25 August 2009

SPR AKAN BATALKAN KEMENANGAN CALON PAS?


Pengundian di Pilihanraya Kecil Permatang Pasir sedang rancak berlangsung. Sehingga kini belum ada adegan yang tidak diingini berlaku. Berdasarkan undian di laman web sama ada pro Umno atau pro Pas menunjukkan calon Pas, Ustaz Salleh Man selesa mendahului dengan mendapat lebih 80% undi.

Perkembangan sehingga hari akhir kempen menunjukkan sokongan menggalakan kepada calon Pas terutama di kalangan bukan Islam yang dijangka menjadi penyumbang terbesar kepada kemenangan calon Pas. Calon Umno@BN dilihat tidak lagi terlalu mengharap 'kejutan' yang bakal dilakukannya di Permatang Pasir tetapi memadai menurut beliau jika dapat menyusutkan majoriti yang dimenangi oleh calon Pas sebelum ini, Allahyarham Dato Hamdan Mohamad.

Bagi pemimpin Umno terutama Tan Sri Muhyidin Yassin dan Datuk Zahid Hamidi kemenangan di Permatang Pasir adalah sangat penting bagi membuktikan wibawa dan pengaruh masing-masing yang mendapat kepercayaan daripada Datuk Seri Najib untuk mengetuai jentera kempen pilihanraya kecil kali ini.

Pilihanraya ini penting bagi Umno untuk mengukur sejauh mana isu 'pengkhianat Melayu' yang dilemparkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya memulih dan mengembalikan sokongan orang Melayu kepadaUmno. Saya yakin isu 'pengkhianat Melayu' yang dimulakan oleh Muhyiddin akan tenggelam selepas ini jika Umno tewas teruk di lokaliti majoriti Melayu.

Berdasarkan senario semasa di Permatang Pasir, Pakatan Rakyat dijangka tidak bermasaalah untuk meneruskan momentum kemenangan pasca pilihanraya umum kepada 7-1 dari segi agregat.

Tetapi kenyataan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusuf bahawa SPR akan bertindak tegas dengan membatalkan kemenangan mana-mana politik yang bertanding jika masih berkempen pada hari pengundian mungkin akan digunakan untuk memerangkap dan membatalkan kemenangan calon Pas di Permatang Pasir. Jika itu berlaku, maka inilah hari paling malang dalam sejarah demokrasi negara.


24 August 2009

KISAH ROHAIZAT BERMADU DAN EMPAT MADU SEKATIL


Kisah calon Umno, Rohaizat Othman kawin dua tersebar dalam kehangatan kempen di Permatang Pasir. Nak kahwin dua ke atau empat sekaligus tak salah...Kalau mampu tu kahwinlah. Islam benarkan....Tetapi yang menjadi masalahnya kalau seorang bakal pemimpin berkahwin dua tetapi rumah tangga porak peranda sehingga timbul cabar mencabar di antara bapa mertua dan menantu agaknya macam mana nak jadi pemimpin?

Usahlah bercakap tentang kepimpinan dan membela rakyat kalau keluarga sendiri tidak terurus dan bermasalah. Pemimpin yang baik datangnya daripada sebuah keluarga yang bahagia. Begitu juga seorang pekerja sama ada dengan kerajaan atau swasta , pekerja itu akan lebih produktif dan berkualiti jika pekerja itu memiliki sebuah keluarga yang bahagia aman damai. Sebaliknya jika keluarga bermasalah dan sentiasa dalam konflik bagaimana nak fokus kepada kerja? Ini bukan soal mencampuri hal peribadi tetapi ini soal tugas, amanah dan tanggungjawab kepada rakyat.

Rohaizat tidak boleh menyalahkan orang lain apabila isu moral dan hal peribadinya didedahkan kepada umum. Ini kerana rakyat berhak mengetahui latar belakang bakal calon semula boleh dipilih sebagai calon mereka. Jika tidak lihatlah apa yang berlaku hari ini, terdapat wakil rakyat yang mudah-mudah mengkhianati undi dan pilihan rakyat setelah gelap mata dengan pelbagai tawaran limpahan wang dan kekayaan. Agak malang apabila ada wakil rakyat didedahkan terlibat dengan gejala rasuah dan membuat tuntutan yang tak masuk akal. Lebih mengecewakan apabila ada pemimpin dipilih terlibat dengan jenayah dan perlakuan tidak bermoral.

Mungkin gambar empat madu sekatil ini boleh dijadikan pedoman oleh Rohaizat dan mereka yang teringin buka cawangan baru...

