25 December 2009

MB TERANGGANU TERBUKTI TAK BERMORAL


Kelmarin beliau bersumpah di Sidang DUN Terangganu menafikan beliau menyeleweng duit rakyat dengan memberi buah kurma dan air zam-zam. Sumpah beliau satu cubaan untuk menggambarkan betapa suci dan murninya dirinya dari sebarang bentuk skandal dan rasuah.

Tetapi semalam tak sampai 24 jam selepas bersumpah, Menteri Besar Terangganu Datuk Ahmad Said secara terang-terang tanpa malu dan berselindung merasuah ibu bapa yang sedang diraikan kerana kecemerlangan anak mereka dalam PMR supaya mengundi dan memangkah Umno@BN dalam pilihanraya akan datang.

Dalam ucapan semalam dalam program Yayasan Terangganu meraikan pelajar cemerlang PMR dan ibu bapa mereka Ahmad Said berkata :

"Dari semua bantuan dan sumbangan yang kerajaan buat ini, saya tidak minta perkara besar dari tuan-tuan, hanya ada satu permintaan kecil sahaja iaitu bagilah undi tuan puan untuk BN dalam pilihan raya akan datang."

Menurut seorang bapa kepada seorang pelajar yang menerima hadiah itu terkejut besar dengan ungkapan itu.

Ini kerana, sepanjang kerier beliau sebagai seorang pegawai kerajaan negeri tidak pernah Menteri Besar sebelum ini mengeluarkan ungkapan seterang itu.

"Kalau dia nak minta kita sokong BN pun, dia berlapik sikit...berkias-kias...tetapi MB yang ini terus kepada undilah BN,"

Adakah Ahmad Said fikir duit Yayasan Terangganu adalah duit Umno? Jika ini tidak dinamakan rasuah apa lagi istilah yang sesuai. Adakah SPRM akan siasat? Jika itu berlaku kepada pimpinan Pakatan Rakyat sudah pasti SPRM akan segera bertindak untuk membuktikan betapa efisennya mereka.

GEMPAR!!! KERANA POLITIK UMNO SELURUH AJK SYARAK SURAU/MASJID AN NANJIHIN LETAK JAWATAN SERTA MERTA!

Selepas solat Jumaat sebentar tadi, Imam 1, Imam 2,Bilal 2 dan seluruh jawatankuasa Surau/Masjid An Najihin Taman Merdeka Batu Berendam Melaka meletak jawatan berkuat kuasa serta merta. Kenyataan itu dibacakan oleh Imam Shuib selaku Imam 1 di hadapan kira-kira 1000 jemaah jemaah yang hadir selepas Solat Jumaat. Menurut beliau peletakan jawatan itu atas sebab-sebab yang tidak dapat dilelakkan.

Namun, semua jemaah tahu bahawa surau An Najihin yang digunakan untuk solat Jumaat mengetahui campur tangan politik umno yang telah sekian lama mencampuri dalam pengurusan surau berkenaan yang didalangi oleh Bilal 1 yang juga pengerusi surau iaitu orang kuat Umno yang selama ini melobi diri sendiri untuk jawatan berkenaan. Campur tangan Umno dalam pengurusan surau berkenaan turut didalangi oleh Pengerusi JKKK Umno yang juga orang kuat Datuk Seri Ali Rustam di tempat berkenaan. Untuk makluman jawatankuasa surau yang telah lama berkhidmat itu tidak menunjukkan kecenderungan kepada mana-mana parti politik.

Peletakan jawatan ini menjadi tamparan hebat pada Umno di tempat berkenaan dan di Melaka yang seringkali menunjukkan sikap mencampuri urusan pengurusan surau dan masjid di Melaka. Timbul tanda tanya siapa yang akan menjadi imam dan jawatankuasa syarak selepas ini memandangkan Imam 1 dan lain-lainnya cukup disenangi penduduk dan kariah serta telah lebih 9 tahun berkhidmat di surau berkenaan. Selepas ini saya yakin surau berkenaan yang sering imarah dengan pelbagai aktiviti akan dipinggirkan oleh majoriti penduduk setempat yang kurang senang dengan campur tangan politik Umno yang gila kuasa di situ.

