13 April 2009

SAMY VELLU AKAN KEMBALI DALAM KABINET?


Sehari dua ini cukup banyak polemik tentang nasib MIC dalam kabinet ' Satu Malaysia' Dato Seri Najib. Ada pemimpin MIC mencadangkan agar keluar dari kabinet 'Satu Malaysia' kerana dalam kabinet 'Satu Malaysia' MIC seolah-olah duduk 'di pedalaman Malaysia' seolah-olah diabaikan dan kurang penting dalam gagasan baru itu.

Bagi wakil MIC dalam Kabinet, tindakan keluar dari Kabinet adalah sesuatu yang tak munasabah dan tidak masuk akal. (Memang tak masuk akal!Ingat sikit ke ? Gaji dan elaun menteri dan timbalan menteri mencecah lima angka!).

Apa-apapun mesyuarat jawatankuasa kerja pusat (CWC) parti itu Khamis ini dijangka akan membuat keputusan sama ada kekal ataupun menuntut tambahan dalam kabinet. Malah suara-suara masyarakat India sama ada di dalam dan di luar MIC menggesa agar Samy Vellu menuntut agar MIC diberikan layanan seperti yang diperolehi oleh parti komponen lain.

Adakah Samy Vellu akan kembali dalam kabinet 'Satu Malaysia'?Agak-agaknya apakah post yang sesuai untuk beliau nanti? Rasa-sayanya tidak ada jawatan yang lebih afdal dan layak bagi Samy Vellu melainkan post 'tradisi' MIC,Kementerian Kerjaraya supaya Samy Vellu boleh kasi pusing 'Satu Malaysia'.

PERAK DAN TERANGGANU: DUN MANA AKAN DIBUBARKAN DULU?

Terangganu kini masuk dalam senarai DUN yang akan dibubarkan selepas Perak. Sabah dan Sarawak juga bakal berhadapan pembubaran DUN bagi memberi laluan pilihanraya negeri diadakan.

Cuma yang menariknya kita menunggu DUN mana yang akan dibubarkan dulu. Dun Perak akan terbubar dengan sendirinya sekiranya sidang DUN tidak diadakan dalam tempoh 6 bulan iaitu selewat-lewatnya 24 Mei depan mengikut pelembagaan negeri. Jika sidang Dun 'bawah pokok' diambil kira maka tempoh hayat Dun Perak boleh bertahan sehingga bulan September tahun ini.

Namun, jika sidang Dun bawah pokok tu diterima, bermakna segala keputusan yang dibuat adalah sah mengikut undang-undang. Tetapi saya yakin Umno@BN tidak akan beri 'perkenan' sidang Dun berkenaan.

Di Terangganu telah wujud desas-desus yang kuat akan wujud 'pemberontakan' daripada kumpulan Datuk Idris Jusoh kepada MB sekarang, Datuk Ahmad Said untuk mengemukakan usul tidak percaya. Walaupun dalam tempoh sehingga Rabu ini tidak ada sebarang usul tidak percaya dikemukakan tidak bermakna Ahmad Said boleh menarik nafas lega.Bila-bila masa usul tak percaya boleh dibuat walaupun Datuk Rasol Wahid dalam team Idris Jusoh kata isu itu tidak pernah dibincangkan.

Dalam masa yang sama DUN Sabah dan Sarawak semakin menuju tempoh matang. Dun boleh dibubarkan bila-bila masa dari sekarang. Tetapi dalam keadaan sekarang beranikah kerajaan BN yang memerintah membubarkan Dun di Sabah dan Sarawak?

Jom kita terus berspekulasi, Dun mana yang akan dibubarkan dulu? Dun Melaka?

