21 August 2008

MEREKA YANG SUKA BERSUMPAH MENURUT AL QURAN


Menjadikan sumpah mereka sebagai perisai, lalu mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Sesungguhnya amat buruklah apa yang tela mereka kerjakan. (Al-Munafiqun:2)

Mereka menjadikan sumpahnya sebagai perisai (untuk menyelamatkan diri dan harta bendanya daripada dirampas atau dibunuh), maka Dengan Yang demikian dapatlah mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari jalan Allah; oleh itu mereka beroleh azab seksa Yang menghina. ( Al Mujadilah : 16 ) 

 
Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan sesungguh-sungguh sumpahnya. Sesungguhnya jika datang kepada mereka seorang pemberi ingatan, sudah tentu mereka akan lebih betul jalan agamanya dari sebarang umat yang lain. Setelah datang kepada mereka seorang pemberi ingatan Maka kedatangannya itu hanya menyebabkan mereka bertambah liar dari kebenaran. ( Faathir : 42 ) 

 
Dan (telatah kaum munafik itu menjadikan) orang-orang Yang beriman berkata: "Adakah mereka ini orang-orang Yang bersumpah Dengan nama Allah, Dengan sebenar-benar sumpahnya, Bahawa mereka benar-benar menyertai dan menolong kamu?" telah gugurlah amal-amal mereka, lalu menjadilah mereka: orang-orang Yang rugi. ( Al Maidah : 53 )

20 August 2008

3 SOALAN MELAMPAU YANG DIJAWAB DENGAN PENAMPAU


Ada seorang pemuda yang lama sekolah di luar negeri, kembali ke tanah air, dia mula menunjuk sifat ingkar akan ajaran agamanya, Islam. Fahaman orentalisme dan skularisme mula menyerap dalam diri pemuda ini. Sikap ego dengan pendidikan barat menyebabkan beliau suka berhujah dengan alim ulama tentang agama Islam.

Hujah-hujah menggunakan akal logik dengan penjelasan yang saitifik menyebabkan ramai dikalangan orang alim dipermainkannya.

Perangainya yang mula meninggalkan amalan agama menyebab ibubapa pemuda ini runsing. nasihat dan teguran tidak diendahkan sekali.

Ramai dikalangan alim ulama di kampung dipermainakan oleh pemuda ini.

Orang tuanya cukup susah hati, lalu berjumpa dengan seorang tua yang alim yang dikenali sebagai Kiyai dihujung kampung.

Setelah dibawa berjumpa pemuda tersebut, pemuda itu terus mepelekehkan Kiyai ini dengan sombong berkata anda mampu berfikir logik!

Pemuda: Anda siapa? Dan apakah anda mampu menjawab pertanyaan-pertanyaan saya?

Kiyai : Saya hamba Allah dan dengan izin-Nya saya akan menjawab pertanyaan anda.

Pemuda: Anda yakin? Sedangkan Profesor dan ramai orang yang pintar tidak mampu menjawab pertanyaan saya.

Kiyai : Saya akan mencuba sejauh kemampuan saya.

Pemuda: Saya ada 3 pertanyaan:-

1. Kalau memang Tuhan itu ada, tunjukan wujud Tuhan kepada saya

2. Apakah yang dinamakan takdir

3. Kalau syaitan diciptakan dari api kenapa dimasukan ke neraka yang dibuat dari api, tentu tidak menyakitkan buat syaitan. Sebab mereka memiliki unsur yang sama. Apakah Tuhan tidak pernah berfikir sejauh itu?

Dengan tiba-tiba kiyai tersebut menampar pipi pemuda tadi dengan keras.

Pemuda (sambil menahan sakit): Kenapa anda marah kepada saya?

Kiyai : Saya tidak marah...Tamparan itu adalah jawaban saya atas 3 pertanyaan yang anda ajukan kepada saya.

Pemuda: Saya sungguh-sungguh tidak mengerti.

Kiyai : Bagaimana rasanya tamparan saya?

Pemuda: Tentu saja saya merasakan sakit.

Kiyai : Jadi anda percaya bahwa sakit itu ada?

Pemuda: Ya!

Kiyai : Tunjukan pada saya wujud sakit itu! Itulah jawaban pertanyaan pertama... kita semua merasakan kewujudan Tuhan tanpa mampu melihat

Kiyai : Apakah tadi malam anda bermimpi akan ditampar oleh saya?

Pemuda: Tidak.

Kiyai : Apakah pernah terfikir oleh anda akan menerima sebuah tamparan dari saya hari ini?

Pemuda: Tidak.

Kiyai : Itulah yang dinamakan takdir.

Kiyai : Terbuat dari apa tangan yang saya gunakan untuk menampar anda?

Pemuda: Kulit.

Kiyai : Terbuat dari apa pipi anda?

Pemuda: Kulit.

Kiyai : Bagaimana rasanya tamparan saya?

Pemuda: Sakit.

Kiyai : Walaupun syaitan dijadikan dari api dan neraka juga terbuat dari api, jika Tuhan menghendaki maka neraka akan menjadi tempat yang menyakitkan untuk syaitan.

Selepas daripada peristiwa itu pemuda tersebut telah beramal dengan ajaran Islam sebenar dan menuntut dengan Kiyai tersebut untuk mendalami ilmu agama.

