08 November 2008

HARAPAN PALSU DARI KEMENANGAN OBAMA-MALAYSIAKINI


Kemenangan Obama pada awalnya memberi sedikit harapan akan ada perubahan dalam dasar pentadbiran Rumah Putih terutama dasar luarnya. Seluruh dunia menjangkakan akan ada perubahan yang lebih baik berbanding pentadbiran presiden Amerika sebelumnya.

Namun begitu tindakan dan kenyataan Obama sehari dua ini memberi gambaran bahawa Amerika akan mengekal dan meneruskan sistem serta corak pemerintahan terdahulu. Perubahan yang dilaungkan hanyalah slogan dan omong-omong kosong supaya seluruh dunia kagum dan terpaku dengan retorik dan permainan politik Amerika.

Ini jelas dengan pelantikan tokoh Yahudi Rahm Emanuel, anggota dewan perundangan demokrat sebagai ketua staff Rumah Putih. Memang telah diketahui sejak dahulu lagi Senat Amerika dan Rumah Putih dikuasai oleh golongan Yahudi. Justeru itu tidak hairanlah mengapa Amerika menjadi sekutu rapat rejim Zionis Israel. Malah Amerika seolah-olah dilihat hanya mengikut telunjuk Israel dalam kebanyakan tindakan dan keputusan yang dilakukan.

Terbaru Obama menyatakan sikapnya secara terang-terangan menentang sebarang program Nuklear Iran walaupun Presiden Iran Dr. Ahmadinejad merupakan antara pemimpin dunia terawal mengutuskan surat ucapan tahniah atas kemenangan Obama sebagai presiden Amerika.

"Pembangunan senjata nuklear Iran, saya percaya sesuatu yang tidak boleh diterima."

"Iran menyokong pertubuhan pengganas, yang saya merasakan sesuatu yang perlu dihentikan," katanya

Walaupun dari awal-awal lagi Iran menegaskan program nuklear yang sedang dibangunkan adalah bertujuan untuk keperluan tenaga negara itu dan bukan untuk menghasilkan senjata nuklear. Dalam masa yang sama tidak menyentuh atau mempersoalkan jumlah senjata nuklear yang dimiliki oleh Israel.

Sikap 'double standard' Amerika khususnya kepada negara umat Islam dijangka tidak berubah dan akan kekal untuk satu tempoh yang tidak diketahui sama ada wakil daripada demokrat atau republikan menjadi presiden Amerika.

ALI RUSTAM LAYAK BERTANDING TIMBALAN PRESIDEN:MELAKA BAKAL DAPAT KETUA MENTERI BARU?-MALAYSIAKINI


Ali Rustam telah layak bertanding jawatan timbalan presiden apabila mendapat pencalonan ke 39 dari Umno Bahagian Ketereh.Ini bermakna beliau akan berentap dengan Muhyiddin Yassin yang telah awal-awal lagi layak bertanding jawatan nombor dua dalam Umno. Sehingga kini Ali Ali Rustam telah mendapat 38 pencalonan kurang satu dari kuota yang diperlukan. Seorang lagi calon, Md. Taib yang mendapat 33 pencalonan turut dijangka tidak menghadapi masalah untuk layak.

Kemaraan Ali Rustam telah dijangka sejak awal-awal lagi berdasarkan sokongan yang diterimanya akhir-akhir ini. Mungkinkah sekali lagi anak Melaka akan menjadi Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri selepas Allahyarham Tun Ghaffar Baba?

Sebelah kaki Ali Rustam sudah pun berada di Putrajaya hanya menunggu masa sahaja untuk mengesahkannya pada Mac nanti.Beliau dijangka akan memberi tentangan sengit kepada Muhyyidin dan Md. Taib dalam pertarungan bagi jawatan timbalan presiden. Muhyiddin telah mula menerima balasan atas 'keceluparannya' mengkritik proses peralihan kuasa.Pak Lah secara terbuka meluahkan perasaan terkilan kepada Mahyuddin yang bersikap seperti kacang melupakan kulit.

Ali Rustam dilihat sebagai gandingan yang sesuai Najib untuk menerajui Umno dan negara berdasarkan sikap Ali Rustam yang lebih setia dan tidak melawan arus berbanding Muhyiddin yang dianggap vokal dan cuba membawa reformasi dalam Umno.