12 April 2009

DEMONTRASI :POLIS THAILAND VS POLIS MALAYSIA

Polis membantu penunjuk perasaan yang cedera
Rakyat berhimpun di Lapangan terbang Antarabangsa Thailand tanpa apa-apa tindakan dari polis
Polis Thailand hanya memantau demontrasi aman


DI MALAYSIA....
Semburan asap mencegah demam denggi ?
semburan air asid untuk 'menyejukkan badan'
Polis menangkap orang awam yang berhimpun secara aman
salahkah mereka hanya untuk menyatakan suara rakyat dalam negara demokrasi
Mereka dianggap sebagai penjenayah berbahaya

Mereka yang ingin menyampaikan suara rakyat disambut mesra dengan gas pemedih mata

11 April 2009

KE MANA PERGINYA NILAI KEMANUSIAAN?


Kejam dan zalim! Itulah perkataan yang dapat diungkapkan kepada mereka yang terlibat mendera Adi Anwar Mansur,23, semasa berada di dalam tahanan reman polis Klang.

Menurut ibunya Jiknah Harun, 49, mendakwa anaknya telah ditendang di bahagian belakang, dipukul di belakang kepala, dan dibelasan dengan getah air sehingga dia tidak mampu lagi menahan kesakitannya.

Malah lebih zalim lagi, mangsa dilaporkan telah dipaksa meminum bahan pelarut!

Kenyataan OCPD Klang,Mohamad Mat Yusof bahawa Adi Anwar mengalami kecederaan ketika bergelut sewaktu dia ditangkap tidak masuk akal berdasarkan kecederaan yang dialami seperti ingin melindungi pihak yang terlibat yang lebih kejam dan ganas daripada binatang!

Adi Anwar Mansur sekarang sedang bergelut dengan maut dan masih berada dalam keadaan koma dan kritikal serta masih dirawat dalam ICU.

Saya tidak mahu menyalahkan pihak polis, tetapi apabila perbuatan terkutuk itu berlaku semasa dalam tahanan reman, pihak polis perlu bertanggungjawab 100%. Semua pihak yang terlibat termasuk OCPD Klang perlu meletak jawatan serta merta dan dihadapankan ke sebuah suruhanjaya bebas untuk disiasat dan diadili.

Apakah pihak polis masih tidak puas hati untuk menjadikan orang awam sebagai mangsa seperti kes A. Kugan dan kes-kes sebelum ini? Polis Malaysia sudah cukup tercemar!Mereka yang terlibat sepatutnya merasa malu dengan uniform yang mereka pakai kerana setiap gaji dan elaun yang mereka terima adalah datang dari duit rakyat! Saya menunggu apakah reaksi Datuk Hishamudin Tun Hussin sebagai Menteri Dalam Negeri yang baru.

SAMY VELLU TAK PUAS HATI DENGAN KABINET NAJIB


Akhirnya Presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan kabinet yang diumumkan Najib tempohari. Beliau menyifatkan kabinet baru yang diumumkan oleh Dato Seri Najib berat sebelah berbanding dengan jawatan kabinet yang diperolehi oleh MCA.

Memang patutlah Samy Vellu bising-bising, MCA dapat 4 jawatan menteri sedangkan MIC hanya dapat satu. Nampaknya kabinet baru Najib bukan sahaja menyebabkan berlaku perpecahan dalam Umno tetapi turut membawa keretakan dalam komponen BN.

Kepada Samy Vellu, usahlah bermuram durja dan gundah gulana. Ternyata beliau tidak lagi 'kebal' di kalangan masyarakat India. Dalam pilihanraya ke 12 lalu dan semua siri pilihanraya kecil pasca PRU ke 12 majoriti masyarakat India cenderung kepada pakatan Rakyat. Ini kerana mereka mula melihat MIC tidak lagi membela dan menjaga kebajikan masyarakat India di negara ini.

Memandangkan majoriti masyarakat India kini bersama pakatan rakyat, elok rasanya MIC memikirkan semula penyertaan mereka dalam BN. Saya yakin pintu Pakatan Rakyat sentiasa terbuka untuk mana-mana parti yang ingin bersama menuju negara berkebajikan dan Malaysia Baru.

KHAIRY ADAKAN PERTEMUAN TERTUTUP DENGAN ALI RUSTAM

Semalam Khairy Jamaludin Ketua Pemuda Umno mengadakan pertemuan tertutup dengan Datuk Seri Ali Rustam bertempat di kediaman rasmi Ketua Menteri di Melaka semalam.