Suasana pilu menyelubungi di dalam masjid bila jemaah dan jawatankuasa syarak yang meletak jawatan berpelukan sesama sendiri selepas pengumuman perletakan jawatan itu dibuat.

SIAPA DULU AKAN PECAH PERUT?


Biar pecah di perut jangan pecah di mulut. Itu peribahasa Melayu. Tapi hari ni dah terbalik, biar pecah di mulut jangan pecah di perut.Bagi saya pecah di mulut tak merbahaya berbanding pecah di perut. Macam orang kena penyakit apendiks kronik, selagi tak pecah peluang untuk sembuh dan diselamatkan adalah cerah. Berbanding kalau dah pecah perut, boleh lah panggil ahli keluarga dan sanak saudara untuk tulis wasiat.

Maka bahayanya pecah perut menyebabkan satu Malaysia riuh rendah bila Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengajak umat Islam khususnya di Kelantan berdoa sehingga mereka yang merampas hak rakyat Kelantan untuk mendapat royalti petroleum sampai pecah perut.Hanya mereka yang faham kiasan sahaja faham apa yang dimaksudkan TGNA 'berdoa sampai pecah perut'.

Maka ramai orang Umno sama ada yang kecil dan besar termasuk 'ulama terompah kayu' mempertikaikan doa TGNA itu. Katanya Islam tak mengajar untuk mendoakan seseorang ditimpa bala. Mereka yang bercakap macam tu sebenarnya mengaji kitab tak habis atau guru mereka mati sebelum habis belajar bab doa!

Hari ini kesan doa TGNA dan rakyat Kelantan serta rakyat Malaysia teraniaya mula terasa tempiasnya walaupun tak sampai lagi pecah perut. Sekurang-kurangnya mereka yang terlibat mula rasa senak perut. Mana tidaknya, isu kehilangan enjin jet F5E sudah cukup menggemparkan bukan sahaja di Malaysia tetapi menjadi lawak jenaka seluruh dunia. Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak kini terus didesak untuk meletak jawatan. Menteri Pertahanan ketika ini, Datuk seri Zahid Hamidi menyifatkan pihak yang bertanggungjawab adalah penderhaka. Kepada siapa ditujukan, Zahid lebih maklum tentangnya.

Begitu jua dengan kemenangan majoriti tipis 3 undi dalam kelulusan Belanjawan 2010 di parlimen baru-baru ni menyebabkan ramai pemimpin Umno@BN hampir pecah perut dan senak perut sampai sekarang.

Saya yakin lebih banyak lagi pendedahan, penyelewengan dan skandal akan dibongkar untuk pengetahuan umum tidak lama lagi. Apa yang berlaku menjadi peringatan kita semua bahawa jangan pandang remeh pada doa mereka yang dizalimi. Nabi. SAW sudah mengingatkan, doa mereka yang dizalimi tidak ada hijab di sisi Allah SWT. Kita tunggu siapa dulu yang akan pecah perut!

23 December 2009

DR YUSOF QARADAWI SEDIA PERTAHANKAN ANWAR


Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Prof Dr. Yusuf Al-Qaradawi yang menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah baru-baru ini akan membawa isu pendakwaan qazaf berkaitan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang belum lagi dijalankan ke peringkat antarabangsa.

Kesediaan Dr. Yusuf Al-Qaradawi mempertahankan Anwar dinyatakan semasa berada di negara ini baru-baru ini kerana menyesali kelewatan Mahkamah Syariah di negara ini membicarakan pendakwaan qazaf berkaitan tuduhan liwat terhadap Anwar. Sebaliknya Mahkamah Syariah dikatakan hanya akan memulakan perbicaraan selepas kes liwat berkenaan dibicarakan di mahkamah sivil. Walhal menurut ulama berkenaan persoalan qazaf patut dibicarakan dahulu kerana ia menyentuh kewibawaan dan kredibiliti si penuduh. Kalau ia disabitkan dengan qazaf, maka kata Sheikh Yusuf, persaksian si penuduh tidak boleh diterima selama-lamanya kerana ia termasuk golongan fasiq.