18 August 2008

9 PEMBAZIRAN TANPA DISEDARI


Ibnu Qayyim al-Jauziyah mengatakan ada 9 pembaziran yang sering dilakukan manusia iaitu:

1.    Ilmu pengetahuan
Membazir jika tidak diamalkan untuk jalan kebaikan.

2.    Amalan
Membazir jika dilakukan tidak dengan hati yang ikhlas.

3.    Kekayaan
Membazir jika dibelanjakan pada perkara yang tidak bermanfaat dan tidak diredai Allah

4.    Hati
Membazir jika kosong daripada kasih kepada Allah.

5.    Tubuh badan
Membazir jika tidak digunakan untuk beribadah kepada Allah.

6.    Cinta
Membazir jika dicurahkan kepada selain Allah atau melebihi cinta kepada-Nya.

7.    Masa
Membazir jika tidak diurus sebaiknya.

8.    Akal
Membazir jika tidak memikirkan sesuatu yang bermakna kepada agama.

9.    Zikir
Membazir jika tidak memberi kesan kepada hati.

MAKSUD BERTUDUNG…


""Di awal 90-an, bilangan orang bertudung semakin ramai. Di mana- mana sahaja kita boleh bersua dengan wanita yg bertudung. Sama ada di kilang, di sekolah, di stesen bas, di pejabat, di universiti & di
politeknik malah beberapa pengacara televisyen & radio pun sudah memakai tudung. Alhamdulillah
tetapi.......

Tetapi yang menyedihkan, kalau dahulu wanita bertudung tidak akan ditemui di taman-taman bunga, di tempat- tempat hiburan, berpegangan tangan dengan teman lelaki, dipanggung wayang atau
kalau dahulu wanita bertudung bersih mukanya daripada calaran alat-alat make up, tetapi kini dengan mudah kita boleh jumpa wanita bertudung berpeleseran dengan teman lelaki di tempat-tempat sedemikian.

Tudung berwarna warni mengikut fesyen sesuai dengan aliran zaman dan fesyen baju. Kadang- kadang
memakai tudung pun tidak sempurna mengikut syariat. Kadang-kadang macam nak terlondeh. Antara hendak tutup & hendak buka. Akhlak & tutur katanya kasar, malah kadang kala lebih buruk daripada mereka yang tidak memakai tudung atau buka aurat.

Sesetengahnya bertudung tetapi tidak sembahyang. Imej wanita bertudung telah tercemar dengan wanita-wanita yangg menjadikan tudung sebagai fesyen atau terpaksa pakai kerana mengikut peraturan. Kalau dahulu bila wanita itu bertudung, automatik dia sudah malu ke panggung wayang, malu untuk berasmara, malu untuk ke tempat hiburan & sebagainya. Tetapi kini tudung sudah tidak mempunyai peranan untuk mencegah manusia dari terjerumus ke dalam lembah maksiat.

Bila direnung-renung mengapa hal ini boleh terjadi, maka jelaslah wanita-wanita yang bertudung pada hari ini jahil mengenai tujuan dan peranan pemakaian tudung. Ramai wanita yang memakai tudung pada hari ini kerana terikut-ikut dgn suasana. Mereka lihat adik beradik, teman sekolah, teman pejabat atau jiran telah ramai memakai tudung, maka timbul rasa malu kerana mereka sahaja yang masih tidak bertudung. Lantaran itu mereka mengambil keputusan untuk memakai tudung, walaupun hati tidak berapa menyetujuinya.

Kini masyarakat telah menerima wanita yang pakai tudung. Ujian sudah tidak besar. Kadang kala orang lelaki yg hendak berkahwin pun memberi syarat, wanita yang hendak dikahwininya mestilah bertudung.

Setengahnya apabila mereka melihat wanita lain memakai tudung lebih cantik dan manis, mereka pun hendak memakainya, tanpa mengetahui tentang ilmunya, mengapa mesti pakai tudung. Ada juga yang terpaksa memakai tudung kerana desakan keluarga atau suami. Ada yang mahu menjadikan tudung macam fesyen. Sekejap pakai, sekejap buka.Lantaran itulah nilai org yang bertudung pada hari ini sudah menurun.

Sudah tidak semahal wanita yang bertudung awal-awal dahulu. Hanya wanita yang berpurdah yang belum kelihatan berjalan- jalan di taman bunga atau di tempat tempat hiburan. Mungkin taraf berpurdah sama dengan wanita yang bertudung dan wanita yg memakai tudung diperingkat awal dahulu.

Sesuatu amalan yang dilakukan kalau bukan atas dasar ilmu dan yakin serta faham apa yang mereka perbuat akan nampak ganjil dan pincang hasilnya. Sesuatu yang di buat bukan dari hati yang ikhlas, walau pun nampak hebat tetapi semuanya kosong. Tiada nilai di sisi Allah.

Wanita yg pakai tudung selain daripada keinginan untuk menutup aurat, tidak akan dapat berbohong dengan Allah walaupun di di dunia mereka berjaya membohongi mata manusia mengatakan mereka juga sudah menutup aurat. Tetapi di akhirat nanti, niat sebenar & apa yg ada di dalam hati mereka akan diselongkar & didedahkan oleh Allah dipadang Makhsyar di hadapan jutaan umat manusia.

Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh seorang sahabat :
" Ya Rasulullah Dengan apakah mencapai keselamatan kelak ?"
Jawab Nabi s.a.w : "Jangan menipu Allah."
Orang itu bertanya lagi : " Bagaimana menipu Allah ?"
Jawab baginda " Iaitu mengerjakan apa yang diperintahkan oleh Allah, tetapi tidak kerana Allah."

Di samping tiada niat untuk menutup aurat dengan bertudung akan ditolak oleh Allah, wanita yg berniat untuk menutup aurat dengan tudung tetapi tudungnya berfesyen sehingga menarik lelaki memandangnya, atau pun tudung yg dipakainya tidak memenuhi syarat menutup aurat yakni bertudung tetapi masih nampak pangkal leher, bermakna dia belum lagi sempurna menutup aurat, malah semakin berdosa kalau dengan memakai tudung yang berfesyen itu menyebabkan lelaki jatuh hati. Di kala itu tudung bukan menjadi alat menutup aurat, tetapi menjadi alat untuk berhias. Wanita begini bukan mendapat pahala dengan menutup aurat tetapi mendapat dosa.