Isu kenegerian juga menyumbang kepada peluang dan potensi Ali Rustam untuk mengisi jawatan nombor dua dalam Umno. Sehingga hari ini, selain Muhyiddin, Hishamuddin, Khaled Nordin, Syed Hamid Albar semuanya dari negeri Johor mendominasi pencalonan jawatan timbalan dan naib presiden Umno dan perkara ini menimbulkan perasaan kurang senang perwakilan dari negeri lain.Ini memberikan kelebihan kepada Ali Rustam untuk mendapat sokongan semasa pemilihan Umno pada tahun hadapan.

Kemaraan Ali Rustam bermakna, Melaka bakal mendapat Ketua Menteri baru. Ini kerana secara tradisi jawatan timbalan presiden akan memegang jawatan timbalan perdana menteri. Justeru itu Ali Rustam perlu melepaskan kerusi dun Bukit Baru yang dimenangi dan juga jawatan ketua menteri yang disandang sekarang untuk bertanding di peringkat parlimen atau dilantik sebagai senator.

KETUA HAKIM NEGARA : TIDAK BICARA KES UMNO. BAGAIMANA KES PAKATAN RAKYAT?-MALAYSIAKINI


Tan Sri Zaki Tun Azmi, Ketua Hakim Negara yang baru menegaskan, beliau seboleh mungkin akan mengelak daripada mendengar kes-kes melibatkan Umno apabila ia dibawa ke mahkamah memandangkan beliau pernah mewakili parti itu sebagai peguam.

Jelas Zaki, beliau akan berbuat demikian sehinggalah merasakan persepsi umum terhadap diri beliau sudah berubah.

"Setakat ini kes Umno yang datang ke mahkamah, saya tidak akan membicarakan. "Saya kata saya tidak mahu (membicarakannya)? sehingga saya dapat menunjukkan kebebasan diri saya," katanya dalam satu wawancara.

Zaki ditanya bagaimanakah beliau akan mengendalikan kes-kes melibatkan Umno memandangkan wujud keraguan sesetengah pihak kerana beliau sebelum ini pernah mewakili Umno sebagai peguam.

Zaki, 63, dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin setelah diperkenan Majlis Raja-Raja pada 18 Oktober lepas.

Zaki yang sebelum itu adalah Presiden Mahkamah Rayuan menggantikan Tun Abdul Hamid Mohamed yang bersara wajib.

Dalam hal ini saya bersetuju dengan Ketua Hakim Negara yang enggan mengendalikan kes melibatkan Umno. Ini kerana selain pernah menjadi peguam bagi pihak Umno dalam beberapa kes terdahulu, Tan Sri Zaki juga pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin dan Rayuan Umno!Adakah beliau masih menjadi ahli Umno?

Di samping itu beliau juga sepatutnya mengelakkan daripada sebarang kes yang melibatkan Pakatan Rakyat. Sama ada melibatkan PAS, PKR dan DAP. Sama ada melibatkan perbicaraan pimpinan Pakatan Rakyat atau parti secara langsung.

Logiknya jika Tan Sri Zaki tidak mahu bersikap 'memihak' kepada Umno kerana pernah menjadi 'kaum kerabat' Umno, maka beliau juga perlu mengelakkan sebarang kes yang melibatkan 'lawan' Umno iaitu Pakatan Rakyat.Jika beliau tidak dapat mengelakkan situasi perbicaraan yang melibatkan sama ada Umno atau Pakatan Rakyat adalah lebih baik beliau berundur dari jawatan sebagai Ketua Hakim Negara supaya dapat memberi keadilan kepada semua pihak.

PEMILIHAN UMNO:SIAPA YANG AKAN KECUNDANG?-MALAYSIAKINI


Hari ini dan esok merupakan minggu yang cukup sibuk dan mendebarkan bagi calon-calon yang menawarkan diri untuk merebut jawatan tertinggi dalam Umno.Esok merupakan hari terakhir mesyuarat bahagian Umno seluruh negara untuk mencalonkan jawatan dalam pemilihan Umno Mac depan.

Tumpuan sudah pasti terarah kepada perebutan jawatan timbalan presiden, Naib dan ahli majlis tertinggi. Mungkinkah akan berlaku pertandingan tiga penjuru jawatan timbalan presiden melibatkan Muhyiddin, Ali Rustam dan Md. Taib? Muhyiddin awal-awal lagi layak dengan mendapat 79 pencalonan sehingga semalam, Ali Rustam 32 dan Md. Taib 30. Kuota jawatan nombor dua ini ialah 39.