Beliau dikatakan bersedia menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia untuk membawa isu itu ke peringkat antarabangsa dengan mendapatkan pandangan tokoh-tokoh ulama sedunia.

Secara logiknya perbicaraan di mahkamah sivil akan mengambil masa yang lama sekiranya diambil kira segala proses sehingga ke Mahkamah Persekutuan. Apa yang dibimbangi jika perbicaraan qazaf dibuat di mahkamah syariah?

Semua ini menunjukkan bahawa berlaku kepincangan dalam dwisistem perundangan di Malaysia yang seolah-olah mengikut telunjuk serta diperalatkan oleh pihak tertentu untuk memburukkan imej serta mengaibkan saingan politik mereka.

MENGAPA KEHILANGAN ENJIN JET 'HILANG' DALAM LAPORAN AUDIT NEGARA?


Laporan Audit Negara 2008 yang diumumkan baru-baru mendedahkan pelbagai kepincangan dan penyelewengan aset milik kerajaan. Ketika itu kredit wajar diberi kerana laporan audit yang dikemukakan berjaya mendedahkan pelbagai penyelewengan yang berlaku sehingga 'ikan bilis' dan 'jerung' yang terlibat tidak senang duduk. Laporan audit itu disifatkan telus dan memenuhi tanggungjawab serta menampakkan usaha untuk membendung salah laku dan salah guna kuasa.

Namun bila pendedahan kehilangan dua enjin pesawat pejuang F5E dan pelbagai alat ganti termasuk sistem avionik pesawat yang mencecah ratusan juta ringgit 'hilang' dalam laporan Audit 2007 dan 2008 pelbagai persoalan timbul. Adakah isu kehilangan ini sengaja ditutup dari pengetahuan umum atau memang pihak jawatankuasa audit gagal mengesan kehilangan tersebut?

Apa pun jawapannya, semua ini menunjukkan bahawa mungkin banyak lagi penyelewengan yang berlaku yang tidak dapat dikesan atau sengaja ditutup dari pengetahuan umum. Motifnya hanya mereka yang terlibat sahaja tahu. Sama ada melibatkan maruah dan keselamatan negara atau sengaja disembunyikan untuk melindungi pihak dan pemimpin tertentu daripada diheret ke muka pengadilan.

Apa yang berlaku akan melenyapkan keyakinan rakyat kepada kesungguhan dalam menangani rasuah dan ketelusan dalam pentadbiran negara. Semua ini menunjukkan bahawa dasar KPI, NKRA dan idea 1Malaysia hanyalah slogan dan retorik untuk mengkaburi mata rakyat daripada kerakusan dan sikap tamak pemimpin kerajaan yang ada untuk terus berkuasa.

Jika laporan Audit Negara pun tidak boleh dipercayai apa lagi yang boleh dipercayai di negara ini? SPRM, SPR, Polis, hakim dan mahkamah?

22 December 2009

LANJUT USIA BAS SEKOLAH KE 30 TAHUN : PELAJAR NAIK' KERANDA BERGERAK'!


Mungkin ini agaknya rupa bas sekolah di Malaysia yang dilanjutkan usia dari 20 ke 30 tahun. Masa tu tak perlu check di Puspakom kerana enjin dah tercabut. Adakah hendak menunggu tragedi malang menimpa anak-anak kita baru kerajaan akan mengkaji semula. Kini anak-anak kita ibarat menaiki 'keranda bergerak' dengan langkah kerajaan seperti yang diumumkan oleh Pengerusi LPKP Datuk Halimah Mohamed Sadique yang akan berkuatkuasa 1 Januari 2010.

