01 February 2009

DUA ADUN PKR LETAK JAWATAN: MARI-MARI KITA LIHAT SIAPA YANG KENAAA...

Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V Sivakumar hari ini mengumumkan, beliau telah menerima surat peletakan jawatan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu.

Beliau menerima surat peletakan jawatan mereka melalui faks pada kira-kira jam 5.45 petang di kediamannya, kata beliau.

Jamaluddin dan Osman juga merupakan ahli exco kerajaan negeri Perak.
"Mereka telah meletak jawatan sebagai Adun, berkuatkuasa serta-merta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan itu, Sivakumar mengisytiharkan kerusi Dun Behrang dan Changkat Jering telah kosong dan dua pilihan raya kecil akan diadakan tidak lama lagi.

Setelah tewas teruk di Permatang Pauh dan tewas mengejut di Kuala Terangganu dalam pilihanraya kecil sebelum ini Umno dijangka akan menerima sekali lagi tekanan untuk berhadapan dengan dua lagi siri pilihanraya kecil.

Pihak PR dijangka tidak berdepan dengan masalah yang rumit dari segi kerjasama dan perpaduan dalam pakatan berbeza dengan Umno yang pastinya berdepan dengan tekanan hebat akibat pergeseran, pergolakan dan perbalahan yang berlaku dalam Umno sekarang.

Tindakan kedua-dua Adun yang sebelum ini dikatakan akan melompat ke BN tidak menjadi kenyataan sebaliknya Umno menerima tamparan akibat perletakan jawatan tersebut. Surat perletakan jawatan itu telah ditanda tangani pada bulan Mac lalu sebagai 'aku janji' untuk setia bersama kerajaan PR. Mana-mana Adun PR yang melompat parti telah bersetuju untuk meletak jawatan dalam surat yang telah ditanda tangani. Jadi terbongkarlah punca kenapa pada peringkat awal Jamaluddin Mat Radzi ingin menjadi calon bebas. Kini mereka mereka yang bercita-cita merampas kerajaan PR terperangkap dalam permainan mereka sendiri.


Untuk babak dan aksi seterusnya mari kita tunggu dan saksikan...Jom mari-mari kita lihat siapa yang kenaaaaa....Tuan Nobisha...panadol active fast ada stock lagi tak di Perak???

APA RESPON SPRM DALAM KEMELUT POLITIK DI PERAK?

Secara tidak rasmi kita dapat menduga apa yang telah berlaku di Perak. Dalam kes Datuk Nasarudin Hashim, Adun Bota yang menyertai PKR ,Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) begitu cepat memberi respon bahawa satu siasatan akan dijalankan sama ada wujud atau tidak unsur rasuah. Datuk Nasarudin pula menyatakan kesediaannya bila-bila masa untuk disiasat.

Dalam kes dua orang Adun Perak yang masih disembunyikan oleh 'nenek kebayan' di Gunung Semanggol iatu Jamaluddin Mat Radzi dan Osman Jailu kita menunggu respon SPRM dalam dua perkara :

1. Adakah tuduhan rasuah kepada kedua-duanya akan digugurkan dalam perbicaraan 10 Febuari ini sebagai 'habuan' kerana melompat ke BN atau perbicaraan akan diteruskan?

2. Adakah SPRM akan menyiasat tentang dakwaan wujud unsur rasuah dan peras ugut serta penculikan yang dilakukan kepada dua adun berkenaan?

Jika SPRM menutup sebelah mata atau menutup mata dalam isu ini bermakna nama BPR yang ditukar kepada SPRM hanyalah kosmetik yang tidak membawa apa-apa makna. Bermakna dakwaan SPRM juga terlibat sebagai watak utama di sebalik semua konspirasi politik di Perak benar-benar wujud dan berasas.

CONFIRM !!! KERAJAAN PR PERAK TINGGAL MAJORITI 1 KERUSI


Segala spekulasi dan teka-teki tentang kehilangan 2 adun dari PKR Perak akhirnya terjawab pada hari ini apabila Pak Lah tidak menolak kemungkinan terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada pembangkang di negeri Perak akan menyertai Barisan Nasional (BN).
Perdana Menteri bagaimanapun enggan mengesahkan identiti serta bilangan wakil rakyat pembangkang yang dijangka berbuat demikian.

``Insya-Allah betul,’’ katanya ketika menjawab soalan pemberita yang meminta beliau mengesahkan laporan terdapat dua ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Perak akan menyertai BN.

Tapi yang peliknya, awal-awal lagi pak Lah sebut adun dari pembangkang. Maknanya pak Lah masih lagi bermimpi atau berangan bahawa Umno menjadi kerajaan di Perak.

