18 September 2008

PAS KOMITMEN PADA PERUBAHAN KERAJAAN


Kota Sarang Semut, Alor Star Kedah. Presiden Pas, Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa PAS bersetuju menyertai kerajaan baru yang bakal terbentuk sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan.

PAS akan menyertai perubahan kerajaan ini dengan syarat. Syaratnya ialah kerajaan ini mestilah dipandu oleh Islam. Dipandu oleh orang-orang Islam. Ini syarat yang dikenakan oleh PAS," tegas beliau yang disambut dengan laungan takbir.
Menurut beliau, jika syarat ini tidak dipenuhi, PAS tidak akan menyertai perubahan tersebut. Pun begitu, katanya, sehingga hari ini PAS melihat tanda-tanda awal bahawa syarat itu hendak diterima.

Ini merupakan kenyataan pertama presiden PAS secara terbuka berhubung pembentukan kerajaan baru. Semasa Muktamar lalu, Tuan Guru Hj. Hadi telah membayangkan kesediaan PAS menyertai kerajaan yang ingin dibentuk asalkan Islam mesti dominan.
Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa rakyat di Negara ini tidak perlu bimbang dengan propaganda sesetengah pihak bahawa orang Melayu dan Islam akan terpinggir dengan pembentukan kerajaan baru.

Pengumuman ini sudah pasti dapat melenyapkan tanda –tanya tentang pendirian PAS berhubung peralihan kuasa kerajaan baru. Sebelum ini PAS banyak bersikap tunggu dan lihat dengan isu yang berlaku.

Kenyataan ini semakin menguatkan keyakinan bahawa kerajaan baru akan terbentuk dalam masa terdekat. Apa –apa pun sama –samalah kita nantikan sama ada ia benar –benar dapat diterjemahkan.

MAKNA HARI RAYA


Hari ini kebanyakan orang semakin sibuk cerita tentang raya. Masing -masing sibuk dengan kuih raya, baju raya, langsir raya, tiket balik beraya dan nak beraya di mana. Segala -galanya tentang raya.

Walhal, hari ini umat Islam di negara ini baru berada pada 18 Ramadhan. Hendak masuk Fasa ketiga Ramadhan yang dikatakan, pembebasan dari api neraka.

Sepatutnya, masjid dan surau semakin berduyun -duyun orang datang untuk solat waktu dan tarawikh berjemaah. Sepatutnya juga masing-masing sibuk mengira berapa juzuk Al Quran yang tinggal untukk khatam pada Ramadhan kali ini. Bertanya sejauh mana bangun untuk berqiamullail. Setidak -tidaknya pun bertanya adakah Ramadhan kali ini lebih baik berbanding Ramadhan sebelumnya.

Apa yang berlaku adalah sebaliknya, orang lebih ramai berduyun -duyun di kompleks membeli belah atau bazar untuk membuat persiapan raya berbanding berbanding untuk mengimarahkan bulan Ramadhan dengan amalan yang dituntut. Buktinya, masjid dan surau semakin lenggang. Pada awal-awal Ramadhan masjid dan surau melimpah hingga ke luar. Hari ini senario itu tidak berlaku lagi. Jumlah saff yang bersembahyang Tarawikh semakin 'meningkat' ke depan.

Memandangkan kebanyakan orang dalam 'mood raya', hari ini saya nak berkongsi tentang makna raya.

Sempena menyambut hari raya ini, marilah kita merenung sebuah hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, berkaitan dengan konsep 'hari raya' yang lebih luas. Menurutnya, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda hari raya yang sebenarnya bagi orang beriman itu

1. Setiap hari ia berjalan dan bertemu seorang yang beriman serta ia tidak melakukan sebarang dosa, itu ialah hari raya baginya.

