
12 June 2009
MAS RUGI KETIKA AIR ASIA TERUS CATAT UNTUNG

RAMAINYA YANG AMBIL BERAT TENTANG PAS

Kebelakangan ini Pas mendapat publisiti percuma yang cukup meluas. Liputan besar-besaran ini datangnya daripada pelbagai sumber seperti media pro Umno@BN dan juga rangkaian maklumat maya yang terdiri daripada portal berita dan blog.
Sama ada berita itu bercorak positf, negatif atau berkecuali saya melihat semua ini menunjukkan ramai yang ambil berat dan bimbang dengan perkembangan yang berlaku di dalam Pas. Apabila setiap hari mereka menulis tentang Pas bermakna Pas hari ini begitu berpengaruh dalam masyarakat di negara ini bukan sahaja kepada orang Melayu yang sinonim dengan Islam tetapi juga kepada masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam.
Semua ini sekaligus menunjukkan Pas hari ini telah diiktiraf sebagai kuasa politik perdana yang boleh menjadi penentu kepada senario politik dalam negara. Jika Pas sebuah parti kecil dan tidak berpengaruh siapa yang nak ambil peduli kepada Pas dan menceritakan apa yang berlaku dalam Pas siang dan malam.
Ini juga sebagai peringatan untuk semua yang berada di dalam Pas, sama ada peringkat pimpinan atau bawahan agar selain mengutamakan kepentingan Islam mereka juga perlu memikirkan kepentingan nasional dalam setiap kenyataan dan tindakan. Semua ini penting sesuai dengan sokongan dan penerimaan masyarakat kepada perjuangan Pas hari ini.
11 June 2009
PELANTIKAN HUSAM DAN MAT SABU BUKTI PAS TIDAK BERPECAH

Presiden Pas Tuan Guru Dato Seri Hj. Abdul Hadi Awang hari ini mengumumkan saf kepimpinan Pas yang baru. Di peringkat negeri tidak banyak perubahan yang berlaku bagi jawatan Pesuruhjaya Pas Negeri. Seperti yang dijangka dua tokoh kanan Pas yang tidak terpilih dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden dilantik menganggotai AJK Pas Pusat.
Pelantikan Datuk Paduka Husam Musa dan Hj. Muhd. Sabu oleh YB Presiden sekaligus menepis segala tohmahan oleh media dan pemimpin Umno bahawa Pas sedang mengalami pergolakan dan perpecahan kononnya di antara kumpulan golongan Erdogan dan Ulama.
Di sini jelas menunjukkan tidak wujud politik dendam atau sebarang unsur yang tidak sihat di dalam Pas seperti yang berlaku dalam Umno dan komponen BN yang lain. Misalnya lihatlah balasan yang diterima oleh Khairy Jamaludin dan ramai penyokong Pak lah yang sebelum ini memegang jawatan tinggi dan cukup berpengaruh sama ada dalam parti atau pentadbiran kerajaan. Satu persatu dicantas dan dipinggirkan dalam Umno kerana tidak sehaluan dengan idea 1Malaysia. Begitu juga yang berlaku dalam MCA, Datuk Chua Soi Lek terpaksa meratapi nasib malang apabila tidak memegang jawatan dalam kabinet serta hanya diberikan peranan kecil dalam MCA walaupun bergelar timbalan Presiden.
Pelantikan Datuk Husam Musa dan Hj. Muhd. Sabu menunjukkan keterbukaan Pas dalam menerima pandangan dan teguran sama ada daripada pimpinan atau ahli di peringkat bawahan. Di sini menunjukkan bahawa sumbangan kedua tokoh ini masih diperlukan dalam memastikan kemaraan Pas dalam arus politik negara. Tidak timbul soal tekanan atau pengaruh luar dalam pelantikan ini. Saya melihat Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang sentiasa meletakkan kepentingan Islam dan Pas mengatasi segala-galanya. Semoga dengan pelantikan ini akan memacu dan meningkatkan momentum perjuangan Pas untuk memastikan Umno@BN akan tersungkur dalam pilihanraya umum akan datang.