23 August 2009

'RIBUT DALAM CAWAN KE 2 DI KEDAH'


Setelah reda isu pusat sembelihan babi di Kedah, politik Kedah sedikit bergolak dengan keputusan yang saya kira sudah dijangka apabila Adun Lunas yang juga EXCO pelancongan Kedah dari PKR Mohd. Radzi Salleh mengumumkan menjadi Adun Bebas tetapi mengistiharkan menyokong Perdana Menteri 1Malaysia. Masuk Umno le tu..

Sebelum ini beliau dikatakan beberapa kali mengungut kepimpinan PKR dan juga Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak tentang hasratnya untuk keluar dari Pakatan Rakyat. Desakan ini dikatakan berkait rapat dengan laporan media Pro Umno termasuk TV3 yang sering menyiarkan dan mengaitkan seorang Exco Kedah dengan gejala rasuah. Apabila Radzi mengistiharkan menjadi Adun bebas maka segala teka teki Exco yang didakwa rasuah terdedah bahawa individu berkenaan adalah Radzi.

Jika itulah situasinya, langkah Radzi menyertai Umno adalah sangat-sangat dialu-alukan. Sebagaimana Adun Behrang dan Changkat Jering yang juga menyertai Umno (kononnya bebas) setelah didakwa dengan gejala rasuah. Jadi hanya parti yang bergelumang dan terlibat dengan rasuah sahaja yang layak untuk mereka. Maka apa yang berlaku tidak lebih hanya 'ribut dalam cawan' sebagai satu program 'pembersihan' untuk memantapkan kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah dan negeri-negeri lain yang turut dikuasai Pakatan Rakyat.

Kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah masih kekal stabil dan utuh. Lebih-lebih lagi dengan wibawa dan kepimpinan Ustaz Azizan sebagai peneraju kerajaan Kedah.Ingatan kepada Umno@BN...Kedah bukan Perak!

22 August 2009

ROHAIZAT CALON UMNO TERBAIK?


1 Malaysia Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Slogan yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebaik sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri. Bermakna apa juga tindakan Umno mesti mengutamakan rakyat dan mementingkan prestasi dan kualiti kerja. Ini termasuk dalam soal memilih calon Umno yang bertanding dalam pilihanraya.

Maka apabila Rohaizat dipilih sebagai calon Umno di Permatang Pasir sudah pasti Rohaizat dipilih berdasarkan dia yang terbaik dan erti kata lain paling berkualiti di kalangan semua pimpinan Umno di sana. Bermakna semua pemimpin Umno yang ada di Permatang Pasir tidak dapat menandingi wibawa Rohaizat.

Tetapi selepas satu persatu soal integriti dan peribadi Rohaizat didedahkan saya yakin ramai pemimpin Umno di sana yang khabarnya awal-awal lagi tidak bersetuju dengan pemilihan Rohaizat sebagai calon semakin malu mata dan tak berani angkat muka dengan calon 'pilihan' Datuk Zahid Hamidi setelah mendapat perkenan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Najib.

Tahniah kepada Umno kerana telah menyediakan calon 'terbaik' menepati aspirasi 1Malaysia Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

21 August 2009

RAMADHAN TERAKHIR....Hadirmu Dirindui...


Ramadhan datang lagi. Gunalah segala kesempatan di Ramadhan ini untuk menjana dan meningkatkan taqwa di sisi Allah SWT. Kita tida tahu sama ada kita sempat menemui Ramadhan pada tahun hadapan. Lakukan amalan terbaik seolah-olah ini Ramadhan kita yang terakhir....Jadikan Ramadhan seperti menurut Dr Yusof Qhardawi sebagai madrasah atau universiti. Semoga di akhir Ramadhan nanti kita layak mendapat ijazah kelas pertama di sisi Allah SWT. Eid Mubarak...

SEJAK BILA MAJLIS FATWA JADIKAN SURAT KHABAR SEBAGAI SUMBER HUKUM?


Masih lagi tentang isu syurga neraka. Semua ini berkaitan dengan kenyataan yang didakwa oleh media pro Umno sebagai 'fatwa' Mursyidul Am Pas Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Hari ini laporan media menyatakan, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar Tuan Guru bertaubat kerana Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa bahawa kenyataan Tuan Guru adalah menyeleweng dan salah dari ajaran Islam.

Kenyataan Muhyiddin adalah merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Majlis Fatwa Prof. Dr. Abdul Shukor Husin.