Saya petik kata YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz semasa pilihanraya kecil Permatang Pasir di Kelantan yang lalu, walaupun tinggal setengah kerusi pas akan tetap memerintah di Kelantan.

Walau bagaimanapun senario ini berbeza. Di Kelantan, walaupun tinggal 1 kerusi majoriti ketika itu, Adun Pas adalah ahli yang ditarbiyyah dan begitu wala' kepada pimpinan walaupun ditawar dengan nilai yang lebih lebih lumayan yang didakwa diterima oleh 2 adun PKR yang bakal melompat.

Di Perak, Pas tidak ada masalah dan saya yakin mereka akan taat walaupun apapun berlaku. Di sinilah kita akan dapat melihat sama ada PKR dan DAP dapat mempertahankan kesetiaan ahli mereka yang menjadi adun di Perak.

Opsyen yang ada untuk pakatan Rakyat jika terus digugat ialah dengan mengadakan pilihanraya semula dengan membubarkan sidang dewan undangan negeri Perak. Dalam keadaan BN dan Umno sedang teruk bergolak, mereka bakal menerima pengajaran yang paling pahit jika pilihanraya diadakan semula di Perak dalam tempoh terdekat.

Walau bagaimanapun saya cukup yakin dengan persediaan dan strategi yang dimiliki oleh PR untuk memastikan momentum sokongan dan kemenangan dapat dikekalkan.

Kepada semua penyokong PR khususnya di Perak diharap bertenang dan sentiasa mengikuti perkembangan dan arahan daripada pimpinan. Bagi saya sedikit ujian yang berlaku ini akan lebih menguatkan kerjasama dan perpaduan dalam Pakatan Rakyat.

Apa yang berlaku di Perak sebenarnya merupakan percaturan dalam politik. Mana-mana pihak yang silap langkah akan terus 'Check mate' .

KERAJAAN PERAK BERTUKAR TANGAN HARI INI?

Berita yang sedang panas sekarang ini di Perak. Masing-masing sedang mengikuti perkembangan terkini di Perak berikutan ada usaha BN untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Bagi saya semua penyokong PR tidak perlu bimbang. Menukar kerajaan tidak semudah seperti yang disangkakan bukan seperti nak tukar pakaian. Nak tukar kereta baru pun ada proses dan prosedurnya bukannya mudah-mudah macam tu je dapat kunci, start enjin terus jalan.

Bagi saya PR hari ini cukup kuat dan mantap sama ada di peringkat negeri dan nasional. Sokongan rakyat juga cukup padu di semua peringkat lapisan masyarakat dan bangsa. BN melakukan kesilapan besar jika cuba menggunakan teknik 'silap mata' atau taktik kotor untuk menggugat kerajaan PR Perak. Jika itu dilakukan BN dan Umno sebenarnya mempercepatkan lagi proses kejatuhannya di peringkat nasional.

DYM Sultan Perak dan Raja Muda adalah raja yang terdidik dan tegas serta akan melaksanakan keadilan mengikut lunas undang-undang dan pelembagaan dalam memastikan kerajaan yang mendapat mandat rakyat dipertahankan. Saya cukup yakin kerajaan PR di peringkat nasional dan negeri mempunyai opsyen yang tidak terduga oleh pemimpin Umno dan BN jika mereka terus bermimpi untuk menumbangkan kerajaan PR di Perak dan negeri-negeri lain.

Kepada semua teruskan doa dan sokongan Insyallah kerajaan yang ada akan dapat dipertahankan.

31 January 2009

JOM SERTAI PAS: PAS KETINGGALAN


Program Jom Sertai Pas sedang rancak berlangsung di seluruh negara. Satu kempen yang saya anggap sangat tepat dalam keadaan orang ramai khususnya golongan muda semakin menunjukkan minat dan lebih positif kepada perjuangan Pas. Sebelum ini Pas dilabel untuk golongan lebai dan orang kampung. Tetapi hari ini dari pencuci lantai sehingga jurutera nuklear semua ada di dalam Pas.

Walaupun penguasaan ICT dan perang siber di negara ini jelas didominasi oleh Pakatan Rakyat termasuk Pas. Perkara ini turut diakui oleh bloggers Umno bahawa blog yang pro Pakatan Rakyat begitu meluas dan melebar berbanding blog yang pro BN dan Umno. Setiap hari dan setiap minggu muncul blog-blog baru pro PR yang mendapat sambutan hebat berbanding blog pro BN dan Umno.