SIAPA YANG RETAK BN ATAU PR?
Apa yang berlaku dalam Umno di Perlis dan Terangganu serta kekalutan memilih calon di Manek Urai hanyalah segelintir daripada kemelut yang sedang melanda dalam Umno hari ini. Tambah memeningkan dengan isu dalaman PPP,Gerakan, MCA dan MIC.
Jadi untuk menutup kelemahan dan masalah yang berlaku Umno serta mereka yang sewaktu dengannya , Umno cuba mengalihkan isu bahawa wujud keretakan dalam Pakatan Rakyat. Maka mereka pun memalu gendang serta mengulangi zikir mereka yang sama siang malam bahawa Pakatan Rakyat semakin retak.
Tetapi kenyataan Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim hasil pertemuan bersama semua pimpinan utama Pakatan Rakyat malam tadi ibarat petir dan halilintar yang menutup segala isu yang dibangkitkan oleh Umno@BN kepada Pakatan Rakyat.
Berikut disiarkan kenyataan penuh Anwar:
Kenyataan ini saya edarkan setelah berbincang dengan Ustaz Abdul Hadi Awang dan Sdr Lim Kit Siang semalam. Kami mengulangi komitmen untuk memperkukuhkan kerjasama Pakatan Rakyat bagi menjayakan Agenda Perubahan.
Kami berpendapat adalah penting untuk memberi peluang dan ruang kepada rakan-rakan parti komponen untuk menjelaskan pendirian mereka berhubung sebarang isu yang berbangkit.
Kami percaya perselisihan kecil yang digembar gembur oleh media Umno-BN tidak akan meretakkan permuafakatan yang terbina dari iltizam untuk membawa Perubahan kepada rakyat Malaysia keseluruhannya.
Perlu dijelaskan bahawa isu rundingan PAS-umno yang berbangkit dari kenyataan Ustaz Abdul Hadi pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar di muktamar tahunan baru-baru ini harus dilihat dalam konteks pidato Presiden PAS.
Dalam pidato tersebut Ustaz Abdul Hadi mengulangi komitmen PAS untuk memastikan Perubahan terlaksana melalui wadah Pakatan Rakyat dan menggariskan kewajaran muafakat antara parti bagi menyelesaikan krisis Perak melalui pilihan raya, menggesa agar badan kehakiman bebas dari sebarang kongkongan dan pilihan raya yang telus.
Insya-Allah permuafakatan Keadilan, PAS dan DAP akan bertambah utuh dari hari ke hari. Rakyat Malaysia mahukan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, telus dan cekap mentadbir bagi kembali memacu negara ini ke persada. Pakatan Rakyat bersedia menggalas tanggungjawab demi memastikan negara ini berada di landasan yang tepat.
10 June 2009
KENAPA KHAIRY BERMATIAN PERTAHANKAN SIS?

Akhir-akhir ini saya melihat Khairy Jamaludin seolah-olah cuba mencari publisiti untuk menonjolkan dirinya yang makin terpinggir dalam Umno. Dalam isu kerajaan perpaduan, Khairy seolah-olah ingin menunjukkan ketokohannya agar rundingan di antara Pas dan Umno perlu diteruskan pada masa hadapan demi perpaduan orang Melayu.
Dalam isu kerajaan perpaduan saya nasihatkan Khairy agar satukan dahulu pemuda Umno kini berpecah dua tiga yang menolak beliau sebagai ketua pergerakan itu. Beliau sehingga hari ini masih belum dapat menyatukan pemuda-pemuda Umno yang masih melabelkan beliau sebagai perasuah untuk memenangi jawatan ketua pemuda. Lupakah Khairy dengan pemuda Umno yang berdemontrasi di hadapan PWTC memprotes kemenangan beliau? Adakah mereka ini beruk juga seperti yang dilabelkan oleh Khairy kepada peserta demontrasi yang dianjurkan Pakatan Rakyat?
