21 August 2009

SEJAK BILA MAJLIS FATWA JADIKAN SURAT KHABAR SEBAGAI SUMBER HUKUM?


Masih lagi tentang isu syurga neraka. Semua ini berkaitan dengan kenyataan yang didakwa oleh media pro Umno sebagai 'fatwa' Mursyidul Am Pas Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Hari ini laporan media menyatakan, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar Tuan Guru bertaubat kerana Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa bahawa kenyataan Tuan Guru adalah menyeleweng dan salah dari ajaran Islam.

Kenyataan Muhyiddin adalah merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Majlis Fatwa Prof. Dr. Abdul Shukor Husin.

Cuma apa yang menarik perhatian saya, kenyataan Majlis Fatwa ini adalah berdasarkan laporan akhbar pro Umno yang sewaktu dengannya. Semalam, Tuan Guru menyatakan kesediaannya untuk bersemuka dan menjelaskan kepada Majlis Fatwa tentang kenyataan berkaitan syurga dan neraka.

Maka selepas ini jika ada apa-apa fatwa berkaitan dengan umat Islam di negara ini, Majlis Fatwa tidak lagi perlu merujuk kepada Al Quran, hadis, Qias dan ijmak Ulama cukup sekadar merujuk laporan Berita Harian dan Utusan Malaysia. Kalau nak hujah tu lebih mantap boleh dapatkan hujah dalam TV1, TV2 dan TV3.

20 August 2009

SURAT MISTERI YANG MENGHANTUI SPRM

Klik pada surat untuk besarkan


BERANIKAH WAJLIS FATWA BERSEMUKA DENGAN TUAN GURU?


Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau sedia bersemuka dengan Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan berhubung kenyataannya bahawa ajaran Islam yang diamalkan UMNO tidak boleh membawa penyokong parti itu ke syurga.

“Saya sedia berjumpa dengan pihak berkenaan untuk menjelaskan perkara sebenar di sebalik kenyataan saya itu bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul,” katanya ketika mengulas keputusan Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan bahawa kenyataannya sebagai salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, ulasan-ulasan negatif yang dikeluarkan pihak tertentu terhadap kenyataannya berdasarkan petikan dalam akhbar adalah tidak adil.

“Mereka perlu tanya saya di mana salahnya, saya sedia menjelaskan secara berdepan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Darul Naim di sini hari ini.

Persoalanya beranikah Majlis Fatwa Kebangsaan memanggil dan bersemuka dengan Tuan Guru Nik Aziz?

USAH MENGHARAP KOTA SIPUTEH FOKUS DI PERMATANG PASIR

Ketika persiapan dan kempen sedang rancak di Permatang Pasir tumpuan beralih ke Kota Siputeh kemungkinan pilihanraya kecil di sana. Speaker Kedah telah menulis surat kepada SPR tentang ketidakhadiran 2 kali Adun BN kawasan berkenaan yang mengikut peruntukan undang-undang terlucut dari jawatan sebagai Adun.

Hari ini SPR kata akan rujuk kepada Peguam Negara tentang implikasi undang-undang jika Dun Kota Siputeh diistiharkan kosong. Manakala Tan Sri Muhyiidin Yassin kata SPR kena ambil kira keadaan Adun Kota Siputeh yang tidak sihat sebagai punca tidak hadir. Muhyiddin kata, Adun berkenaan ada surat akuan..Kenapa masa tak hadir tak timbul isu sakit dan surat menyurat. Kalau budak tak datang sekolah pun cikgu minta surat. Inikan pulak wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat dibayar elaun guna duit rakyat. Kalau nak buat surat pun payah, adakah wakil rakyat Kota Siputeh dari Umno tu tak ada telefon bimbit atau sakit begitu kronik sampai tak larat nak dail nombor telefon maklumkan tentang ketidakhadirannya?

Melihat perkembangan yang berlaku, saya tidak yakin kekosongan akan diistiharkan di Kota Siputeh. Maka fokuskan gerak kerja di Permatang Pasir dengan menyampaikan mesej kepada Umno dan Barisan Nasional jangan mudah-mudah menipu dan mengkhianati amanah rakyat.