Manakala pencalonan naib presiden tidak kurang sengitnya dengan 6 calon telah layak.Mereka Hishammuddin Tun Hussein(115),Ahmad Zahid Hamidi(83,Shafie Apdal(64)Khaled Nordin(61),Syed Hamid Albar(24)dan Isa Samad(21)Sementara 4 calon lain menanti dengan debaran. Mereka ialah Jamaludin Jarjis(18),Rais Yatim(15),Rahim Tamby Chik(10) dan Shahidan Kassim(6).Pencalonan yang diperlukan ialah 20.

Tinggal 49 bahagian lagi yang belum mengadakan mesyuarat yang akan berlangsung hari ini atau esok. Peluang semua calon yang disebutkan masih terbuka.

Gejala politik wang dijangka akan semakin meluas pada minggu terakhir ini. Sudah pasti semua calon yang belum layak akan berhabis-habisan untuk melepasi kuota pencalonan ditetapkan. Jawatan dalam Umno adalah umpama hidup dan mati mereka untuk mendapat kekayaan dan pengaruh.Justeru itu tidak hairanlah berlaku budaya cantas- mencantas, tikam belakang dan sogokan sepanjang proses mesyuarat bahagian Umno.

Jadi tidak hairanlah sogokan dan rasuah menjadi budaya dan 'tema' pemilihan Umno kali ini. Sehinggakan mereka yang 'ikhlas' dalam Umno menaruh kebimbangan dengan apa yang berlaku sekarang.

Ini jelas seperti gesaan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail meminta pucuk pimpinan UMNO segera menyelamatkan parti itu daripada kehancuran berikutan berleluasanya politik wang pada pemilihan sekarang yang disifatkan paling serius dengan lebih 900 aduan telah diterima setakat ini.

Menurut Tengku Ahmad Rithauddeen, beliau sudah pun berulang kali melaungkan amaran mengenai politik wang, malangnya lebih banyak aduan diterima kali ini berbanding pemilihan UMNO empat tahun lalu.

“Saya tidak ingat jumlahnya secara tepat tetapi rasanya sudah lebih 900 aduan mengenai politik wang diterima setakat ini,”.

Dijangka gejala ini akan semakin kronik menjelang Mesyuarat Agong Pemilihan Umno Mac depan.Bayangkan jika mereka yang terlibat dengan budaya ini dibiarkan menerajui dan memerintah negara? Negara akan menuju kehancuran dan rosak binasa. Khazanah milik negara akan susut. Tidak mustahil negara boleh jatuh bankrap dan muflis.

Tidak penting siapa yang layak dan tersungkur dalam pemilihan umno kali ini tetapi apa yang lebih penting ialah menyelamatkan negara ini daripada mereka yang rakus dan tamak daripada terus memperalatkan nama perpaduan dan ketuanan Melayu untuk kepentingan politik dan peribadi mereka.

07 November 2008

KES ANWAR : PEGUAM NEGARA WAJAR LETAK JAWATAN-MALAYSIAKINI


Mahkamah seksyen Kuala Lumpur hari ini memutuskan perbicaraan kes liwat Datuk seri Anwar Ibrahim akan kekal dibicarakan di mahkamah seksyen. Hakim SM Komathy Suppiah memutuskan bahawa sijil yang ditanda tangani oleh peguam negara,Tan Sri Abdul Gani Patail untuk memindahkan kes berkenaan tidak sah.

Peguam Negara wajar meletak jawatan serta merta. Pertama kerana melanggar arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi supaya peguam negara dan ketua polis negara tidak terlibat dalam perbicaraan ini.

Kedua, terbukti kredibiliti beliau sebagai peguam negara telah musnah bila hakim memutuskan kes ini kekal di mahkamah seksyen.

Tidak ada cara lain yang lebih sesuai selain daripada meletak jawatan sekaligus dapat memulihkan institusi perundangan negara.

Malah tindakan beliau sebelum ini yang dilihat sering bersekongkol dengan pihak pemimpin BN dengan membuat pendakwaan terpilih menyebabkan rakyat di negara ini telah hilang keyakinan kepada Ghani Patail untuk meneruskan tugas sebagai peguam negara.

