05 June 2009

PEWAKILAN MENGUNDI UNTUK MENENTUKAN HALA TUJU PAS


Setelah berhenti rehat untuk solat Jumaat dan makan tengahari, kira-kira 1000 perwakilan Pas dari seluruh negara akan mengundi untuk memilih calon timbalan Presiden dan tiga orang naib presiden serta Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.

Keputusan pemilihan dijangka akan diketahui pada malam ini. Siapa pun yang terpilih mereka akan memikul amanah yang sangat besar untuk menterjemahkan tema ucapan dasar Presiden Tuan Guru Dato Hj. Abdul Hadi Awang iaitu Islam Memimpin Perubahan. Apakah perwakilan akan mengekalkan muka-muka lama atau membuat keputusan berani untuk memberi mandat kepada muka-muka baru.

Pemilihan kali ini penting sebagai persediaan untuk menyediakan satu gandingan mantap di dalam Pas untuk digabungkan dengan Pakatan Rakyat sebagai persediaan untuk mengambil alih teraju kepimpinan negara yang sebelum ini dikuasai oleh Umno@BN lebih setengah abad yang lalu.

SATU LAGI PROJEK BARISAN NASIONAL DI TERANGGANU BAKAL MENYEMBAH BUMI?


Ketika orang Umno@BN di Manek Urai sibuk menunggu durian runtuh sempena pilihanraya kecil yang bakal berlaku di Terangganu lain pula yang runtuh. Setelah dikejutkan dengan bumbung Stadium Sultan Mizan yang runtuh, sebuah lagi bangunan yang dibina era Islam Hadhari Terangganu Bestari hanya menunggu masa untuk menyembah bumi.

Laporan sebuah akhbar hari ini menyebut bahawa sebuah lagi projek mega di Terangganu yang bernilai puluhan juta ringgit iaitu Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terenggannu (MBKT) di Batu Burok di sini telah menunjukkan tanda-tanda bermasalah.

Air dari kolam renang di pusat itu dikesan meresap masuk ke lorong yang memisahkan kolam renang dengan 13 buah kedai di sisi pusat itu menyebabkan air bertakung lalu memasuki premis perniagaan itu.

Memang 'Bestari' sungguhlah kontraktor yang dilantik oleh kerajaan Umno@BN. Buat sekolah, sekolah runtuh, buat stadium bumbung roboh dan kini buat kolam, kolam bocor!

Dalam kes ini saya melihat Menteri Besar Terangganu Dato Ahmad Said masih sempat berpolitik dengan mengatakan beliau bersedia untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dengan memberi kerjasama penuh. Memanglah, semua projek itu bukan diluluskan dan dibina zaman beliau Menteri Besar tetapi pada zaman Dato Idris Jusoh. Inilah peluang beliau untuk mengenakan Idris Jusoh dan penyokong-penyokongnya yang cuba menggugat kedudukannya sebagai Menteri Besar.

Walaupun kejadian ini merupakan satu peristiwa yang memalukan dan mencalar imej Umno@BN khususnya di Terangganu tetapi sebenarnya inilah peluang Ahmad Said untuk menutup mulut Idris Jusoh serta mereka yang sewaktu dengannya. Pada pandangan saya, Ahmad Said tersenyum dalam hati apabila menyaksikan projek-projek zaman Idris Jusoh runtuh satu persatu menyembah bumi.

04 June 2009

FESTIVAL HIJAU AHAD INI

Mungkin secara kebetulan dengan gelombang hijau yang mewarnai bandaraya Shah Alam di Selangor sempena Muktamar Pas ke 55, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini akan menganjurkan Festival Hijau untuk mempromosi dan mewujudkan kesedaran mengenai gaya hidup mesra alam sekitar sempena Hari Alam Sekitar Sedunia Ahad ini.

Pelbagai aktiviti diadakan untuk kanak-kanak, belia dan ibu bapa bermula jam 8 pagi sehingga 3 petang mengenai gaya hidup mesra alam sekitar.