Bahaya besar kalau beramal bukan kerana ilmu tetapi kerana mengikut masyarakat & peredaran zaman. Sementara yang mengamalkan syariat kerana pengaruh sekeliling, hanya mampu bertahan atau beramal selagi dia berada di dalam suasana begitu. Tetapi bila dia terkeluar dari kelompok masyarakat, dia sudah tidak mampu bertahan & turut hanyut dengan masyarakat di sekitarnya. Ujian yang sedikit sahaja mampu menggoyangkan imannya.

Oleh itu kalau hendak mendapat keredhaan Allah, maka seseorang itu mestilah berilmu dengan apa yang dilakukannya. Justeru itu menuntut ilmu adalah perkara yang utama sebagai penyuluh ibadah.

Di samping ada ilmu, amalan yang dilakukan hendaklah diniatkan kerana Allah bukan kerana yang lain dari itu. Kita mesti bina keyakinan di dalam diri kita & mempunyai kefahaman yg mendalam agar kita tidak mudah tergugat apabila datang ujian, betul di dalam tindakan dan bersabar di dalam apa jua kesusahan.

Renung-renungkanlah wahai wanita yg berada di luar sana. Jangan memakai tudung hanya ingin mengikut fesyen semata-mata. "

Bicara Petang…PLKN, Apa Dah Jadi ?


Pengumuman Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Ng Yen Yen untuk memperkenalkan modul Pendidikan Seks di Kem Pusat Latuhan Khidmat Negara (PLKN ) adalah sesuatu yang mengejutkan.

Modul pendidikan seks selama 10 jam itu akan mula dilaksanakan pada sesi Januari 2009 di semua kem PLKN seluruh Malaysia.

Skop pengajaran modul itu yang dikenali 'Self Preservation, Self Protection and Self Determination' merangkumi nilai individu dan keluarga, pemahaman perubahan struktur badan secara fizikal (mengikut gender) dan emosi.

"Kita harus memberi pengajaran dan pengenalan tentang aspek-aspek ini supaya mereka lebih mengenali diri sendiri dan memahami masalah yang dihadapi," Dr Ng dipetik sebagai berkata selepas merasmikan Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2008 hari ini.

Persoalaan di sini, adakah pandangan daripada pelbagai pihak yang terdiri dari tokoh agama, ahli akademik dan politik diambil sebelum rancangan ini dilaksanakan ? Adakah satu kajian terperinci dilaksanakan sehingga pihak kerajaan seperti terdesak untuk melaksanakan modul ini ?

Di samping itu, adakah masalah salah laku seks remaja yang menular hari ini seperti jenayah rogol, zina, cabul, ketagih menonton video atau klip lucah dalam telefon bimbit disebabkan remaja mendapat maklumat yang salah tentang seks seperti yang didakwa menteri berkenaan ?

Tidak cukupkah dengan pelbagai isu melibatkan perlakuan sumbang dan negatif yang melibatkan gejala tidak sihat peserta lelaki dan perempuan serta jurulatih di Kem PLKN ? Malah, terdapat beberapa kes yang sekarang masih tidak selesai yang masih dalam proses perbicaraan di mahkamah.

Di antaranya kes rogol yang melibatkan seorang jurulatih PLKN di sebuah kem di Pantai Timur. Saya mengikuti perkembangan kes ini kerana kebetulan ia dikendalikan oleh rakan baik saya , saudara Fadly Ramli sebagai peguam kepada mangsa.

Pendikan seks merupakan sesuatu yang bukan boleh dibincang secara terbuka. Ia sesuatu yang tidak sesuai sama ada dari sudut budaya masyarakat Timur lebih – lebih lagi ajaran agama Islam. Dalam isu yang berkaitan dengan isu dan masalah seks remaja dan muda – mudi lebih sesuai dibincang dan diajar dalam kuliah atau kelas agama sama ada di sekolah, univesiti, surau dan masjid oleh mereka yang benar – benar layak dan berpengalaman.

Pendidikan seks perlu dididik dan diasuh kepada anak –anak dengan penuh teliti dan hikmah bersandarkan pada ajaran agama Islam. Ia merupakan sesuatu yang sensisitif dan perlu diterapkan dengan berhati –hati berpandukan ajaran Al Quran, hadis dan mengambil kira pandangan alim ulama tersohor.

Apa perlu kita meniru dan mengambil modul dari Barat ? Bukankah masyarakat Barat telah rosak dengan gejala seks bebas yang menyebabkan lahir ramainya anak yang tidak diketahui ibu dan bapanya ?

Tidak cukupkah dengan pelbagai isu salah laku seks yang melibatkan remaja dan muda – mudi berlaku di negara kita yang begitu membimbangkan ? Malah lebih menggerunkan masalah,ini turut melanda kanak –kanak di peringkat sekolah rendah lagi.

Dalam hal ini, sistem pendidikan sedia ada perlu diperhalusi untuk diperbaiki dengan memfokuskan pendidikan yang sesuai berdasarkan peringkat umur kanak – kanak sehingga remajasebelum menempuh alam dewasa. Termasuk dalam skop ini, bagaimana persediaan kanak –kanak menempuh awal remaja dan dunia dewasa. Hal ini penting supaya pendidikan yang diberi akan dapat mengelakkan mereka daripada menyimpang dalam soal pergaulan dan memahami tentang diri berteraskan prinsip akhlak dan agama.

Namun, apa yang berlaku pendidikan di negara kita terlalu 'exam oriented' sehingga pendidikan berkaitan dengan pendidikan agama, penerapan nilai akhlak dan moral serta isu remaja kurang diberi perhatian. Jika adapun umpama seperti 'Touch N Go' sahaja.

Apabila JQAF ( Jawi, Al Quran, Arab dan Fardhu Ain ) diperkenalkan oleh Menteri Pelajaran, barulah kelihatan sedikit penekanan dan perhatian diberikan dalam soal pembinaan adab dan akhlak. Namun, pada pandangan saya ia masih tidak memadai. Dalam konteks ini, pendidikan sedia ada perlu diperkasakan untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek sesuai seperti yang tersurat dan tersirat dalam Falsafah Pendidikan Negara.


 

NILAI SEBUTIR EMAS...