2. Hari keluarnya dari dunia dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan

3. Hari menyeberang Siratul Mustakim dan terselamat dari bencana jatuh ke dalam api neraka

4. Hari kita masuk syurga dengan selamat dan terlepas dari api neraka

5. Hari ia menatap wajah Allah Ta'ala


Menurut Nabi Muhammad saw. Hari Raya bagi setiap orang beriman ada pada 5 ketika; iaitu setiap hari yang dia tidak melakukan sebarang dosa, saat meninggal dunia dalam husnul-khatimah, hari berjaya melintasi Siratul-Mustakim dan terselamat dari masuk ke neraka, masuk ke dalam syurga dan hari dia mengadap Allah Taala.
Sekiranya kita tidak melakukan sebarang dosa pada sesuatu hari, itu adalah hari raya bagi kita. Kalaulah kita berusaha sungguh-sungguh menghindarkan diri melakukan sebarang dosa dengan menjauhi larangan Allah serta mematuhi segala perintah Allah, hari itu adalah sebenarnya hari raya bagi kita.

Saat menghembuskan nafas terakhir dengan penuh keimanan dari tipu daya syaitan juga termasuk dalam 'hari raya' yang dimaksudkan oleh Nabi Muhammad saw. Saat sakratul-maut adalah masa yang paling genting bagi setiap individu. Kesakitannya yang amat sangat bukan saja menimpa jasad bahkan rohnya juga; seperti yang digambarkan oleh ulama kesakitannya lebih dahsyat daripada dipalu dengan 1000 pedang, atau digunting dengan beberapa gunting atau digergaji dengan beberapa gergaji. Malahan dikatakan saat sakrat adalah hari kiamat bagi si-mati. Menurut Imam Ghazali kesusahan mati itu 3, pertama kesakitan sakrat, kedua kesusahan melihat kedatangan malaikatul-maut dengan mukanya yang amat bengis dan ketiga kesusahan jika dinampakkan tempat kediaman di neraka (jika ahli maksiat). Sudahlah tidak tertahan dengan kedahsyatan yang amat sangat, syaitan pula sibuk menangguk di air keruh. Di saat inilah dia menjalankan taktik dan strategi terakhir untuk menumpaskan kita. Hanya orang yang Allah tetapkan mati dalam husnul khatimah saja terlepas dari tipu dayanya. Berjayanya kita di saat ini barulah kita dapat menikmati hari raya sebenarnya. Namun alam perkuburan merupakan alam yang penuh dengan peristiwa-peristiwa dahsyat. Bagi orang mukmin, ia merupakan satu taman dari taman-taman syurga, sebaliknya bagi orang kafir, alam barzakh adalah satu pintu dari pintu neraka.

Hari Raya seterusnya adalah hari kita berjaya melepasi api neraka selepas merentas Titian Siratul Mustaqim. Sebelum menyeberang jambatan yang direntang di atas kawah neraka, setiap individu disoal dan ditimbang amalan baik dan jahatnya. Selesai dari segala perhitungan tersebut barulah diperintah meniti Titian yang sangat tajam dan sangat halus ini. Orang yang mengikut jalan lurus semasa di dunia selamat menyeberang dengan kelajuan yang pantas. Malangnya mereka yang menyeleweng dari jalan lurus di dunia gagal dan jatuh ke dalam api neraka. Bayangkan betapa dahsyat dan ngerinya berada di jambatan yang di bawahnya terdapat lautan api yang sentiasa mengait sesiapa saja yang berdosa. Andainya terlepas dari tercebur ke neraka, barulah boleh kita berhari raya.

Hari kita masuk syurga adalah hari raya seterusnya bagi orang beriman. Terlepasnya dari neraka bermakna kita akan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan dan kelazatan. Syurga adalah tempat manusia pilihan. Penghuni-penguni syurga dengan muka yang berseri-seri diberikan kerajaan yang sangat luas dengan mahligai yang besar serta menikmati pelbagai juadah yang lazat-lazat. Pendeknya mereka beroleh segala kelazatan dan terhindar dari segala seksa. Inilah sebenarnya hari raya bagi orang mukmin.
Hari raya yang paling meggembirakan orang beriman ialah di saat memandang wajah Agung Ilahi. Inilah kenikmatan yang paling agung dan lazat sehingga terlupa kelazatan dan kenikmatan syurga. Ia merupakan puncak atau klimaks kenikmatan orang beriman.