Aktiviti itu antara lain ialah kitar semula sebagai satu cara hidup, mempelajari dengan lebih dekat mengenai kerja-kerja penyelidikan saintis FRIM serta kerja-kerja pemuliharaan Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia.
Selain itu, terdapat juga jualan dalam but kereta, demonstrasi panjat pokok serta lawatan berpandu ke pelbagai tempat di FRIM.

Harap-harap FRIM tidak fobia dengan warna hijau seperti sesetengah pihak dalam Umno@BN yang takut pada bayang-bayang bukan sahaja kepada warna hijau yang dikaitkan dengan Pas tetapi juga kepada warna biru muda (Keadilan), Kuning (Bersih), Merah(Protes),Putih (PPSMI) dan hitam(pejuang demokrasi).

JIKA SAYA MENJADI PERWAKILAN SAYA AKAN PILIH SIAPA?


Hari ini rancak diperkatakan tentang pemilihan dalam Muktamar Pas ke 55 yang akan dirasmikan esok di Stadium Malawati Shah Alam. Muktamar Pemuda telah membuka tirainya malam tadi dengan dirasmikan oleh Timbalan Presiden, Ustaz Nashrudin Mat Isa.

Pemilihan kali ini dilihat sebagai pertembungan kononnya di antara dua kumpulan di dalam Pas iaitu golongan Erdogan dan ulama. Isu pertembungan ini dimulakan oleh pihak di luar Pas dan saya melihat ahli dan penyokong Pas mula terperangkap dengan mainan yang dilakukan.

Mungkin ahli dan penyokong Pas terlupa dalam pemilihan Pas dua tahun lalu, pemilihan di dalam Pas ketika itu dicanang sebagai pertembungan ulama modenis dan konsovertif. Siapa yang memberikan label itu? Pastinya mereka yang berada di luar Pas, penulis dan penganalisis politik serta mereka yang mempunyai agenda tersembunyi dan tertentu di dalam Pas. Mengapa pimpinan dan ahli Pas terperangkap dan mengikut rentak mereka?

Insyallah saya akan hadir di Muktamar Pas kali ini. Bukan sebagai perwakilan tetapi cuma menjadi pemerhati. Inilah saya dari dulu sehingga hari ini. Saya rasa inilah peranan saya yang lebih sesuai berdasarkan faktor kesihatan, keluarga dan tugas. Hotel telah ditempah awal-awal lagi kerana bimbang kehabisan. Bukan tak biasa bermalam di masjid atau markas tetapi untuk keselesaan keluarga yang dibawa bersama.Lebih-lebih lagi mukatamar kali ini dikatakan panas dengan pemilihan dan pelbagai isu berkaitan survival Pas.

Berbalik kepada isu dan tajuk, jika saya menjadi perwakilan siapa yang saya akan pilih terutama di kalangan tiga calon yang bertanding jawatan timbalan presiden? Kalau boleh dan diizinkan oleh pelembagaan parti saya akan pilih ketiga-tiga calon yang bertanding. Ini kerana ketiga-tiganya telah membuktikan komitmen dan iltizam kepada parti. Ketiga-tiganya mempunyai gaya kepimpinan serta misi dan visi yang tersendiri untuk kepentingan jemaah.

Memandangkan saya hanya boleh pilih seorang sahaja dan pilihan saya menentukan masa depan jemaah dan Islam maka saya akan menggunakan adab dan kaedah yang diajar dalam Islam. Saya akan bersolat sunat hajat dan Istikharah untuk diberi petunjuk oleh Allah SWT untuk menentukan siapa pilihan saya.