Dalam isu SIS kenapa Khairy melenting tak tentu pasal? Jawapannya tanyalah pada Nori Bin Tun Abdullah, isteri kepada Khairy yang menjadi penyokong kuat kepada SIS. Sekali lagi nasihat saya kepada Khairy fahamilah isunya..... usul muktamar Pas untuk mengharamkan SIS ialah sekiranya SIS melanggar batas-batas Islam...Maknanya bertentangan dengan syariat Islam, bertentangan dengan Al Quran dan As Sunnah...Bertentangan dengan hukum dan perintah Allah...Menghina dan mencerca Islam. Adakah itu hendak dibiarkan?
Jika SIS tidak mempersenda dan menghina Islam, tidak menyentuh persoalan hukum yang ditetapkan oleh Allah, tidak mempertikaikan sunnah Nabi SAW, teruskanlah aktiviti dan program mereka. Itu dijamin dan digalakkan dalam negara yang menjunjung prinsip demokrasi.
Lagipun bukan Pas yang boleh haramkan SIS. Pas menggesa pihak yang berkaitan seperti mufti dan Majlis Fatwa. Maka tugas Majlis Fatwalah yang siasat dan buat keputusan untuk haramkan atau tidak. Bukannya Dewan Ulama Pas atau Majlis Syura Pas.
Islam amat menghormati kebebasan beragama dan hak agama lain. Islam melarang penganutnya menghina kepercayaan dan agama lain. Begitu juga agama lain juga perlu menghormati orang yang beragama Islam dengan tidak mempertikaikan dan menghina ajaran Islam. Lebih-lebih lagi kalau orang Islam sendiri mempertikaikan ajaran Islam seperti yang sering dilakukan oleh SIS. Itu isunya....Itu pun susah nak faham ke?
USUL TUKAR NAMA SIS KEPADA IWK
Saya kira nama yang cukup sesuai berdasarkan latar dan aktiviti yang dilakukan. Lebih-lebih lagi SIS dianggotai oleh golongan elit kasta atasan terdiri daripada anak bekas Perdana Menteri, isteri menteri dan pelbagai latar belakang profesional. SIS juga disokong oleh menteri dan ahli parlimen sama ada dari kerajaan dan juga pembangkang.Rasanya tak ada mak cik-mak cik atau anak-anak mereka yang duduk di kampung-kampung yang menyertai NGO ini.
Dalam hal ini, Pendaftar Pertubuhan perlu bertindak dengan menukar nama SIS memandangkan banyak kenyataan daripada SIS boleh mengelirukan akidah umat Islam. Saya pun pelik kenapa Majlif Fatwa dan golongan mufti membisu apabila pelbagai isu kontroversi yang melibatkan kepentingan umat Islam di negara ini ditimbulkan oleh SIS.
SIS bertopengkan konsep memperjuangkan dan membela wanita Islam di negara ini walhal apa yang dilakukan sebenarnya ialah menyebarkan fahaman Islam liberal dan mengagungkan Islam sekularisme yang menjadi tunjang kerajaan Umno@BN.
Menyedari hakikat ini demi kepentingan dan generasi umat Islam akan datang saya dengan ini menyokong penuh usul agar nama SIS ditukar kepada IWK.
BERBAIK SANGKA KEPADA PIMPINAN.

Saya ingin bertanya kepada mana-mana pimpinan atau ahli dalam Pas adakah yang sanggup berkata Tuan Guru Dato Seri Hj. Abdul Hadi Awang dan Ustaz Nashrudin Mat Isa ingin membinasa dan merosakkan Pas dalam isu kerajaan perpaduan? Adakah kita juga berani berkata bahawa kedua-dua pimpinan tertinggi Pas ini mengkhinati amanah jemaah dan mencabuli perjanjian dengan rakan dari Pakatan Rakyat?