Cuma apa yang menarik perhatian saya, kenyataan Majlis Fatwa ini adalah berdasarkan laporan akhbar pro Umno yang sewaktu dengannya. Semalam, Tuan Guru menyatakan kesediaannya untuk bersemuka dan menjelaskan kepada Majlis Fatwa tentang kenyataan berkaitan syurga dan neraka.

Maka selepas ini jika ada apa-apa fatwa berkaitan dengan umat Islam di negara ini, Majlis Fatwa tidak lagi perlu merujuk kepada Al Quran, hadis, Qias dan ijmak Ulama cukup sekadar merujuk laporan Berita Harian dan Utusan Malaysia. Kalau nak hujah tu lebih mantap boleh dapatkan hujah dalam TV1, TV2 dan TV3.

20 August 2009

SURAT MISTERI YANG MENGHANTUI SPRM

Klik pada surat untuk besarkan


BERANIKAH WAJLIS FATWA BERSEMUKA DENGAN TUAN GURU?


Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau sedia bersemuka dengan Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan berhubung kenyataannya bahawa ajaran Islam yang diamalkan UMNO tidak boleh membawa penyokong parti itu ke syurga.

“Saya sedia berjumpa dengan pihak berkenaan untuk menjelaskan perkara sebenar di sebalik kenyataan saya itu bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul,” katanya ketika mengulas keputusan Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan bahawa kenyataannya sebagai salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, ulasan-ulasan negatif yang dikeluarkan pihak tertentu terhadap kenyataannya berdasarkan petikan dalam akhbar adalah tidak adil.

“Mereka perlu tanya saya di mana salahnya, saya sedia menjelaskan secara berdepan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Darul Naim di sini hari ini.

Persoalanya beranikah Majlis Fatwa Kebangsaan memanggil dan bersemuka dengan Tuan Guru Nik Aziz?

USAH MENGHARAP KOTA SIPUTEH FOKUS DI PERMATANG PASIR

Ketika persiapan dan kempen sedang rancak di Permatang Pasir tumpuan beralih ke Kota Siputeh kemungkinan pilihanraya kecil di sana. Speaker Kedah telah menulis surat kepada SPR tentang ketidakhadiran 2 kali Adun BN kawasan berkenaan yang mengikut peruntukan undang-undang terlucut dari jawatan sebagai Adun.

Hari ini SPR kata akan rujuk kepada Peguam Negara tentang implikasi undang-undang jika Dun Kota Siputeh diistiharkan kosong. Manakala Tan Sri Muhyiidin Yassin kata SPR kena ambil kira keadaan Adun Kota Siputeh yang tidak sihat sebagai punca tidak hadir. Muhyiddin kata, Adun berkenaan ada surat akuan..Kenapa masa tak hadir tak timbul isu sakit dan surat menyurat. Kalau budak tak datang sekolah pun cikgu minta surat. Inikan pulak wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat dibayar elaun guna duit rakyat. Kalau nak buat surat pun payah, adakah wakil rakyat Kota Siputeh dari Umno tu tak ada telefon bimbit atau sakit begitu kronik sampai tak larat nak dail nombor telefon maklumkan tentang ketidakhadirannya?

Melihat perkembangan yang berlaku, saya tidak yakin kekosongan akan diistiharkan di Kota Siputeh. Maka fokuskan gerak kerja di Permatang Pasir dengan menyampaikan mesej kepada Umno dan Barisan Nasional jangan mudah-mudah menipu dan mengkhianati amanah rakyat.

MELAKA KAWASAN PANAS H1N1


Sehingga hari ini wabak Demam Selsema Babi@H1N1 telah merekodkan 722 kes dengan 16 kematian di Melaka.Perkara ini disahkan Pengerusi Hal Ehwal Wanita Pembangunan Keluarga dan Kesihatan, Norpipah Abdul.

Ini bermakna Melaka mencatatkan kes kematian yang tinggi berbanding 64 kes kematian seluruh negara setakat ini. Sehingga hari ini telah lebih 90 buah sekolah ditutup dan ada di antaranya masih ditutup kerana wabak ini.

Walau bagaimanapun, usaha pihak berkenaan masih kurang meyakinkan dalam meningkatkan kesedaran dan kepekaan orang ramai terhadap wabak ini. Misalnya semasa saya berkunjung ke Mahkota Parade kelmarin ada ibu bapa yang sengaja 'menempah maut' dengan membiarkan anak-anak mereka yang masih kecil tanpa memakai topeng pelindung. Begitu juga berdasarkan pemerhatian mereka yang memakai topeng di pasar malam hanya dua tiga orang sahaja. Manakala yang lain bebas seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.