OBAMA LANTIK MIGRAN ISRAEL SEBAGAI KETUA STAFF WHITE HOUSE-MALAYSIAKINI


Walaupun masih terlalu awal untuk menilai perubahan yang dicanangkan oleh Presiden Amerika yang baru, pelantikan Anggota Dewan Perundangan Demokrat dari Illinois, Rahm Emanuel, migran dari Israel yang merupakan seorang Yahudi Amerika sebagai Ketua Staf di White House dapat memberi gambaran awal bahawa dasar Amerika akan terus dipengaruhi oleh kuasa dan pengaruh Yahudi dalam pentadbiran serta dasar luar negara terutama berkaitan masalah umat Islam di Palestin.

Menurut Fox News, Emanuel, 49, yang lahir di Chicago merupakan anak kepada Benjamin, seorang doktor yang dilahirkan di Israel manakala ibunya, Martha pula merupakan warga Yahudi Amerika dan kini bertugas di organisasi hak sivil di Chicago.

George Stephanopoulos menerusi ABC News memetik Obama berkata, beliau menyukai Emanuel kerana "dia tahu polisi, tahu politik dan tahu Capitol Hill White House".

Apa-apapun sama-sama kita nantikan apakah perubahan yang dimaksudkan oleh Obama. Adakah beliau akan meneruskan dasar presiden Amerika yang terdahulu atau sebaliknya?

PEMBEBASAN RAJA PETRA: BUKTI KERAJAAN BN MENCABUL UNDANG-UNDANG -MALAYSIAKINI


Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini hari ini menerima permohonan habeas corpus bagi pembebasan penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin daripada ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Beliau diperintahkan dibebaskan serta merta.

Berita ini sudah pasti sesuatu yang menggembirakan kepada semua pejuang demokrasi tulen di negara yang selama ini membangkitkan dan mengutuk tentang penggunaan ISA secara sewenang-wenangnya untuk kepentingan politik sempit pihak tertentu.

Berita pembebasan ini pasti akan menyebabkan Najib tidak tidur lena kerana pastinya selepas ini RPK akan lebih lantang dan berani untuk membuat pelbagai pendedahan skandal yang berlaku. Saya yakin ramai rakyat Malaysia sedang ternanti-nanti kehadiran RPK sebagai saksi perbicaraan kes Altantuya nanti.

LAGI-LAGI PEMBAZIRAN DUIT RAKYAT DI MELAKA...-MALAYSIAKINI

Akibat kelalaian dan kesilapan yang tidak sepatutnya, sebanyak RM 2.55 juta terpaksa diperuntukkan untuk mengatasi masalah kulat yang berlaku di Poliklinik Ayer Keroh.

Walaupun baru beberapa tahun beroperasi masalah kulat ini semakin membimbangkan. Mengulas punca masalah yang berlaku Pengerusi Jawatankuasa Negeri Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan, Norpipah Abdol berkata ia berpunca dari suhu bilik yang terlalu sejuk serendah 16-17 darjah celsius dan kebanyakan bilik mempunyai kadar kelembapan relatif yang tinggi sehingga menyebabkan kulat mudah membiak.

Kenapa sampai jadi begitu? Adakah sebelum bangunan ini digunakan agensi kerajaan yang berkaitan tidak memantau perkara ini dengan teliti? Biasanya sijil layak menduduki (CF) memerlukan prosedur yang rapi. Bagaimana pula kontraktor yang terlibat? Semua pihak yang terlibat wajar bertanggungjawab dan tidak boleh lepas tangan. Siasatan segera dan terperinci perlu dilakukan. Sekiranya berlaku penyelewengan, mereka yang terlibat mesti diheret ke muka pengadilan kerana jumlah RM 2.55 juta yang terpaksa dikeluarkan adalah sangat besar lebih-lebih apabila melibatkan duit rakyat.

BERSEDIA MENGHADAPI BANJIR-MALAYSIAKINI

Jabatan Meteorologi merekodkan taburan hujan bagi Disember dan Januari akan melebihi paras biasa. Justeru itu, mereka yang tinggal di kawasan rendah diminta bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya banjir pada tempoh berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib semasa mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Pusat (JPBBP) semalam turut tidak menafikan kemungkinan banjir akan berlaku.