Impian Malaysia untuk memenangi emas Olimpik di Beijing lebur malam tadi dengan tewasnya Lee Chong Wei kepada Lin Dan dalam aksi final perseorangan badminton malam tadi. Bagi acara sukan lain yang masih mempunyai wakil Malaysia di Beijing harapan emas ibarat menanti hujan naik ke langit atau seperti menanti bulan jatuh ke riba.
Maka, ramailah rakyat Malaysia yang kecewa malah ada yang menitiskan air mata dengan kegagalanitu. Terdapat juga rakyat Malaysia yang menyalahlan Lee Chong Wei kerana tidak berjuang bersungguh – sungguh demi mengharumkan nama Negara di pentas dan persada antarabangsa.
Sebutir emas sebagai hadiah paling bernilai sempena kemerdekaan Negara tidak lama lagi nampaknya tidak menjadi kenyataan. Kegagalan itu bermakna rakyat Malaysia terpaksa menunggu empat tahun lagi di Sukan Olimpik London 2012.
Kegagalan ini bermakna jutaan ringgit wang Negara dapat diselamatkan. Timbalan Perdana Menteri mengumumkan ganjaran RM 1 juta kepada mana –mana atlit yang membawa pulang pingat emas. Tidak termasuk habuan dan ganjaran lain yang masih tidak diumumkan. Mana –mana atlit Malaysia yang memenangi emas akan menjadi jutawan segera sekembalinya ke Malaysia nanti.
Bayangkan dengan nilai jutaan ringgit yang menjadi habuan kepada pemenang pingat emas Olimpik dalam senario rakyat mengalami tekanan hidup ekoran kenaikan harga minyak hingga menyebabkan harga barangan pengguna naik melambung.
Bukan bermakna kita tidak boleh menghargai mereka yang berjaya di Sukan Olimpik Beijing, tetapi nilai jutaan ringgit yang dijanjikan dalam keadaan ramai rakyat Malaysia yang menderita dan terpaksa ‘ikat perut’ dengan kenaikan harga minyak dan kadar inflasi adalah tindakan yang kurang bijak.
Adakah emas yang dimenangi itu dapat mengubat keperitan rakyat khususnya petani dan nelayan yang menderita dengan kenaikan harga minyak ? Berapa ramai nelayan yang tidak dapat turut ke laut mencari rezeki kerana tidak dapat lagi menampung kos petrol dan diesel untuk turun ke laut. Maka, jalan pintas yang mereka terpaksa lakukan ialah dengan berhutang untuk membeli barang keperluan harian malah ada yang terpaksa mengambil risiko dengan meminjam Ahlong kerana tidak mampu lagi untuk menyerap tekanan.
Di samping itu dengan nilai jutaan ringgit itu banyak lagi yang boleh dimanafaatkan. Misalnya bantuan kepada fakir miskin serta membantu kepada mereka yang lebih memerlukan seperti pesakit kronik dan pelajar yang layak tetapi tidak mampu untuk menampung kos pengajian yang semakin membebankan.
Di sini saya ingin berkongsi cerita sebenar apa yang berlaku ada di kalangan pelajar Institut Perguruan yang datang dari keluarga yang sederhana dan susah. Ada di kalangan mereka yang terpaksa mengikat perut semasa dalam pengajian dengan makan dua kali saja sehari. Sarapan dan makan tengahari mereka ‘dijamakkan’ pada waktu rehat pukul 10 pagi .Manakala minum petang dan makan malam ‘dijamakkan’ pada pukul 6 atau sebelum pukul 7 petang. Apabila ditanya, mereka memberitahu sebagai langkah berjimat cermat untuk meneruskan pengajian. Elaun yang diperolehi tidak mencukupi untuk menampung kos harian dan pengajian. Ada yang bergantung sepenuhnya kepada elaun diterima setiap bulan tanpa mengharapkan bantuan dari ibu dan bapa dan keluarga di rumah yang hidup kais pagi makan pagi kais petang makan petang.
Ini cuma selingkar kisah yang dalam pengetahuan.Saya yakin lagi banyak lagi kisah kesusahan dan penderitaan rakyat negara ini yang tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Kalau nak mengharapkan Program Bersamu TV3, berapa kerat sangatlah mereka yang hidup susah dan daif yang dapat didedahkan untuk diberi bantuan.
Dalam hal ini, bukan bermakna kita tidak boleh menghargai atlit negara yang berjaya. Jika kerajaan nak beri berapa juta sekalipun tidak menjadi masalah. Asalkan dalam konteks ini, pastikan dahulu kehidupan rakyat terbela dengan turut sama menikmati kemakmuran dan kekayaan Negara. Kita tidak mahu rakyat Malaysia mengalami nasib seperti ‘menang sorak kampung tergadai’ atau ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’.

17 August 2008

PERKAHWINAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM



Isteri adalah insan yang lemah. Dia sentiasa mengharapkan pimpinan dan tunjuk ajar dari seorang suami yang dicintai. Tanpa bimbingan seorang suami, dia tidak mampu mendayung bantera rumahtangga ke arah matlamat yang hak.
Pasti akan berlaku ketidakhaluan yang akhirnya membawa tragedi.
Sayugianya dalam usaha melayakkan diri sebagai isteri solehah para suami yang arif perlu berganding bahu serta prihatin di dalam soal ini. Isteri tidak akan jadi insan solehah, kalau si suami tidak soleh. Si isteri juga tidak akan taat dan patuh kepada perintah Allah S.W.T. jika si suami demikian juga.
Oleh kerana itulah si suami yang bijaksana perlu berusaha mendidik dan membimbing isterinya ke arah taqwa.