Memandangkan kita belum pun menempuh saat-saat di atas, sepatutnya kita berasa cemas dan berwaspada. Dalam masa kita bersuka ria menyambut hariraya ini, lintaskanlah di hati sanubari kita bahawa hari raya sebenarnya belum kita tempuhi lagi. Amat jauh terpesongnya budaya kita yang menyambut hariraya dengan maksiat seperti hiburan, nyanyian, tarian dan pelbagai kegilaan yang melupakan kita akan hari raya sebenarnya. Hari Raya Idilfitri hanya satu gambaran atau tamsilan bagi kita merenung bahawa Allah akan membalas dengan ganjaran baik jika berjaya melepasi rintangan hawa nafsu dan mengendalikan hidup mengikut cara yang Allah redhai.

Mudah-mudahan hariraya yang kita hadapi ini tidak berakhir di sini saja, sama-samalah kita berdoa semoga ia berterusan sehinggalah kita berjaya melepasi sakratul-maut, titian siratul-mustaqim, menjadi penghuni syurga dan akhirnya mengadap zat Allah Taala di syurga kelak.

SELAMAT 'BERHARI RAYA'.

17 September 2008

SELEPAS NI ROSMAH 'SHOPPING' SAKAN

Hari ini berlaku 'peralihan kuasa' antara Najib dan Pak Lah. Tukar suka sama suka. Pak Lah ambil Kementerian Pertahanan dan Najib ambil Kementerian Kewangan. Saya tak mahu mengulas tentang sebab serta agenda petukaran 2 portfolio penting ini. Banyak blog lain dah mengulasnya. Dalam keresahan dan kerisauan senario politik terkini, saya kira orang yang paling seronok apabila berlakunya perubahan pos ini sudah pastilah isteri TPM, Datin Rosmah Mansor. Selepas ini boleh le shopping puas-puas. Suami tercinta dah pegang 'peti duit' negara. Sebelum ini semasa bercuti di luar negeri, Datin Rosmah hanya sempat shopping barang-barang peribadi 6 kereta je...selepas ni boleh le borong sehingga 6 trailer pulak. Tak tahulah apa akan berlaku pada nasib rakyat dan negara ini jika golongan seperti ini berkuasa. Harta negara 'difaraid' macam milik mereka sendiri. Mungkin macam klip cerita Nujum Pak Belalang di bawah.

ANWAR AKAN DITAHAN ISA ?

Seribu satu kemungkinan akan berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan wujud desakan dan kebimbangan di kalangan pemimpin BN berikutan kenyataan DSAI yang semakin mengancam kuasa dan pengaruh kerajaan BN. Mengulas sidang akhbar dan desakan DSAI semalam, Perdana menyifatkan DSAI sebagai ancaman kepada Negara.

Beliau juga menyifatkan Anwar sebagai  "satu ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara".

"Saya tidak akan nyatakan apakah rancangan saya," katanya ketika ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan terhadap Anwar.

Mungkinkah alasan keselamatan Negara digunakan untuk menahan DSAI di bawah ISA. Apa –apa kemungkinan, sama-sama kita nantikan. Tempoh 24 jam ini semakin mendebarkan.

16 September 2008

BN MENANTI UNTUK DITALKINKAN


Kebimbangan jelas tergambar dari riak semua pemimpin BN terutamanya dari UMNO hari ini selepas sidang akhbar Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi.. Masing –masing sudah mula 'kecut' dengan penumuman DSAI yang mengulangi dan menegaskan beliau sudah cukup kerusi untuk membentuk kerajaan.

