulan itu dilaporkan pengsan ketika mengendalikan program Syahadah musim kelima di Angkasapuri, sebelum dikejarkan ke hospital berkenaan.

Kumpulan Rabbani yang diasaskan Allahyarham merupakan pelopor awal hiburan Islam dalam masyarakat di negara ini bersama kumpulan Raihan,Hijjaz dan Brothers pada pertengahan tahun 90-an. Semoga Allah mencucuri roh beliau di kalangan yang beriman dan beramal solleh.

MELAKA DALAM SENARAI 'HITAM' WABAK H1N1


Melaka, Johor dan Selangor termasuk dalam kateogori 'hitam' wabak H1N1 di negara ini. Sehingga hari ini sebahagian dari 44 kes kematian adalah negeri-negeri berkenaan. Kes kematian yang direkodkan ialah Johor (10), Selangor (7) dan Melaka (6).

Di Melaka sahaja hampir 90 buah sekolah rendah dan menengah telah ditutup dan masih ditutup. Ini tidak termasuk IPTA dan IPTS yang telah ditutup akibat wabak ini.

Keadaan ini amat membimbangkan sehingga menimbulkan susana panik di kalangan orang ramai. Tinjauan di beberapa pusat membeli belah yang sering menjadi tumpuan sebelum ini kelihatan lenggang kerana kebimbangan orang ramai terhadap wabak ini.

Saya menggesa agar kerajaan negeri khususnya menangguhkan sebarang aktiviti yang melibatkan orang ramai bagi membendung wabak ini. Tetapi apa yang berlaku kerajaan negeri masih lagi 'berdegil' dengan meneruskan pelbagai program yang melibatkan orang ramai. Ini jelas seperti expo yang sedang berlansung di Malacca International Trade Centre, PC Fair dan perasmian Planeterium Melaka.

Pihak Hospital Besar Melaka dilaporkan tidak 'menang tangan' kerana penularan wabak ini yang agak luar biasa. Malah terdapat rungutan bahawa pesakit yang dirujuk ke klinik dan hospital kerajaan bukan sahaja terpaksa menunggu lama untuk mendapat giliran rawatan tetapi dilaporkan tidak mendapat rawatan yang sempurna.

Berdasarkan senario yang berlaku, Melaka termasuk negeri yang tidak selamat untuk dilawati. Jika anda terpaksa menghadiri program di Melaka yang melibatkan interaksi dengan orang ramai anda dinasihatkan supaya mengambil langkah pencegahan yang sesuai.

12 August 2009

PENGKHIANAT MELAYU: UMNO MASUK JERAT SENDIRI


Sehari dua ni berdentum-dentum isu pengkhianat Melayu dicanangkan oleh pemimpin Umno dan mereka yang sewaktu dengannya. Dunia politik Malaysia juga bertambah meriah dengan siri demontrasi 'semangat Melayu' yang ditaja oleh Umno. Lepas ni Umno kena bertanggungjawab jika ada tuntutan kerugian dari pelabur, peniaga atau pengusaha pelancongan yang terjejas dengan siri demontrasi yang dianjurkan.

Tahniah kepada Polis Malaysia khususnya FRU yang hanya melihat sebelah mata sahaja demontrasi yang diadakan oleh Umno dan mereka yang sewaktu dengannya. Walaupun terang-terang demontrasi tersebut merupakan satu cubaan untuk meniup api perkauman di kalangan rakyat.

Dalam masa yang sama kita melihat ada cubaan untuk melaga-lagakan di antara PAS dan DAP berkaitan isu arak di Selangor dan kenyataan yang kononnya datang dari Ketua Pemuda DAP. Mereka juga cuba melaga-lagakan Pakatan Rakyat dalam soal calon yang bertanding di DUN Permatang Pasir.

Adakah isu pengkhianat Melayu akan menyebabkan orang Melayu akan kembali menyokong Umno? Adakah isu ini akan juga meningkatkan sokongan bukan Melayu kepada Umno? Adakah isu ini akan meningkatkan populariti Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai hero baru Melayu?

Dalam isu ini kita dapat melihat pemimpin dan orang Umno begitu bersemangat dan 'syok sendiri' dengan isu yang dimainkan. Hakikatnya majoriti rakyat khususnya orang Melayu sedar siapa pengkhianat Melayu sebenar.

Sekadar beberapa soalan mudah :

1. Siapa pemimpin Melayu yang meluluskan PPSMI?

2Siapa pemimpin Melayu yang memansuhkan biasiswa untuk anak-anak Melayu di Universiti?