Allah bekalkan kepada kaum lelaki kekuatan akal yang rasional, tidak terlalu emosional atau mudah didorong oleh perasaan. Lelaki tidak mudah tersinggung berbanding dengan wanita. Jika kekuatan akal ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, ditambah dengan kesabaran serta kekuatan jasmani untuk mencari nafkah keluarga, suami akan menjadi pelindung dan pendidik yang berwibawa. Firman Allah yang bermaksud ; “Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh Karena Allah Telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan Karena mereka (laki-laki) Telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka.”
Surah An-Nisaa’ : 34
Tercetusnya kebahagiaan rumahtangga ialah apabila suami dapat menggunakan kekuatan akalnya serta kesabaran dalam menghadapi kerenah dan ragam isteri – makhluk yang kuat perasaannya.
Secara mudah, bolehlah dikatakan lelaki adalah mahkluk akal manakala wanita adalah makhluk rasa. Perasaan wanita terlalu mudah terusik dengan suasana dan keadaan sekeliling. Oleh itu dalam menghadapi wanita, lelaki hendaklah banyak menggunakan daya fikiran. Kalau umpamanya isteri sedang berduka, sang suami perlu merancang untuk mewujudkan perasan gembira di dada sang isteri. Di sinilah perlunya strategi dalam mendidik isteri.
Nafsu
Kaum wanita memang dibekalkan dengan sembila nafsu dan akal berbanding dengan lelaki hanya satu nafsu dan sembilan akal. Nafsu yang dimaksudkan bukanlah nafsu seks semata-mata tetapi nafsu yang menyebabkan seseorang itu tidak sabar, mudah prasangka, pemarah, pemboros dalam berbelanja, cepat tersinggung dan sebagainya. Pendek kata, hasil dorongan nafsu itulah lahirnya pelbagai perasaan di dada wanita. Sebab itu dikatakan juga bahawa sembilan persepuluh daripada diri wanita wanita itu ialah perasaan dan satu persepuluh saja pertimbangan akal. Atas dasar inilah wanita mesti dipandu atau dibimbing oleh lelaki agar segala tindak tanduknya tidak melulu ikut perasaan semata-mata.
Sembilan nafsu yang ada pada diri wanita boleh menyebabkan kerosakan pada masyarakat dan keruntuhan rumahtangga jika tidak dipagari dengan ilmu dan syariat. Mahu tidak mahu suami terpaksa belajar sedikit sebanyak ilmu untuk menundukkan wanita atau psikologi wanita serta memenuhkan dada dengan ilmu syariat. Barulah nanti dapat menggunakan kebijaksanaan dalam mendidi isteri sekalipun adakalanya menghadapi ragam isteri yang mencabar kesabarannya.
Kebijaksanaan mesti disertai pula dengan kesabaran. Kedua-duanya mesti ada pada seorang suami. Kesabaran tanpa kebijaksanaan menyebabkan suami menurut sahaja kemahuan isteri sehingga isteri besar kepala. Manakala kebijaksanaan tanpa kesabaran akan menyebabkan suami tewas dengan nafsunya sendiri sehingga bertindak ganas dan boleh membahayakan isteri. Maknanya, tanpa kesabaran seseorang itu akan hilang pertimbangan akal dan tidak dapat lagi melihat sesuatu persoalan dengan tenang. Jika kesabaran tidak ada pada diri, ia perlu diusahakan melalui latihan berpandukan ilmu tasauf.
Contohnya bagaimana kesabaran boleh menundukkan nafsu wanita dapat dilihat pada satu kisah seorang perempuan tuan yang suka menggangu Rasulullah s.a.w. Tatkala Rasulullah lalu disebelah rumahnya, dia akan membaling sampah kepada Rasulullah. Adakalanya dia menaburkan duri dan serpihan kaca di sepanjang jalan yang dilalui oleh Rasulullah. Bahkan pernah juga dia membaling najis semasa Rasulullah lalu sebelah rumahnya. Tetapi sedikitpun tidak dipedulikan oleh Baginda Rasulullah.
Suatu hari Rasulullah merasa pelik keran perempuan tua itu tidak menghalangi lagi perjalanannya baik dengan serpihan kaca mahupun dengan sampah yang dibalingnya. Apabila pulang dari masjid, baginda bertanya khabar jiran perempuan tersebut, rupa-rupanya perempuan itu sakit. Lalu bagindan naik ke rumahnya dengan tujuan untuk berziarah. Rasulullah bertanyakan khabar dan tolong memasakkan air untuk perampuan tua itu. Alangkah terkejutnya perempuan tersebut melihat akhlak Rasulullah s.a.w. yang sanggup menziarahinya dan membantunya tatkala dia sedang sakit. Akhirnya dengan sifat sabar Rasulullah menghadapi karenah perempuan tua itu menyebabkan terbuka hatinya untuk memeluk Islam.
Pada masa yang lain, pernah Rasulullah melintas sekumpulan kaum perempuan, lalu baginda memberi salam. Tetapi tiada siapa pun yang menjawab salam baginda. Mereka masih diam juga. Akhirnya setelah tiga kali Rasulullah memberi salam, barulah mereka menjawab sala baginda. Apabila ditanya mengapa mereka tidak menyahut salam yang pertama dan kedua mereka menjawab ; “Kami sengaja mahu Rasulullah mendoakan untuk kami.”
Begitu Rasulullah mendidik kaum wanita. Walaupun sesekali kesabaran baginda rasanya tercabar, tetapi Rasulullah masih dapat menunjukkan akhlak yang paling baik.
Kadangkala apabila berhadapan dengan kaum perempuan yang pendek akalnya, lelaki mudah naik angin. Memang tidak dinafikan ada masanya perempuan mengambil masa untuk memahami sesuatu perkara. Tetapi kaum lelaki mestilah menyedari hakikat bahawa kaum perempuan memang sediakala lemah pemikirannya. Oleh itu lelaki mesti bersedia untuk mendidik isteri dengan penuh kasih sayang tanpa rasa jemu walaupun mengambil masa yang panjang.
Suatu ketika datang seorang perempuan berjumpa dengan Rasulullah dan bertanyakan tentang mandi hadas. Rasulullah menjawab ; “Ambillah sepotong kain perca yang sudah dikasturikan lalu berwudhuk dengannya.” Perempuan itu terpinga-pinga kerana tidak memahami keterangan Rasulullah. Lantas dia mengulangi lagi pertanyaannya. “Bagaimana saya hendak berwudhuk dengan itu?”Sekali lagi Rasulullah mengulangi jawapan baginda. Tetapi perempuan yang bertanya masih belum memahaminya. Lalu Rasulullah meminta Siti Aishah supaya menerangkan kepada perempuan itu. Maka Siti Aishah pun berkata ; “Ambil sepotong kapas yang bersih, lalu letakkan di tempat darh. Jika kapas itu tetap putih tanda haid sudah berhenti.”
Riwayat Bukhari, Muslim dan Nasai dari Aishah
Yang dimaksudkan dengan unsur kasih sayang dalam mendidik isteri bukanlah sekadar kata-kata asmara dana atau pujuk rayu. Tetapi ia lebih daripada itu. Sifat dan perwatakan suami itu sendiri hendaklah mempunyai ciri pengasih. Sekalipun jika dia seorang pemimpin.
Ego