Walaupun, masing –masing cuba menyembunyikannya tetapi kegelisahan itu tidak dapat mereka sembunyikan dari pengetahuan umum. Apa perlu mereka melatah dan 'meraban' yang bukan –bukan kalau isu lebih 31 ahli parlimen BN akan menyertai Pakataran Rakyat tidak berasas. Buat tak tahu sudah lah ! DSAI berkata media yang bersekongkol dengan kerajaan seperti Utusan Malaysia, RTM dan TV 3 tak payahlah menuduh dan buat cerita yang bukan-bukan kerana beliau sudah cukup kekuatan untuk membentuk kerajaan baru.

Keenganan Pak Lah berjumpa dengan DSAI menunjukkan bahawa tidak mungkin peralihan kuasa akan berlaku secara rundingan atau secara diplomasi. Jika dalam beberapa siri pilihanraya umum yang lalu pelbagai taktik jahat dan kotor digunakan untuk mengekalkan kuasa mana mungkin BN akan menyerah 'mudah-mudah' kepada Pakatan Rakyat.

Sebagai alternatif, DSAI berkata rombongan pimpinan Pakatan Rakyat akan memohon perkenan mengadap DYMM Agong secepat mungkin untuk membentuk kerajaan baru.

Pilihan lain yang ada ialah membawa usul tergempar tidak percaya kepada kerajaan yang ada. Seperti dalam posting sebelum ini, saya mengharapkan BN menyerahkan kuasa secara terhormat sebelum mendapat 'malu besar' pada sidang parlimen nanti. Bayangkan usul kelulusan belanjawan yang dibentangkan baru baru ini tidak mendapat 'majoriti mudah' dari Dewan Rakyat. Bagaimana kerajaan hendak meneruskan kuasa tanpa ada suara majoriti di parlimen.

Pada hari ini, kerajaan yang ada hanya kelihatan 'gagah' di dada akhbar dan rangkaian telivesyen yang dimiliki oleh mereka tetapi hakikatnya mereka sedang menunggu untuk ditalkinkan.

PERALIHAN KUASA PASTI BERLAKU


Datuk Seri Anwar sebentar tadi baru selesai mengadakan sidang akhbar di Pejabat Keadilan di Petaling Jaya.

Beliau mengumumkan 31 orang ahli parlimen BN dari Semenajung, Sabah dan sarawak bersedia menyertai Pakatan Rakyat.

Dalam satu soalan wartawan tentang kemungkinan peralihan kuasa tidak akan berlaku beliau menegaskan bahawa ia sesuatu yang pasti berlaku.

DSAI sedang menunggu jawapan dari Perdana Menteri untuk mengadakan pertemuan tentang proses peralihan kuasa supaya berlaku dengan aman tanpa sebarang masalah.

Pada pandangan saya, ini merupakan satu tindakan bijak. Sasaran 16 September tidak penting yang paling utama adalah perubahan dalam kerajaan. Penubuhan kerajaan merupakan satu perkara yang serius tanpa perlu melayan sebarang provokasi dan suara -suara sumbang yang menyatakan pelan peralihan kuasa hanya omomg -omong kosong.

Beliau juga menggesa BN tidak menggunakan ISA untuk menangkap ahli parlimen BN yang ingin menyertai Pakatan Rakyat dan juga kepada ahli parlimen Pakatan Rakyat yang lain

Walau bagaimanapun saya percaya BN di bawah Pak Lah akan melakukan apa sahaja untuk menggagalkan proses peralihan kuasa ini.

USTAZ HASHIM JASIN DIISTIHAR MENANG DI SANGLANG


Ustaz Hashim Jasin diisytiharkan pemenang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang buat kali ketiga berturut-turut selepas Mahkamah Persekutuan mendengar rayuannya hari ini.