Memilih pemimpin lebih besar tanggungjawab daripada memilih isteri. Silap memilih isteri kesannya mungkin hanya kepada keluarga yang ingin dibina.Tetapi silap memilih pemimpin kesannya akan ditanggung oleh jemaah,rakyat dan negara. Lupakan segala kenyataan dan ulasan media. Usah terpedaya dengan pelbagai strategi pihak luar dan di dalam jemaah sendiri untuk berkempen.Kembalilah kepada kaedah yang diajar dalam Islam semoga pilihan yang dibuat tidak memudaratkan jemaah dan parti serta menyebabkan menyesal di kemudian hari. Selamat Bermuktamar....

03 June 2009

HATI-HATI DENGAN SEMUA PROJEK 'SATU LAGI PROJEK BARISAN NASIONAL'



Kerajaan Umno@BN seperti tidak mengambil pengajaran kejadian bumbung dewan runtuh di Sekolah Menengah Wakaf Tapai
Gambar stadium Sultan Mizan Gong Badak yang runtuh..
Di Melaka hari ini berlaku jalan runtuh yang nyaris meragut nyawa...

Kepada semua rakyat Malaysia diminta lebih berhati-hati apabila berada di mana-mana lokasi yang tertera ' Satu Lagi Projek Kerajaan Barisan Nasional'. Nyawa anda mungkin dalam bahaya. Dalam minggu ini sahaja dua kejadian bangunan runtuh berlaku. Pertama melibatkan bangunan bekas Jaya Supermarket di Petaling Jaya yang meragut tujuh nyawa, kejadian terbaru di Stadium Sultan Mizan semalam nyaris membawa malapetaka yang lebih besar. Silap hari bulan mungkin akan meragut nyawa yang lebih besar berbanding tragedi pesawat Air France yang terhempas di lautan Atlantik kelmarin.

Kejadian bangunan runtuh di Terangganu yang dibina era Islam Hadhari Terangganu Bestari bukan kali pertama. Tahun lalu bumbung bangunan dewan Sekolah Menengah Wakaf Tapai di Marang Terangganu juga runtuh. Cuma takdirnya ia berlaku di luar waktu persekolahan. Bayangkan jika ia berlaku sewaktu perhimpunan rasmi sekolah?

Semua ini menunjukkan bahawa wujud kepincangan dalam projek pembangunan yang dijalankan di bawah Kerajaan Umno@Barisan Nasional. Sebelum ini sering diperkatakan tentang unsur rasuah dan ketelusan dalam pemberian sesuatu projek. Tetapi nampaknya, perkara yang dibangkitkan tidak mendapat respon dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah. Akhirnya kes yang dilaporkan senyap begitu sahaja. Tetapi bila berlaku kejadian seperti ini barulah masing-masing terhegeh-hegeh menyiasat dan menunding jari di antara satu sama lain.Mungkin inilah malang buat rakyat Malaysia apabila musibah menimpa barulah sesuatu aduan disiasat dan tindakan diambil. Inilah agaknya slogan 1Malaysia. Rakyat didahulukan prestasi diutamakan.

02 June 2009

ZAHID HAMIDI BERDOLAK DALIH ISU PEMBELIAN JET PEJUANG BARU..


Dalam satu kenyataan akhbar semalam yang disiarkan oleh Utusan Malaysia hari ini Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa kerajaan akan menggantikan jet pejuang MIG29-N yang dibeli dari Russia dengan pesawat pemintas yang lebih canggih. Ini laporan utusan Malaysia hari ini

Pesawat MIG-29N milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan digantikan dengan pesawat pemintas yang lain bagi memperkuatkan pasukan itu, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Perkara ini telah dibincangkan dengan Panglima TUDM, Jen. Tan Sri Azizan Ariffin dan pesawat ini akan digantikan dalam masa terdekat, katanya.

"Pesawat MIG ini akan dilupuskan dengan menjual kepada syarikat-syarikat tertentu atau ke negara-negara yang dibenarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ini pula laporan akhbar Utusan Malaysia pada 13.5.2009 daripada Menteri yang sama:

Perkhidmatan pesawat pejuang pemintas jenis MiG-29N Fulcrum akan dikekalkan sungguhpun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah menerima pesawat terbarunya, Sukhoi SU-30MKM.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini pihak kementerian tidak bercadang untuk menamatkan perkhidmatan jet pejuang berkenaan.