Saya yakin ahli dan penyokong Pas yang ditarbiyyah tidak akan tergamak mengeluarkan ungkapan begitu. Tetapi itulah gambaran dan kesimpulan yang dapat saya katakan apabila membaca komen dan tulisan yang tidak sepatutnya dari segelintir mereka yang mendakwa memperjuangkan Islam dan mendokong perjuangan Pas.Mereka menulis dan bercakap senada dan seirama seperti pihak musuh atau menjadi jurucakap kepada Umno@BN.
Dalam hal ini saya tertarik dengan ulasan Naib Presiden Pas yang baru, Ustaz Dato Tuan Ibrahim Tuan Man berkaitan isu ini agar kita lebih jelas dan tidak mengelabah tak tentu pasal.
"PAS tidak akan mengkhianati Pakatan kita, bahkan kita akan perkukuhkan gabungan ini menjadi alternatif bagi rakyat."
"Sebagai ahli parti, kita mesti menerima idea dan gagasan ini dengan baik sangka kepada Presiden di samping mengikuti penjelasan darinya.
"Idea ini dilontar diperingkat awal untuk menjadi bahan renungan semua pihak. Satu lontaran idea dan gagasan besar yang tidak seharusnya berlalu tanpa diadakan wacana ilmiah bagi membincangkannya," kata Ustaz Tuan Ibrahim dalam blog peribadinya.
"Seluruh ahli dan pimpinan PAS mesti menjadikan Harakah sebagai media rasmi parti. Sebarang isu yang berbangkit, mestilah dirujuk kepada kenyataan rasmi pimpinan dalam Harakah. Agar kita tidak terjerumus dalam perangkap yang dimainkan oleh musuh,"
09 June 2009
WUJUDKAN PERPADUAN UNTUK TUMBANGKAN UMNO@BN...
Kenyataan pimpinan tertinggi Pas hari ini saya rasa cukup jelas tentang isu yang cuba digembar-gemburkan oleh media Umno@BN. Usahlah kita termasuk dalam golongan keliru, terkeliru atau buat-buat keliru dalam isu yang sengaja diperbesarkan ini oleh Umno@BN yang mempunyai agenda jahat untuk menghancurkan perpaduan di dalam Pakatan Rakyat.
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa bersetuju dengan saranan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali agar seluruh pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat menghentikan segala kenyataan yang boleh mengelirukan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat khususnya mengenai Kerajaan Perpaduan.
"Apa yang dimaksudkan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ialah PAS tidak menutup ruang perbincangan dengan sesiapa dan tidak pula menyebut hendak membawa PAS kepada Umno dan Barisan Nasional.
"Jadi, akibat daripada kekeliruan kenyataan ini, saya ingin menyebut sebagaimana saya nyatakan dalam ucapan penggulungan Muktamar PAS, PAS tidak pernah mempunyai hasrat untuk membawa PAS kepada Umno dan Barisan Nasional," tegasnya.
Saya pun tak faham kenapa masih ada pimpinan dan perwakilan yang berada di dalam Muktamar di Stadium Malawati masih lagi keliru atau terus membangkitkan isu kerajaan perpaduan dengan pelbagai versi yang berbeza. Adakah mereka tertidur atau bersembang semasa pimpinan tertinggi menyampaikan amanatnya?Sepatutnya pimpinan dan perwakilan apabila pulang dari muktamar dapat memberi penjelasan kepada ahli di peringkat bawahan dan bukan mengeruhkan keadaan.Adakah menjadi kesalahan dengan mengadakan perbincangan dengan pihak musuh? Walhal satu ketika dulu mereka jugalah sibuk-sibuk mencabar dan mengajak Umno bermuzakarah.
Mungkin cara berbeza tetapi matlamat tetap sama iaitu untuk memastikan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan dalam pilihanraya umum akan datang.