Tetapi dalam memanafaatkan dunia ICT ini untuk menarik dan mendaftar ahli baru menyertai Pas, Pas kena mengakui bahawa mereka ketinggalan berbanding dengan Umno. Umno semalam melancarkan sistem pendaftaran online untuk ahli baru yang dirasmikan oleh Pak Lah.Hari pertama dilancarkan semalam 809 telah menjadi ahli Umno. Dalam masa yang sama Pas masih lagi menggunakan sistem pendaftaran secara manual yang agak ketinggalan dalam dunia yang serba canggih sekarang.

Pas perlu melihat perkara ini dari aspek positif sebagai satu cabaran untuk mengekalkan momentum dan sokongan rakyat kepada Pas . Tidak salah rasanya bagi saya Pas mengambil pendekatan serupa atau yang lebih baik lagi walaupun mungkin ada suara-suara yang akan mendakwa bahawa Pas meniru idea Umno.

MIMPI NGERI!!!!

Dalam seminggu dua ni ramai yang mengalami mimpi ngeri. Bukan disebabkan kerana mimpi hantu atau terbawa-bawa dengan perasaan takut kerana banyak menonton cerita hantu yang sekarang ni mula jadi trend di stesen-stesen TV.

Apa tidaknya setiap hari ada je berita Suruhanjaya pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)membuat tangkapan dan siasatan tentang kes rasuah. Rasuah yang melibatkan sebuah parti politik di negara ini. PAS,PKR dan DAP? Semua dah tahu parti mana yang sedang bergelumang dengan rasuah sekarang ni terutama menjelang pemilihan tak lama lagi.

Lebih menggerunkan mereka bila mendengar berita ada yang didera dan diaibkan dalam sesi siasatan. SPRM ni pun satu kalau ye pun nak banteras rasuah bertindaklah mengikut lunas undang-undang dan batas kemanusiaan. Tak pasal-pasal ada pihak cuba menonjolkan isu penderaan SPRM untuk mengalihkan isu pokok iaitu membanteras rasuah. Namun saya yakin ini tidak akan menghalang SPRM untuk meneruskan siasatan dan mendakwa mereka yang terlibat.

Isu rasuah sudah sebati dengan parti berkenaan. Lihatlah sekeliling kita, buka mata dan fikir-fikirkanlah. Bagaimana baru sepenggal jadi YB dah bertaraf jutawan. Malah ada yang hanya menjadi JKKK tetapi pendapatannya mengalahkan Menteri Besar Pakatan Rakyat. Atas meja dan bawah meja semua sapu. Pantang ada peluang, projek buat longkang tepi balairaya pun semua kebas. Malah projek buat surau pun ambil komisyen beribu-ribu. Ini berdasarkan pengalaman dan pemerhatian sendiri bukan dengar-dengar cerita orang.Terpulanglah nak percaya atau tidak.

Hari ini mulalah hidup dalam ketakutan, bayang-bayang sendiri dikatakan hantu. Apabila van putih berhenti depan rumah mula fikir bukan-bukan, lutut mula mengeletar ketakutan. Semua ini sebab salah sendiri kerana berpolitik bukan untuk rakyat dan masyarakat. Tetapi untuk kepentingan sendiri mengumpul kekayaan dan mendapat nama dan kuasa serta membina pengaruh.

Kepada semua ingatlah, rezeki itu datangnya dari Allah. Keberkatan hidup adalah sangat penting. Orang tua-tua selalu pesan biar dapat sikit tetapi halal dan ada keberkatan. Daripada dapat banyak tetapi tak berkat,hidup tak aman, rumah tangga porak peranda dan hidup tak sunyi dari musibah.Tetapi ramai yang tak fikir itu semua...apabila kereta rosak, ditimpa penyakit, anak sakit atau ditimpa kemalangan, rumah dimasuki pencuri semua itu bagi mereka yang berfikir dan mengingati Allah menyedari bahawa itu adalah peringatan dari Allah SWT. Apa yang kita dakwa hak kita bukan hak mutlak kita....Allah nak tarik sekejap sangat...

30 January 2009

IMPIAN PALSU MENJADI JUTAWAN MLM

OK kita lupa sekejap cerita bab politik. Kita sembang-sembang sekejap bab ekonomi.

Saya yakin hampir 100% yang membaca artikel ini pernah telibat dengan syarikat Multi Level Marketing (MLM).Boleh jadi anda pernah menjadi ahli, pengedar, pengguna atau pun jadi ahli sebab nak jaga hati kawan atau saudara mara yang begitu bersemangat mempromosi produk dan kehebatan skim MLM yang ditawarkan.