Bagi penduduk Melaka khususnya kawasan mereka yang sering dilanda banjir kilat, berita kemungkinan berlaku banjir adalah sesuatu yang sering menjadi igauan. Malah setiap kali hujan lebat terdapat mereka yang mengalami trauma.

Bayangkanlah jika hujan lebat selama dua tiga jam pun air dah melimpah ke dalam rumah bagaimana agaknya bila hujan berlaku secara berterusan?

Hujan merupakan rahmat dan anugerah dari Allah tetapi disebabkan kelalaian manusia dalam melaksanakan pembangunan yang tidak terancang dan sistematik maka ramai yang menjadi mangsa banjir. Implikasinya berlaku kerosakan dan kemusnahan harta benda yang juga boleh mengancam nyawa.

Begitu juga apa yang berlaku di Melaka, pembangunan tidak terancang dan sistem perparitan tidak sempurna sering kali dilihat menjadi punca utama banjir. Sampai bila kerajaan negeri hendak membiarkan masalah ini berlaku? Adakah hendak menunggu ada nyawa melayang akibat banjir baru ketika itu kerajaan akan benar-benar serius untuk mengatasi masalah ini?

Tidak dinafikan walaupun ada usaha kerajaan negeri menghadapi banjir seperti membina kolam tadahan, membaiki sistem perparitan dan program tebatan banjir tetapi langkah ini masih kurang berkesan menghadapi banjir yang sering berlaku. Malah peruntukan untuk mengatasi masalah banjir masih jauh lebih sedikit berbanding kos pembangunan lain seperti projek pelancongan yang dilihat membazir dan hanya untuk kemegahan.Misalnya, jika kerajaan sanggup berhabisan sehingga ratusan juta ringgit untuk mengindahkan Sungai Melaka sehingga terpaksa berhutang kepada kerajaan pusat, berapa pula kos untuk mengatasi masalah banjir di Melaka?

Apa guna kerajaan negeri Melaka berbangga dengan Belanjawan lebihan yang dicatatkan selama lima tahun berturut-turut jika faedahnya tidak dapat dinikmati oleh rakyat Melaka. Sebaliknya rakyat sering dihimpit kesusahan dan ketakutan setiap kali musim tengkujuh dengan 1001 kemungkinan berlakunya banjir.

06 November 2008

RM 10.5 JUTA NILAI HAKIM YANG DIPECAT?- MALAYSIAKINI


Kerajaan hari ini mengumumkan bayaran sebanyak RM 10.5 juta telah dibayar kepada enam orang hakim kanan yang dipecat pada era Dr. Mahathir menjadi perdana menteri. Dari jumlah tersebut,turut menerima saguhati itu ialah Tun Salleh Abbas bekas Ketua Hakim Negara sebanyak RM 5 juta.Perkara ini dimaklumkan di Dewan Rakyat oleh Datuk Seri Mohd. Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bayaran ini walaupun ada sesetengah pihak menganggap sebagai jumlah yang besar tetapi ia sama sekali tidak mampu untuk menebus kesilapan yang telah dilakukkan oleh kerajaan. Lebih-lebih ada di kalangan mereka telah meninggal dunia.

Saya yakin, semua hakim dan ahli keluarga mereka sama sekali tidak boleh melupakan episod hitam yang berlaku kepada mereka selama ini.Mereka dipecat dan dimalukan. Maruah mereka dijaja. Kredebeliti mereka musnah sama sekali. Gara-gara tangan-tangan kotor yang mencemar kesucian institusi kehakiman di negara ini.

Apa yang berlaku menyebabkan sanjungan dan penghormatan yang diberi kepada mereka yang selama ini menabur jasa dan berkhidmat untuk negara, bangsa dan agama menjaga neraca keadilan negara hilang ditelan zaman.

Walaupun ada generasi muda hari ini tidak mengetahui titik hitam yang pernah berlaku, ia tetap akan menjadi ingatan dan sebutan dalam lipatan sejarah negara. Biarlah berapa pun jumlah yang ditawarkan kepada hakim-hakim ini saya yakin maruah dan penghormatan mereka tidak dapat dikembalikan semula selagi kerajaan tidak memohon maaf untuk mengakui 'dosa-dosa' yang dilakukan kepada semua hakim-hakim ini.