Justeru itu sekali lagi saya menyeru kepada semua ahli dan penyokong Pas khasnya dan Pakatan Rakyat amnya agar berwaspada dan tidak terperangkap strategi pihak musuh serta anasir yang tidak sihat yang wujud dari dalam untuk memfokuskan kepada matlamat untuk menumbangkan Umno@BN dalam pilihanraya kecil Manek Urai dan Pilihanraya Umum ke 13 akan datang.
SETELAH TERSEPIT DAN TERDESAK UMNO SIBUK DENGAN KERAJAAN PERPADUAN
Hari ini isu kerajaan Perpaduan terus menguasai tajuk-tajuk utama media milik Umno@BN. Apabila Umno@BN memberi liputan yang meluas idea yang dikemukakan oleh Tuan Guru Dato Seri Hj. Abdul Hadi Awang menunjukkan bahawa Umno@BN merasakan akan mendapat manafaat daripada isu ini. Jika tidak jangan mimpi media milik Umno@BN memberi publisiti kepada sebarang berita dan ucapan pimpinan sama ada dalam Pas atau Pakatan Rakyat.
Kepada semua ahli dan penyokong Pas nasihat saya apa-apa perkembangan berkaitan isu ini sila dapatkan maklumat daripada pimpinan dan lidah rasmi parti. Apa-apa keputusan yang dibuat oleh pimpinan dan jemaah kita wajib taat selagi tidak menyuruh kepada perkara kemungkaran dan kemaksiatan. Apa yang kita rasa baik belum tentu baik untuk jemaah. Yakinlah keputusan yang dibuat secara amal Jamie jauh lebih baik, afdal dan berkat berbanding dengan keputusan secara individu atau kumpulan tertentu. Lebih-lebih mereka yang tak ada kena mengena dan bersangkut paut sebagai ahli Pas. Jadi mereka tidak faham konsep amal jamaie, konsep ketaatan atau wala' dalam Pas. Mereka akan tulis dan bercakap berdasarkan apa yang bersarang dalam akal dan pemikiran mereka yang sempit dan terhad.
Usah kita mudah melatah dan terbawa-bawa pemikiran kita dengan propaganda media Umno@BN. Itu memang sudah kerja mereka dulu kini dan selamanya. Malah tidak pelik pun, kerana Umno@BN kini berada dalam situasi tersepit dan terdesak. Pergolakan dalaman Umno , kemelut dalam parti komponen, isu ketelusan dalam pemerintahan dan sistem kehakiman, kegawatan politik dicetuskan Umno di Perak menyebabkan Umno@BN sanggup membuat apa sahaja untuk mengekalkan kuasa.
Sokongan padu dan berterusan majoriti rakyat secara konsisten dalam pilihanraya Umum ke 13 dan pilihanraya kecil pasca pilihanraya begitu mencemaskan UmnO@BN. Begitu juga kerjasama erat yang wujud dalam Pakatan Rakyat begitu dicemburi oleh Umno. Sambutan dan sokongan golongan bukan Islam kepada Pas menyebabkan Umno bertambah panik dan terpaksa menekan butang kecemasan untuk terus bertahan dalam politik negara.
Justeru itu tidak hairanlah pemimpin Umno@BN merasakan isu kerajaan Perpaduan boleh menjadi tali hayat untuk terus berkuasa. Namun yakinlah dengan kebijaksanaan pimpinan Pas dan hidayah serta petunjuk dari Allah SWT isu ini akan menjadi perangkap kepada Umno@BN. Saya tidak ragu-ragu akan hal ini, sejarah 55 tahun dalam arus politik negara cukup mematangkan Pas dalam menangani isu ini. Apa yang pasti, hanya orang yang bodoh sahaja akan dipatuk ular kali kedua dalam lubang yang sama.
08 June 2009
KERAJAAN NAK WAJIBKAN BAHASA INGGERIS SUBJEK WAJIB DALAM SPM?