3. Siapa pemimpin Melayu yang menjual tanah milik Melayu di Johor kepada orang Cina Singapura dan negeri-negeri lain...( Bukankah Muhyiddin pernah menjadi Menteri Besar Johor???)

4. Wilyah Pembangunan Iskandar akan memertabatkan orang Melayu di Johor?

Kepada orang-orang yang 'berjiwa dan bersemangat Melayu' dalam Umno dan yang sewaktu dengannya nama Melayu hari ini hanya tinggal kenangan pada Keretapi Tanah Melayu je...Itu pun KTM Berhad...

Isu Melayu atau ketuanan Melayu ni sebenarnya cerita basi yang cuba dipanaskan semula. Hakikatnya rakyat hari ini sedar siapa pembela dan pejuang Melayu dan siapa pula pengkhianat Melayu. Isu pengkhianat Melayu umpama senjata makan tuan..Ibarat jerat perangkap tuan.
Demontrasi menyokong Melayu Islam yang memalukan Melayu...

11 August 2009

82 SEKOLAH DI MELAKA TELAH DITUTUP KERANA DEMAM SELSEMA BABI


Sehingga hari ini 82 sekolah di Melaka telah ditutup akibat wabak Demam Selsema Babi@H1N1. Sekolah berkenaan membabitkan 47 sekolah rendah dan 35 sekolah menengah. Daripada jumlah berkenaan 63 sekolah iaitu 42 sekolah rendah dan 21 sekolah rendah masih lagi ditutup. Malah sehingga hari ini terdapat sekolah yang hanya menunggu masa untuk ditutup cuma menunggu keputusan ujian saringan penyakit berkenaan yang semakin menular di Melaka.Angka ini tidak termasuk universiti, kolej dan institusi pendidikan lain di negeri ini yang masih ditutup atau pernah ditutup sebelum ini.

Jumlah sekolah yang ditutup di negeri ini merupakan jumlah yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain di negara ini. Sehingga hari ini Melaka telah mencatat 4 kes kematian berkaitan dengan wabak H1N1.

Perkara ini disahkan oleh Pengarah Pelajaran Melaka, Tuan Haji Isa Abu dalam satu taklimat kepada Kementerian Kesihatan tentang perkembangan wabak ini yang melibatkan sekolah-sekolah di Melaka.

Saya juga mempunyai maklumat sahih, bahawa terdapat juga sekolah yang 'merahsiakan' penyakit ini untuk mengelakkan sekolah berkenaan diarahkan tutup. Sekolah berkenaan masih 'kebal' walaupun sekolah di kelilingnya pernah dan masih ditutup kerana H1N1. Tindakan tidak bertanggungjawab pentadbir sekolah berkenaan difahamkan kerana pihak sekolah tidak mahu bersusah payah untuk menggantikan hari persekolahan jika arahan tutup dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

10 August 2009

UMNO WAJAR BUAT 'GENCATAN SENJATA' DI PERMATANG PASIR


Pilihanraya Kecil Permatang Pasir bakal berlangsung pada 25 Ogos iaitu bulan Ramadhan.Sempena Ramadhan al Mubarak, bulan yang diharamkan berperang di dalamnya saya mencadangkan agar Umno@BN membuat 'gencatan senjata' untuk menghormati dan memuliakan bulan yang penuh keberkatan. Oleh itu wajar Umno menarik diri untuk bertanding di Permatang Pasir sekaligus dapat menjimatkan duit rakyat dalam suasana kegawatan ekonomi. Bukan itu sahaja dapat mengelakkan dari kemungkinan tersebarnya wabak Demam Selsema Babi@Influeza A@H1N1 jika orang ramai berkumpul semasa hari penamaan calon, majlis ceramah dan aktiviti kempen. Bukankah Perdana Menteri ada menasihatkan orang ramai supaya majlis-majlis keramaian yang melibatkan orang ramai perlu dielakkan?

Alangkah bagusnya duit yang sering ditabur kepada pengundi termasuk projek 'mee segera' disalurkan untuk disedekahkan kepada fakir miskin atau disumbangkan kepada surau dan masjid untuk dimanafaatkan dan diimarahkan sempena bulan Ramadhan. Bukan sahaja pahala dilipat ganda malah terselamat dari perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah lebih-lebih lagi jika digunakan untuk merasuah pengundi di bulan Ramadhan.

Sekaligus bukan sahaja rakyat didahulukan tetapi keredhaan Allah diutamakan...Wallahualam.