Ada waktu-waktu yang tertentu apabila suami bersama isteri dia hendaklah merendahkan sifat egonya. Seperti mana yang dibuat oleh Rasulullah dinikahi dengan Siti Aishah, umur baginda 55 tahun manakala Siti Aishah berusia enam tahun dan mereka bersama tatkala Siti Aishah berusia sembilan tahun. Semasa melayan Siti Aishah, ada masanya Rasulullah berlagak seperti kawan sepermainan. Siti Aishah diajak berlumba lari. Kadang-kadang Siti Aishah menang dan ada kalanya Rasulullah menang dalam perlumbaan tersebut. Bermakna sewaktu bersama isteri adakalanya Rasulullah melayan kehendak isterinya tanpa menjatuhkan martabatnya sebagai seorang suami yang wajib dihormati oleh isteri. Ini menunjukkan bahawa pada masa-masa tertentu suami mesti pandai memikat hati isteri asalkan tidak sampai terlalai hingga menurut saja segala kemahuan isteri. Di sinilah perlunya ketegasan seorang suami. Tegas dalam syariat dan tegas dalam perjuangan. Tegas tidak pula bermakna kasar atau garang, cuma jangan sampai kerana hendak melayan kehendak isteri, syariat dan perjuangan terpaksa diketepikan.
Sebagai orang yang ditua-tuakan dalam sesebuah rumahtangga, suami berhak untuk mendidik dan menyelesaikan segala kekusutan fikiran isterinya. Oleh kerana wanita seringkali bertindak mengikut perasaannya, maka adakalanya apabila fikiran terganggu emosinya juga terikut sama. Tatkala itu kalau ada kesalahan suami walaupun kecil akan diungkit-ungkit lebih-lebih lagi jika kesalahan itu dianggap besar, mulalah meluap-luap perasaan marahnya pada suami. Memang satu sifat yang agak sukar untuk dikawal ialah tatkala dia sedang marah. Kadang-kadang dia mengamuk macam ribut taufan lakunya (sebab itu kebanyakan nama ribu diambil dari nama perempuan umpamanya Taufan Lydia, Ariel, dan Angela).
Bagaimana sepatutnya tindakan suami untuk mententeramkan isteri yang sedang dilanda ribut taufan ini? Seeloknya didiamkan saja dulu sampai kemarahannya reda kemudian baru diterangkan dengan sejelas-jelasnya setiap perkara yang perlu diterangkan terutama yang menimbulkan prasangka isteri. Mengapa perlu diamkan saja orang yang sedang mengamuk? Kerana tatkala sedang marah, syaitan sengaja meluap-luap perasaan marahnya. Kalau dijawab bererti kita sengaja mencari pasal kerana berlawan dengan syaitan. Maka lebih baik didiamkan sahaja sehingga perasaan marahnya kendur. Ada kalanya demi keharminian rumahtangga, ada perkara-perkara tertentu yang tidak sepatutnya diketahui oleh isteri. Kalau perlu disembunyikan dari pengetahuan isteri, sembunyikan sungguh-sungguh. Ini bukanlah mengalakkan suami mengambil kesempatan melakukan perkara yang sumbang dan berbuat dosa di belakang isteri. Tetapi jika perkara yang disembunyikan itu tidak bertentangan dengan syariat, memang ada baiknya disembunyikan. Mungkin ia berhubung dengan suatu perkara yang isteri sukar untuk memahaminya.
Berjanji
Hal ini pernah berlaku dalam rumahtangga Rasulullah s.a.w. Suatu hari isteri-isteri datang menemui baginda dan Siti Aishah, yang mewakili mereka semua bertanya ; “Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah, yang manakah yang paling Rasulullah sayang?” Rasulullah tersenyum mendengar pertanyaan itu. Rasulullah tidak terus menjawab. Bahkan baginda menyuruh ke semua isterinya pulang dahulu dan berjanji akan memberikan jawapannya kemudian.
Bagaimana harus dijawab kalau anda ditanya begitu oleh isteri-isteri saudara? Memang tidak dinafikan perasaan kasih sayang itu tidak boleh diberi sama adil. Ini diakui oleh Allah. Tetapi suami mestilah pandai memainkan peranannya supaya jangan ada di kalangan isteri-isteri yang tersinggung perasaannya kerana mengetahui suaminya lebih sayang kepada isteri yang lain.
Berbalik kita kepada kisah tadi, maka seperti biasa Rasulullah mendatangi isteri-isterinya mengikut giliran masing-masing. Rasulullah sedikit pun tidak menyebut mengenai persoalan yang dikemukakan itu. Sebaliknya sebelum baginda meninggalkan isterinya, setiap seorang baginda hadiahkan sebentuk cincin dan baginda berpesan agar mereka tidak memberitahu isteri-isterinya yang lain. Pada hari yang telah ditetapkan, Rasulullah s.a.w. menyuruh isteri-isterinya berkumpul kerana baginda hendak memberi jawapan kepada persoalan yang dikemukakan.
Maka berdebar-debarlah hati masing-masing untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang paling disayangi oleh Rasulullah. Ada yang terasa pasti jawapannya Siti Aishah kerana beliaulah yang termuda di antara mereka. Tetapi dengan kebijaksanaan Rasulullah, baginda pun berkata ; “Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberikan cincin kepadanya.” Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana setiap seorang menyangka dia sahaja yang menerima cincin tersebut. Begitulah sepatutnya tindakan suami, pandai menyelesaikan kekusutan fikiran isteri.
Berleter
Satu perkara lagi biasanya kaum perempuan suka berleter. Suami yang bijak akan berdiam diri dan tidak menjawab leteran isteri. Ini buka bermakna suami mengalah, tetapi sebagai satu strategi. Ibarat orang sedang sakit gigi. Gigi yang sakit jangan terus dicabut kerana akan bertambah sakitnya. Hendaklah tunggu sehingga sakitnya berkurangan barulah dicabut. Maknanya isteri yang sedang berleter, jangan dinasihati. Hendaklah ditunggu keadaannya menjadi kendur barulah boleh dinasihati. Dan nasihat itu mestilah kena pada tempatnya. Maka barulah diterima dan dirasakan seperti kepala yang disiram embun pagi pada kala panas terik. Rasulullah tidak menjawab sepatah pun. Baginda memberi peluang kepada perempuan tersebut meluahkan ketidakpuasan hatinya. Apabila kesemuanya telah diluahkan, barulah baginda memberi penjelasan atau pun memaafkan saja dan melupakan perkara tersebut.
Tidak semua suami memiliki isteri yang banyak kerenah. Beruntunglah suami yang memiliki isteri yang sikapnya terlalu pengasih terhadap suami dan anak-anak. Perempuan begini rela mengorbankan seluruh jiwa dan raganya untuk kebahagiaan suami dan anak-anak. Dia akan bersikap sebagai penghibur, penyayanng, pendorong dan pembantu kepada perjuangan suami. Isteri begini bukan sahaja tidak membebankan suami dengan masalah-masalahnya bahkan dia akan berusaha untuk menyelesaikan masalah suaminya. Sabda Rasulullah yang bermaksud ; “Barangsiapa memiliki isteri yang solehah, maka sesungguhnya ia telah memilki separuh dari agamanya.”
Rasulullah juga bersabda yang bermaksud ; “Dunia adalah hiasa dan hiasan yang terbaik ialah memiliki isteri yang solehah.”
Apabila wanita dapat dididik dengan betul, maka ia dapat memberi kebaikan kepada seluruh umat kerana di tangan wanitalah penentu corak generasi akan datang. Kelembutan dan kehalusan belaian tangan wanita yang solehah akan mebahagiakan seluruh isi alam.