MELAKA KAWASAN PANAS H1N1


Sehingga hari ini wabak Demam Selsema Babi@H1N1 telah merekodkan 722 kes dengan 16 kematian di Melaka.Perkara ini disahkan Pengerusi Hal Ehwal Wanita Pembangunan Keluarga dan Kesihatan, Norpipah Abdul.

Ini bermakna Melaka mencatatkan kes kematian yang tinggi berbanding 64 kes kematian seluruh negara setakat ini. Sehingga hari ini telah lebih 90 buah sekolah ditutup dan ada di antaranya masih ditutup kerana wabak ini.

Walau bagaimanapun, usaha pihak berkenaan masih kurang meyakinkan dalam meningkatkan kesedaran dan kepekaan orang ramai terhadap wabak ini. Misalnya semasa saya berkunjung ke Mahkota Parade kelmarin ada ibu bapa yang sengaja 'menempah maut' dengan membiarkan anak-anak mereka yang masih kecil tanpa memakai topeng pelindung. Begitu juga berdasarkan pemerhatian mereka yang memakai topeng di pasar malam hanya dua tiga orang sahaja. Manakala yang lain bebas seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

19 August 2009

UMNO AKAN GUNA CALON SIMPANAN DI PERMATANG PASIR?


Kredebiliti dan kewibawaan calon Umno Rohaizat Othman di Permatang Pasir telah musnah. Dalam rancangan Astro Awani malam tadi mendedahkan secara terperinci pecah amanah yang berlaku semasa Rohaizat membuka firma guaman. Pernarikan lesen amalan guaman oleh Majlis Peguam bukan disebabkan masaalah yang didakwa Rohaizat berpunca dari rakan kongsinya tetapi dari dirinya sendiri. Walaupun ada cubaan pihak tertentu menyiarkan surat penarikan balik tuntutan dari koperasi terlibat yang didakwa pada tahun lepas...Itu sudah terlewat buat Rohaizat...

Umno kini cukup tertekan di Permatang Pasir apabila calonnya didedahkan sebagai pecah amanah dan korupsi. Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan Umno seperti ketandusan calon apabila orang seperti Rohaizat dipilih sebagai calon.

Tapi kita mungkin terlupa, Umno masih ada 'calon simpanan' untuk memenangkan Umno di Permatang Pasir. Lihatlah hari ini tak semena-mena tanpa hujan ribut SPRM membuka semula kes rasuah yang didakwa melibatkan bekas Timbalan Ketua Menteri 1, Mohd. Fairus Khairudin. Apa maknanya tu.......

BILA ALI RUSTAM MINTA FATWA.....


Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Seri Muhd. Ali Rustam meminta agar badan itu membuat aduan kepada majlis Fatwa Kebangsaan berhubung dengan kenyataan YAB Tuan Guru Dato Abdul Aziz Nik Mat tentang kenyataan penyokong Umno tidak masuk syurga.

Semalam Tuan Guru menafikan kenyataan itu dan mengatakan pihak media telah memutar belitkan kenyataan beliau dan telah meminta peguam untuk memikirkan tindakan untuk menyaman media terbabit.

Menurut Ali Rustam lagi beliau telah merujuk kepada Mufti negeri Melaka Datuk Wira Rashid Redza Md Saleh berhubung dengan kenyataan Tuan Guru itu.

Kepada Ali Rustam, cermin-cerminlah diri itu kalau nak bercakap dan berhujah soal agama. 1Malaysia tahu Ali Rustam terlibat rasuah dan telah dibuktikan mengamalkan rasuah. Tetapi terselamat dari tindakan seperti yang dialami oleh Tan Sri Isa Samad dulu. Dalam hal ini Lembaga Disiplin Umno telah mengeluarkan 'fatwa' bahawa kesalahan Ali Rustam tidak perlu dikenakan hukuman sekadar diberi amaran dan hilang kelayakan jadi calon Timbalan Presiden je.

Teringin juga mendengar pandangan mufti Melaka apa hukumnya berketuakan seorang perasuah? Ada tak mana-mana kitab kuning yang membolehkan rasuah diamalkan untuk mendapat kuasa?

18 August 2009

MACAM MANA NAK JAWAB SALAM YANG INI?