Apa yang menarik pertemuan itu melibatkan dua tokoh yang tersingkir dan terbuang daripada 'projek pembaharuan' yang dilakukan oleh Dato' Seri Najib sama ada di dalam Umno atau dalam kerajaan.

Pertemuaan ini dikatakakan berkait rapat sebagai perancangan dan perbincangaan survival politik mereka dalam Umno. Telah wujud keyakinan di kalangan pemimpin Umno sendiri bahawa Khairy bakal berhadapan tindakan lebih tegas daripada Lembaga Disiplin Umno berdasarkan penemuaan 'bukti baru' oleh lembaga itu. Walaupun Khairy menjelaskan ia lebih kepada perbincangan untuk menentu dan melantik Ketua Pemuda Umno Negeri yang baru.

Di Melaka pula, rakyat di sini semakin mempercayaai bahawa tempoh jawatan Ali Rustam sebagai Ketua Menteri agak goyah ketika ini. Menunggu masa untuk digantikan dengan Ketua Menteri yang baru. Beliau mungkin akan melepaskan jawatan sebagai ketua Menteri untuk memberi 'laluan' kepada muka baru.

Dalam pemilihan Umno yang lalu, Khairy bergabung dengan Ali Rustam bagi meneruskan legansi Pak Lah dalam Umno dan kerajaan bagi menyekat team Najib-Muhyiddin-Mukhriz. Salah seorang watak utama bagi memastikan Tan Sri Muhyiddin Yassin tewas dalam persaingan Timbalan Presiden Umno setelah tersingkirnya Ali Rustam ialah Datuk Idris Harun, ahli Parlimen Tangga Batu bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Justeru saya tidak hairan langsung Idris Harun tidak terpilih dalam kabinet Najib.

Saya menjangkakan ada sesuatu yang bakal dilakukan oleh Najib untuk membersihkan saki baki pengaruh Pak Lah dalam Umno dan juga kerajaan. Ini penting supaya Najib memiliki kuasa dan cukup pengaruh agar semua pemimpin Umno dan kerajaan berada di bawah telunjuk beliau.

TERIMA KASIH DADDY


Terima kasih daddy...Agaknya itu yang diperkatakan oleh Dato Mukhriz selepas selesai mengangkat sumpah di Istana Negara sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

10 April 2009

NAJIB DIGESA BUBARKAN BN


Bekas Presiden Gerakan mencadangkan agar Dato Seri Najib Tun Razak menukarkan nama Barisan Nasional seperti yang pernah dilakukan oleh bapanya Allahyarham Tun Razak yang ketika itu menukar dari Perikatan kepada BN.

Perkara itu dicadangkan oleh bekas Presiden Gerakan Datuk Lim Keng Yaik supaya gabungan Umno,MCA,MIC, Gerakan dan parti komponen lain dalam BN kembali popular di kalangan rakyat.

Agaknya-agaknya apa nama yang sesuai untuk gabungan baru tu? Barisan Glokal? Barisan Rakyat? Gabungan Rakyat atau payah-payah masuk je Pakatan Rakyat!

Adakah rakyat akan menyokong barisan baru ini hanya semata-mata tukar nama atau seperti tukar warna atau tukar baju?

Ibarat seperti kereta lama yang dicat baru tetapi masih guna enjin lama. Enjin lama yang selalu semput-semput dan tersengguk-sengguk serta payah nak dihidupkan. Dah lah tu selalu buat hal kerap mati tengah jalan. Maklumlah sudah setengah abad digunakan. Hanya tukar dan tambah aksesori sahaja. Servis pun sekali-sekala dan ala kadar sahaja. Kalau pemandu formula One seperti Lewis Hamilton atau Fernando Alonso yang pandu sekalipun tak boleh nak pecut lagi.Inikan pemula pemandu yang dapat lesen pada zaman Jepun! Nak 'trade in' pun tak laku hanya layak dijual pakai timbang kati guna dacing!