"Kita perlukan beberapa perubahan bukan sahaja daripada segi peralatan," katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan pertamanya ke Kem Syed Sirajuddin di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai spekulasi yang mengatakan perkhidmatan pesawat MiG-29N akan ditamatkan berikutan kos menaiktaraf yang terlalu mahal dan telah berkhidmat lebih daripada 15 tahun.

Saya melihat isu atau cadangan pembelian aset terbaru ketenteraan ini seperti ada sesuatu yang tidak kena.

Pertama, membuktikan kegagalan kerajaan Malaysia dalam proses pemindahan teknologi dari Russia seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini. Bahawa Malaysia akan mendapat manafaat hasil pemindahan teknologi daripada pembelian pesawat berkenaan sebelum ini.

Beberapa negara seperti India yang membeli pesawat berkenaan lebih awal dari Malaysia masih dapat mengekalkan tahap kemampuan pesawat untuk berfungsi dengan maksimum hasil daripada pemindahan teknologi. Persoalannya adakah nasib yang sama akan dilalui oleh jet pejuang yang dikatakan tercanggih di dunia Sukhoi SU-30MKM yang juga baru dibeli dari Russia beberapa tahun yang lalu?

Masalah yang sama juga turut dihadapi oleh jet Hawk 100 dan 200 yang dibeli dari Britain tidak lama dulu turut mengalami masalah alat ganti dan lebih malang lagi beberapa pesawat berkenaan telah terhempas ketika menjalani latihan yang mengorbankan beberapa juruterbang.Adakah pesawat ini juga tidak perlu diganti?

Cuba lihat apa yang dilakukan oleh negara jiran Singapura, jet Skyhwak yang dibeli pada tahun 1980-an masih berfungsi dengan baik sehingga hari ini apabila dinaik taraf menjadi Super Skyhwak yang menjadi antara skundron jet pejuang yang masih digeruni ketika ini.

Saya menyokong penuh jika pembelian ini dapat menjamin dan penting untuk keselamatan negara. Tetapi apa yang saya cukup bimbangkan ialah tangan-tangan ghaib yang wujud di balik tabir seperti yang dibangkitkan dalam isu pembelian kapal selam bahawa kerajaan terpaksa membayar komisyen yang sangat tinggi daripada perjanjian jual beli tersebut.

Adalah sesuatu yang amat malang jika keselamatan negara dan nyawa juruterbang diperjudikan semata-mata untuk memenuhi agenda tersembunyi pemimpin tertentu yang ingin mengaut keuntungan hasil daripada perjanjian jual beli tersebut.

01 June 2009

NAJIB HANYA DAPAT D


Kajian yang dilakukan oleh Merdeka Centre yang diumumkan hari ini mendapati hanya 45% rakyat berpuas hati dengan prestasi Dato Seri Najib dalam tempoh dua bulan menjadi Perdana Menteri melalui proses peralihan kuasa.

Kalau di sekolah hingga ke universiti markah lulus ialah 40% ke atas. Itupun cuma cuma cukup makan je. Markah lulus iaitu D biasanya dari 40-49%. Kalau dapat D biasanya cikgu akan tulis komen seperti macam ni dalam kad laporan Lemah sila baiki prestasi anda!

Mungkin untuk Najib, rakyat akan tulis komen macam ni, Prestasi anda lemah sila letak jawatan atau tunggu pilihanraya akan datang untuk anda diturunkan!

CERAMAH YB DATO HUSAM MUSA DAPAT SAMBUTAN LUAR DUGAAN


Walaupun media pro Umno@BN dan beberapa penulis blog seperti cuba melaga-lagakan kepimpinan Pas dengan kononnya wujud golongan Erdogan dan ulama ini sama sekali tidak menjejaskan sambutan ahli dan penyokong Pas terhadap program ceramah yang diadakan.