Saya pernah terlibat sebagai semua di atas kira-kira 10 tahun dulu. Saya tak nak menyentuh dari sudut hukum dalam Islam aktiviti MLM kerana ia pernah dibahaskan. Anda boleh dapat maklumat tentang hukum menyertai MLM dalam link di bawah :

http://www.zaharuddin.net/content/view/472/89/

http://www.zaharuddin.net/content/view/462/89/

http://www.zaharuddin.net/content/view/303/89/

http://www.zaharuddin.net/content/view/524/63/

Seperti biasa iklan MLM akan dihiasai dengan mereka yang berjaya dengan mendapat pendapatan hingga lima enam angka sebulan. Terpampang dengan kereta besar menjadi jutawan segera dalam tempoh dalam masa beberapa bulan sahaja.

Maka mereka yang baru nak berjinak dengan MLM akan 'meleleh air liur' melihat mereka yang berjaya dalam MLM. Justeru itu mereka akan menanam azam untuk turut sama berjaya seperti mereka yang telah menempah kegemilangan dalam MLM. Kalau mereka boleh kenapa aku tak boleh kaya? Kata-kata itu sering dijadikan azimat untuk mengejar kejayaan yang diimpikan untuk menjadi jutawan segera kalau tak pun jadi separuh jutawan pun ok lah!

Tetapi akhirnya ramai yang tersungkur separuh jalan. Harapkan panas sampai ke petang rupa-rupanya hujan di tengahari. Penat lelah dan pengorbanan tidak mendapat hasil setimpal yang diharapkan...

Ramai yang meratapi dan termenung kenapa gagal dalam MLM yang disertai.

Saya ada jawapannya yang saya yakin ramai yang tidak menyedari apa yang sebenarnya berlaku dalam MLM. Cuba anda perhatikan siapakah dia mereka yang berjaya dalam MLM yang bergelar jutawan? Mereka sebenarnya adalah orang yang sama, cuma dalam syarikat MLM yang berbeza!

Apabila merasakan syarikat MLM yang disertai makin merosot, pemimpin-pemimpin yang sama akan menubuhkan atau menyertai syarikat lain secara beramai-ramai. Mereka akan membawa rangkaian dan downline mereka sekali. Maka dalam syarikat MLM yang baru mereka buat sistem rangkaian yang telah pun bertapak sekian lama. Itulah yang berlaku dalam banyak MLM yang saya perhatikan seperti Diamond, HPA,CNI, Sureco, DCL dan banyak lagi pada hari ini....

Apa yang berlaku adalah satu komplot terancang mereka yang tamak yang hanya mementingkan keuntungan dan kekayaan...Mereka akan menubuhkan syarikat MLM baru dan mereka juga yang akan meranapkan syarikat tersebut dengan menubuhkan syarikat baru...

Apa yang pasti menjadi mangsa adalah mereka yang baru berjinak dan menyimpan impian untuk menjadi jutawan MLM..Impian palsu yang tidak menjadi kenyataan...Cita-cita yang tidak kesampaian....Nasihat saya berhati-hatilah bila menyertai MLM...

29 January 2009

TARIK TALI ISU LETAK JAWATAN BUKTI UMNO TERUK BERGOLAK



Isu perletakan jawatan Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Perak semakin memeningkan. Kejap kata letak jawatan tiba-tiba tak semena-mena orang empunya diri menafikannya. Tetapi tak sungguh tak melata…Tak kan akhbar utama sanggup letak berita muka depan kalau maklumat tu tak sahih. Kalau betul hanya sekadar khabar angin akhbar terus letak muka depan memang layak pun akhbar tu hanya layak dijadikan alas tempat duduk masa ceramah atau alas untuk jemur ikan masin!


Jika betul tidak letak jawatan apa perlu Majlis Tertinggi Umno bincangkan itu sebagai salah satu agenda malam ini? Dalam satu kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata Umno masih belum membuat sebarang keputusan mengenai pengganti Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak.


Bagaimanapun Najib berkata perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat majlis Tertinggi Umno yang akan diadakan malam ini.


"Belum ada apa-apa keputusan lagi...beliau hanya gambarkan hasratnya (letak jawatan)," katanya dalam sidang media di sini hari ini.


Jika Tajol Rosli benar-benar tidak meletak jawatan atau menarik balik niat untuk letak jawatan, siapa yang sebenarnya yang beria-ia mahukan beliau meletakkan jawatan? Adakah Ustaz Ahmad Awang, Pesuruhjaya Pas perak yang minta beliau letak jawatan atau MB Perak, Datuk Seri Nizar Jamaludin yang desak beliau letak jawatan? Mungkinkah juga Pengerusi DAP Perak Dato' Ngeh Koo Ham yang paksa Tajol Rosli yang letak jawatan?