16 August 2008

Mana Satu Yang Betul ?


Dalam kenyatan sumpah yang dibuat oleh Saiful Bukhari Azlan petang semalam di Masjid Wilayah Persekutuan , dia mengatakan bahawa dia telah di…. Secara paksa tanpa kerelaan. ( Rujuk akhbar utama hari ini ).Sementara itu, tuduhan yang dikenakan atas Dato' Seri Anwar Ibrahim mengikut seksyen 377B kanun keseksaan yang dibacakan semasa pertuduhan dibacakan adalah secara sukarela. Mana satu yang betul ni…???? Menurut Dato' Dr Harun Din, sepatutnya yang tertuduh yang kena bersumpah dan bukan yang menuduh, ini dah terbalik. Sama - samalah kita lihat nanti siapa sebenarnya yang jadi 'sesumpah'... Nampaknya semakin banyak teka –teki dan silap mata dalam isu ini.

Catatan Dari Bumi Pahang…

Saya merasa kasihan kepada pelajar UiTM di seluruh Negara yang berdemontrasi membantah cadangan Menteri Besar Selangor , Tan Sri Khalid Ibrahim untuk membuka kuota 10 % kepada bukan bumiputera. Perasaan kasihan ini kerana mereka ibarat 'pak turut' atau menjadi 'alat' untuk kepentingan pihak tertentu.

Mengapa baru hari ini pelajar UiTM berani berdemontrasi ? Sudah sekian lama UiTM sunyi dan sepi dari gerakan pelajar baik isu masyarakat atau isu mahasiswa .

Malah dalam beberapa tahun kebelakangan ini hampir semua kampus UiTM di seluruh Malaysia dalam Pilihanraya Perwakilan Pelajar ( MPP ) berlangsung dalam suasana hambar. Kebanyakan calon yang pro dan ditaja pihak pentadbiran UiTM menang percuma. Manakala calon yang mempunyai idealis yang bertentangan dengan pihak pentadbiran dihalang dan disekat serta dikenakan syarat –syarat yang sengaja diadakan. Hal ini menyebabkan suara pelajar bertambah layu dan lesu. Justeru itu, MPP UiTM sebenarnya tidak mewakili suara pelajar tetapi hanya menjadi 'boneka'dan 'alat' kepada pihak pentadbiran UiTM.

Hal ini berbeza dengan IPTA lain, walaupun menerima pelbagai tekanan dan sekatan, suara pelajar masih lantang dan digeruni oleh pihak atasan IPTA. Dalam perjuangan membela hak rakyat dan mahasiswa serta demontrasi –demontrasi aman sebelum ini, wakil dan suara dari IPTA lain adalah lebih menyerlah berbanding dengan UiTM. Malah, tidak keterlaluan kalau dikatakan tidak ada langsung.Maka, jadilah mereka seperti kerbau dicucuk hidung dengan mengikut sahaja kehendak dan arahan pihak atasan UiTM.

Dalam hal ini, saya ingin bertanya pelajar UiTM yang merelakan diri mereka menjadi alat atau dipaksa hadir dalam siri –siri demontrasi baru –baru ini yang kononnya membela hak mereka dan hak Melayu.