Mana yang lebih penting nyawa murid dan pelajar sekolah atau keuntungan pengusaha bas sekolah?

PETRONAS PUN TAHU TAK BERBALOI TAJA PASUKAN FORMULA 1 MALAYSIA


Syarikat petroleum negara, Petronas semalam mengumumkan menjadi penaja utama kepada pasukan formula 1 yang menggunakan enjin Mercedes. Kedua-dua pihak telah membuat perjanjian lima tahun dengan menggunakan nama Mercedes GP Petronas.

Pengumuman ini sekaligus menjadi tamparan kepada pasukan formula 1Malaysia yang masih terkial-kial mencari penaja utama. Air Asia dan Proton sebelum ini telah menyatakan kesediaan menjadi penaja pasukan formula 1Malaysia.

Walaupun Petronas menjadi pembekal bahan api utama kepada pesawat Air Asia itu tidak membuka hati pengurusan Petronas untuk menjadi penaja utama.

Langkah Petronas menaja pasukanMercedes adalah lebih tepat berbanding menjadi penaja pasukan Formula 1Malaysia . Lebih-lebih lagi walaupun Malaysia berbangga dengan pasukan formula 1nya tetapi masih lagi bergantung enjin luar iaitu enjin Lotus dari Itali. Manakala Pasukan Mercedes GP Petronas sebelum ini dikenali dengan nama Brawn GP telah terbukti keunggulannya dengan menjadi juara formula 1 musim lalu. Kemunculan juara dunia tujuh kali Michael Schumacher yang dikhabarkan akan menjadi pemandu Mercedes GP Petronas dijangka akan meningkatkan nilai tajaan Petronas pada masa akan datang.

Ternyata Petronas lebih menyedari adalah lebih berbaloi menaja Pasukan Mercedes GP Petronas berbanding pasukan Formula 1Malaysia. Mungkinkah kerajaan terpaksa menggeluarkan belanja dari duit rakyat untuk menjadi penaja pasukan Formula 1Malaysia.?Lebih-lebih lagi dalam kegawatan ekonomi pastinya syarikat-syarikat besar akan lebih berhati-hati dalam pelaburan mereka.

Jika itu berlaku maka pembaziran dan kerugian ratusan juta duit rakyat akan berlaku. Kecualilah Pasukan Formula 1Malaysia menggunakan enjin pesawat pejuang F5E yang hilang itu!

LAGI ENJIN JET TUDM HILANG!


Memalukan, bukan sebuah tetapi dua buah! Itulah yang berlaku kepada enjin jet pemintas TUDM F 5E yang satu ketika menjadi jet pejuang kebangaan negara. Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Azizan Ariffin mendedahkan enjin jet F5E kedua hilang selepas kira-kira lima bulan kehilangan enjin jet yang pertama. Siasatan yang dijalankan menunjukkan bahawa enjin jet yang kedua ini dijual di negara Eropah. Enjin jet F5E pertama sebelum ini dipercayai dijual di negara Amerika Selatan.

Kehilangan enjin GE J85-21A digunakan pesawat tempur F-5E milik TUDM berpangkalan di Skuadron Ke-12 Scorpion Pangkalan Udara Butterworth itu dipercayai didalangi individu sama yang didakwa terbabit kehilangan enjin pertama.

Ini jelas menunjukkan betapa longgar dan rapuhnya sistem keselamatan dan pertahanan negara. Jika perkara ini berlaku di luar negara sudah pasti Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera akan meletak jawatan untuk menunjukkan rasa bertanggungjawab. Tetapi apa yang berlaku di negara ini, Menteri Pertahanan, Datuk seri Zahid Hamidi terus menyalahkan prosedur keselamatan yang menjadi punca kehilangan yang berlaku.