Memberi salam adalah digalakkan dalam Islam untuk meningkatkan ukhuwwah dan menghubung silaturrahim. Pemberi salam akan mendapat pahala di sisi Allah SWT. Manakala orang yang mendengar salam yang diberi wajib menjawabnya.

Akhir-akhir ini dalam program yang saya hadiri sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan sering kali pengucap utama, perasmi atau penceramah mengucapkan salam 1Malayasia.Malah dah jadi trend pada hari ini orang mengucapkan salam 1Malaysia. Jadi macam mana saya nak jawab salam yang macam ni?

PILIHANRAYA KECIL PERMATANG PASIR AKAN DITANGGUHKAN?


Perkembangan terkini wabak Demam Selsema Babi@H1N1 semakin membimbangkan. Setiap hari ratusan kes baru dikesan dan angka kematian akibat wabak itu kini ialah seramai 64 orang.

Semalam sahaja menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 384 kes baru, menjadikan jumlah keseluruhannya 4,225 kes.

Selasa lepas, jumlah keseluruhan dicatat sebanyak 2,253 kes dengan 270 kes baru - rekod tertinggi dalam satu hari, waktu itu.

Pendedahan perangkaan terbaru itu menunjukkan peningkatan mendadak dan luar biasa - kira-kira 2,000 kes dalam tempoh seminggu.

Dalam perkembangan berkaitan,Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata sehingga 9 pagi ini, sejumlah 284 pesakit H1N1 sedang dirawat di wad.

Manakala 33 pesakit yang disahkan menghidap H1N1 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negara.Daripada jumlah yang dirawat di ICU, 17 kes mempunyai risiko tinggi.

Pada hari ini satu perjumpaan khas melibatkan pentadbir sekolah di Melaka akan diadakan pada jam 2 petang ini di Jabatan Pendidikan Negeri Melaka. Menurut sumber perjumpaan khas ini adalah berkaitan dengan wabak H1N1 dan tentang arahan penutupan sekolah di seluruh negara yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat. Kemungkinan besar cuti persekolahan hujung tahun akan diawalkan, manakala sesi persekolahan sesi tahun depan akan diawalkan.

Sementara itu, esok dijadualkan akan berlangsung mesyuarat Majlis Tindakan Negara (MTN) yang dijangka akan membuat keputusan untuk mengistiharkan darurat kesihatan di seluruh negara. Jika ini menjadi kenyataan bermakna pilihanraya kecil Permatang Pasir bakal ditangguhkan.

17 August 2009

SEMPURNAKAN SEMPORNA DULU WAHAI SHAFIE AFDAL...

Dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agong Umno di Rompin, Naib Presiden Umno Datuk Shafie Afdal bedal semacam kerajaan Pas khususnya di Kelantan kononnya sepanjang 19 tahun memerintah tak ada pembangunan.

Katanya masjid, jalan, surau, balairaya semua kerajaan pusat yang buat. Kerajaan Pas tak buat apa. Cuma nak tanya kerajaan pusat tu guna duit siapa? Guna duit dari tabung Umno ke?

Kepada Shafie Afdal jangan hanya bedal semacam. Lihat dulu parlimen Semporna yang diwakili dari tahun 1980-an. Apa pembangunan yang dilakukan? Cuba bandingkan pekan Pasir Mas di Kelantan dan Pekan Semporna. Satu dikuasai oleh Pas dan satu dikuasai oleh Umno. Rasanya di antara keduanya tak jauh bezanya. Pasar di Pas Mas jauh lebih tersusun berbanding pasar di Semporna. Stesen bas di Pasir Mas jauh lebih cantik berbanding stesen pengangkutan awam di Semporna. Bandingkan pula deretan kedai-kedai di Pekan Semporna dan deretan kedai di Pekan Pasir Mas Siapa pemiliknya? Walaupun orang Melayu dan Bajau lebih 90% di Semporna kedai-kedai di Semporna majoriti dimiliki oleh bukan bumiputera khususnya orang Cina. Manakala di Pekan Pasir Mas, farmasi, klinik, mini market rata-ratanya di miliki oleh orang Melayu.

Golongan miskin lebih ramai di daerah-daerah di Kelantan berbanding di Semporna? Saksikanlah gambar ini....

Sebuah villa yang terdapat di Semporna
Sebuah lagi banglo mewah yang terdapat di Parlimen Semporna