  1. Di mana suara anda apabila mata pelajaran sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris yang sama sekali merendahkan martabat bahasa dan bangsa Melayu ?
  2. Di mana suara anda apabila Matrikulasi dibuka kepada bukan Bumiputera ?
  3. Di mana suara anda apabila MRSM dibuka kepada bukan Bumiputera ?
  4. Di mana suara anda apabila biasiswa yang sebelum ini diberi kepada orang Melayu dan Bumiputera ditarik balik ?
  5. Di mana suara anda apabila dasar Meritokrasi diperkenalkan dalam pemilihan ke IPTA yang menyebabkan ramai anak melayu yang tercicir ?
  6. Di mana suara anda apabila Universiti dikopratkan yang menyebabkan orang melayu khususnya terpaksa hutang keliling pinggang untuk melanjutkan pengajian ke universiti ?
  7. Adakah anda tidak perasan di kampus anda ada pelajar luar Negara ? Kenapa anda tidak bantah?

Sekiranya, 'kebangkitan' pelajar UiTM adalah datang dari kesedaran mereka sendiri, saya adalah orang yang tumpang gembira. Sebaliknya, jika ini dilakukan sebab mengikut arahan dan kehendak pihak tertentu ia merupakan sesuatu yang sangat malang sekali dalam dunia pendidikan. Lebih – lebih lagi mereka adalah golongan terpelajar dan intelektual. Maka, memang patutlah 'ranking' IPTA dalam Negara terkeluar dalam senarai 100 IPT terbaik di dunia. Berbeza dengan Universiti Nasional Singapura yang berada pada ranking ke 18 di dunia.

15 August 2008

SUMPAH DAN SESUMPAH


Sumpah dan sesumpah, dua perkataan yang hampir sama bunyinya tetapi jauh berbeza dari segi makna. Bersumpah dilakukan dalam keadaan untuk membuktikan kebenaran, menguatkan hujah dan mengukuhkan pengakuan yang dibuat.

Dalam Islam, bersumpah merupakan cara terakhir apabila semua cara atau pintu penyelsaian lain sudut tertutup. Misalnya, tidak mempunyai saksi dan mahkamah tidak dapat membuat keputusan. Selagi terdapat cara lain,maka bersumpah adalah tidak perlu.

Sementara itu, di sudut perundangan apabila disebut surat sumpah, akuan bersumpah dan angkat sumpah maka bermakna seseorang itu mengaku dari sudut tulisan dan lisan bahawa setiap kenyataan yang dibuat adalah benar dan terpelihara dari kepalsuan.

Namun, realiti hari ini biasanya orang akan terdesak untuk bersumpah ( apa juga cara dan kaedahnya ) apabila merasakan dirinya tidak dipercayai ataupun orang lain meragui kejujuran dan kebenaran yang diperkatakan . Maka bersumpah adalah cara terakhir untuk membuktikan bahawa dirinya 'suci' dan 'bersih'.

Dari segi psikologi, orang yang suka bersumpah sebenarnya ada masalah keyakinan pada dirinya sama ada tidak mempercayai diri sendiri dan merasakan dirinya tidak dipercayai. Dalam konteks ini, sepanjang terlibat dalam bidang kaunseling hal-hal sebegini adalah lumrah.

Antaranya bertujuan untuk menarik simpati, ingin mendapat perhatian dan mempunyai sesuatu agenda atau kepentingan peribadi. Dalam kaunseling disebut 'self mechanism' atau 'helah bela diri'. Justeru itu, semua ini menyebabkan saya lebih berhati – hati dengan mereka yang mudah dan suka bersumpah.

Sementara itu, sesumpah pula adalah sejenis binatang yang boleh dan cepat menyesuaikan diri atau mengubah warna mengikut suasana persekitaran. Dalam hal ini, sesumpah dapat mengelakkan diri dari serangan musuh dan ancaman lain.

Dalam masyarakat kita, bila sesorang itu dilabel sebagai sesumpah maka dia dianggap sebagai tidak boleh dipercayai atau ' lidah bercabang'. Hari ini cakap lain dan esok cakap lain atau memberitahu perkara yang sama tetapi dengan versi yang berbeza pada orang yang berlainan. Orang ini dianggap sebagai berpura – pura dan hipokrit.

Namun, saya melihat dari sudut positif orang seperti sifat 'sesumpah' adalah mereka yang cepat menyesuaikan diri dengan suasana dan persekitaran baru. Misalnya seorang guru, dia dapat menyesuaikan diri dengan sekolah baru, rakan setugas baru dan gaya kepimpinan guru besar atau pengetua yang baru dan berbeza.

Sekiranya sifat sesumpah yang positif dapat diamalkan, individu akan merasai kepuasan dan keseronokan bekerja. Tidak timbul persoalan tekanan akibat gaya kepimpinan ketua , rakan baru dan suasana baru yang berbeza.

Apa yang sering berlaku, tekanan perasaan, gangguan emosi dan stres dialami apabila sesorang gagal atau lambat menyesuaikan diri seperti sesumpah . Implikasinya, hilang motivasi untuk bekerja, bersikap ala kadar, mudah marah – marah dan cepat sensitif dan melenting tak tentu pasal walaupun hanya hal –hal kecil yang remeh temeh.

Sekiranya ia berlaku kepada seorang guru, maka dia cenderung mengasingkan diri, lambat masuk ke kelas, sering ponteng ( ambil MC awal minggu dan hujung minggu…Isnin atau Jumaat ) dan jalan pintas yang sering diambil ialah minta tukar sekolah lain. Adakah masalahnya selesai ?Jawapannya tidak, di sekolah baru muncul pula masalah baru…

Kesimpulanya, berhati –hati dengan sumpah atau orang yang mudah bersumpah. Sebaliknya jadilah seperti sesumpah untuk meningkatkan kualiti dan harga diri serta mewujudkan keceriaan dan kebahagiaan dalam hidup.