Malam ini ceramah Perdana anjuran Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil mendapat sambutan di luar dugaan. Ceramah kali ini membariskan YB Dato Husam Musa,Ustaz Kamarudin Sidek dan Adun DAP Dun Ayer Keroh.

Husam menjelaskan bahawa Umno@BN cukup gentar dengan perpaduan dan kerjasama erat yang wujud di dalam Pakatan Rakyat. Justeru itu pelbagai usaha dilakukan untuk memecah belahkan pakatan ini. Menurut beliau, usaha untuk memecah belahkan ini cuba dilakukan oleh musuh dengan melaga-lagakan kepimpinan Pas seolah-olah senario politik murahan seperti yang lumrah dalam Umno turut berlaku di dalam Pas. Misalnya isu perebutan jawatan, wujud perbalahan dalam pimpinan dan rasuah.

Sambutan hebat yang ditunjukkan oleh rakyat Melaka pada program malam ini memberi petanda bahawa Pas berpotensi besar untuk melahirkan anak sulung dalam Dewan Undangan Negeri serta sebagai isyarat bahawa Pakatan Rakyat mendapat sokongan padu untuk membentuk kerajaan di Melaka dalam Pilihanraya Umum akan datang.

31 May 2009

DR MANSOR MENANG ! DALAM PILIHANRAYA TERAMAN DI MALAYSIA

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Dr. Mansor Othman calon dari PKR memenangi kerusi DUN Penanti. Manakala 3 lagi calon bebas mungkin terpaksa mencari sponsor untuk menggantikan semula duit deposit calon mereka yang hilang.

Esok saya jangkakan akhbar pro Umno@BN akan kata pengundi Penanti boikot PRK Penanti. Mungkin tajuk lain Peratus keluar mengundi rendah dalam sejarah. Mereka lupa nak siarkan tajuk berita seperti :

Pilihanraya Penanti Bebas Pengundi Hantu.....

Pilihanraya Penanti Teraman Dalam Sejarah Malaysia.....

Pilihanraya Penanti Tidak Ada Unsur Sabotaj.....

Pilihanraya Penanti Tidak Ada Poster Calon dikoyakkan...

Pilihanraya Penanti Bebas Gejala Rasuah.......

Pilihanraya Penanti Bebas Projek Mee Segera....

Pilihanraya Penanti Tidak Ada Agensi Kerajaan Disalahgunakan....

PENANTI AMAN DARI PENGUNDI HANTU

Pilihanraya Kecil Penanti yang sedang berlangsung hari ini mencatat dua sejarah tersendiri dalam proses pilihanraya di negara ini. Pertama, Umno@BN tidak bertanding dan kedua saya rasa satu-satunya pilihanraya yang aman dari pengundi hantu.

Jika dalam pilihanraya yang lain sama ada umum atau kecil, isu pengundi hantu sering diperkatakan. Sama ada yang menjelma sebelum hari pengundian atau muncul secara tiba-tiba pada hari mengundi. Mereka boleh datang secara rombongan atau datang secara bersendirian.


Dalam pilihanraya kecil kali ini tidak langsung kedengaran tentang pengundi hantu. Apa maknanya tu? Bermakna pengundi hantu hanya wujud bila adanya Umno@BN! Di mana ada Umno@BN bertanding di situ ada pengundi hantu...Lebih banyak tempat yang Umno@BN bertanding lebih banyak pengundi hantu yang berkeliaran. Jadi kesimpulannya, hanya satu cara untuk memastikan tidak muncul pengundi hantu pada setiap kali pilihanraya, Umno@BN tak payah bertanding! Jika tak percaya, tengoklah nanti pilihanraya kecil di Manek Urai bulan Julai nanti isu pengundi hantu pasti akan kedengaran sekali lagi. Ini menunjukkan Umno@BN dan pengundi hantu memang tak dapat dipisahkan...