BERANIKAH SEMUA KABINET 'PEMBAHARUAN' NAJIB ISTIHAR HARTA?


Semua Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet 'pembaharuan' Dato seri Najib Tun Razak selesai mengangkat sumpah di Istana Negara bermula 9.30 pagi tadi.

Upacara angkat sumpah taat setia serta ikrar kerahsiaan dilafazkan di hadapan DYMM DiPertuan Agong.

Maka secara rasmi terbentuklah kabinet 'impian' dan 'glokal' Najib yang disifatkan oleh naib johan 'lompat Semalaysia' Ezam Mohd. Nor sebagai barisan impian yang dicita-citakan oleh Dato seri Anwar Ibrahim ketika dulu.

Memandangkan ini merupakan kabinet impian dan glokal sesuai dengan motto Najib 'satu Malaysia, rakyat didahulukan dan prestasi diutamakan' saya mencabar agar semua barisan kabinet yang mengangkat sumpah hari ini untuk mengistiharkan harta untuk seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat untuk membuktikan mereka betul-betul bersih, bebas dari rasuah serta mengutamakan rakyat dalam semua aspek.

Jika nak isytihar harta pun tak berani maka motto itu seumpama slogan kosong yang tak membawa apa-apa makna umpama buih-buih di lautan.

09 April 2009

KABINET BARU, PERGOLAKAN BARU

Perdana Menteri, Dato seri Najib Tun Razak mengumumkan kabinet pembaharuannya petang tadi. Mungkin inilah kabinet 'glokal' yang pernah diutarakan oleh Najib sebelum ini. Kepada menteri dan timbalan menteri yang lama dan baru yang terpilih tahniah diucapkan. Kepada yang terkeluar mereka perlu menerima hakikat bahawa bahawa mereka tidak menepati kriteria 'pembaharuan' yang diinginkan oleh Najib dalam motto 'keramatnya' satu Malaysia, rakyat didahulukan dan prestasi diutamakan!

Maknanya yang tersingkir tidak lagi menepati citarasa rakyat dan prestasi menurut persepsi Najib.

Tidak ada apa yang istimewa dalam kabinet Najib kecuali usaha beliau untuk kembali menarik golongan agama dengan melantik Mej-Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom bekas Pengarah Kagat sebagai Menteri Hal Ehwal Agama Islam.

Tetapi ia tidak mampu menggugat pakatan Rakyat dan kembali menarik sokongan rakyat kepada Umno kerana telah terbukti penolakan rakyat kepada Umno adalah penolakan total yang berkait rapat dengan dasar dan idealis Umno yang semakin menyimpang jauh. Malah telah terbukti kemasukan tokoh-tokoh agama dalam Umno sebelum ini seperti bekas Imam Masjid Negara dan Ummu Hadhari, Dr. Mashitah Ibrahim tidak mampu mengubah dasar dan perjuangan Umno yang terang-terang seperti mempermain dan mempersendakan Islam.

Dalam pemilihan Umno di peringkat bahagian dan pusat tokoh-tokoh agama tersingkir seorang demi seorang atau mula menjauhkan diri daripada Umno apabila Pak Lah 'bersara' sebagai presiden Umno dan Perdana Menteri.


Apa-apapun pembentukan kabinet baru Najib bakal menambah kronik perpecahan yang berlaku dalam Umno hari ini. Bukan sekadar retak menanti belah tetapi hanya menunggu masa untuk bersepai.

Tidak melantik Khairy yang menang Ketua Pemuda tetapi melantik Mukhriz yang tewas ibarat halilintar yang bakal menggoncang Umno. Tidak melantik Khairy tidak mengapa jika Mukhriz pun tidak dilantik sama. Tetapi dengan melantik Mukhriz jelas secara terang-terang Najib ingin menunjukkan kuasa dan pengaruhnya. Ini juga satu penghinaan kepada Khairy dan secara tidak langsung kepada Pak Lah dan penyokong-penyokongnya yang masih bertapak dalam Umno.

Apa reaksi Khairy dan penyokong-penyokong Pak Lah? Sama-samalah kita tunggu...