Semua ini menjadi persoalan bahawa Umno Perak kini sedang menghadapi pergolakan yang parah. Dalam keadaan begini saya yakin akan ada berita lagi Adun Umno menyertai pakatan Rakyat.

ADAKAH NAJIB AKAN LETAK JAWATAN JUGA?


Tindakan Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak adalah tepat. Ini membuktikan sikap dan rasa bertanggungjawab kerana merasakan gagal dalam melaksanakan tanggungjawab beliau.

langkah ini dipercayai berkait rapat dengan keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim, keluar daripada Umno dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagi saya beliau sepatutnya meletak jawatan itu lebih awal lagi apabila Umno dimalukan dalam pilihanraya umum lalu apabila Perak berjaya dikuasai oleh Pakatan Rakyat.Walau bagaimanapun tindakan beliau menunjukkan sikap bertanggungjawab untuk memulihkan keyakinan rakyat dan meredakan sedikit pergolakan yang sedang melanda Umno Perak.

Kita menunggu adakah ada lagi pemimpin Umno akan mengambil sikap yang serupa dilakukan oleh Tajol Rosli? Bagaimana dengan Khir Toyo? Sebelum ini acah nak letak jawatan tetapi tak lama lepas itu ubah pendirian dengan alasan sokongan daripada 'akar umbi' atau 'ubi kayu' yang mahukan beliau kekal dengan jawatannya sekarang.

Begitu juga dengan Najib, tak rasa apa-apa ke apabila BN khususnya Umno dimalukan di Permatang Pauh dan Kuala Terangganu serta pergolakan yang berlaku dalam Umno sekarang?

Adakah Najib akan meletak jawatan jika ada wakil rakyat di peringkat parlimen yang mewakili BN dan Umno menyertai Pakatan Rakyat?

Jika Pak Lah yang meletak jawatan saya rasa tak membawa apa-apa makna kerana Pak Lah memang akan meletak jawatan dengan 'rela hati' pada Mac nanti sebagai presiden Umno dan perdana menteri.

Dalam hal ini, Najiblah yang sepatutnya menanggungnya dengan memikul segala tanggungjawab kerana beliau yang kelihatan begitu berkuasa pada ketika ini walaupun belum secara rasmi ditabal sebagai presiden umno dan perdana menteri.

Tetapi kepada semua saya rasa eloklah lupakan andaian atau mimpi Najib akan letak jawatan secara sukarela. Lihatlah betapa 'selamba' je Najib berhadapan dengan kontroversi yang berlaku atas dirinya. Tidak ada sebab Najib akan letak jawatan kecuali beliau sudah tidak ada pilihan lain apabila semakin ramai orang berbondong-bondong meninggalkan BN dan Umno!

28 January 2009

PECATLAH RAMAI LAGI SUPAYA ORANG SEMAKIN BENCI DENGAN UMNO!


Imam Ramlag Porigi yang didakwa menjadi saksi sumpah laknat Saiful Bukhari Azlan mangsa yang mendakwa diliwat begitu sadis akhirnya dipecat.


Ramlang Porigi, yang ditukar serta-merta ke JAKIM September lalu selepas berucap dalam satu kempen ketika pilihanraya kecil Permatang Pauh, mendapat surat pemecatan itu minggu lalu. Dalam surat tersebut yang bertarikh 20 Januari, ketua pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menyatakan bekas imam muda itu dipecat kerana "mencemarkan nama perkhidmatan awam" selepas terlibat dalam kempen Anwar pada 24 Ogos lalu.


Tindakan memecat Ramlag walaupun dilakukan oleh Jakim tapi umum mengetahui ia didalangi oleh pemimpin Umno. Saya buat tuduhan liar? Orang yang beranggapan begitu ibarat sudah gaharu bertanya pula...Dah tahu buat-buat tanya pula...


Saya yakin Ramlag akan mendapat pembelaan dari Pakatan Rakyat. Tindakan memecat Ramlag sebenarnya akan menambah kebencian kepada Umno yang kini sedang menghitung hari-hari akhirnya. Tindakan memecat ini sebenarnya akan memberi kelebihan dan kemenangan moral pada Pakatan Rakyat khususnya Dato Seri Anwar Ibrahim bahawa tuduhan liwat ke 2 adalah konspirasi yang tidak terancang dan caca marba.