Begitu juga apabila Kapal Pengangkut KD Inderapura terbakar baru-baru ini, litar pintas dan pendawaian elektrik yang dipersalahkan. Faktor kelalaian dan kecuaian dalam aspek penyelengaraan, baik pulih dan pemantauan tidak diberi perhatian. Apakah menteri berkenaan akan memberi alasan yang sama jika berlaku lagi kehilangan dan tragedi yang menimpa aset keselamatan negara?

21 December 2009

LAGI PROJEK BN RUNTUH DI TERANGGANU


Stesen bas Kuala Berang Terangganu yang menyembah bumi

Satu lagi projek 'cap ayam runtuh' di Terangganu. Tahun ini sahaja sudah beberapa bangunan 'satu lagi projek Barisan Nasional' menyembah bumi. Sebelum ini kita dihidangkan berita, dewan sekolah, stadium dan masjid runtuh hari ini rakyat Terangganu dikejutkan pula dengan berita Bangunan Perhentian Bas Kuala Berang runtuh. Bermakna tahun ini sahaja dah empat bangunan runtuh di Terangganu.

Dalam kejadian itu, tiga pekerja warga Bangladesh tercedera kerana terkena serpihan kaca yang pecah. Dalam kejadian itu kira-kira 15 pekerja sedang menyiapkan stesen bas berkenaan.

Menurut papan tanda di depan projek tersebut, bangunan ini adalah milik Majlis Daerah Hulu Terengganu. Ia berupa projek membina dan menyiapkan terminal pengangkutan awam.

Arkitek projek ini adalah SAM Arkitek Perunding, juruteranya adalah MNA Consultant Sdn Bhd, juruukur bahan adalah Contract Management Consultant dan kontraktornya adalah Gemilang Mega Sdn Bhd.

(Gambar: Papan tanda di depan bangunan ini)

Di atasnya jelas tertulis perkataan "Satu lagi projek kerajaan Barisan Nasional".

Ketika kejadian tidak ada sebarang ribut atau angin kencang melanda kawasan itu sungguhpun Pantai Timur sekarang sedang menghadapi banjir semula.

Sebelum ini, bumbung Sekolah Menengah Ajil, bumbung stadium Sultan Mizan dan bumbung masjid Kampung Puteh di Kemaman runtuh di negeri ini.

Selain itu, kolam renang yang pernah digunakan untuk Sukan Malaysia (Sukma) di Batu Burok dilaporkan bocor.


ZAMAN NAJIB BANYAK YANG HILANG


Zaman Dato Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri banyak betul cerita tentang hilang. Altantuya hilang sebelum tubuhnya berkecai dijumpai. Rentetan dari tragedi itu didedahkan bom C4 di bawah prosedur dan keselamatan yang ketat hilang dari simpanan pasukan keselamatan. Selepas itu rekod imigresen Altantuya di Malayasia pun hilang. Kemudian diikuti P.Balasubramaniam penyiasat pensendirian hilang sebelum muncul kembali.

Malang bagi rakyat Malaysia kini Pulau Batu Putih hilang dari peta Malaysia.Bagi kira-kira 1.2 juta kakitangan awam setelah sekian lama tahun ini bonus yang diberi saban tahun 'hilang' digantikan dengan bantuan khas.

Dalam isu politik di Perak 3 bekas adun Pakatan Rakyat hilang, sebelum muncul dalam sidang media bersama Najib di Putrajaya. Terbaru, isterinya dilaporkan 'menghilangkan' duit sebanyak RM 600,000 semasa berada di Dubai melalui pengurup wang di Malaysia. Duit syarikat penerbangan Malaysia dikhabarkan hilang RM 8 bilion dalam bentuk kerugian, tertinggi dalam sejarah.Kini enjin jet pemintas F5E milik TUDM hilang. Mungkin lepas ni kita akan dengar enjin jet Sukhoi, enjin kereta formula 1Malaysia dan enjin kapal selam pulak yang hilang.

Adakah semua ini memberi petanda Najib dan Umno@BN akan hilang kuasa tak lama lagi?