Panel tiga orang hakim sebulat suara memutuskan kerusi itu dimenangi wakil rakyat itu, yang juga pesuruhjaya PAS Perlis, dan kemenangan calon BN Abdullah Hassan pada 8 Mac lalu dibatalkan.

Hakim-hakim memutuskan satu pilihanraya kecil tidak perlu diadakan.

Ustaz Hashim memperolehi kerusi tunggal PAS itu sejak pilihanraya umum 1999 tetapi akibat kesilapan teknikal dalam penjumlahan undi dalam pilihanraya umum lalu, beliau diisytiharkan tewas di tangan Abdullah.

Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kangar mengisytiharkan kerusi itu kosong selepas menerima permohonan petisyen yang dikemukakan oleh Hashim.
Bagaimanapun, mahkamah pilihanraya itu menolak permohonannya untuk mengisytiharkan beliau sebagai pemenang kerusi DUN tersebut.

Mahkamah itu bagaimanapun menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) untuk menentukan sama ada pilihanraya kecil perlu diadakan serta bila akan diadakan.

Ustaz Hashim kemudian mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan supaya beliau diisytiharkan pemenang di Sanglang.

Ustaz Hashim memenangi kerusi tersebut dalam pilihanraya umum 2004 dengan majoriti 45 undi, mengalahkan calon BN Datuk Mastika Junaidah Husin.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, PAS melalui calonnya Rus'selle Ezlan menguasai satu lagi kerusi, Simpang Empat, dengan majoriti 53 undi.

ISU SERBAN ? KENAPA ISA TAK DIGUNAKAN ?



Seorang pelajar pondok yang disaman kerana menunggang motosikal dengan memakai serban diperintahkan Mahkamah Majistret di sini semalam untuk membela diri terhadap tuduhan itu.

Majistret Tengku Amalin Ais'shah Putri Sultan Ismail Petra memutuskan demikian setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Nasir Darus (gambar), 27, dan menetapkan 24 November ini untuk perbicaraan.
Semasa dihadapkan ke mahkamah pada 4 November 2007 lalu, pelajar Pondok Pasir Tumboh itu tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan atas kesalahan yang dilakukan pada 20 September 2007 di Jalan Pasir Tumboh dekat sini.

Ahmad Nasir disaman kerana menyalahi Kaedah 4 Motosikal (topi keledar) 1973 dan dihukum mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dibaca bersama dengan Seksyen 128(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan.

Kes ini menarik perhatian kerana ia menyentuh tentang sensitiviti agama Islam . Seolah –olah wujud diskriminasi dalam soal agama. Hal ini kerana dalam masa yang sama lelaki sinkh yang ‘berserban’ tidak dikenakan sebarang tindakan jika tidak memakai topi kaledar. Alasan polis yang menahan bahawa pelajar berkenaan belum ‘lebai’ sama sekali tidak boleh diterima.Pemakaian serban adalah sunnah nabi SAW bukan soal ‘lebai’ atau tidak lebai.

Saya tidak berniat untuk mempertikaikan pemakaian ‘serban’ oleh lelaki sinkh yang tidak perlu memakai topi kaledar sewaktu menaiki motorsikal kerana itu pakaian dan kepercayaan agama mereka. Namun dalam masa yang sama, pihak berkuasa perlu meyedari bahawa pemakaian serban adalah salah satu amalan yang digalakkan dan menjadi sunnah Nabi SAW.

Dalam hal ini, pihak berkuasa yang perlu dipersalahkan kerana tidak peka dengan isu dan hal yang berkaitan dengan ajaran Islam.sekiranya Taresa Kok EXCO Kanan Selangor dikenakan ISA kerana didakwa terlibat dalam petisyen isu azan yang menyentuh isu agama Islam di masjid Kinrara Puchong, bagaimana pula mereka yang mempertikaikan pemakaian serban yang menjadi simbol agama yang merupakan sunah Nabi SAW ?