Isu PPSMI masih lagi belum selesai. Walaupun dikritik hebat oleh hampir semua tokoh bahasa kerajaan masih berdolak dalik tentang pelaksanaan PPSMI. Kononnya nak buat kajian dulu. Maklumlah dah lebih RM 5 billion duit rakyat lebur. Hari ini Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pihaknya akan mendapat pandangan orang ramai sebelum cadangan menjadikan subjek Bahasa Inggeris sebagai syarat wajib lulus dalam SPM. Pulak dah….
Tun Dr. Mahathir yang bertanggungjawab pelaksanaan PPSMI awal-awal lagi menyatakan persetujuannya. Sama seperti PPSMI, jika Bahasa Inggeris menjadi subjek lulus yang menjadi mangsa adalah orang Melayu yang masih lagi ketinggalan dalam penguasaan subjek berkenaan. Kenapa kerajaan begitu kemaruk sangat dengan bahasa Inggeris ini ?Walhal bahasa kebangsaan yang termaktub dalam pelembagaan sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar terus dipinggirkan. Mencadangkan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus ketika isu PPSMI masih belum selesai menunjukkan kerajaan tidak peka dengan suara pelbagai pihak agar kerajaan memberi perhatian dan mendaulatkan bahasa kebangsaan. Adakah negara maju seperti Jepun, Jerman, Peranchis, Korea Selatan dan kini gergasi baru ekonomi China maju dan membangun disebabkan bahasa Inggeris?
Kepada pihak Kementerian Pelajaran selesaikan dahulu kemelut kekurangan guru bahasa Inggeris di sekolah terutama di luar Bandar dan pedalaman. Bagaimana Muhyiddin boleh terfikir untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus sedangkan masih banyak lagi kelemahan dari segi prasarana dan kekurangan guru subjek bahasa Inggeris di sekolah hari ini terdiri daripada guru yang bukan opsyen subjek berkenaan? Ini menyebabkan ada guru bahasa Inggeris yang mengajar subjek bahasa berkenaan dalam bahasa Melayu atau bahasa rojak+pasembur.
LCD dan laptop yang dibekalkan oleh kerajaan kepada guru bahasa Inggeris, guru PPSMI subjek Sains dan Matematik lebih banyak berfungsi bila ada pemantauan sahaja. Selebihnya digunakan untuk kegunaan peribadi atau urusan lain tidak berkaitan dan lebih malang lagi hanya terperap di dalam stor dan almari di sekolah. Malah banyak peralatan seperti laptop dan LCD yang tidak dapat digunakan kerana rosak dan tidak diselenggara dengan baik. Ini kerana peralatan yang dibekalkan walaupun mahal tetapi berkualiti rendah.Saya menulis berdasarkan realiti pengalaman isteri saya sendiri yang menjadi Ketua Bidang Sains dan Matematik di sebuah sekolah yang pernah mendapat anugerah sekolah cemerlang peringkat kebangsaan dan salah sebuah sekolah kluster di negara ini.
Saya melihat cadangan terbaru ini akan membawa implikasi besar kepada penduduk di luar bandar dan pedalaman. Bayangkan jika ramai yang tidak mendapat sijil SPM akibat tidak lulus dalam subjek Bahasa Inggeris secara tidak langsung akan meningkatkan jumlah lebih ramai mereka yang tercicir dalam pelajaran.Begitu juga, gagal SPM bermakna peluang melanjutkan pelajaran sekurang-kurangnya ke tingkatan enam juga tertutup. Kecuali di kolej-kolej swasta untuk golongan yang berada. Nak jadi operator kilang yang gaji empat lima ratus pun tetapkan syarat lulus SPM maklumlah hari ini graduan pun berebut-rebut nak kerja kilang kerana kegagalan kerajaan menyediakan peluang pekerjaan. Bayangkan kalau yang tak lulus SPM, pengangguran meningkat, bila pengangguran meningkat masalah sosial seperti samseng jalanan (dulu mat rempit), lepak, pecah rumah dan salah guna dadah juga akan meningkat. Adakah ini semua yang kita inginkan?