Tindakan ini sebenarnya menggambarkan bahawa isu penahanan ISA kerana menggugat dan menyentuh isu agama merupakan satu alasan kerajaan untuk ‘menghalalkan’ tindakan mereka. Apa yang berlaku menunjukkan kerajaan tidak konsisten dalam mempertahankan kesucian dan status Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

IDEA PERALIHAN KUASA BERLAKU APABILA PEMIMPIN TIDAK MENGIKUT PETUNJUK AL QURAN

(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil).            ( Al –Baqarah : 185 )


 

Hari ini semua tertumpu kepada pengumuman yang bakal dibuat oleh Datuk seri Anwar Ibrahim berkaitan pembentukan kerajaan baru. Tengku Razaliegh Hamzah dijadualkan akan membuat sidang akhbar berasingan berkaitan dengan peralihan kuasa.

Media massa hari ini pula semakin sibuk mengentam dan memanipulasi isu peralihan kuasa. Semalam utusan DSAI ke Putrajaya mengutus surat kepada Perdana Menteri. Di antara kandungan suarat tersebut meminta agar peralihan kuasa dilakukan secara aman tanpa wujud sebarang ketidakstabilan dan implikasi negatif kepada Negara.

Semua ini tidak akan berlaku jika pemimpin yang diberi kuasa dan amanah melaksanakan tanggungjawab mengikut petunjuk Al Quran. Malangnya ini tidak berlaku. Ayat Al Quran sering dijadikan sebagai alunan di majlis rasmi kerajaan atau upacara kebesaran Islam. Malangnya, petunjuk Al Quran tidak dijadikan panduan dan ikutan dalam pemerintahan.

Natijahnya berlaku amalan rasuah berluasa, penyelewengan wang rakyat, pembaziran ( contoh makan angin di Taiwan ), penindasan dan segala macam bentuk salah guna kuasa. Akhirnya, rakyat sudah tidak mampu berdiam diri dan bangkit menyatakan suara hati yang diterjemahkan dalam Pilihanraya Umum ke 12 pada 8 Mac lalu.

Hari ini sekali lagi majoriti rakyat menunggu untuk melihat pembentukan kerajaan baru dapat direalisasikan. Sekiranya pemimpin kerajaan yang ada benar –benar mengikut petunjuk Al Quran idea peralihan kuasa pasti tidak akan berlaku.

Semoga kerajaan baru yang terbentuk nanti akan benar –benar menjadikan Al Quran sebagai petunjuk dan panduan. Selamat Menyambut Nuzul Al Quran dan Selamat Hari Malaysia 16 September 2008.

15 September 2008

SAMA -SAMA LEKEH !


Kedua -duanya sama -sama lekeh. Berita TV 9 malam ini terpaksa memetik dari laman Web Malaysiakini berhubung berita peletakan jawatan Datuk Zaid Ibrahim sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bagi saya sesuatu yang memalukan TV 9 yang merupakan 'suka sakat' TV 3 dan NTV 7 terpaksa 'memetik' dan 'meminjam' berita dari laman web Malaysiakini untuk melaporkan berita peletakan jawatan Zaid Ibrahim. Walhal berita peletakan jawatan ini sudah 'heboh' satu negara.

Sementara itu kenyataan timbalan ketua polis negara hari ini juga lekeh. Beliau berkata, Polis tidak pilihan selain menggunakan ISA bertindak kepada mereka yang menjejaskan keharmonian dan perpaduan di negara ini.

Apakah negara ini sudah tandus dari segi akta dan peraturan untuk menjaga ketenteraman awam ? Kalau macam tu, saya mencadangkan jika polis sudah tidak ada pilihan gunakanlah juga ISA kepada pesalah trafik di jalan raya seperti memandu melebihi had laju, tidak pakai tali pinggang kaledar atau meletakkan kereta sehingga menghalang laluan. Saya yakin masalah kemalangan di musim perayaan ini akan dapat diatasi. Itu pun jika polis sudah tak ada pilihan lain !